Suatu ketika dahulu, masyarakat Malaysia disanjung tinggi kerana dikatakan memiliki nilai-nilai kesopanan dan tata susila yang tinggi. Bagi masyarakat Melayu khususnya, sedari kecil lagi diajar bersopan santun termasuklah ketika berkomunikasi. Ketidaksantunan berbahasa seperti bercakap kasar, mencarut, dan sumpah seranah dianggap suatu yang jelik dan manifestasi kepada sikap ‘kurang ajar’ atau biadab. Kesantunan berbahasa juga adalah suatu budaya positif kebanggaan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya. Kesantunan berbahasa ialah cerminan kepada nilai yang dianuti dan menjadi sebahagian ciri jati diri bangsa. Nilai ialah pegangan masyarakat yang diungkapkan melalui bahasa. Apabila berlaku perubahan bahasa, maka akan berlakulah perubahan nilai bangsa. Perubahan ini kemudian menjana perubahan pada lakuan kita pula. Dengan kata lain, menerusi lakuan, kita dapat melihat perubahan nilai seseorang dan perubahan ini sebenarnya melibatkan perubahan jati diri seseorang individu. Menyedari hakikat ini, kerajaan menjadikan kesopanan dan kesusilaan sebagai salah satu daripada Rukun Negara Malaysia. Namun begitu, mutakhir ini kesantunan berbahasa mulai sirna terutamanya dalam kalangan belia. Isu ketidaksopanan berbahasa dalam kalangan belia Malaysia banyak dilaporkan dalam media massa dan dapat diperhatikan hal tersebut berlaku secara leluasa dalam media sosial. Hal ini sangatlah membimbangkan kerana belia adalah harapan negara dan bakal pemimpin pada masa hadapan.
Belia dan Jati Diri
Menurut Kamus Dewan (Edisi Keempat), belia bermaksud muda belia, sangat muda; golongan muda secara keseluruhannya yang terdiri daripada pemuda dan pemudi. Lebih terperinci lagi, Kementerian Belia dan Sukan dalam “Draf Kajian Semula Dasar Belia Negara”, mentakrifkan belia sebagai “mereka yang berumur antara 15 hingga 25 tahun”. Hal ini selaras dengan takrif yang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diguna pakai oleh banyak negara. Manakala, Commanwelth Youth Programme (CYP) pula mengelompokkan kumpulan umur 18 tahun hingga 35 tahun sebagai golongan belia. Seterusnya, dalam buku “Pembentukan Dasar Belia Selangor 2005: Satu Pengamatan”, golongan belia ditakrifkan berdasarkan peringkat umur daripada 15 tahun sehingga 40 tahun. Menurut Abu Abdullah Muhammad (1967) dalam bukunya Al Jami’ li ahkam al-Qur’an Tafsir al-Qurtubiy mengatakan bahawa Imam Syafie mengelaskan umur baligh bagi perempuan ialah 10 tahun qamariyyah sedangkan lelaki pula ialah 12 tahun qamariyyah. Walau bagaimanapun, sama ada cepat atau lambatnya umur baligh individu dipengaruhi oleh fizikal dan persekitaran kanak-kanak itu berada. Berdasarkan takrifan ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa golongan belia adalah merujuk kepada kelompok yang berumur antara 10 tahun hingga 40 tahun.
Belia sering dikaitkan dengan ciri-ciri seperti mudah terikut-ikut, tidak tetap pendirian dan keinginan mencuba sesuatu yang baharu. Hal ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana mereka belum cukup matang untuk menilai sesuatu berdasarkan ilmu dan pengalaman. Oleh hal yang demikian, golongan belia perlu dibimbing agar jati diri mereka tidak terhakis dek peredaran zaman. Menurut Ismail Bakar (2010) dalam bukunya, Sejarah Kepimpinan dan Politik ke Arah Pembentukan Jati Diri Kebangsaan, menjelaskan bahawa jati diri ialah keyakinan terhadap sistem nilai dalam sesebuah masyarakat kerana apabila masyarakat berpegang teguh kepada nilai tersebut, maka mereka tidak akan melakukan perkara yang berlawanan dengannya. Nilai-nilai tersebut datang daripada ajaran agama, budaya dan pengalaman hidup. Antara jati diri rakyat Malaysia dan telah diterapkan ke dalam dasar-dasar negara termasuklah kesantunan berbahasa.
Kesantunan Berbahasa
Menurut Kamus Dewan (Edisi Keempat, 2015) kesantunan berasal daripada kata akar santun yang bermaksud kesopanan, kehalusan (budi bahasa atau budi pekerti) baik dalam bahasa lisan ataupun tulisan. Walau bagaimanapun, amalan kesantunan berbahasa adalah tidak seragam. Faktor agama, bangsa, budaya dan sempadan geografi perlulah diambil kira dalam menilai, memahami dan mengamalkan kesantunan berbahasa. Contohnya, masyarakat Barat mengamalkan kesantunan berbahasa dalam kehidupan harian dan berbeza dengan kefahaman dan amalan Masyarakat Timur.
Malaysia ialah sebuah negara yang unik kerana rakyatnya terdiri daripada berbilang bangsa, agama, bahasa dan budaya, justeru itu terdapat sedikit keragaman dari segi amalan kesantunan berbahasa. Namun demikian, sebagai masyarakat Timur dan majoriti bangsanya Melayu, maka nilai teras masyarakat Malaysia ialah budaya Melayu. Dalam masyarakat Melayu pula, ciri-ciri Islam menjadi asas kelakuan dan tindakan, bentuk dan hubungan, inti sari nilai, sikap, pandangan dan pertuturan.
Masyarakat Melayu amat memandang berat terhadap kesantunan berbahasa. Setiap patah perkataan ada nilainya. Nilai terhadap bahasa menentukan jenis bahasa seperti bahasa halus, bahasa kesat, bahasa kasar, dan bahasa biadab. Sehubungan dengan itu, Amat Juhari (2001: 286) dalam buku Nilai rasa dalam Bahasa Melayu menegaskan bahawa penggunaan bahasa perlu disesuaikan dengan keadaan, suasana serta golongan, dan peringkat yang berbeza. Menurut pendapat Kramsch (1998: 26) dalam buku Language and Culture pula, seseorang perlu memahami sebab ia berkata-kata, apa yang dikatakan, bagaimana mengatakannya, kepada siapa ia berkata dan semua ini bergantung pada konteks pertuturan tersebut. Bagi menegakkan sistem nilai, Wan Abdul Kadir (2000: 87) dalam buku Nilai-nilai Sosial: Asas Perubahan Sosiobudaya Melayu orang Melayu menekankan beberapa konsep yang diutamakan dalam kehidupan seharian mereka, iaitu konsep malu, harga diri, maruah, dan air muka .
Kesantunan berbahasa dalam masyarakat Melayu begitu penting sehingga dikatakan “bahasa tidak dijual beli” dan “hilang bahasa hilang bangsa”. Orang Melayu juga ada mengatakan bahawa “bahasa menunjukkan bangsa” yang menjelaskan bahawa orang Melayu meletakkan bahasa sebagai suatu perkara utama bagi menggambarkan bangsanya. Peribadi seseorang dapat dinilai menerusi bahasanya, kalau bahasanya santun dan halus, maka dia dikatakan berbudi bahasa, sebaliknya kalau bahasa yang digunakan itu kasar dan tidak menyenangkan pendengar, maka dia dikatakan kurang ajar. Bahasa juga memantulkan sikap, kepercayaan, pemikiran, dan secara langsung menggambarkan realiti budaya sesebuah masyarakat (Kramsch, 1998: 3).
Budi bahasa dalam kalangan orang Melayu amnya dan umat Islam khasnya, dikaitkan dengan hati atau kalbu. Sewaktu berinteraksi, orang Melayu ditegah sama sekali menghina dan merendah-rendahkan peribadi seseorang. Perkataan yang keluar dari bibirnya hendaklah santun, tidak mengandungi unsur-unsur yang memalukan diri, keluarga dan pihak lain walaupun sewaktu menyatakan sesuatu yang benar. Hal ini jelas dengan penciptaan peribahasa seperti “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”. Maka dapatlah disimpulkan bahawa setiap anggota masyarakat perlu berhati-hati ketika bercakap, dan jika tersalah cakap akan membawa padah. Sehubungan dengan itu, seseorang individu perlu mengawasi perlakuannya sama ada perlakuan tanpa bahasa atau perlakuan ketika berbahasa daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah SWT.
Budi bahasa ialah unsur penting yang diasaskan daripada tingkah laku dan penggunaan kata-kata yang dipilih dengan cermat, demikian menurut Amat Juhari Moain (2001: 286) dalam buku Nilai Rasa dalam Bahasa Melayu. Kepentingan budi bahasa dalam kehidupan orang Melayu begitu jelas dengan pantun seperti yang berikut:
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang cantik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Apabila budi digabungkan dengan bahasa, maka lahirlah satu pengertian yang jelas, iaitu percakapan baik yang mengandungi tutur kata sempurna dan menyenangkan, penuh dengan sifat-sifat menghormati pihak lain, bersopan santun diiringi dengan akhlak yang mulia.
Ketidaksantunan Berbahasa dan Kaitan dengan Jati Diri
Ketidaksantunan berbahasa berkaitan dengan penggunaan bahasa yang tidak baik dan tidak sesuai dengan tatabahasa. Selain itu, ketidaksantunan berbahasa diertikan sebagai perilaku yang tidak memanfaatkan strategi-strategi kesantunan seperti yang diharapkan sehingga ujaran yang dihasilkan dapat diinterpretasikan bersifat konfrontasional secara sengaja atau secara negatif, demikian menurut Lakoff (dalam Eelen, 2001:109) menerusi tulisan dalam bukunya A Critique of Politeness Theories. Perkataan “ketidaksantunan” secara semula jadinya membawa pemahaman kepada satu fenomena komunikasi yang berkait rapat dengan konflik dan polemik. Alcaide (2011) menyatakan dalam makalahnya “Ketidaksantunan ‘Sensitif’: Kajian Kes Terhadap Iklan Kumpulan ONG dan Iklan Institusi Awam di Sepanyol”, dalam suatu situasi komunikasi normal, pada kebiasaannya penutur akan cuba mengekalkan keharmonian dalam perbualan agar tidak menimbulkan konflik dengan pendengar. Penutur seboleh-bolehnya akan mencari titik persamaan dalam perbualan bagi mengelakkan sebarang konflik dalam komunikasi tersebut.
Apabila seorang penutur berjaya menggunakan kesantunan dalam perbualan, maka komunikasi akan berjalan dengan lancar dan matlamat komunikasi berjaya dicapai. Dalam situasi komunikasi yang berjaya, imej pendengar tidak terancam dan penutur pula dikatakan sebagai seorang yang bersopan-santun. Secara amnya, boleh dikatakan ketidaksantunan komunikasi terjadi apabila seorang penutur menggunakan pelbagai bentuk ujaran yang boleh mengancam dan menyumbang kepada kesan negatif terhadap imej pendengar. Pernyataan ini disokong dengan pandangan Fuentes dan Brenes (2011: 63-78) dalam makalahnya bertajuk “Ketidaksantunan Verbal dan Television: ke Arah Satu Struktur Baru” mengatakan bentuk-bentuk ujaran ketidaksantunan termasuklah makian, tidak menghargai, memberikan tekanan, membuat perbandingan yang keterlaluan, mempermainkan atau mempersendakan dan sebagainya yang boleh meninggalkan tanggapan negatif kepada khalayak.
Manakala, jati diri pula bermaksud sifat atau ciri yang unik dan istimewa (dari segi adat, bahasa, budaya, agama dan sebagainya) yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu, sesuatu bangsa, dan identiti (Kamus Dewan, Edisi Keempat, 2015). Oleh hal yang demikian, jati diri merupakan unsur-unsur kehidupan yang mencerminkan lahiriah individu, masyarakat dan negara yang mempunyai sifat-sifat keutuhan yang boleh dipelihara kerana memiliki ciri-ciri yang tersendiri dan boleh dibanggakan. Hakikatnya, orang Melayu bukan sahaja mempunyai kehebatan dalam bentuk pengucapan atau penulisan, tetapi juga hebat dalam membina keteguhan jati diri Melayu dalam diri individu, masyarakat dan negaranya. Keteguhan jati diri Melayu sebenarnya terletak pada akar umbi bahasa itu sendiri seperti yang terjelma dalam bentuk peribahasa, pantun, syair dan gurindam, yang indah bahasanya. Entiti inilah yang menjadi asas kepada jati diri Melayu dan membezakan bangsa Melayu dengan bangsa lain. Maka itu, sekiranya masyarakat Melayu khususnya golongan belia mahu mempertahankan jati diri mereka dan penampilan sebagai suatu bangsa yang hebat, mereka mestilah kembali mendalami tradisi Melayu. Tujuannya bukanlah semata-mata berpusat kepada Melayu, tetapi kembali kepada tradisi yang menjadi kehebatan Melayu itu dari segi bahasa, sastera dan budayanya.
Sebaliknya, ketidaksantunan berbahasa dipandang tidak mencerminkan jati diri Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya yang terkenal dengan kehalusan budi dan kesantunan bahasa. Frasa ketidaksantunan mengandungi erti yang bertentangan dengan erti kata sopan, iaitu tidak hormat atau tidak takzim kepada orang lain, tidak tertib menurut adat yang baik, tidak beradab (tingkah lakunya, tutur kata dan cara berpakaian), dan tidak baik kelakuan atau tidak susila perilakunya. Frasa tidak sopan menunjukkan sifat perilaku yang tidak sesuai atau tidak mencerminkan nilai-nilai kebaikan dan jati diri seseorang.
Walau bagaimanapun, Malaysia ialah sebuah negara yang unik kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya. Oleh hal yang demikian, Lee Su Kim (2003: 410) dalam makalahnya bertajuk “Exploring the Relationship Between Language, Culture and Identity” menegaskan bahawa identiti atau jati diri tidak mudah ditakrifkan dengan merujuk kata-kata DeVos, G. (1992) dalam bukunya, Social Cohesion and Alienation: Minorities in the United States and Japan yang menjelaskan bahawa identiti tidak mudah untuk ditakrifkan kerana hal ini lebih baik dilihat sebagai pluraliti dan bukan binaan kesatuan. Identiti ialah konsep diri individu, serta tafsiran individu terhadap definisi sosial diri, dalam kumpulan dalaman dan masyarakat yang lebih besar. Pembentukan identiti bukan sekadar proses sedar tetapi dipengaruhi oleh proses psikologi tidak sedar.
Kesimpulannya, perlu ditegaskan kembali bahawa kesantunan berbahasa tidak sama dengan etika berbahasa. Kesantunan berbahasa tentang nilai-nilai kebaikan yang menjadi pedoman masyarakat dalam berbahasa, sedangkan etika berbahasa adalah aturan, ketentuan, atau norma berbahasa. Etika berbahasa hanya merupakan salah satu kaedah mewujudkan nilai-nilai moral dalam perilaku berbahasa. Sopan atau tidak sopan dalam berbahasa berkait dengan penilaian masyarakat terhadap baik buruknya perilaku berbahasa seseorang. Perilaku berbahasa yang sopan dipandang sebagai perilaku yang baik, sedangkan perilaku berbahasa yang tidak sopan dipandang sebagai perilaku yang buruk. Perilaku berbahasa yang sopan dipandang sebagai perilaku yang baik kerana mencerminkan nilai-nilai kebaikan tertentu, sedangkan perilaku berbahasa yang tidak sopan dipandang sebagai perilaku yang buruk kerana tidak mencerminkan nilai-nilai kebaikan. Perilaku berbahasa yang tidak sopan dapat membantutkan perkembangan sahsiah dan menggugat jati diri masyarakat dalam sesebuah negara. Golongan belia hendaklah sentiasa mengamalkan kesantunan berbahasa kerana ketidaksantunan berbahasa adalah cerminan kepada kelemahan jati diri bangsa sesebuah negara. Belia yang tiada jati diri akan mudah dilanda krisis identiti diri dan akan meruntuhkan sesebuah negara bangsa.