Pada hari terakhir Ramadan, ibu-ibu akan sibuk merebus ketupat, manakala bapa-bapa pula sibuk membakar lemang. Suasana ini memperlihatkan kerjasama yang erat antara ahli keluarga yang sedang sibuk membuat persiapan menyambut hari raya. Ketupat dan lemang merupakan menu utama yang dinanti-nantikan semua orang apabila tibanya hari raya. Boleh dikatakan, setiap rumah menjadikan menu ini sebagai hidangan wajib pada pagi hari raya. Jika tiada ketupat dan lemang, maka tiada maknalah sambutan Aidilfitri dan Aidiladha.

Menariknya, ketupat nasi menjadi hidangan utama di negeri pantai barat semenanjung dan selatan tanah air. Manakala, di negeri pantai timur dan utara pula, ketupat palas yang berisi beras pulut menjadi hidangan istimewa menyambut tetamu yang datang beraya. Ada ketupat palas yang mempunyai rasa lemak manis dan ada juga yang menghidangkan ketupat palas yang berisi kacang merah, serondeng, atau menggunakan pulut hitam. Walau apa-apa pun perisa, namun yang pasti hidangan ketupat menjadi keutamaan setiap keluarga mengikut cita rasa masing-masing.

Istimewanya, ketupat menggunakan nasi atau pulut sebagai bahan utama pembuatannya. Dikatakan bahawa nasi atau pulut memberi makna kemakmuran dan kekayaan kerana fungsinya sebagai makanan asasi di Nusantara. Oleh sebab itu, banyak hidangan berasaskan beras dan pulut mudah diperoleh dan menjadi makanan utama masyarakat di negara kita.
Sementara itu, lemang juga menggunakan beras pulut sebagai bahan utama pembuatannya. Beras pulut yang dicampur santan, garam serta sedikit gula akan dimasak di dalam buluh yang dilapisi daun pisang atau daun lerek. Tempoh membakar lemang yang panjang akan menghasilkan aroma yang enak pada beras pulut yang berbalut daun pisang dan dimasak di dalam buluh. Aroma daun pisang dan buluh ini menghasilkan rasa yang luar biasa pada hidangan ini. Sungguhpun sedikit sulit menyediakannya, namun lemang tetap menjadi menu pilihan pada pagi hari raya.
Menariknya, ketupat dan lemang sangat istimewa kerana boleh dimakan dengan pelbagai hidangan berlauk. Ketupat dan lemang kebiasaannya dimakan bersama-sama rendang atau serondeng ayam atau daging. Selain itu, ketupat nasi enak juga dimakan bersama-sama kuah kacang, kuah lodeh atau kuah soto.

Sementara itu, ada juga sebahagian masyarakat Melayu di Kelantan dan utara Terengganu memakan ketupat palas dan lemang dicecah dengan air gula merah yang dimasak hingga likat. Yang pasti, hidangan warisan ini sangat sinonim dalam budaya perayaan masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Menu istimewa ini dihidangkan dengan pelbagai menu sampingan lain dan dimakan mengikut selera masing-masing.
Menurut Dr. Istajib, dalam makalahnya “Perkukuh Perpaduan Rakyat Berpandu Proses Anyaman Ketupat” (Berita Harian, 2024) menyatakan bahawa ketupat dan lemang sering dijadikan makanan perayaan umat Islam terutama ketika meraikan Aidilfitri dan Aidiladha. Makanan tradisi ini berasaskan makanan asasi penduduk Nusantara sama ada pulut atau nasi yang dibungkus dengan daun, sinonim dengan iklim tropika seperti daun nipah dan kelapa.
Sehubungan dengan itu, pengkaji mendapati bahawa ketupat ini membawa maksud yang tersirat dalam kehidupan masyarakat Melayu. Ketupat nasi yang menggunakan pucuk kelapa dan dianyam menjadi bentuk empat segi membawa makna yang tersendiri dalam budaya masyarakat Melayu atau Jawa di Malaysia. Kajian ilmiah bertajuk, “Upacara Kupatan” oleh Abdul Qodir (1994) dari Universitas Islam Negeri Sunan, Surabaya menyatakan bahawa ketupat ini diperkenalkan oleh pendakwah Islam berketurunan Jawa, iaitu Sunan Kalijaga kepada masyarakat Jawa.
Pendakwah Sunan Kalijaga berusaha menggabungkan acara adat budaya masyarakat Jawa dengan ibadat dalam ajaran Islam agar mereka terus berada di landasan yang benar mengikut ajaran Islam. Lalu, ketupat dicipta sebagai makanan keraian dengan penerapan falsafah keagamaan dan hidangan tradisi masyarakat Pulau Jawa. Ketupat akhirnya tersebar luas ke seluruh Nusantara atau kini Asia Tenggara terutama Malaysia, Brunei, Singapura dan Selatan Thailand dan sebahagian kawasan di Kemboja yang didiami oleh keturunan Melayu Cham yang akhirnya menjadi makanan tradisi pada hari perayaan utama umat Islam.
Menurut Abdul Qodir lagi, berdasarkan wawancara beliau dengan M. Kholid, Tokoh Masyarakat di Desa Blimbing Kecamatan Paciran Kabupaten Lamongan, nama ketupat ini sebenarnya mempunyai falsafah tersendiri. Ketupat berasal daripada perkataan ‘ngaku lepat’ bermaksud, mengaku kesilapan. Hidangan ketupat ini begitu selari dengan matlamat Aidilfitri untuk mengaku kesilapan, saling bermaaf-maafan dan mengeratkan silaturahim. Selain itu, M. Kholid turut menyatakan bahawa empat bucu ketupat ini sebenarnya mempunyai falsafah tersendiri jika dikaitkan dengan ajaran Islam dan tradisi masyarakat Jawa. Empat bucu itu juga boleh diertikan dengan empat jenis nafsu dalam diri manusia, iaitu amarah, lawwamah, supiah, dan mutmainah. Nafsu-nafsu inilah yang perlu dilawan ketika berpuasa.
Sementara itu, terdapat beribu-ribu jenis anyaman ketupat. Bentuk ketupat rata-ratanya segi empat penjuru yang mewakili empat arah, iaitu utara, selatan, timur dan barat. Bentuk ketupat ini bolehlah ditafsirkan sebagai “meskipun umat Islam berada di pelbagai penjuru dunia, mereka tetap perlu bersatu menghadap ke arah Kaabah sebagai kiblat”. Bentuk anyaman ketupat yang terkenal di Malaysia ialah ketupat sate, ketupat bawang dan ketupat jantung.

Menurut pakar sejarah Melayu, Datuk Profesor Dr. Awang Azman Awang Pawi daripada Akademi Pengajian Melayu dalam temu bual bersama-sama freemalaysiatoday.com (“Ketupat: Hidangan Popular di Hari Raya, Kaya dengan Sejarah, 22 April 2023), beberapa negeri di Malaysia wajib menghidangkan ketupat bersama kuah kacang, rendang atau kari ayam pada hari raya Aidilfitri tetapi ada negeri yang turut menghidangkan lemang sebagai juadah utama pada pagi hari raya.
Tegas Awang Azman lagi, sungguhpun ketupat dan lemang telah berevolusi serta beradaptasi dengan budaya tempatan, dan kebiasaannya dikaitkan dengan Aidilfitri atau Aidiladha, namun ketupat dan lemang masih memainkan peranan penting dalam membentuk budaya Melayu yang bertahan berzaman-zaman, menjadi komponen penting sebagai makanan tradisi dan budaya masyarakat Melayu yang diingati sehingga kini.
