Pengenalan
Setiap masyarakat di Malaysia mempunyai kebudayaan yang unik untuk menyambut Ramadan dan Hari Raya (Aidilfitri dan Aidiladha), termasuklah etnik Bajau Sama yang majoritinya tinggal di Pantai Barat Negeri di Bawah Bayu. Menurut Andreas Eppink kebudayaan ialah keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur-struktur kemasyarakatan, keagamaan selain penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri-ciri khas sesebuah masyarakat. Pengertian ini dipersetujui oleh ahli antropologi klasik Edward B Taylor (1871) yang mendefinisikan budaya sebagai satu konsep menyeluruh yang rumit mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang-undang, adat resam dan lain-lain kebolehan serta kebiasaan yang diperolehi oleh manusia sebagai anggota masyarakat.
Dalam konteks meraikan dan menyambut Ramadan dan Hari Raya, masyarakat Bajau Sama lazimnya akan mengadakan kenduri kesyukuran dan doa selamat serta berkongsi rezeki (makanan) yang dikenali sebagai migang. Migang boleh dilaksanakan secara beramai-ramai contohnya satu kampung yang dilaksanakan di masjid, surau, rumah, balai raya, tepi pantai atau sawah. Makanan akan diagihkan kepada jiran tetangga, dari rumah ke rumah, iaitu seminggu menjelang Ramadan. Pada Hari Raya pula etnik Bajau Sama terkenal dengan budaya duang, iaitu bertukar juadah atau sajian di masjid selepas solat sunat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Budaya seperti ini turut berakar umbi dalam masyarakat lain contohnya di Mesir. Masyarakat Mesir menyambut Ramadan dengan menghiasi jalan-jalan dan rumah-rumah mereka dengan Fanoos, iaitu sejenis tanglung yang diperbuat daripada kaca berwarna-warni. Tanglung ini lambang kesatuan dan kegembiraan sempena kedatangan bulan mulia yang dinanti-nantikan. Di Selangor pula, masyarakat Jawa mengadakan munjung, iaitu menghantar makanan kepada jiran tetangga beberapa hari sebelum sambutan lebaran.
Definisi Migang
Migang bererti berniat dan bertekad, iaitu aku janji untuk menunaikan ibadah puasa selama sebulan sepanjang Ramadan. Uniknya, menjelang bulan mulia yang penuh keberkatan itu etnik Bajau Sama akan mengadakan kenduri kesyukuran dan doa selamat sekampung.
Migang bukan sekadar kenduri kesyukuran tetapi komuniti setempat mengambil peluang bersedekah dengan masing-masing membawa juadah makanan yang dikenali sebagai puyutan (bungkusan makanan) dan minuman untuk dikongsi bersama-sama bagi mengeratkan silaturahim. Migang merupakan amalan dan kebiasaan masyarakat Bajau Sama di Sabah.
Ketika majlis ini berlangsung, biasanya komuniti yang menyertainya akan meletakkan sajian dalam dulang tembaga atau talam bunga dan ditutup dengan tudung saji berwarna-warni warisan etnik Bajau Sama dikenali tudung duang.
Lebih 10 sajian dihidangkan dalam satu majlis migang, termasuk makanan tradisi Bajau Sama seperti kuih penjaram dan penganan (kuih cincin), sambal udang, ayam, daging dan sayur, selain inti kelapa dan pisang goreng tanpa adunan tepung sebagai pencuci mulut. Sajian nasi putih pula dibungkus menggunakan daun pisang dalam bentuk segi tiga, manakala garam dibungkus dengan daun pisang yang disimpul.
Penulis turut menyertai acara migang di Bue’ Merengin, Kota Belud.
Migang menjelang Ramadan di Kampung Rampayan, Menggatal.
Nasi dibungkus menggunakan daun pisang ketika migang.
Definisi Duang
Duang mengikut Yang Dipertua Persatuan Bahasa dan Budaya Bajau Sabah, Chenderamata Sinteh bermaksud sajian, manakala ngeduang merupakan aktiviti menyertai acara bertukar duang dan sesambi duang pula bermaksud bertukar duang antara dua keluarga.
Amalan ngeduang yang menjadi pengisian wajib sambutan Hari Raya Aidilfitri Aidiladha etnik Bajau Sama masih lagi berkesinambungan sehingga kini. Namun juadah dan cara pembungkusan makanan bertukar mengikut perkembangan semasa, misalnya pada era 1980-an menggunakan bakul anyaman daun kelapa dikenali tembusa, kemudian pada era 1990-an bertukar kepada kotak kertas, seterusnya beg plastik, raga plastik yang dibungkus dengan kain sarung atau hamper.
Lazimnya, acara ngeduang berlangsung di masjid selepas solat sunat Hari Raya serta dikenali duang subuh atau duang raya kerana kemuncak penyediaannya adalah pada waktu Subuh menjelang Hari Raya. Budaya ini penting dalam pengukuhan persaudaraan dan hubungan kekeluargaan masyarakat Bajau Sama pada Hari Raya kerana berjaya menyatupadukan semua lapisan masyarakat tanpa mengira darjat dan latar belakang ekonomi.
Duang yang dibungkus dengan kain sarung dan dimasukkan dalam raga plastik.
Kini, budaya ini hanya diamalkan di beberapa perkampungan masyarakat Bajau Sama di Kota Belud, Kudat, Kota Marudu, Pitas, Tuaran, Sepanggar, Menggatal, Inanam, Likas, Putatan dan Papar.
Penulis sempat menelusuri budaya itu pada akhir era kegemilangannya pada awal 1980-an kerana ketika itu sering mengikuti keluarga menyertai upacara sesambi duang di Masjid Kampung Tanjung Pasir Labuan, Kota Belud (sekarang Masjid As-Salam) atau lebih popular Balai Dia’. Ketika itu, perjalanan ke Kampung Tanjung Pasir Labuan hanya boleh dilalui oleh pejalan kaki dan haiwan tunggangan seperti kuda dan kerbau. Oleh sebab itu, duang terpaksa diangkut menggunakan kangga yang mirip seperti pedati. Kangga tiada roda serta ditarik oleh kerbau.
Lazimnya sebuah keluarga membawa sekurang-kurangnya lima unit tembusa berisi bahan makanan serta minuman dan diwajibkan menyediakan kuih tradisional masyarakat Bajau Sama, iaitu penjaram, penetad dan penganan (kuih cincin).
Mengikut kajian dua pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Halina Sendera Mohd Yakin dan Prof Madya Dr. Saidatul Nornis Mahali, dalam tesis mereka bertajuk Duang: Satu Tafsiran Awal Tentang Budaya Klasik Bajau, penjaram ialah menu wajib duang.
Penjaram diperbuat daripada tepung beras meliputi dua bentuk, iaitu bulat pinggir bercorak dan samarinda (bulat pinggir tiada corak) dan ada tiga warna mengikut bahan pewarna asli, iaitu putih menggunakan gula putih, perang (gula tebu asli) dan hijau (pandan wangi).
Kuih tradisional lain yang disediakan ialah berati (bertih), kalas (ketupat palas), wajit (wajik), inti kelapa dan minuman tradisi seperti sepang. Menu lain ialah daging, ikan, udang, kerang dan sayur yang dimasak secara moden dan tradisional. Minuman moden termasuk sirap dan air berkarbonat, selain buah-buahan dalam tin.
Sebelum duang dibawa pulang, pemilik dan penerima akan meminta restu supaya segala kekurangan dirahsiakan bagi mengelak wujud persengketaan dan perasaan riak serta hasad dengki.
Ada serangkap pantun Bajau Sama yang sinonim dengan duang, iaitu:
Duun suka’ benuat tembusa’,
Tembusa kenangga’ Embalai Dia’;
Maung denakan nambut elau raya,
Siampun semaap semomon sala’.
Penutup
Budaya migang dan duang perlu dimuatkan dalam Portal Pemetaan Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, iaitu sistem pangkalan data berkaitan seni budaya dan warisan negara untuk memperkenalkan budaya ini di peringkat nasional dan global.
Kedua-dua budaya ini juga seharusnya disenaraikan dalam projek Pembangunan Sistem Pemetaan Budaya Bersepadu Negeri Sabah seperti diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, baru-baru ini.
Keunikan migang dan duang melayakkan kedua-dua budaya ini diangkat sebagai Warisan Negara di bawah Jabatan Warisan Negara. Generasi muda etnik Bajau Sama perlu mengekalkan budaya unik ini sebagai khazanah berharga etnik kedua terbesar di Sabah.
Rujukan
Mohd. Azrone Sarabatin, 2008. Duang Amalan Unik Masyarakat Bajau, Artikel Terbitan Berita Harian, 11 Disember 2008.
Mohd. Azrone Sarabatin, 2013. Migang, Duang Tradisi Unik Bajau, Artikel Terbitan Berita Harian, 8 Julai 2013.
Halina Sendera Mohd. Yakin, Saidatul Nornis Haji Mahali, 2008. Duang: The Semiotic Interpretation dan Perfeption of The Bajau-Sama Community in Sabah, Jurnal dalam https://journalarticle.ukm.my/, 10 Mei 2011.
Andreas Eppink, Gazalba (1991:28). Takrifan Kebudayaan, Artikel Terbitan Jurnal Sosial Budaya, Fakultas Ilmu Sosial, Universitas Negeri Massar, 2 Oktober 2014.