Skip to content
Keunikan Busana Tradisional “Pinongkoloh” sebagai Warisan dan Identiti Wanita Murut Tahol
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Sejarah dan Budaya > Keunikan Busana Tradisional “Pinongkoloh” sebagai Warisan dan Identiti Wanita Murut Tahol
Keunikan Busana Tradisional “Pinongkoloh” sebagai Warisan dan Identiti Wanita Murut Tahol
Sejarah dan Budaya

Keunikan Busana Tradisional “Pinongkoloh” sebagai Warisan dan Identiti Wanita Murut Tahol

  • SHAWN CHRISTIEN FABIAN
  • 5 Jun 2025
  • DBP Cawangan Sabah
  • 136
  • 5

Pengenalan

Sabah Negeri di Bawah Bayu memiliki keunikan dan kepelbagaian budaya yang menarik. Setiap aspek budaya di negeri ini, sama ada tradisi lisan dan seni kraf tangan merupakan warisan yang dipertahankan dan diwariskan oleh nenek moyang sejak zaman dahulu. Dalam setiap perayaan, elemen-elemen tradisional memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat Malaysia, khususnya masyarakat Sabah yang berbilang kaum. Motif dan corak yang terdapat dalam seni dan budaya Sabah bukan hanya sekadar hiasan, tetapi simbol yang sarat dengan makna dan cerita setiap etnik serta mencerminkan kekayaan warisan budaya yang tidak ternilai.

Kehidupan masyarakat tradisional sangat akrab dengan alam, sekali gus menjadikan hidupan sekitar mereka, sama ada flora mahupun fauna sebagai sumber inspirasi. Berdasarkan pemerhatian dan kepekaan mereka terhadap alam semesta, amalan dan budaya mereka berasimilasi dengan alam sehingga membentuk dan mempengaruhi sosiobudaya masyarakat tradisional yang merentas pelbagai aspek kehidupan.              

Etnik Murut yang mendiami kawasan selatan Pantai Barat dan Pedalaman Sabah mempunyai sejarah dan budaya yang unik. Nama “Murut” dipercayai berasal daripada kata “pulut,” merujuk kepada getah kayu yang digunakan untuk menangkap burung. Mereka juga memiliki bahasa tersendiri, dikenali sebagai bahasa “Murutic” oleh SIL International. Menariknya, variasi bahasa dalam kalangan subetnik Murut dipengaruhi oleh geografi yang mencerminkan kekayaan budaya dan sejarah komunikasi mereka.

Etnik Murut tinggal di rumah panjang yang lazimnya dibina berhampiran dengan sungai atau membuat penempatan di sepanjang sungai. Mereka tinggal di rumah panjang yang menempatkan 10 hingga 25 keluarga. 

Terdapat juga etnik Murut yang tinggal dan membina penempatan secara individu di sepanjang sungai akibat arus perubahan dan pengaruh pemodenan. Dalam konteks suku kaum Murut di Sabah, menurut Foong Kin dalam Social and Behavioral Aspects of Malaria Control: A Study Among the Murut of Sabah (2000), Murut merupakan suku kaum kedua terbesar yang mendiami negeri Sabah. Kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman terutamanya di Pensiangan, Kemabong, Tenom, Nabawan dan beberapa daerah di negeri ini.

Etnik Tahol ialah salah satu etnik daripada rumpun Murut di Sabah. Istilah “Tahol” mempunyai pelbagai panggilan lain seperti “Tagal”, “Tagol” dan “Tagul”. Masyarakat Murut Tahol berasal dari lembah Sungai Tahol di Daerah Pensiangan yang dikenali sebagai Ulun Tahol, yang membawa maksud “Orang Tahol” yang hidup secara berkelompok serta sering berpindah-randah. 

Murut Tahol diklasifikasikan sebagai Austronesia, Melayu Polinesia. Kegiatan utama mereka termasuklah pertanian tradisi, iaitu penanaman padi dan mahir dalam berburu dan menangkap ikan. Masyarakat Murut Tahol memiliki warisan budaya yang kaya, salah satunya pakaian tradisional mereka yang menawan hati. Pakaian ini dikenali sebagai pinongkoloh, dihiasi dengan manik-manik berwarna-warni yang membentuk pelbagai corak dan reka bentuk unik.

 

Pinongkoloh

Pinongkoloh ialah simbol identiti dan kebanggaan kaum wanita Murut Tahol yang diperbuat daripada kain kapas. Bukan sekadar busana, pinongkoloh ialah kuliamos yang bermaksud barang berharga yang diwarisi sejak turun-temurun. Inspirasi corak-coraknya diambil daripada keindahan flora dan fauna yang menjadikan pinongkoloh bukan hanya sekeping kain tetapi juga sebuah karya seni yang hidup. Melihat pinongkoloh, kita dapat merasakan betapa eratnya hubungan masyarakat Murut Tahol dengan alam sekitar serta penghormatan yang mendalam terhadap warisan nenek moyang. 

Kebanyakan wanita Murut Tahol mengenakan pakaian tradisional hitam yang dihiasi dengan sulaman motif flora berwarna-warni yang menonjolkan keunggulan warna hitam sebagai asas pakaian mereka.

Salah satu motif yang paling menarik dan rumit dalam busana tradisional pinongkoloh ialah motif nambuyunan. Nama nambuyunan bermaksud “menjadi gila”. Nama ini diberi kerana corak motif ini sangat popular dan menjadi kegemaran para penyulamnya meskipun kerumitan yang luar biasa dalam proses pembuatannya. Corak ini begitu kompleks sehingga dikatakan mampu membuat penyulam pada masa lalu menjadi hampir tidak siuman.

Motif nambuyunan bukan hanya eksklusif untuk pakaian tradisional, tetapi juga menghiasi ukiran-ukiran kayu, dinding rumah dan pelbagai kraf tangan masyarakat Murut. Keindahan dan kerumitan motif ini mencerminkan kesungguhan dan ketelitian yang luar biasa dalam seni tenunan dan pertukangan kaum Murut. Melihat motif nambuyunan, kita dapat merasakan betapa tinggi nilai seni dan ketekunan yang diperlukan untuk menciptakannya.

Nambuyunan bukan sekadar indah pada corak tetapi sebagai lambang semangat, ketabahan dan dedikasi masyarakat Murut terhadap warisan budaya mereka. Motif ini dengan keindahannya yang menawan, mengisahkan cerita tentang kehebatan nenek moyang mereka dalam seni dan budaya, menjadikannya sebuah karya seni yang tidak ternilai.

Ornamen yang dipakai sebagai hiasan tambahan dengan pelbagai warna terang semakin menyerikan penampilan pemakai pinongkoloh. Dahulu, ornamen ini diperbuat daripada bahan semula jadi, tetapi kini diadaptasi daripada bahan moden yang mudah diperoleh di kedai-kedai aksesori kain. Pereka menggunakan beberapa teknik jahitan, termasuk teknik sulaman benang dengan sulaman mesin tugas berat untuk menghasilkan corak motif pada busana tersebut. Walaupun begitu, pereka masih mempertahankan penggunaan teknik jahitan tangan untuk membuat perincian manik, memberikan sentuhan tradisional yang memikat pada setiap helai pinongkoloh.

Komponen  utama pinongkoloh ialah baju yang tidak mempunyai lengan dikenali sebagai sampayau dan kain sarung  yang panjang menutupi bahagian kaki  disebut tapi. Tapi tidak mempunyai fesyen potongan khas. Tapi hanyalah sekeping kain yang dilubangkan di bahagian tengah untuk memasukkan kepala. Di  bahagian kiri dan kanan rusuk disematkan simpulan supaya mudah dipakai atau dibuka. 

Kedua-dua sampayau dan tapi dijahit dengan sulaman manik bermotifkan flora, fauna dan objek. Pakaian tradisional ini hanya lengkap setelah dihiasi dengan beberapa aksesori dan hiasan, iaitu sapuluh (ikat kepala), rarangkol (rantai leher), pipirot linggit (rantai pinggang), holong (gelang tangan), papakol (gelang kaki) dan sinikot (mahkota).

Papakol dipakai oleh wanita sebagai tanda bahawa si pemakai telah terdidik sejak kecil tentang adat, disiplin dan kerja tangan seni dalam menyulam (apalantih) dan menganyam (ambatuh) yang disebut kawahu. Sapuluh dan rarangkol dihiasi dengan pelbagai jenis manik berwarna-warni. Pipirot linggit pula ialah tali pinggang yang dibentuk daripada syiling perak dan dihiasi dengan pelbagai bentuk manik seperti aki-aki, nampalur, kotos, bungkas, aki dan olot.

Aksesori bahagian pinggang yang dipakai kaum wanita Murut dipanggil bungkas atau tinawak yang lazimnya dipakai ketika mengenakan pakaian tradisi Murut yang dibuat menggunakan manik. Pembuatan manik yang penuh dengan sifat kemasannya akan menampakan kejelitaan wanita Murut. Sementara itu, sinikot ialah satu set pin rambut yang terdiri daripada tiga batang dengan sinikot tataun disisipkan pada bahagian tengah manakala dua batang sinikot surai disisipkan di bahagian kiri dan kanan sanggul. 

Pinongkoloh ini disulam dengan corak sinusu yang menjadi akar kepada keunikan pakaian ini. Sinusu ialah sulaman manik berbentuk segi tiga yang disusun rapat dengan adunan pelbagai warna yang menarik. Motif sinusu berbentuk segi tiga yang disulam berulang kali sehingga membentuk pola panjang, menjadi tulang motif pinongkoloh. Lazimnya motif sinusu menggabungkan dua warna yang berbeza seperti kuning dan merah, merah dan biru, biru dan jingga, putih dan merah, serta kuning dan jingga. Keindahan motif ini terletak pada rekaannya yang sederhana tetapi mampu menghasilkan corak yang memukau, menjadikannya asas yang sering digunakan oleh para penyulam.

Selain itu, corak vavatu yang sering dilihat pada baju pinongkoloh turut diketengahkan. Corak pinukot lawa pula disulam menghiasi kiri dan kanan sinusu untuk menambah keindahan pakaian ini. Pinukot lawa yang berbentuk seperti jaring laba-laba melambangkan kepakaran orang Murut Tahol dalam memasang perangkap haiwan dan musuh. Gabungan corak dan sulaman ini menjadikan pinongkoloh sebuah karya seni yang memikat dan bermakna.

Busana tradisional pinongkoloh diperagakan dengan anggun oleh Suzy Sidin, pemenang pertandingan Ralaa Kalimaran 2024. Menurut informan, busana yang dipakai oleh Suzy Sidin bukan hanya menampilkan aksesori daripada Murut Tahol, tetapi juga menggabungkan corak dan aksesori dari Murut Paluan. Kombinasi ini melambangkan keanggunan dan perpaduan satu rumpun Murut yang menjadikan setiap perincian busana ini sebagai simbol keindahan dan kesatuan budaya yang mempesona.

Keunikan Busana Tradisional “Pinongkoloh” sebagai Warisan dan Identiti Wanita Murut Tahol
Suzy Sidin, johan Ralaa Kalimaran 2024 memakai busana pinongkoloh.

 

Pesta Kalimaran ialah perayaan kebudayaan tahunan bagi etnik Murut di Sabah. Kalimaran membawa makna mendalam dan menggambarkan kegiatan seni suku kaum Murut yang berkaitan dengan kehidupan harian mereka. Lazimnya kaum lelaki giat menghasilkan barang-barang kraf tangan seperti sarung parang dan hulu parang yang diukir dengan penuh ketelitian. Melalui busana ini, kita dapat melihat warisan seni yang kaya dan kehidupan budaya yang dinamik, memikat hati dan minda para pengunjung pesta. 

Reka bentuk sederhana pinongkoloh menonjolkan keindahan motif utamanya. Penyulam menggunakan motif tulang yang ringkas dengan warna manik pelbagai dan menarik. Pada ketika dahulu hanya warna asas seperti biru, putih, kuning dan merah digunakan, namun kreativiti mereka tetap memancarkan keindahan busana pinongkoloh.

Motif-motif Murut memancarkan kekayaan falsafah dan kehidupan mereka, terinspirasi dari elemen flora yang mendalam. Contohnya, motif tinalantar yang berbentuk pakis menggambarkan ketahanan dan semangat juang. Walaupun lembut dan mudah patah, tumbuhan ini tumbuh semula, menjadi simbol keteguhan. Motif pinansiit, dengan bentuk “S” yang saling berhubungan, melambangkan jalinan silaturahim yang erat, perpaduan yang kukuh dan semangat tolong-menolong dalam komuniti. Sementara itu, motif sinulih, berbentuk batang pendek menggambarkan rumah tradisional Murut Tahol yang berlantaikan bambu, mengekspresikan rasa hormat terhadap asal-usul dan tradisi mereka.

Selain itu, Monicka Majin, pemenang tempat ketiga Unduk Ngadau Kaamatan peringkat kebangsaan tahun 2024, memilih corak vusak pipilih sebagai inspirasi untuk busana pinongkoloh. Corak ini bermaksud bunga meranti, menjadi elemen utama dalam rekaan pinongkoloh. Keistimewaan bunga meranti terletak pada cara pembiakannya yang unik, iaitu bunganya gugur dari pokok dan terbang seperti kipas. Di mana sahaja bunga ini jatuh, bunga tersebut akan tumbuh dan membiak dan memberikan manfaat besar kepada ekosistem hutan. Penampilan corak vusak pipilih pada busana pinongkoloh bukan sahaja mencerminkan keindahan alam tetapi juga membawa mesej perpaduan dan keharmonian. Warna-warni manik yang digunakan mewakili kepelbagaian suku kaum di Malaysia, terutamanya Sabah yang kaya dengan budaya dan tradisi.

Keunikan Busana Tradisional “Pinongkoloh” sebagai Warisan dan Identiti Wanita Murut Tahol

Monicka Majin, tempat ketiga Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 memakai busana pinongkoloh aspirasi vusak pipilih.

 

Kehidupan masyarakat Murut yang tertumpu pada aktiviti perburuan, bercucuk tanam dan tinggal di lingkungan yang subur dengan flora dan fauna, sangat mempengaruhi corak kehidupan mereka. Masyarakat ini tidak hanya kaya dengan adat dan budaya, tetapi juga mempunyai sistem kepercayaan animisme yang mendalam. Setiap motif yang mereka hasilkan ialah cerminan daripada aktiviti harian dan objek persekitaran mereka. Hubungan motif-motif dengan tema kehidupan begitu kuat sehingga setiap motif membawa cerita yang berkaitan dengan kehidupan.

Pereka motif Murut bukan sahaja kreatif tetapi juga bijak dalam menghubungkan simbol dengan makna yang mendalam dan menjadikan setiap corak sebagai kisah yang menarik untuk diteliti.

Dalam aspek adat istiadat tradisi etnik murut, terutamanya semasa upacara perkahwinan, pinongkoloh mesti dipakai oleh wanita semasa berkahwin, bersanding dan ketika penghantaran barian akhir atau disebut tinau. Pada masa dahulu ketika si isteri buat pertama kali mengikut suaminya pulang ke tempat kediaman suami, si isteri mesti memakai pinongkoloh. 

Adat tinau mempunyai kedudukan tertinggi dalam adat istiadat perkahwinan Murut Tahol dan adat ini agak unik kerana banyak peringkat upacara yang perlu dilakukan. Tinau merujuk kepada penghantaran mas kahwin atau barangan perkahwinan yang terakhir oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Adat ini boleh dilakukan dalam tempoh 20 atau 30 tahun selepas perkahwinan pasangan pengantin dan boleh juga dilakukan semasa perkahwinan berlangsung mengikut kehendak dan kemampuan pihak pengantin lelaki.  

Selain itu, jika berlaku kematian seseorang wanita, maka wanita lain yang memakai pakaian pinongkoloh tidak dibenarkan memperlihatkan diri kepada suami atau keluarga si mati yang masih dalam tempoh berkabung. Tempoh ini mesti dihormati sehingga pantang larang berkabung selesai. Jika larangan ini dilanggar, wanita yang memakai pinongkoloh itu boleh dikenakan hukuman adat yang dipanggil TAAH atau sogit, mengikut peraturan dan kepercayaan adat tempatan. Situasi ini merupakan  satu bentuk larangan adat bagi menghormati suasana duka dan memberikan ruang kepada keluarga si mati untuk berkabung tanpa gangguan daripada hal-hal yang dianggap tidak sesuai secara budaya.

 

Kesimpulan

Pinongkoloh harus dipertahankan oleh kaum Murut, khususnya Murut Tahol sebagai pakaian warisan tradisi wanita Murut yang menjadi kebanggaan mereka. Generasi muda khususnya anak jati Murut diharap dapat menjalankan kajian terperinci tentang corak-corak pada busana tradisional, terutama pinongkoloh. Penyelidikan mendalam ini penting kerana corak-corak tersebut belum dipaparkan secara komprehensif dan belum dikeluarkan secara rasmi sebagai rujukan pada masa depan. Dengan usaha ini, warisan budaya Murut dapat dipelihara dan dihargai oleh generasi akan datang.

Pendedahan warisan busana tradisional kepada masyarakat luar penting untuk memelihara budaya etnik Murut Tahol. Pakaian pinongkoloh bukan hanya unik dengan motif flora dan fauna, tetapi juga mencerminkan kreativiti masyarakat Murut Tahol. Oleh itu, generasi seterusnya perlu mewarisi pakaian ini untuk mengekalkan identiti mereka. Dengan kesedaran dan usaha bersama, Pinongkoloh akan terus hidup dan berkembang sebagai lambang kebanggaan, inspirasi dan warisan budaya yang sangat bernilai.

 

Glosari

aki – sejenis manik

bungkas – sejenis manik

holong – gelang

kotos – sejenis manik

kawahu – Kerja tangan wanita (kraf tangan seperti anyaman, sulaman dan tenunan

nampalur – sejenis manik

olot – sejenis manik

rarangkol – kalung atau rantai

sinusu – berbentuk piramid segi tiga

sulimpuk – manik

sapuluh – manik

sinikot – mahkota

sinikot tataun – set pin rambut yang digunakan sebagai mahkota, sanggul

tinalantar/ talantar – tunas

vavatu – batu

vusak – bunga

 

Bibliografi

Chong, S. K., & Sikuat, D. (2021). Murut Sabah. Perpustakaan Negeri Sabah.

Ismail, I. (2007). Warisan Motif dan Corak Etnik Sabah. Universiti Malaysia Sabah.

Kantis, J., Gilau, J., Menga, R., Dusun, M., Jani, P., Jipun, J., & Sabut, S. (2023). Kehidupan dan Adat Suku Murut Tangala’ KG Inarad, Tongod. Kumpulan Yayasan Sabah.

Kitingan, J. D. (2022). Evolution of The Sabah, Ethnic Traditional Costumes (Vol. 1). Bluedale Publishing (M) Sdn. Bhd. .

Mariapan, K., & Porodong, P. (2012). Murut dan Pelbagai Etnik Kecil Lain di Sabah. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.

Kumpulan Inovatif dan Kreatif 7 Stars. (2016). QsearchQMurut. Perpustakaan Negeri Sabah.

Nin Shamdin, Y., Matlani, J., Yusop, R. B. M., & Nordin, R. (2007). Busana Tradisional Etnik Sabah. Jabatan Kebudayaan, Kesenian & Warisan Negeri Sabah.

 

Informan

Monicka Majin, 26 tahun, Keningau.

Rosdi James Emis bin Bambangan, 72 tahun , Kg. Murni D, Nabawan.

Suzy Sidin, 27 tahun, Kota Kinabalu.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (13) #karyasastera (14) #komsas (2) #penulis (4) #penulisbaharu (15) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (4) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (14) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) bengkel (2) budaya (2) cerpen (9) dbpcawangansabah (4) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (23) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) ramadhan (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

سڤي يڠ ترتقدير
Puisi Moden

سڤي يڠ ترتقدير

  • 20 Februari 2024
Sebuah Bagasi Bernama Emosi
Cerpen

Sebuah Bagasi Bernama Emosi

  • 14 Jun 2023
  • 515
  • 4.3
Telur
Cerpen

Telur

  • 20 Januari 2025
  • 249
  • 4.5
کنۏس بوسا
Puisi Moden

کنۏس بوسا

  • 5 Jun 2024
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP