Skip to content
Keunikan Ikan Lumek: Cita Rasa Tradisional Bumi Kenyalang
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Kearifan Tempatan > Keunikan Ikan Lumek: Cita Rasa Tradisional Bumi Kenyalang
Keunikan Ikan Lumek: Cita Rasa Tradisional Bumi Kenyalang
Kearifan Tempatan

Keunikan Ikan Lumek: Cita Rasa Tradisional Bumi Kenyalang

  • Nabillah Bolhassan
  • 20 Mei 2025
  • DBP Cawangan Sarawak
  • 35
  • 5

MAKANAN tradisional merupakan salah satu aspek penting dalam warisan budaya masyarakat kerana setiap hidangan tradisi mempunyai nilai dan cerita tersendiri dalam kehidupan manusia. Menurut Mohd Nazri (2021), makanan tradisional bukan sahaja unik dari segi nama, tetapi turut mempunyai kelainan dari segi penggunaan bahan, peralatan memasak dan kaedah menyiapkan sesuatu hidangan tersebut. Maka, keunikan setiap hidangan tradisi perlu terus dipelihara sama seperti aset warisan yang lain agar tidak tenggelam ditelan zaman. Kelestarian makanan tradisi amat penting agar generasi akan datang tidak terpisah daripada akar budaya sendiri yang sepatutnya menjadi tunjang kepada jati diri. 

Umum mengetahui bahawa Malaysia merupakan negara yang terkenal dengan kepelbagaian makanan begitu juga dengan setiap negeri dan daerah di dalamnya. Sarawak, sebagai sebuah negeri yang terbesar di Malaysia, memiliki pelbagai kumpulan etnik yang masing-masingnya memiliki bahasa, tradisi dan adat tersendiri. Sarawak bukan sahaja kaya dengan keindahan alam semula jadi, malah turut terkenal dengan keunikan kepelbagaian makanan yang mencerminkan budaya masyarakat majmuknya. Kepelbagaian etnik di Sarawak menjadikan negeri ini kaya dengan pilhan makanan tradisi yang unik sama ada dari aspek rasa mahupun penyediaannya.

Salah satu makanan yang telah divariasikan oleh masyarakat Bumi Kenyalang ialah ikan lumek. Ikan lumek atau nama saintifiknya Harpodon Nehereus juga dikenali sebagai ikan lumi-lumi. Ikan ini hidup di perairan muara dan laut cetek dan sering menjadi sebahagian daripada makanan tradisi masyarakat di Malaysia Timur.

Ikan lumek mempunyai bentuk fizikal yang memanjang, berkulit licin dan pada kebiasaannya berwarna kelabu. Kadangkala, ikan lumek disalah anggap sebagai belut kerana bentuknya yang hampir serupa dan tidak mempunyai sisik yang jelas.

Ikan ini tergolong dalam kumpulan ikan air masin dan selalunya terdapat di kawasan berlumpur atau berpasir. Habitatnya pula banyak terdapat di muara sungai dan perairan cetek di Sarawak. Disebabkan kelembutan isinya, ikan ini juga mendapat gelaran “ikan tisu” oleh sesetengah masyarakat tempatan. Selain itu ikan lumek juga mendapat gelaran “ikan malas” kerana ikan ini mudah ditangkap ketika musimnya, tidak agresif seperti ikan lain.

Bagi masyarakat pesisir Sarawak, ikan lumek bukan sekadar hasil tangkapan laut biasa malah menjadi asas kepada pelbagai jenis masakan yang diwarisi sejak turun-temurun. Ikan lumek mungkin kelihatan biasa pada pandangan pertama tetapi bagi penduduk Sarawak, ikan ini boleh dijadikan bahan utama dalam pelbagai jenis masakan tradisional yang lazat dan mengenyangkan. Dengan isinya yang lembut dan mempunyai rasa tersendiri, ikan lumek telah diolah dengan pelbagai cara oleh masyarakat tempatan daripada yang digoreng rangup, isinya yang lembut juga sesuai dijadikan sebagai hidangan sup hinggalah yang disalai dengan penuh aroma. 

Ikan lumek yang digoreng rangup merupakan salah satu cara yang paling digemari dan mudah untuk dinikmati keenakan isinya. Setelah dibasuh bersih, ikan lumek disalut dengan adunan tepung bersama garam, lada sulah dan serbuk kunyit sebelum digoreng hingga keemasan. Kombinasi adunan tepung bersama bahan perisa yang lain memberikan aroma dan rasa yang lebih memikat kerana ikan lumek yang digoreng akan memberikan tekstur rangup di luar namun tetap kekal lembut serta berjus di bahagian dalam. Setelah siap digoreng, ikan lumek rangup biasanya dihidang panas-panas bersama sos pencecah seperti sos cili ataupun sambal kicap. Gaya hidangan seperti ini bukan sahaja menjadikannya sesuai sebagai lauk tetapi juga sebagai makanan sampingan atau kudapan ketika minum petang.

Selain digoreng rangup, cara lain penyediaan ikan lumek adalah dimasak sebagai hidangan sup. Dengan isinya yang lembut, manis dan tidak hanyir, ikan lumek tampil sebagai sup berkuah jernih dengan aroma yang sungguh menyegarkan. Sup ikan lumek dimasak bersama ramuan lain seperti halia, bawang merah, bawang putih, daun sup, serbuk perasa dan lada sulah bagi menambah rasa yang seimbang ketika menghirupnya. Salah satu keunikan sup ikan lumek ialah kuahnya yang ringan tetapi sarat dengan rasa asli laut, menjadikannya sesuai dinikmati pada bila-bila masa sama ada sebagai pembuka selera atau sebagai hidangan utama bersama nasi panas. Hidangan ini boleh juga dijadikan pilihan dalam menu harian keluarga terutamanya apabila menginginkan menu yang ringkas dan berzat.

Ikan lumek salai merupakan salah satu cara tradisional yang terkenal dalam memproses ikan lumek di Sarawak. Proses menyalai melibatkan pengasapan ikan lumek di atas bara dalam tempoh tertentu untuk mengeringkannya secara semula jadi. Kaedah ini bukan sahaja menjadikan ikan lumek lebih tahan lama, malah memberikan aroma asap yang unik. Setelah disalai, ikan lumek boleh digoreng garing dan dimakan bersama sos pencicah. Namun hidangan ikan lumek salai yang lebih digemari masyarakat tempatan adalah dimasak berkuah bersama terung asam. Bawang putih bersama ikan bilis yang telah ditumbuk dan direneh bersama merupakan kombinasi terbaik untuk resepi ini. Apatah lagi kesepaduan rasa masam daripada terung asam dan aroma asap daripada ikan lumek salai benar-benar mampu menggugah selera dalam setiap hirupan.

Selain dihidangkan sebagai makanan harian, ikan lumek juga merupakan antara produk makanan warisan Sarawak yang dijadikan sebagai snek dan boleh dibawa sebagai buah tangan untuk memperkenalkan makanan tradisi negeri ini.

Dalam kalangan masyarakat tempatan, snek tersebut turut dijadikan sebagai hidangan pada musim perayaan. Pengusaha yang kreatif akan memvariasikan ikan lumek menjadi lumek sate dan lumek merah.

Walau bagaimanapun, penghasilan snek ikan lumek agak rumit dan mengambil masa yang agak lama kerana isi dan tulang ikan perlu diasingkan terlebih dahulu sebelum digoreng dengan pelbagai bahan dan kemudian akan dikeringkan di bawah cahaya matahari. Namun oleh sebab permintaannya yang tinggi, penghasilannya tetap berterusan baik secara kecil-kecilan, mahupun dalam bentuk komersial sebagai produk tempatan di pasaran dalam dan luar negeri. Usaha memperkenalkan produk snek ikan lumek dalam pasaran moden ini sebenarnya merupakan sebuah langkah bijak ke arah melestarikan nilai tradisional dalam bentuk yang lebih relevan.

Ikan lumek bukan sekadar hidangan harian, tetapi merupakan simbol budaya yang perlu dipelihara melalui dokumentasi resepi, promosi produk dan penyampaian warisan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Melalui inovasi resipi dan sokongan terhadap pengusaha industri kecil, ikan lumek akan kekal relevan dalam dunia kulinari moden tanpa hilang nilai asalnya sebagai warisan Bumi Kenyalang.

Melestarikan ikan lumek sebagai warisan makanan tradisi Sarawak amat penting dalam usaha memelihara identiti kulinari tempatan. Ikan lumek membawa nilai sejarah dan budaya yang wajar dihargai. Pendidikan awal tentang khasiat dan keunikan ikan lumek boleh menyemai rasa bangga terhadap warisan makanan sendiri. Inisiatif memperkenalkan produk berasaskan ikan lumek seperti lumek salai dan snek ikan lumek dalam bentuk pembungkusan moden membolehkan warisan ini terus diterima dalam pasaran semasa. Sokongan terhadap industri kecil dan pengusaha tempatan juga menjadi langkah penting untuk memastikan ikan lumek kekal relevan, dikenali luas dan tidak pupus ditelan arus kemodenan.

Daya tarikan ikan lumek sebagai makanan bukan sahaja terletak pada rasanya, tetapi juga sebagai simbol budaya dan warisan tradisi masyarakat Bumi Kenyalang. Bagi yang belum mencuba, hidangan berasaskan ikan lumek pasti meninggalkan rasa unik dan mengundang selera. Hidangan berasaskan ikan lumek menyimpan nilai sejarah dan budaya yang mendalam sekali gus membuktikan bahawa makanan tradisi ini mampu mendapat tempat di hati generasi kini mahupun akan datang.

 

Rujukan

Aini Afifah Hafiz, 2021, Lumek Merah Lonjak Noli Komersial Ikan Lumek. Dicapai pada 30 April 2025 daripada https://utusansarawak.com.my/lumek-merah-lonjak-nilai-komersial-ikan-lumek/

Mohd Nazri Abdul Raji, 2021, Kulinari Tradisional Melayu Tarikan Pelancongan. Dicapai pada 30 April 2025 daripada https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2021/06/823025/kulinari-tradisional-melayu-tarikan-pelancongan

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (12) #karyasastera (14) #komsas (2) #penulis (4) #penulisbaharu (14) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (4) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (13) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) budaya (2) cerpen (9) dbpcawangansabah (4) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (23) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) ramadhan (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

بهاس چرمين
Puisi Moden

بهاس چرمين

  • 20 Ogos 2024
Raja Ali Haji: Tokoh Ketatanegaraan Abad Ke-19
Tokoh

Raja Ali Haji: Tokoh Ketatanegaraan Abad Ke-19

  • 5 September 2024
  • 747
  • 4.7
حيران؟
Puisi Moden

حيران؟

  • 5 Disember 2023
  • 5
Perkembangan Sastera Kanak-kanak di Sabah: Peranan DBP Sebagai Badan Penerbit Unggul
Bicara Bahasa

Perkembangan Sastera Kanak-kanak di Sabah: Peranan DBP Sebagai Badan Penerbit Unggul

  • 4 Februari 2024
  • 1559
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP