Skip to content
Keunikan Kata Penguat dalam Dialek Kelantan
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Bahasa > Keunikan Kata Penguat dalam Dialek Kelantan
Keunikan Kata Penguat dalam Dialek Kelantan
Bicara Bahasa

Keunikan Kata Penguat dalam Dialek Kelantan

  • Mohamad Suhaizi Suhaimi
  • 20 Mei 2026
  • DBP Wilayah Timur
  • 136
  • 5

Oleh: Muhammad Akil Muhammad Rani dan Mohamad Suhaizi Suhaimi

Bahasa merupakan medium komunikasi yang paling asas dan penting dalam kehidupan manusia. Melalui bahasa, manusia bukan sahaja menyampaikan idea, pemikiran dan emosi, tetapi juga memelihara warisan budaya dan identiti kelompok sosial. Di Malaysia, bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, namun pada masa yang sama wujud pelbagai variasi dialek mengikut kawasan geografi, sejarah serta latar budaya masyarakat. Variasi ini memperlihatkan kekayaan linguistik negara, di samping menunjukkan bahawa bahasa sentiasa berkembang selari dengan faktor persekitaran, mobiliti sosial serta interaksi antara penutur.

Dalam konteks Malaysia, setiap negeri mempunyai dialek tersendiri yang berbeza dari segi fonologi, morfologi, sintaksis, semantik dan pragmatik. Misalnya, dialek Kedah berbeza dengan dialek Perak, begitu juga dialek Terengganu, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak. Setiap dialek tersebut membentuk identiti linguistik bagi masyarakat yang menuturkannya. Dialek Kelantan, khususnya, sering dianggap antara dialek yang paling unik dan sukar difahami oleh penutur luar berikutan perbezaan yang ketara berbanding bahasa Melayu standard. Malah, terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa dialek Kelantan hampir menyerupai bahasa yang berbeza sama sekali kerana variasi fonologi dan kosa katanya yang sangat khas.

Keunikan dialek Kelantan bukan sahaja dapat dilihat melalui sebutan bunyi, malah dalam penggunaan kosa kata tertentu. Antara aspek yang menarik untuk diperhatikan ialah penggunaan kata penguat atau intensifiers. Kata penguat berperanan memperkukuh atau menegaskan maksud sesuatu kata adjektif, misalnya ‘sangat manis’, ‘terlalu besar’ atau ‘amat cantik’. Dalam bahasa Melayu standard, kata penguat lazimnya hadir sama ada sebelum atau selepas kata adjektif, contohnya ‘sangat cantik’ (sebelum) atau ‘cantik sekali’ (selepas). Namun, dalam dialek Kelantan, terdapat bentuk kata penguat yang lebih kreatif, unik dan berbeza daripada pola standard. Misalnya, frasa ‘manis lleting’, ‘masin ppeghak’, atau ‘comey llotey’ digunakan bagi menggambarkan sesuatu tahap yang lebih mendalam. Berikut merupakan kata penguat yang digunakan dalam dialek Kelantan:

Bahasa Melayu Standard

Dialek Kelantan

Contoh Penggunaan

Sangat manis

manis lleting

“Air tebu ni manis lleting.”

Sangat masin

masin ppeghak

“Garam tu masin ppeghak.”

Sangat pahit

pahit lleper

“Ubat ni pahit lleper.”

Sangat hitam

hitey llegey

“Baju tu hitey llegey.”

Sangat biru

biru kketu

“Langit tu biru kketu.”

Sangat merah

meroh nnyalo

“Kain tu meroh nnyalo.”

Sangat comel

comey llotey

“Budak tu comey llotey.”

Sangat gemuk

gemuk ddebok

“Kucing tu gemuk ddebok.”

Sangat kurus

kurus kering

“Dia tu kurus kering.”

Berdasarkan jadual tersebut, jelas bahawa dialek Kelantan mempunyai bentuk kata penguat yang tersendiri, berbeza daripada bahasa Melayu standard. Ciri khas utama kata penguat dialek Kelantan ialah penggunaan bunyi konsonan berganda, unsur penggandaan dan bentuk fonologi yang unik.

Dapatan ini juga membuktikan bahawa kata penguat dalam dialek Kelantan tidak hanya terbatas kepada bentuk ‘sangat’ atau ‘sekali’, tetapi lebih kreatif dan ekspresif. Hal ini menunjukkan tahap kepelbagaian yang tinggi dalam sistem leksikon dialek Kelantan.

Oleh itu, terdapat beberapa faktor utama yang mempengaruhi penggunaan kata penguat dialek Kelantan. Faktor-faktor tersebut boleh dibahagikan kepada tiga kategori besar, iaitu kata penguat berkaitan rasa, kata penguat berkaitan warna dan kata penguat berkaitan adjektif sifat.

Dialek Kelantan mempunyai bentuk kata penguat yang digunakan untuk menggambarkan intensiti rasa. Antara yang dikenal pasti ialah ‘manis lleting’ yang  digunakan untuk menunjukkan rasa manis yang berlebihan, biasanya dalam konteks makanan dan minuman. Kata ‘lleting’ membawa maksud sangat pekat atau melampau. Selain itu, frasa ‘masin ppeghak’ pula menggambarkan tahap kemasinan yang tinggi, sehingga tidak sesuai dimakan. Perkataan ‘ppeghak’ menggambarkan sesuatu yang terlalu sarat dengan garam. Seterusnya ialah ‘pahit lleper’ diguna pakai untuk menegaskan rasa pahit yang terlalu kuat. Kata ‘lleper’ sering dikaitkan dengan rasa yang menyakitkan lidah.

Penggunaan kata penguat dalam dialek Kelantan juga berkait rapat dengan deskripsi warna. Contoh yang diperoleh ialah ‘hitey llegey’ yang merujuk kepada warna hitam yang sangat pekat. Kata ‘llegey’ menggambarkan keadaan warna yang tidak bercampur dengan tona lain. Selain itu, frasa ‘biru kketu’ yang menggambarkan warna biru yang sangat terang dan seakan langit pada waktu siang. Akhir sekali ialah ‘meroh nnyalo’ yang merujuk kepada warna merah yang menyala terang serta sering digunakan bagi menggambarkan warna pakaian atau bunga.

Selain rasa dan warna, terdapat juga kata penguat yang digunakan untuk menegaskan sifat seseorang atau sesuatu. Antaranya ialah ‘comey llotey’ yang bermaksud sangat comel. Kata ‘llotey’ digunakan untuk menggambarkan kecantikan atau kecomelan yang luar biasa. Selain itu, frasa ‘gemuk ddebok’ yang menggambarkan seseorang atau haiwan yang terlalu gemuk. Kata ‘ddebok’ merujuk kepada bentuk tubuh yang besar dan bulat. Seterusnya, ‘kurus kering’ yang digunakan untuk menggambarkan keadaan fizikal yang terlalu kurus hingga kelihatan tidak sihat.

Justeru, dapatan ini membuktikan bahawa kata penguat dialek Kelantan sangat berkait rapat dengan budaya dan persekitaran masyarakat. Misalnya, kata penguat berkaitan rasa jelas menunjukkan pengaruh budaya makanan tempatan yang kaya dengan rasa manis seperti kuih tradisional, masin seperti ikan kering dan pahit seperti ubat herba. Penggunaan kata penguat tersebut menggambarkan keintiman masyarakat Kelantan dengan makanan harian mereka. Kata penguat berkaitan warna pula mencerminkan pengalaman visual masyarakat. Warna hitam legam, biru terang dan merah menyala merupakan warna yang mudah diperhatikan dalam kehidupan seharian, seperti asap kebakaran, laut dan pakaian tradisional. Hal ini memperlihatkan bahawa kata penguat lahir daripada pengamatan terhadap alam sekitar.

Sementara itu, kata penguat berkaitan sifat manusia menunjukkan bahawa dialek Kelantan turut mencerminkan nilai budaya yang menekankan penilaian terhadap rupa paras dan bentuk tubuh. Kata ‘comey llotey’ misalnya, sering digunakan untuk memuji kanak-kanak atau orang muda, manakala ‘gemuk ddebok’ atau ‘kurus kering’ lebih kepada penilaian fizikal yang boleh membawa maksud jenaka atau sindiran. Selain faktor budaya, penggunaan kata penguat ini juga dipengaruhi oleh faktor identiti sosial. Penutur dialek Kelantan menggunakan kata penguat sebagai penanda identiti yang membezakan mereka daripada penutur dialek lain. Dengan kata lain, penggunaan kata penguat ini bukan sekadar bersifat linguistik, malah berfungsi sebagai simbol keanggotaan komuniti.

Fenomena ini membuktikan bahawa dialek Kelantan kaya dengan keaslian linguistik yang memperlihatkan keunikan masyarakat penuturnya. Walau bagaimanapun, keunikan ini juga boleh menimbulkan cabaran dalam komunikasi, terutamanya apabila melibatkan penutur luar. Proses penyampaian dan penerimaan makna boleh terganggu sekiranya pendengar tidak memahami maksud kata penguat tersebut. Oleh itu, di sinilah pentingnya satu kajian ilmiah dilakukan untuk meneliti bukan sahaja bentuk kata penguat, tetapi juga faktor yang mempengaruhi penggunaannya dalam kehidupan seharian masyarakat Kelantan.

Nota: Penulis merupakan pelajar dan pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Pagoh.

# #Dialek #Kelantan #KataPenguat
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP