Dalam kerangka kurikulum kebangsaan, mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) menjadi salah satu mata pelajaran teras bagi seluruh pelajar di peringkat sekolah rendah mahupun menengah. Hal ini sudah tentu sejajar dengan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Bahasa Melayu juga sebagai alat perpaduan, selain menjadi bahasa perantaraan di sekolah dan menjadi bahasa rasmi di semua agensi kerajaan termasuk di mahkamah. Maka itu, memang tidak dapat dipertikaikan, bahasa Melayu sebagai mata pelajaran teras malahan merupakan subjek wajib lulus untuk mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pada Mac 2000, berlaku perubahan pada mata pelajaran Bahasa Melayu dengan pelaksanaan Komponen Sastera (KOMSAS). Berpandukan Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) 2002, KOMSAS termasuk dalam hasil pembelajaran bidang estetik. Pelaksanaan KOMSAS diharapkan dapat mencapai beberapa objektif. Antaranya termasuklah menerapkan minat dalam kalangan pelajar untuk membaca pelbagai bahan sastera dan meningkatkan kemahiran berbahasa. Hal ini demikian kerana sastera mengandungi nilai keindahan dan kehalusan bahasa yang terletak pada aspek instrinsik sastera. Selain itu, pelajar juga dapat menikmati karya sastera yang memukau dan merasai kesan emosi yang disampaikan oleh pengarang. Secara tidak langsung, nilai-nilai murni yang ada dalam karya sastera berkenaan akan terserap dalam hati pelajar.
Secara jelasnya, KOMSAS menjadi suatu unsur yang wajib dipelajari oleh semua pelajar bermula dari tingkatan satu hingga tingkatan lima. Pelaksaanaan ini membuktikan bahawa bahasa Melayu dan sastera Melayu memiliki hubungan yang akrab dalam membina jati diri berbahasa Melayu dalam kalangan pelajar seperti yang diperkatakan oleh Siti Khariah Mohd. Zubir (2011), “Bahasa dan sastera tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya dikatakan mempunyai hubungan simbiosis dan sering diungkapkan bagai ‘isi dengan kuku’ atau ibarat ‘irama dan lagu’.”
Secara asasnya, komponen sastera terbentuk daripada pembikinan cerita atau naratif. Komponen sastera ini terbentuk daripada tema dan persoalan, watak dan perwatakan, plot, latar, sudut pandangan, nilai dan pengajaran, gaya bahasa dan seumpamanya. Di sekolah di seluruh negara, pembahagian teks KOMSAS adalah mengikut kategori zon. Terdapat empat zon dan setiap zon akan memperoleh teks antologi dan novel KOMSAS yang berbeza-beza. Sekolah di Pahang termasuk dalam kategori Zon Tiga, maka novel yang dipelajari oleh pelajar tingkatan dua ialah novel Jejak Monpus sementara antologi yang dipelajari oleh pelajar ialah Baik Budi Indah Bahasa.
Dalam kerangka kesusasteraan, ternyata kesemua pembentukan komponen sastera yang dinyatakan tersebut dapat difahami melalui pendekatan formalistik ataupun pendekatan penceritaan. Pendekatan formalisitik sudah diguna pakai bagi menjayakan kurikulum Kesusasteraan Melayu sejak diperkenalkan pada tahun 1984 lagi. Melalui pendekatan ini, para pelajar akan mempelajari beberapa bahan sastera utama KOMSAS, iaitu novel, cerpen, sajak, pantun, drama dan prosa tradisional. Melalui bahan sastera inilah, tujuan pembelajaran KOMSAS dapat mencapai objektifnya. Salah satunya adalah supaya pelajar dapat mengenal, menghayati dan menghargai karya sastera bagi mengukuhkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis.
Sejujurnya, mengajarkan komponen sastera kepada para pelajar sangatlah menarik jika dilihat dari kaca mata yang positif. Tidak kiralah, mengajar mata pelajaran apa-apa pun kepada pelajar, seorang pendidik haruslah memiliki kebijaksanaan dan daya kreativiti yang tinggi bagi memastikan sesi pembelajaran menjadi sangat menarik dan tidak membosankan. Lantaran, teknik pengajaran yang merupakan taktik atau cara khusus untuk menjayakan sesuatu pendekatan atau kaedah pengajaran, haruslah benar-benar dikuasai oleh seseorang guru Bahasa Melayu, terutamanya sewaktu mengajarkan KOMSAS di dalam bilik darjah.
Dr. Ariff Mohamad (2003) menyenaraikan 30 Teknik Pengajaran Komsas dalam Bahasa Melayu. Antara teknik berhubung langsung dengan pembelajaran KOMSAS ialah Teknik Drama. Teknik Drama ini amat baik digunakan untuk mengajar dan melatih bahasa lisan murid, iaitu berlakon menggunakan skrip lakonan yang mudah dan pendek. Teknik ini juga baik untuk melatih sebutan, intonasi dan tekanan, serta pelbagai jenis ayat seperti ayat tanya, ayat penyata, ayat perintah dan ayat seruan. Untuk tujuan ini, guru boleh menggunakan skrip drama (yang ringkas) yang terdapat dalam buku teks, atau yang disediakan oleh guru atau murid sendiri. Murid digalakkan utuk menghafal skrip dan tidak sepatutnya membaca skrip semasa berlakon. Oleh itu, guru hendaklah memberikan masa selama satu atau dua hari kepada murid untuk bersedia dan menghafal skrip masing-masing.
Berbalik kepada menjayakan pembelajaran KOMSAS di dalam kelas, pementasan drama sebenarnya sangat membantu menjadikan teks komponen sastera lebih menarik dan menghiburkan. Baru-baru ini, bersempena Dekad Bahasa Kebangsaan, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan mengadakan pertandingan drama untuk pelajar tingkatan dua. Yang menariknya, tajuk drama yang dipilih adalah berdasarkan teks komponen sastera, iaitu antologi Baik Budi Indah Bahasa dan novel Jejak Monpus. Sebanyak enam buah kelas bertanding mempersembahkan drama masing-masing yang diolah daripada cerpen “Talia dan Raksasa Qadqad”, prosa tradisional “Pelanduk Mengajar Memerang”, drama “Mahkamah” dan banyak lagi.
Amatlah menarik apabila para pelajar berjaya menginterpretasikan sesebuah karya sastera dalam bentuk persembahan drama. Persembahan drama ini bukan sahaja merangsang pelajar untuk memahami dan mendalami isi kandungan sesebuah teks atau bahan komponen sastera dengan begitu akrab, malahan sewaktu mementaskan cerita dalam bentuk drama, mereka dapat mempersembahkan tema, plot penceritaan, latar tempat, latar masa dan latar masyarakat, di samping menguasai watak-watak yang terdapat dalam teks komponen sastera, dan seterusnya menzahirkan nilai-nilai murni yang terkandung dalam teks berkenaan. Sudah terang lagi bersuluh, teks komponen sastera lebih memukau para audiens sewaktu dipentaskan dalam bentuk drama.
Hal ini, secara tidak langsung dapat memadamkan permasalahan dalam pembelajaran KOMSAS seperti yang hangat diperkatakan sebelum ini, seperti kesukaran yang dihadapi oleh pelajar untuk mempelajari bahan teks tradisional. Teks tradisional yang sarat dengan diksi bahasa klasik, bahasa Arab, bahasa Sanskrit dan bahasa istana menyebabkan pelajar enggan mempelajarinya. Hal ini disebabkan prosa tradisional berasal daripada sastera lisan yang diwarisi secara turun-temurun. Apabila dialih kepada teks bertulis, teksnya tidak selari dengan tatabahasa moden. Susunan ayat dalam bentuk songsang juga menyukarkan pelajar untuk memahami dan menghayati sesebuah teks dengan berkesan.
Lantaran itu, pementasan drama yang dijayakan oleh pelajar itu sendiri membolehkan pelakon dan penonton (kedua-duanya terdiri daripada pelajar) dapat memahami jalan cerita dengan lebih mudah. Sebagai contoh, prosa tradisional “Pelanduk Mengajar Memerang” mengandungi gaya bahasa istana seperti “Memerang laki bini pun berdatangkan sembah dengan nyaring suaranya.” (hlm. 37). Terdapat juga penggunaan bahasa istana seperti bersemayam, singgahsana, dan titah. Maka itu, apabila prosa tradisional ini dipersembahkan dalam bentuk pentas drama, pelajar yang menonton dapat melihat bagaimana “berdatangkan sembah dengan nyaring suaranya” itu dinyatakan dalam bentuk lakonan.
Sememangnya, dalam menerapkan nilai murni dalam kalangan pelajar menerusi karya sastera yang bermutu tinggi, para guru haruslah memahami tujuan sebenar pelaksanaan Komponen Sastera (KOMSAS) yang diserapkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Usah sesekali membiarkan para pelajar berasa bosan dan kurang berminat dengan teks sastera dalam KOMSAS, seterusnya menjauhkan diri mereka daripada mencintai keindahan kesusasteraan Melayu. Berusahalah mempelbagaikan teknik pengajaran di dalam kelas dan menggiatkan pementasan teks sastera dalam bentuk drama, teater, pantomin dan seumpamanya. Teks komponen sastera tentu akan lebih mudah difahami dan dihayati, dan akhirnya melahirkan generasi yang tekal dalam mencintai bahasa ibunda dan sastera tanah air.
Rujukan
Arif Mohamad, 2023. Teknik Pengajaran Komsas dalam Bahasa Melayu. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Nor Azah Abd Aziz, 2018. Baik Budi Indah Bahasa. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Siti Khariah Mohd. Zubir, 2011. Bahasa Melayu dan Sastera Mempunyai Hubungan Simbiosis dalam Membina Jati Diri Generasi Moden. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Zulaiha Paikon, 2016. Jejak Monpus. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.