Kritikan formalistik menilai karya sastera dengan memberikan tumpuan kepada bentuk dalaman teks, seperti struktur, gaya bahasa, citraan, pengulangan, simbol, ironi dan sudut pandang saling berhubung untuk menghasilkan makna estetik. Penulisan ini menumpukan analisis terhadap unsur dalaman teks seperti plot, watak, latar, simbol, ironi, bahasa dan kesatuan bentuk makna dalam karya “Perempuan Orang Putih” karya Stephanie Juanita Ahlee, terbitan WadahDBP, 5 Ogos 2025.
Umumnya, dalam kerangka formalistik ini, karya dilihat sebagai sebuah objek seni yang relatif autonomi, iaitu penekanan tidak diberikan kepada biografi pengarang atau latar sosial secara berlebihan, sebaliknya kepada bagaimana teks itu “bekerja” dari dalam. Formalisme, khususnya yang dikaitkan dengan tradisi Russian Formalism, menekankan konsep literariness dan teknik defamiliarization, yakni usaha menjadikan sesuatu yang biasa tampak asing agar pembaca mengalami dunia secara lebih tajam dan lebih sedar (Abrams & Harpham, 2014: Britannica Editors, n.d).
Melalui perspektif ini, cerpen “Perempuan Orang Putih” karya Stephanie Juanita Ahlee dapat dibaca sebagai sebuah teks yang berjaya membina ketegangan tragik melalui pertentangan antara prasangka kolektif, keinginan untuk memahami yang lain dan kegagalan komunikasi budaya. Cerpen ini tidak hanya memaparkan konflik antara penduduk tempatan dengan “orang putih”, tetapi menyusun konflik tersebut secara bertahap melalui teknik pendedahan maklumat, pengulangan imej dan pembalikan makna pada bahagian penutup. Oleh itu, analisis formalistik terhadap cerpen ini akan memperlihatkan bahawa kekuatan teks terletak pada organisasi unsur naratifnya, bukan semata-mata pada tema penjajahan atau sejarah yang melatarinya.
Kerangka Formalistik
Dari sudut formalistik, karya sastera dianggap bernilai kerana cara bahasanya diolah, bukan hanya kerana apa yang diceritakan. Abrams & Harpham (2014) menjelaskan bahawa pendekatan formalistik menumpukan perhatian terhadap ciri-ciri intrinsik karya seperti struktur, pola bahasa, citra dan organisasi estetik. Dalam hubungan ini, makna bukan sesuatu yang berdiri di luar teks, tetapi lahir daripada hubungan antara bahagian-bahagian teks. Eagleton (2008) pula menunjukkan bahawa tradisi formalistik berusaha membezakan bahasa sastera daripada bahasa harian dengan meneliti teknik yang menjadikan ujaran biasa berubah menjadi pengalaman estetik.
Prinsip ini sangat berguna untuk membaca “Perempuan Orang Putih” kerana cerpen ini dibina melalui teknik kontras, penangguhan maklumat dan pengakhiran yang berdaya kejutan. Pembaca mula-mula diarahkan untuk menerima sudut pandang Aki Gilau yang penuh curiga, kemudian secara perlahan-lahan dipindahkan ke pengalaman Dana yang semakin terbuka terhadap perempuan asing tersebut. Peralihan ini bukan sahaja menggerakkan plot, malah membentuk semula persepsi pembaca. Dengan kata lain, teks membawa pembaca mengkaji semula tanggapan awal mereka melalui susunan adegan, pilihan diksi dan simbol yang berulang. Inilah fungsi bentuk dalam pengertian formalistik, iaitu bentuk bukan hiasan, tetapi alat utama penghasilan makna.
Struktur Plot dan Pembinaan Ketegangan
Dari segi plot, cerpen ini memperlihatkan struktur yang kemas dan progresif. Bahagian pembukaan terus mencipta konflik melalui kegelisahan Aki Gilau yang “tidak keruan” dan rasa bencinya terhadap “perempuan orang putih” yang dianggap mengancam wilayah rumah panjang. Pembukaan seperti ini berfungsi sebagai eksposisi yang sekali gus menanam premis konflik utama, iaitu orang luar dianggap musuh sebelum sempat difahami. Kesan formalnya, pembaca dimasukkan terus ke dalam suasana tertekan dan berjaga-jaga. Gerak mundar-mandir Aki Gilau, ungkapan marahnya dan dialog-dialog yang bersifat keras menjadi alat ritma naratif yang menegangkan sejak awal.
Plot kemudian berkembang melalui dua arus yang saling bertentangan. Arus pertama ialah arus komuniti, yakni suara kolektif yang menganggap orang putih sebagai ancaman. Arus kedua ialah arus peribadi Dana yang secara diam-diam berhubung dengan perempuan tersebut di tebing sungai. Pertentangan ini menghasilkan ironi dramatik, iaitu pembaca mengetahui bahawa perempuan orang putih itu datang membawa mesin taip dan kertas untuk mengajar, sedangkan watak-watak lain terus mentafsirkan kehadirannya sebagai penjajahan. Penangguhan maklumat dilakukan dengan berkesan. Teks tidak terus menerangkan motif perempuan itu pada awal cerita, sebaliknya pembaca dibawa menyaksikan siri pertemuan yang berulang sehingga makna sebenar hubungannya dengan Dana tersingkap sedikit demi sedikit.
Klimaks cerpen berlaku apabila Dana ditangkap bersama-sama perempuan tersebut dan gagal meyakinkan komuniti bahawa perempuan itu tidak berbahaya. Struktur menuju klimaks ini sangat berkesan kerana beberapa unsur awal telah disemai lebih dahulu seperti objek parang ilang, kisah pengayauan, kebencian Aki Gilau, serta bayangan sejarah pertumpahan darah. Semua unsur itu akhirnya bertemu dalam satu titik letupan. Pengakhiran tragik, iaitu pemenggalan kepala Dana oleh datuknya sendiri, merupakan resolusi yang padat dan keras. Dari sudut bentuk, penutup ini bukan sekadar mengejutkan, tetapi juga menyempurnakan pola tragik yang telah dipersiapkan sejak awal. Cerpen berakhir dengan kesan katarsis yang getir kerana konflik tidak diselesaikan melalui dialog, sebaliknya melalui tindakan yang muktamad dan tidak dapat ditarik balik.
Watak, Pertentangan dan Fungsi Sudut Pandang
Secara formal, Aki Gilau dan Dana dibina sebagai dua kutub yang saling berlawanan. Aki Gilau mewakili keteguhan memori kolektif, keberanian tradisional dan rasa curiga yang dibentuk oleh pengalaman sejarah. Dana pula mewakili keterbukaan, rasa ingin tahu terhadap kemungkinan perubahan. Walaupun cerpen ini tidak memberikan huraian psikologi yang panjang, karakter kedua-dua watak ini dibentuk melalui tindakan, dialog dan objek yang mengiringi mereka. Aki Gilau sentiasa dekat dengan parang ilang, tengkorak dan bahasa ancaman. Dana pula sentiasa dikaitkan dengan tebing sungai, helaian kertas dan pertemuan diam-diam. Pengulangan medan objek ini menjadikan pembinaan watak lebih ekonomis tetapi padat makna.
Perempuan orang putih pula menarik dari sudut formalistik kerana dia pada mulanya hadir sebagai imej yang asing, kabur dan hampir tanpa nama. Ketiadaan nama khas menyebabkan watak ini berfungsi sebagai tanda naratif yang penting. Dia dilihat terlebih dahulu sebagai “orang putih” sebelum dikenali sebagai manusia. Namun, teknik pengulangan pertemuannya dengan Dana berserta gerak yang konsisten, iaitu datang, duduk, menaip, menghulur kertas dan secara perlahan-lahan menanggalkan sifat ancaman itu. Di sinilah berlaku defamiliarization, iaitu stereotaip tentang penjajah atau orang asing diperlihatkan semula dalam bentuk yang tidak dijangka, sehingga pembaca dipaksa menilai semula kategori “musuh” dan “asing”.
Sudut pandang penceritaan yang menggunakan narator orang ketiga juga sangat berfungsi. Narator tidak menjadi terlalu menghukum, tetapi memberikan ruang kepada pembaca untuk melihat jurang antara tanggapan watak dan realiti peristiwa. Apabila teks menyatakan bahawa perempuan itu sebenarnya mahu mengajar penduduk kampung dan membawa “mesin taip” serta kertas, pembaca memperoleh kelebihan maklumat berbanding komuniti rumah panjang. Kelebihan maklumat ini mencipta ironi dramatik yang menguatkan kesan tragis penutup. Pembaca sedar bencana boleh dielakkan, tetapi bentuk naratif sengaja menunjukkan bahawa prasangka kolektif lebih cepat bertindak daripada proses memahami.
Latar, Simbol dan Jaringan Imej
Salah satu kekuatan cerpen ini ialah penggunaan latar sebagai unsur bentuk yang aktif. Rumah panjang bukan sekadar tempat kejadian, tetapi ruang simbolik komuniti, warisan dan pertahanan identiti. Di ruang inilah suara kolektif beredar, hukuman sosial dikuatkan dan memori perang diwariskan. Sebaliknya, tebing sungai berfungsi sebagai ruang peralihan tempat yang jauh daripada pengawasan komuniti, tempat hubungan baharu boleh bermula dan tempat makna berubah secara perlahan. Kontras ruang ini membentuk struktur simbolik yang jelas, iaitu rumah Panjang, ketertutupan, disiplin komuniti, tebing sungai dan perubahan semasa.
Objek-objek tertentu dalam cerpen juga memainkan fungsi simbolik yang kuat. Parang ilang misalnya, bukan hanya senjata, tetapi lambang tradisi kekerasan, maruah dan kuasa menghukum. Mesin taip pula menjadi simbol ilmu, bahasa dan bentuk komunikasi moden. Yang menarik, kedua-dua objek ini bukan hanya hadir sebagai tanda, malah menjadi pusat tindakan. Dana mengasah parang yang akhirnya memenggal kepalanya sendiri, gambaran perempuan orang putih membawa mesin taip yang melambangkan pendidikan, akan tetapi alat itu gagal menyelamatkannya daripada disalah fahami. Pertentangan simbolik antara parang dan mesin taip ini merupakan inti bentuk cerpen, iaitu kekerasan tradisi berhadapan dengan tawaran ilmu dan akhirnya kekerasan menang secara tragik.
Selain itu, imej tengkorak yang tergantung di ruai, tatu kepahlawanan dan darah yang tertumpah di hujung cerita membentuk jaringan imej yang konsisten. Jaringan ini memberikan cerpen suasana keras, ritualisme dan penuh bayang maut. Dalam pembacaan formalistik, pengulangan imej sebegini penting untuk mewujudkan kesatuan tekstual. Segala yang muncul pada awal cerita tidak dibiarkan menjadi hiasan, sebaliknya kembali dengan fungsi yang lebih kuat pada bahagian akhir. Hal ini menunjukkan disiplin bentuk yang baik dalam pembinaan cerpen (Abrams & Harpham, 2014).
Bahasa, Diksi dan Teknik Pengasingan
Bahasa cerpen ini relatif langsung dan mudah, namun pilihan diksinya sangat terkawal. Kata-kata seperti “halau”, “parang ilang”, “pengkhianat”, “tanah pusaka” dan “orang putih” membina medan semantik yang tegang, keras dan sarat dengan sempadan identiti. Dalam masa yang sama, apabila penceritaan beralih kepada pertemuan Dana dengan perempuan tersebut, diksi menjadi lebih lembut, merujuk frasa “melambai”, “senyuman manis” dan “helaian kertas”. Perubahan medan diksi ini memperlihatkan transformasi suasana secara organik tanpa memerlukan penjelasan panjang. Dari segi bentuk, pengarang berjaya mengawal nada naratif melalui pilihan kata yang konsisten.
Teknik pengasingan atau defamiliarization turut dikesan apabila teks mempersembahkan benda-benda moden dari sudut pandang watak yang belum mengenalinya. Mesin taip disebut pada awalnya sebagai “kotak segi empat yang boleh ditekan-tekan”. Strategi ini sangat signifikan kerana objek yang lazim bagi pembaca moden dijadikan asing melalui persepsi watak. Kesan formalnya ialah pembaca mengalami semula kebaharuan objek tersebut dan serentak memahami jurang budaya yang memisahkan watak-watak. Inilah antara ciri utama bentuk sastera yang dibincangkan oleh tradisi formalistik, iaitu bahasa karya membuat kita melihat semula benda biasa dengan kesedaran yang diperbaharui (Eagleton, 2008).
Dialog-dialog dalam cerpen pula ringkas tetapi berfungsi sebagai alat perwatakan dan ketegangan. Hampir setiap dialog Aki Gilau membawa tenaga ancaman, manakala dialog perempuan orang putih sangat minimum dan lebih banyak digantikan oleh isyarat. Keterbatasan komunikasi verbal ini menjadikan salah faham sebagai sesuatu yang struktural, bukan kebetulan. Makna tidak gagal kerana watak-watak tidak mahu bercakap semata-mata, tetapi kerana bentuk hubungan mereka dibina berdasarkan jurang bahasa, memori dan simbol yang berlainan.
Ironi, Tragis dan Kesatuan Organik
Secara keseluruhan, cerpen ini digerakkan oleh ironi yang kuat. Aki Gilau percaya bahawa dia sedang mempertahankan tanah, maruah dan warisan, tetapi tindakannya membunuh cucunya sendiri telah memusnahkan kesinambungan darah daging yang mahu dipeliharanya. Dana pula dianggap pengkhianat, sedangkan secara moral dia mewakili percubaan memahami orang lain tanpa meninggalkan identitinya. Perempuan orang putih pula datang membawa pendidikan, tetapi kehadirannya dibaca sebagai penjajahan. Pertukaran makna seperti ini menghasilkan ironi tragik yang menjadi tenaga utama cerpen. Dari sudut formalistik, ironi bukan unsur tambahan, tetapi prinsip penyatuan seluruh teks kerana hampir semua adegan awal memperoleh makna yang lebih mendalam apabila dibaca semula selepas penutup. Kesatuan organik cerpen ini tampak jelas apabila semua unsur intrinsik saling menyokong.
Plot bergerak menuju tragedi, iaitu watak dibentuk melalui pertentangan yang tajam, latar simbol konflik nilai serta objek-objek seperti parang ilang, mesin taip, tatu dan tengkorak membina jaringan makna. Bahasa pula menegaskan jurang antara kekerasan dan kelembutan. Tidak ada unsur yang terasa terpisah daripada keseluruhan cerita. Dalam istilah kritik formalistik, cerpen ini berjaya mencapai “koheren estetik” kerana setiap unsur menyumbang kepada satu kesan dominan, iaitu kesedaran tragik tentang bagaimana prasangka dan memori kolektif dapat menutup kemungkinan kemanusiaan. Justeru, bentuk dan isi bertemu secara padu dan isi hanya berkesan kerana bentuknya disusun dengan teliti (Abrams & Harpham, 2014).
Penilaian Kritis
Dari segi kekuatan, cerpen “Perempuan Orang Putih” berjaya membina ketegangan secara berperingkat dan mengekalkan ekonomi penceritaan. Cerpen ini tidak memerlukan huraian berlebihan untuk menghasilkan konflik yang tajam. Teknik pengulangan pertemuan, penggunaan objek simbolik dan pembalikan pada pengakhiran menjadikan teks ini padat tetapi berkesan. Pengarang juga bijak memanipulasi persepsi pembaca, iaitu pada awalnya pembaca cenderung memahami kemarahan Aki Gilau, namun secara perlahan-lahan diarahkan untuk melihat keterbatasan perspektif tersebut. Inilah bukti bahawa bentuk naratif cerpen ini berhasil menggerakkan pembaca daripada simpati kepada kegusaran dan akhirnya kepada renungan tragik.
Namun begitu, dari sudut formal juga boleh dikatakan bahawa perempuan orang putih sengaja dikekalkan sebagai watak yang agak minimum. Pilihan ini berkesan untuk mengekalkan fungsi simboliknya, tetapi pada masa yang sama mengehadkan kompleksiti psikologinya. Walau bagaimanapun, dalam cerpen pendek, ekonomi seperti ini boleh dianggap kekuatan kerana penumpuan diberikan kepada kesan keseluruhan, bukan kepada perincian watak yang terlalu banyak. Dengan demikian, kelemahan kecil tersebut tidak menjejaskan struktur besar teks, malah membantu mengekalkan fokus pada pertentangan persepsi yang menjadi nadi cerpen.
Secara formalistik, karya ini boleh dianggap berjaya kerana unsur intrinsiknya tersusun rapi dan menghasilkan kesan akhir yang menyeluruh. Cerpen ini menunjukkan bahawa tragedi tidak semestinya memerlukan latar yang luas atau plot yang kompleks namun memadai dengan organisasi bentuk yang tepat, simbol yang konsisten, dan pengakhiran yang menarik. Nilai estetik cerpen ini muncul daripada keupayaannya menggabungkan kesederhanaan bahasa dengan kepadatan makna.
Kesimpulannya, cerpen “Perempuan Orang Putih” ialah sebuah teks yang sangat sesuai dibaca melalui pendekatan formalistik kerana kekuatan utamanya terletak pada hubungan antara unsur-unsur dalaman karya. Plotnya terancang dan progresif, wataknya dibina melalui pertentangan yang jelas, latarnya menyokong simbolisme, objek-objek naratifnya berfungsi secara berulang dan signifikan, manakala bahasanya mengawal nada serta persepsi pembaca dengan berkesan. Pengakhiran yang tragik pula menyatukan semua unsur ini menjadi satu kesan estetik yang kuat.
Melalui analisis formalistik, dapat ditegaskan bahawa cerpen ini bukan hanya menyampaikan tema prasangka, identiti dan kegagalan memahami orang lain, tetapi menjelmakan tema-tema itu melalui bentuk yang padat, ekonomis dan berdaya ironi. Dengan kata lain, makna cerpen ini lahir daripada cara cerpen dibina. Oleh sebab itu, “Perempuan Orang Putih” wajar dinilai sebagai cerpen yang berhasil dari sudut teknik dan organisasi estetik, di samping mengundang renungan mendalam tentang manusia, sejarah dan kemungkinan dialog yang mapan.
