P. Ramlee mula berkarya semasa era kebangkitan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) yang menggerakkan slogan “Seni Untuk Masyarakat”. Slogan ini menunjukkan komitmen mereka terhadap masyarakat pada ketika itu.
Pegangan dan pengaruh ASAS 50 ini turut mempengaruhi dunia filem Melayu yang ketika itu berpusat di Singapura. P. Ramlee mengambil serius peranan filem dalam mendidik masyarakat melalui tugas pengarah yang diserahkan kepadanya oleh Studio Shaw pada tahun 1955.
Hal ini berkait rapat dengan usaha ASAS 50 yang melihat kepentingan peranan golongan karyawan seni dalam masyarakat. Filem-filemnya menandakan kemunculan sekumpulan karyawan tempatan yang serius berfikir tentang nasib bangsa selepas kemerdekaan.
P. Ramlee merupakan seorang anak Melayu yang turut mendapat pendidikan Inggeris dan Jepun, yang terdedah kepada budaya, lagu dan filem antarabangsa. Selain itu, beliau juga boleh berbahasa Inggeris dan Jepun serta memasukkan elemen antarabangsa dalam karya-karya beliau.
Misalnya, elemen daripada filem Rashomon boleh dikesan dalam Semerah Padi dan elemen daripada filem Sanshiro Sugata ada dalam Kancan Tirana. Lagu-lagu ciptaan beliau juga mempunyai unsur atau sampling daripada lagu Barat, misalnya lagu Dengarlah Gemala Hati mempunyai pengaruh lagu La Vie En Rose dan intro lagu Madu Tiga mempunyai persamaan melodi dengan lagu Mambo Italiano.
Walaupun demikian, P. Ramlee masih mencipta lagu-lagu Melayu dan menghasilkan filem yang mempunyai roh kebangsaan, baik dari aspek gaya bahasa, falsafah, pakaian serta watak dan perwatakan.
P. Ramlee membuktikan bahawa dirinya boleh mengadaptasi unsur sejagat dalam hasil kerjanya tetapi jati dirinya masih kekal. Filem pertama P. Ramlee menyediakan model implisit untuk sebuah negara yang bakal merdeka daripada penjajah dan filem-filem seterusnya mengisi ruang selepas merdeka.
Gagasan nusa Melayu dalam filem P. Ramlee menyerlahkan lagi satu bentuk penyesuaian antara naratif golongan intelektual Melayu dengan masyarakat Melayu yang lebih luas, yang kemudian berkembang mengikut perubahan masyarakat.
Kesan kolonialisme dan pengaruh Hollywood dibincangkan secara jenaka melalui minda bawah sedar watak-watak dalam filem Labu Labi. Watak Labu dan Labi dalam filem tersebut menggunakan medium eskapisme untuk menzahirkan diri mereka sebagai orang kaya bermodel kolonial, Tarzan yang diambil daripada karya Edgar Rice Burrough dan koboi yang diambil daripada genre Western. Kesan urbanisasi dan perubahan sosioekonomi pula telah melahirkan watak-watak seperti Harun Mahfiz dalam Anak Bapak dan Osman Bakar dalam Keluarga 69.
P. Ramlee menyentuh kerumitan masyarakat yang diakibatkan oleh tuntutan zaman. Dalam Keluarga 69 misalnya, P. Ramlee memberikan paparan positif terhadap watak golongan seni seperti dirinya melalui watak Siti.
Siti tetap menjalankan peranannya sebagai ibu yang baik walaupun berada dalam lingkaran kerjaya yang dipandang negatif oleh masyarakat pada ketika itu. P. Ramlee memberikan “kemenangan” kepada wanita yang dekat dengan industri yang diceburinya serta memberikan pencerahan kepada masyarakat bahawa tidak semua pekerja industri seni mempunyai tahap moral yang rendah dan merosakkan masyarakat.
Usaha golongan intelektual menyedarkan masyarakat Melayu mengenai pentingnya pendidikan merupakan satu daripada cabaran kerana pada ketika itu, masyarakat Melayu masih lagi tidak memahami kepentingan pendidikan kepada wanita.
Anak-anak perempuan masih dianggap perlu menjadi penolong kepada ibu mereka untuk menguruskan rumah tangga. Syak wasangka terhadap pendidikan Inggeris kerana takut terpengaruh dengan ajaran Kristian serta stigma kaum wanita tidak perlu mendahului lelaki dalam semua bidang masih lagi menebal.
Wanita Melayu pada ketika itu sangat jauh ketinggalan berbanding dengan bangsa asing dalam pendidikan, khususnya dalam pendidikan Inggeris. Oleh yang demikian, P. Ramlee menjalankan peranannya sebagai seorang karyawan seni bagi mengatasi stigma tersebut.
Filem pertamanya, Penarik Beca menampilkan watak Azizah yang muncul buat kali pertama di sebuah sekolah yang mottonya ialah ‘’Mencergaskan Wanita Harapan’’. Azizah diberikan peranan sebagai seorang pencetus harapan kepada watak Amran ke arah keadaan sosioekonomi yang lebih baik.
Perjuangan mencetuskan kesedaran agar masyarakat menjadi lebih baik merupakan perjuangan seorang intelektual. Golongan penulis Melayu dan seterusnya pengarah filem yang muncul pada ketika itu telah menjalankan peranan membimbing masyarakat untuk mencari kebebasan jiwa dan politik, mencari identiti budaya daripada serpihan keruntuhan serta menghidupkan semangat mereka untuk kehidupan dalam negara baharu.
Dalam kehidupan masyarakat yang sedang membangun, golongan yang berpelajaran seperti siswazah, guru malah mahasiswa sendiri sering dianggap sebagai intelektual, misalnya tokoh seperti Pendeta Za’ba, Prof. Ungku Aziz dan sasterawan seperti Usman Awang. P. Ramlee dan rakan-rakannya yang dianggap think tank Studio Jalan Ampas tidak mendapat pendidikan hingga tahap universiti tetapi mereka mempunyai pengetahuan dan pendidikan secukupnya untuk menjadikan mereka sebagai pemikir.
Pengetahuan tersebut membolehkan mereka bergaul dengan orang-orang yang penting dalam kemajuan mereka sebagai karyawan filem. Mereka boleh bercakap bahasa Inggeris dan bahasa Jepun yang membolehkan mereka berkomunikasi dengan pengarah, jurugambar dan tenaga kerja filem dari luar negara bagi mengembangkan kerjaya mereka.
P. Ramlee menjadi tokoh masyarakat yang diterima dan dikenali sebagai seorang yang terus-menerus mengemukakan idea-ideanya. Beliau berkarya hingga akhir hayatnya.
P. Ramlee tidak hanya merasai dan merenungi kehidupan masyarakatnya tetapi juga mengemukakan pandangannya dalam cara yang boleh difahami oleh mereka. Seorang intelektual mempunyai kebolehan berkomunikasi dengan cara yang dapat menarik minat masyarakat pada ketika itu.
P. Ramlee mengemukakan isu yang berat dan tragis seperti pendidikan, kemiskinan, politik, budaya, peranan wanita serta pengisian kemerdekaan, tetapi dalam cara yang boleh difahami oleh masyarakat. Beliau tidak menggunakan hujah dan dialog meleret serta adegan yang sukar difahami.
Pendidikan ditekankan kepentingannya supaya masyarakat berubah ke arah yang lebih baik. Peranan wanita juga dipaparkan secara komedi tanpa mengetepikan peranan lelaki, tanpa dialog panjang dan adegan pertengkaran yang sia-sia. Pascakemerdekaan, filem P. Ramlee, terutamanya komedi, lebih berjaya menyatukan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, sosioekonomi, umur, budaya dan geografi.
Filem P. Ramlee lebih mudah dibincangkan secara umum berbanding dengan beberapa filem terkini yang pernah menimbulkan pergeseran pendapat dalam kalangan penonton. Tanpa menyebut, ada filem yang dianggap terlalu berpusat kepada propaganda satu bangsa sahaja. Ada juga filem yang dikatakan menghina sensitiviti agama dan ada juga filem yang diharamkan kerana mempunyai provokasi politik.
Filem P. Ramlee menjadi penyubur nasionalisme dan jati diri bangsa. Para pelajar di luar negara misalnya, menonton atau menyanyikan karya P. Ramlee bagi mengingatkan mereka tentang tanah air.
Secara rumusannya, P. Ramlee menyemarakkan rasa berpunya seluruh masyarakatnya. Walaupun berbangsa Melayu dan berkarya dalam bahasa kebangsaan, namun karya beliau dapat diterima oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini.
Beliau berjaya mengkritik pembinaan jati diri bangsanya tanpa perlu propaganda bangsa dan agama yang berlebihan. Dengan segala ciri yang ada pada diri dan karyanya, P. Ramlee ialah seorang seniman kosmopolitan yang menggunakan medium filem untuk mengisi kemerdekaan dengan sebaik mungkin.