NAMA M.Z Halim Hassan sewajarnya tidak tercicir daripada senarai penulis-penulis tersohor di negeri Kedah. Kehadirannya dalam arus persuratan dan kesusasteraan negeri jelapang padi tidak boleh dikesampingkan terutamanya dalam bidang drama. Perkembangan drama di negeri Kedah tidak akan lengkap tanpa menyenaraikan nama M.Z Halim Hassan sebagai salah seorang tokoh penting yang turut sama menyumbang kepada kegemilangan drama pentas di Kedah. Beliau ialah anak seni yang banyak menyumbang ke arah kegemilangan drama di negeri Kedah terutama pada tahun-tahun 1960-an hingga 2000-an.

M.Z Halim Hassan ialah nama pena kepada Haji Md. Zain@Halim bin Haji Hassan, seorang tokoh dan penggiat seni budaya di negeri Kedah. Dilahirkan pada 14 Mac 1944 di Tandop, Alor Setar dan bersekolah menengah di Sultan Abdul Hamid College, Alor Setar mulai 1956 sehingga tamat tingkatan lima dan lulus peperiksaan Senior Cambridge. Beliau tidak menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi tetapi memilih untuk mencari pekerjaan bagi menjana pendapatan.
Sebaik sahaja tamat peperiksaan Senior Cambridge dalam tahun 1960, M.Z Halim Hassan bersama-sama seorang rakannya, telah mendapat peluang menjadi guru sementara dengan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah. Pada ketika itu, pengambilan guru sementara merupakan salah satu kaedah untuk menampung kekurangan tenaga pengajar terlatih untuk mengajar di sekolah-sekolah di seluruh negeri. M.Z Halim Hassan ditugaskan untuk mengajar di Sekolah Kebangsaan Lanai, Baling, Kedah. Selain itu M.Z Halim Hassan juga pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Kuala Pegang, Baling, Sekolah Kebangsaan Bukit Raya Dalam, Pendang dan Sekolah Kebangsaan Tandop, Alor Setar. Namun kerjaya sebagai pendidik tidak dapat diteruskan oleh sebab M.Z Halim Hassan tidak terpilih menyertai kursus perguruan secara formal dan kontraknya sebagai guru sementara pula ditamatkan.
Minatnya dalam bidang persembahan pentas mula berputik ketika beliau bertugas di Sekolah Kebangsaan Bukit Raya Dalam, sekitar tahun 1966 apabila pihak sekolah menganjurkan satu persembahan sandiwara di padang terbuka. M.Z Halim Hassan bertindak sebagai pengarah dan pelakon utamanya ialah Cikgu Othman Ali, salah seorang guru di sekolah yang sama. Bermula dari situlah, M.Z Halim Hassan mula mengasah bakatnya sebagai anak seni. Bukan sahaja berlakon, M.Z Halim Hassan juga mencuba bidang nyanyian.
Sejak tahun 1968 M.Z Halim Hassan mendaftar sebagai ahli Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Kedah (3PSK). Pada awal penubuhannya dalam tahun 1964, kegiatan-kegiatan 3PSK berpusat di Sungai Petani, tetapi mulai 1965 berpindah ke Alor Setar. Melalui kegiatan-kegiatan 3PSK, M.Z Halim Hassan menimba ilmu penulisan daripada rakan-rakan penulis yang menganggotai persatuan berkenaan seperti Z. Rosli Jaafar, Ismail Ibrahim (Ibni Ismaily), Nazril Mohd. Zain, A.R Azmi Saad, Abd. Aziz Ibrahim dan M.Farda. M.Z Halim Hassan cepat merebut peluang mendalami bidang penulisan, terutama bidang penulisan skrip drama dan berita.
M.Z Halim Hassan bergiat aktif dalam persatuan yang dianggotainya apabila dilantik memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa 3PSK pada tahun 1970-1971 hingga sesi 1973-1974. Ketika kepimpinan 3PSK mengambil keputusan untuk bergabung dengan sebuah lagi persatuan penulis di Kedah, iaitu Gabungan Sasterawan Sedar (GATRA) yang dipimpin oleh Shahnon Ahmad, M.Z Halim Hassan turut terlibat. Gabungan 3PSK dan GATRA telah melahirkan Persatuan Penulis Nasional Kedah (PENULIS) dengan diterajui oleh Shahnon Ahmad sebagai Ketua Satu dan Nazril Mohd. Zain sebagai Ketua Dua. Seterusnya M.Z Halim Hassan dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa dalam tahun 1977-1978 dan diberi peranan menerajui Biro Bengkel dan Kebudayaan. Mulai 14 Ogos 1978, PENULIS telah bertukar nama menjadi Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Penglibatan M.Z Halim Hassan secara langsung di dalam persatuan penulis telah merangsang semangatnya untuk berkarya sebagai seorang penulis.
M.Z Halim Hassan sudah mula mengasah bakat dalam bidang penulisan sejak tahun 1970 lagi. Beliau banyak menulis di dalam beberapa akhbar dan majalah tempatan walaupun secara separuh masa dan tidak konsisten. Hanya apabila diterima menjadi pemberita sambilan di akhbar Berita Harian, M.Z Halim Hassan memberi tumpuan kepada penulisan berita-berita tempatan. Begitu juga apabila dia beralih ke akhbar Utusan Malaysia, beliau terus menulis berita tempatan dan juga rencana tentang seni dan budaya.
Beliau juga pernah bekerja dengan akhbar Bintang Timur, sebuah akhbar yang berpangkalan di Pulau Pinang. Bintang Timur yang ditubuhkan sekitar 1976 ialah akhbar tabloid yang pasarannya tertumpu di kawasan utara Semenanjung Malaysia dan bernaung di bawah syarikat Utusan Melayu Berhad. M.Z Halim Hassan banyak menulis di dalam Bintang Timur oleh sebab beliau berkhidmat agak lama dengan akhbar berkenaan sehinggalah akhbar tersebut dihentikan operasinya pada bulan November tahun 1982.
Selain menulis berita dan rencana di dalam akhbar-akhbar, M.Z Halim Hassan juga banyak menghasilkan karya-karya kreatif seperti cerpen, skrip drama radio dan skrip drama pentas. Walau bagaimanapun, nama M.Z Halim Hassan lebih terserlah dalam bidang penulisan skrip drama radio dan skrip drama pentas.
M.Z Halim Hassan juga merupakan seorang penulis skrip drama radio yang amat prolifik. Beliau telah menghasilkan lebih daripada 1,500 buah skrip yang telah disiarkan oleh beberapa stesen radio RTM, seperti Radio Malaysia Kuala Lumpur, Radio Malaysia Ipoh, Radio Malaysia Pulau Pinang dan Radio Malaysia Kedah. Skrip pertamanya berjudul Antara Dua Simpang telah disiarkan pada 29 Julai 1971, bersamaan dengan tarikh perkahwinannya dengan Aziza Turaihah binti Ahmad, di Alor Setar. Antara rancangan drama radio yang banyak menyiarkan skrip karya beliau termasuklah, No. 5 Persiaran Satu, Fajar di Bumi Permata, Setitik Peluh Segunung Intan, Permatang Jingga (terbitan Radio Malaysia Kuala Lumpur), Bendang Pak Sahak (Radio Malaysia Pulau Pinang), Muafakat Membawa Berkat (Radio Malaysia Ipoh), Kuning-kuning di Kuala serta Serambi Pak Andak (Radio Malaysia Kedah).
Ketika bekerja sebagai Kerani di Jalan Pegawai, Alor Setar, selepas tamat perkhidmatan sebagai guru sementara, iaitu sekitar tahun 1969, M.Z Halim Hassan turut menyertai Badan Kebudayaan UMNO Kedah Utara yang aktif dalam persembahan pentas, khususnya drama. Bersama-sama Badan Kebudayaan UMNO Kedah Utara itu M.Z Halim Hassan bukan sahaja terlibat sebagai pelakon, pengacara, penyanyi latar serta penyanyi selingan, malah pernah menjadi penolong pengarah dan pengarah drama. Badan Kebudayaan UMNO Alor Setar Utara pernah menjadi johan pertandingan drama anjuran Jabatan Belia dan Sukan peringkat kebangsaan dengan drama berjudul Degup Jantung karya Usman Awang.
Seterusnya M.Z Halim Hassan menyertai Kumpulan Bangsawan Seri Kedah dalam tahun 1988 setelah Badan Kebudayaan UMNO Alor Setar Utara tidak lagi aktif. Bersama-sama Kumpulan Bangsawan Seri Kedah, beliau juga banyak menulis skrip. Antara skrip karyanya yang terhasil dan dipentaskan oleh Kumpulan Bangsawan Seri Kedah termasuklah Senja Berdarah di Tanjung Chali dan Panglima Hitam. M.Z Halim Hassan juga pernah mengarah sebuah drama berjudul Mahsuri yang dipersembahkan di Riau, Indonesia anjuran Kerajaan Negeri Kedah dan dikendalikan oleh Majlis Kebudayaan Negeri Kedah dengan kerjasama Pejabat Konsulat Malaysia di Pekan Baru, Indonesia sempena lawatan kebudayaan ke daerah tersebut. Persembahan itu adalah bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-39 pada tahun 1996 dan mendapat sambutan hebat daripada Dewan Kesenian Riau dan penduduk setempat.

Terdahulu, iaitu pada 30 Ogos 1993, M.Z Halim Hassan bergandingan dengan Morad Ibrahim, seorang penggiat bangsawan di Kedah, telah mengarah sebuah pementasan pantodra (gabungan pantomin dan drama) berjudul Bersama Menuju Wawasan hasil tulisan Abdul Halim Yaacob pada acara Di Ambang Merdeka, bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-36 bertempat di Medan Bandar, Alor Setar. Selain itu, M.Z Halim Hassan juga pernah mengarahkan sebuah drama adaptasi novel Awang Toksan, hasil karya novelis Noorjaya dan dilakonkan oleh ahli-ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Drama tersebut telah dipersembahkan semasa berlangsungnya acara Perkampungan Penulis GAPENA Zon Utara di Alor Setar dalam tahun 1998 bertempat di Kompleks Hijau Kuning, Simpang Kuala, Alor Setar.
Dalam bidang lakonan, beliau bukan sahaja berlakon drama pentas, tetapi juga pernah berlakon dalam beberapa buah drama radio, drama TV dan filem. Antara drama TV yang pernah dilakonkan oleh M.Z Halim Hassan termasuklah Derai (RTM, 1975), Farah Al-Mansur (RTM, 1978), Tumasik oh Tumasik (12 episod, RTM 1981) dan Tulang Pekasam Ikan Puyu (RTM, 1992). Manakala dua buah filem yang dibintanginya iaitu Langit Petang (1980) dan Sumpah Mahsuri (1989).
Selain pernah menjadi guru sementara dan pemberita sambilan beliau juga pernah berkhidmat sebagai Juruhebah Sambilan di Radio Malaysia Alor Setar sejak tahun 1979 hingga pertengahan 1990-an. Beliau bersara daripada jawatan Ketua Kerani di Koperasi Bumiputera Kedah Berhad pada tahun 2016 setelah mula bekerja dengan beberapa koperasi sejak 1970-an dahulu lagi.
M.Z Halim Hassan menghembuskan nafas terakhirnya pada 28 November 2019 di Hospital Sultanah Bahiyah, iaitu pada tarikh beliau akan menerima Anugerah Citra daripada ASASI sebagai menghargai sumbangan dan penglibatan beliau di dalam bidang seni dan sastera di negeri Kedah selama lebih 40 tahun. Namun, di penghujung usianya, iaitu sekitar 2015 hingga 2018, beliau banyak menulis puisi. Ditemui sebanyak 68 buah puisi yang tersimpan rapi di dalam fail peribadinya. Lalu puisi-puisi tersebut telah disalin semula dan dimuatkan di dalam buku Persiaran Kehidupan Memoir M.Z Halim Hassan yang diselenggara oleh Puzi Hadi dan Zaidin Abadi, diterbitkan oleh SWADAYA. Buku tersebut telah dilancarkan oleh Puan Sabarina binti Masadi, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kedah pada tarikh 28 November 2024, bersempena dengan Majlis Mengenang Tokoh M.Z Halim Hassan.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Pertubuhan Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah (SWADAYA) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kedah dan Kumpulan Bangsawan Seri Kedah berlangsung di Auditorium JKKN Kedah. Majlis tersebut telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada keluarga, sanak saudara serta sahabat handai Allahyarham.
Semoga roh Allahyarham Haji Md. Zain@Halim bin Haji Hassan atau M.Z Halim Hassan dicucuri rahmat oleh Allah SWT.