MELAYU SARAWAK: SEJARAH YANG HILANG karya Sanib Said ialah sebuah buku yang diterbitkan pada tahun 2013 hasil kajian mendalam Sejarawan Sarawak, Datu Dr. Haji Sanib Haji Said. Buku setebal 221 halaman ini diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaysia Sarawak.
Pensejarahan Sarawak
Dalam Bab Satu, halaman 13, Sanib Said mengkritik pendekatan pensejarahan Sarawak yang dominan, terutama naratif yang lebih menonjolkan perspektif penjajah atau kelompok elit tertentu. Beliau berhujah bahawa pensejarahan tradisional cenderung untuk meminggirkan sumbangan dan pengalaman masyarakat Melayu dalam perkembangan Sarawak.
Pada halaman 12 hingga 16, beliau menerangkan naratif sejarah Sarawak sering didominasi oleh penulisan kolonial British, yang lebih menumpukan kepada pemerintahan Brooke dan peranan penjajah dalam membentuk Sarawak moden. Perspektif ini, menurut Sanib, tidak menggambarkan keseluruhan cerita, malah mengabaikan penglibatan aktif masyarakat tempatan, terutamanya orang Melayu. Misalnya, peranan tokoh-tokoh tempatan dalam politik dan pembangunan sosial sering kali diketepikan, walaupun mereka mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap landskap politik dan budaya negeri ini.
Melalui buku ini, Sanib mengemukakan alternatif kepada naratif kolonial dengan memberikan tumpuan kepada pandangan masyarakat tempatan.
Usaha ini termasuk mengangkat semula peranan pemimpin Melayu seperti Datu Patinggi Abdul Gapur dan Datu Patinggi Ali dalam mempertahankan hak dan kedudukan masyarakat Melayu pada era awal pemerintahan Brooke. Perihal pemimpin Melayu ini boleh didapati pada halaman 14.
Fakta sejarah Sarawak yang berasal dari ungkapan “serah kepada awak (James Brooke)” adalah tidak benar belaka kerana ia hanyalah lelucon yang sering diperkatakan dalam perbualan tanpa sumber, telah diterangkan penulis pada halaman 18.
Pencarian Sumber
Dalam Bab 2, Sanib Said menggunakan pelbagai sumber primer dan sekunder dalam penyelidikannya. Beliau meneliti manuskrip Melayu-Jawi yang jarang-jarang digunakan dalam kajian arus perdana seperti Syair Awang Sama’un, di samping memanfaatkan catatan kolonial British seperti karya Hugh Low. Beliau turut menghubungi staf Muzium Sarawak dan merujuk bahan dalam perpustakaan dan arkib Muzium Sarawak. Salah satu rujukan ialah Sarawak Gazette. Hal ini boleh ditemukan pada halaman 26 , 30 dan31.
Manuskrip Melayu-Jawi menjadi sumber yang penting untuk memahami pandangan tempatan terhadap peristiwa sejarah. Contohnya, teks-teks lama ini mengandungi catatan mengenai struktur masyarakat Melayu, adat istiadat, dan hubungan politik dengan wilayah lain di Nusantara. Sebagai contoh, teks-teks ini mendokumentasikan sistem pentadbiran tradisional masyarakat Melayu yang berfungsi sebelum kedatangan pemerintahan Brooke. Langkah ini bertujuan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh catatan tertulis, memberikan gambaran yang lebih jelas tentang sejarah dan tradisi Melayu di Sarawak.
Asal Usul Sarawak
Dalam bab 3, Sanib Said menyelidiki asal usul masyarakat Melayu Sarawak dengan merujuk kepada hubungan mereka dengan kerajaan-kerajaan Melayu di Semenanjung, Sumatera dan wilayah Nusantara lain. Masyarakat Melayu Sarawak telah wujud lama sebelum kedatangan kolonial British dan Brooke diistilahkan sebagai Sarawak Lama dan Sarawak Baharu pada muka surat 39 – 43. Mereka membentuk komuniti yang kukuh dengan sistem politik, ekonomi dan budaya tersendiri. Menurut Sanib, hubungan perdagangan antara Sarawak dengan kerajaan-kerajaan Melayu lain di rantau ini seperti Melaka, Johor dan Brunei membantu dalam membentuk identiti Melayu Sarawak.
Di samping itu, beliau menyoroti hubungan erat antara Melayu Sarawak dan Brunei pada abad ke-16 dan ke-17. Hubungan ini bukan sahaja melibatkan aspek politik, tetapi juga perkahwinan dan pengaruh budaya yang signifikan. Dalam kesimpulan bab, beliau menyatakan walaupun pengaruh Brunei menurun selepas kedatangan Brooke, jejak budaya dan sosialnya kekal relevan dalam masyarakat Melayu Sarawak.
Penelitian Terhadap Sastera Rakyat
Salah satu pendekatan unik yang diambil oleh Sanib ialah mengkaji sastera rakyat Melayu Sarawak sebagai sumber sejarah dalam Bab 4. Seni rakyat, seperti pantun, cerita rakyat dan syair, mengandungi unsur-unsur sejarah yang mencerminkan nilai, kepercayaan dan pengalaman hidup masyarakat Melayu.
Bab ini menjelaskan peranan sastera rakyat digunakan sebagai medium untuk merekodkan peristiwa penting dan menyampaikan ajaran moral kepada generasi seterusnya. Contohnya, beberapa cerita rakyat Melayu Sarawak menggambarkan perjuangan masyarakat tempatan dalam menentang penjajah, yang sering kali tidak direkodkan secara rasmi.
Sanib juga menegaskan bahawa sastera rakyat ini ialah bukti keaslian budaya Melayu Sarawak. Ia menunjukkan kejayaan masyarakat Melayu mengekalkan identiti mereka walaupun menghadapi cabaran besar seperti penjajahan dan modenisasi. Petikan tulisan beliau yang menjadi dasar kepada pengekalan budaya ini ialah “Sastera ini telah diselamatkan oleh Muzium Sarawak dalam berbagai-bagai bentuk dan yang paling awal adalah dalam bentuk manuskrip.” pada halaman 70.
Sejarah Pembentukan Negeri Melayu Melalui Sumber Manuskrip
Dalam Bab 7, Sanib memperkenalkan kepada pembaca sebuah manuskrip penting berkaitan pembentukan negeri Melayu, iaitu sebuah manuskrip Melayu-Jawi, Syair Tarsilah Cetera Abang Gudam Dangan Temenggong Kadir Negeri Saribas (STCAGDTQNS). Latar belakang dan sinopsis manuskrip STCAGDTQNS ini diperihalkan telah disalin oleh Abang Rahman bin Abang Abdul Razak dari Kampung Bungai, Debak, Bahagian Betong pada tahun 1965.
Naskhah STCAGDTQNS ini tersimpan di Pusat Khidmat Maklumat Akademik (dahulu) Universiti Malaysia Sarawak atau kini dikenali sebagai Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya’kub, yang merupakan sebahagian daripada koleksi pemberian A.J.N. Richard. Pentadbir British yang pernah menjadi Residen Bahagian Simanggang ini menemui manuskrip STCAGDTQNS lebih awal sebelum memanfaatkannya bagi penulisan asal usul orang Melayu di Saribas. Menariknya karya ini mempunyai 236 muka surat dalam naskhah buku latihan sekolah. Syair ini menceritakan bermula daripada cerita tentang asal usul, pembentukan negeri dan perkembangan serta keturunan raja negeri Saribas hingga pada tahun 1965.
Sharip Masahor: Pemimpin Melayu
Buku Melayu Sarawak: Sejarah yang Hilang turut menyentuh peranan Sharip Masahor dalam sejarah Sarawak pada pertengahan abad ke-19. Beliau dikenali kerana memimpin pemberontakan besar-besaran terhadap pemerintahan Brooke, yang dianggap menindas masyarakat tempatan dan mengancam kedaulatan tradisional mereka. Bagi rakyat tempatan, beliau ialah pemimpin dan sebaliknya pada kaca mata penjajah.
Dalam bab 9 buku ini, Sanib menyoroti Sharip Masahor sebagai tokoh utama yang mengetuai gerakan penentangan terhadap James Brooke pada tahun 1850-an. Penentangan ini bukan hanya reaksi terhadap polisi ekonomi dan pentadbiran Brooke yang dianggap meminggirkan masyarakat Melayu, tetapi juga berakar umbi dalam usaha mempertahankan maruah dan kedaulatan tradisional mereka.
Sanib Said menjelaskan bahawa Sharip Masahor menggerakkan sekutu daripada pelbagai etnik dan wilayah, termasuk masyarakat Dayak dan Melanau, dalam usaha untuk menumbangkan pemerintahan Brooke. Salah satu peristiwa penting yang dicatatkan ialah percubaan untuk menyerang Kuching pada tahun 1859 dengan bantuan daripada Sultan Brunei. Walaupun usaha ini akhirnya gagal, ia mencerminkan kekuatan dan keberanian Sharip Masahor sebagai pemimpin masyarakat tempatan.
Selepas pemberontakan gagal, Sharip Masahor dihantar ke Singapura oleh pihak Brooke sebagai hukuman buangan. Beliau bukanlah terpenjara di Singapura sahaja namun masih berperanan ketika merantau ke Melaka dan Johor. Walaupun begitu, buku ini menekankan bahawa beliau terus dikenang sebagai wira dalam kalangan masyarakat Melayu Sarawak. Sanib Said mengangkat Sharip Masahor sebagai simbol perjuangan melawan penjajahan dan penindasan, menjadikan beliau ikon penting dalam pensejarahan tempatan. Bahagian ini boleh ditemui pada halaman 133 dan 134.
Syed Mashhor: Kesan dan Warisan
Syed Mashhor sering dikaitkan dengan peranan yang sama seperti Sharip Masahor, walaupun terdapat perbezaan dari segi latar belakang dan pengaruh mereka dalam sejarah Sarawak. Buku ini memberikan fokus kepada hubungan dan peranan beliau dalam melindungi warisan serta identiti masyarakat Melayu di tengah-tengah perubahan yang dibawa oleh pemerintahan kolonial.
Syed Mashhor dianggap sebagai individu yang meneruskan perjuangan mempertahankan hak dan kedudukan masyarakat Melayu selepas era Sharip Masahor. Kemunculan pemimpin ini adalah pada pertengahan akhir abad ke-19, bermula 1870 dengan penglibatan beliau di Perang Kelang. Walaupun tidak selalunya melalui konflik bersenjata, Syed Mashhor terlibat dalam usaha diplomasi dan advokasi untuk memastikan suara Melayu didengar dalam pentadbiran kolonial. Halaman 155 hingga 159 memaparkan garis masa penglibatan beliau dalam gerakan perjuangan itu.
Sanib dalam penulisannya turut menghalakan perbincangan kepada elemen yang menunjukkan kemungkinan bahawa Sharip Masahor dan Syed Mashhor ialah orang yang sama.
Walaupun masih terdapat misteri yang perlu dirungkai daripada kedua-dua figura tersebut, bab mengenai Sharip Masahor dan Syed Mashhor yang dikhususkan oleh penulis dalam buku Melayu Sarawak: Sejarah yang Hilang ini adalah sebuah pengiktirafan terhadap peranan besar kedua-dua tokoh ini dalam sejarah Sarawak. Mereka bukan sahaja simbol penentangan terhadap penjajahan, tetapi juga pelindung warisan budaya Melayu di Sarawak.
Kesimpulan
Melayu Sarawak: Sejarah yang Hilang oleh Sanib Said ialah karya yang wajib dibaca oleh sesiapa yang ingin memahami sejarah Sarawak dari perspektif yang berbeza dan lebih menyeluruh. Karya ini membantu menonjolkan sumbangan dan peranan masyarakat tempatan yang selama ini tenggelam dalam naratif sejarah nasional. Dengan gaya penulisan yang mudah difahami namun padat dengan maklumat, buku ini mengajak pembaca untuk menghayati sejarah Sarawak dari sudut pandang yang lebih luas dan memberikan penghargaan yang sewajarnya kepada identiti dan warisan negeri itu yang kaya. Buku ini menyeru pembaca untuk melihat semula naratif sejarah dan memberi penghormatan yang sewajarnya kepada tokoh-tokoh yang telah banyak berjasa kepada masyarakat mereka. Melalui penulisan yang mendalam dan berpandangan jauh, Sanib Said berjaya menimbulkan sisi lain, keluar daripada sejarah Barat yang berpandukan sumber yang ada seperti dinyatakan dalam bab pencarian sumber dan manuskrip lama. Sisi baru itu sepatutnya berada dalam pengetahuan lingkungan masyarakat Sarawak sebagai suatu kesedaran dalam menghargai perjuangan pemimpin tempatan dan pemeliharaan budaya serta sejarah kerajaan Sarawak.