SEMASA mengemas-ngemas almari buku di rumah, saya terjumpa beberapa buah buku yang saya sudah hampir lupa sama ada saya pernah membacanya atau belum. Salah sebuahnya ialah kumpulan puisi berjudul Laut Karang. Membuka dan menatap helaian pertama tertera satu catatan dengan dakwat merah yang menyebut: “30/3/2016, Kangar, Perlis” berserta tandatangan ringkas saya. Lalu fahamlah saya bahawa buku itu saya beli di Kangar, Perlis cuma saya terlupa pada majlis atau acara apa. Saya membacanya sehalaman demi sehalaman dan terpanggil untuk berkongsi sesuatu dengan pembaca tentang isi buku tersebut dan penyairnya.
Kumpulan Puisi Laut Karang ini merupakan kumpulan puisi ketiga hasil karya Tokoh Penyair Kelantan 2014, Saudara Wadi Leta S.A. memuatkan 81 buah puisi beliau yang merangkumi pelbagai tema. Dua buah kumpulan puisi terdahulunya ialah Pengalaman (DBP, 1993) dan Ketika Langit Sedang Tidur (ITBM, 2014).
Wadi Leta S.A ialah nama pena kepada Wan Ahmad@Wan Adnan bin Wan Daud, lahir pada 12 November 1948, di Kampung Sireh, Kota Bharu, Kelantan. Beliau mendapat pendidikan di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu. Wadi Leta S.A mula berjinak dalam bidang penulisan puisi sejak tahun 1966 sehingga ke penghujung hayatnya.
Karya-karya puisi Allahyarham telah memenangi beberapa anugerah seperti Hadiah Sastera Remaja ESSO-Gapena IV, Hadiah Sastera Malaysia, Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank, Hadiah Puisi Kebangsaan Gapena, Anugerah Sastera Negeri Kelantan dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Keaktifan dan ketekalan beliau berkarya telah melayakkan beliau dinobatkan sebagai Tokoh Penyair Peradaban Kelantan bagi tahun 2014 oleh Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia, Kelantan (PERADABAN).
Saya teringat sekitar tahun-tahun 1979, 1980 dan 1981 sewaktu saya bertugas di Kota Bharu, Kelantan saya menyewa satu unit ruang kediaman satu bilik di Flat Jalan Bayam. Setiap hari Jumaat saya dan rakan-rakan yang lain akan berjalan kaki untuk menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Langgar yang jaraknya lebih kurang 1.5 kilometer, melalui Jalan Dusun Muda. Waktu itu kawasan sekitarnya dipenuhi rumah-rumah kediaman jenis separuh kekal di bina menggunakan kayu dan batu-bata. Saya terbayang-bayang di salah sebuah rumah di Jalan Dusun Muda itu terpampang di pintu hadapannya tulisan ‘Wadi Leta S.A’. Pada ketika itu saya tidak kenal siapa penghuni rumah tersebut. Tetapi apabila saya sendiri menerjuni dunia penulisan, dan berkenalan dengan rakan-rakan penulis dari Kelantan seperti Mustaffa Jusoh, Abdul Hadi Yusoff, Usman Gumanti Ibrahim dan lain-lain, barulah saya perasan itulah rumah kediaman Wadi Leta S.A.
Lalu saya membaca (membaca kembali) Kumpulan Puisi Laut Karang itu, kali ini dengan suatu perasaan yang berlainan sama sekali. Saya teringat akan kelembutan suara beliau sewaktu berbual, senyuman yang sentiasa tidak lekang dari bibirnya selain sentiasa merendah diri. Sifat-sifat mulia yang dimiliki seorang penyair berbakat besar yang jarang diperkatakan orang tentang karya-karya beliau.
Memetik Rahimidin Zahari di dalam kata pengantar Kumpulan Puisi Laut Karang, “Tetapi, penyair yang satu ini berada jauh di Kelantan, tersisih dari segala bicara untuk meletakkannya di dalam arus sastera perdana. Mutu dan estetika yang dicurahkannya di dalam puisi, bukanlah jalan mudah untuk sarjana melihatnya dari jarak jauh. Kuala Lumpur sangat jauh, dan sangat sombong untuk meneropong ke ceruk rantau negeri dan daerah. Teropongan itu lebih cerah untuk menyeberangi selat dan lautan.” (Laut Karang, hal. xiv).
Saya bersetuju dengan pandangan Rahimidin tersebut apabila saya tekuni puisi-puisi yang tersiar di dalam Kumpulan Puisi Laut Karang ini. Wadi Leta S.A ternyata seorang penyair yang wajar mendapat pengiktirafan di peringkat yang lebih tinggi daripada peringkat negeri Kelantan. Puisi-puisi beliau memiliki kekuatan yang ternyata hebat.
Gaya penulisan dalam sesebuah karya sastera lazimnya mencerminkan bukan sahaja pemikiran tetapi juga keperibadian seseorang penulis. Pengungkapan langgam bahasa yang dihasilkan oleh Wadi Leta S.A di dalam puisi-puisinya jelas mencerminkan keperibadian beliau yang sentiasa rendah diri, mudah tersenyum dan mudah mesra. Begitulah juga puisi-puisinya yang dihasilkan melalui penggunaan gaya bahasa yang lembut dan lunak.
Dengan menggarap pelbagai tema, membuktikan Wadi Leta S.A bukanlah calang-calang penyair yang mampu mengupas pelbagai hal yang menyentuh jiwa seninya sama ada tentang nilai kasih sayang, kental persahabatan, rasa simpati yang mendalam kepada anak-anak malang, rasa cinta kepada tanah air, kerendahan diri kepada kekuasaan Allah SWT serta kekentalan jiwa yang tidak mudah undur mengalah. Kerencaman tema tersebut menjadi bukti bahawa beliau telah melangkah jauh ke arena yang lebih luas dengan suara kemanusiaannya yang nyaring selain berbicara tentang persekitaran diri dan masyarakatnya sendiri. Namun segala perasaannya itu diluahkan dengan penuh berhemah melalui nada yang lembut halus dengan pilihan gaya bahasa yang sangat indah. Kelembutan nada serta keindahan bahasa yang digunakannya itu tidak sama sekali bermaksud mesejnya kurang berkesan, sebaliknya menzahirkan suara kritik dan pandangan tajamnya dengan cara yang paling berhemah. Itulah antara kehebatan Wadi Leta S.A.
Kritik melalui gaya bahasa lembut dan berhemah ialah satu pendekatan tersirat untuk menyampaikan teguran tanpa menyinggung secara kasar tetapi meninggalkan kesan pedih dan menikam. Kritik sebegini sering menyentuh persoalan sosio-masyarakat dan politik.
Puisi pertama di dalam Kumpulan Puisi Laut Karang ini sudah memancing minat saya. Puisi ‘Sang Tukul’ (hal. 1) jelas memperlihatkan cara Wadi Leta S.A mengkritik. Lihat tulisannya:
i
Sang tukul
tegak di tengah kayu dan papan
dialah tokoh ketuk
bermata keras
bertangan ganas.
Setiap kali dia menggenggam tangan
kayu dan paku
akan berdebar dan menggeletar.
ii
Betapa sakitnya
dada kayu dan kepala paku
diketuk sang tukul
bermata keras
bertangan ganas itu.
Kritikan berhemah sebegitu menggambarkan sikap dan peribadi penyair yang tidak gemar menggunakan kata-kata kasar dan marah ketika membuat kritikan. Kelembutan gaya bahasanya dapat dirasai dalam kebanyakan puisi di dalam kumpulan puisi ini. Lihat puisi “Dari Rusuk Pemerhatian” (hal.19):
1
Dia seorang peminat barangan antik
baharu sahaja membeli sebutir batu hitam
di pasar mistik
kononnya ia boleh menyembuhkan
penyakit kronik politik.
2
Dia seorang peraih mimpi
dan pengumpul wasiat pemimpin
di rumahnya tergantung sebidang malam
dan pelbagai rupa topeng.
3
Dia seorang peniaga cinta
dari negara kalbu
setiap hari dia menggilap pesona
untuk menggoda pembeli yang berahi.
4
Dia telah bertukar menjadi musang
hidup di dalam gua kebinatangan
dia telah lupa raut wajahnya yang asal
dan rumahnya yang telah ditinggalkan.
Puisi ini memberikan gambaran yang penyair gemar mengamati sikap dan gaya hidup para ahli politik atau pengampu-pengampunya yang boleh berubah-ubah sikap serta pendirian, kesemua hanya semata-mata untuk mendapat habuan atau laba. Walaupun saya percaya Wadi Leta S.A amat marah dengan sikap sedemikian namun beliau mampu menahan amarahnya daripada melontarkan kata-kata bernada pedih, marah dan benci.
Wadi Leta S.A melangkah ke arena yang lebih luas melalui pemerhatian dan kritikan sosial yang lebih tajam dan sinis. Sindiran yang lebih tajam disampaikan secara berstruktur, digunakan untuk mengejek ketidakadilan atau perbezaan budaya yang berlaku di mana-mana. hal ini dapat diamati menerusi puisinya yang berjudul “Lagu Sinis Kemanusiaan”(hal. 27):
Jika anak-anakmu lapar
sajikan kepada mereka
sepinggan peluru, semangkuk bom
biar mereka sendawa bahagia
sebelum tertidur di khemah pelarian.
Jika anak-anakmu kesunyian
tayangkan kepada mereka
cereka Hollywood atau Bollywood
biar mereka terpesona
pada muzik dan tarian gelek
mudah-mudahan esok
mereka menjadi penghibur
atau pelacur ternama dan licik.
Sindirannya halus tetapi tajam dengan susunan kata-kata berlawanan maksud untuk menyoroti mesej kesan buruk akibat daripada kesombongan seseorang atau sesuatu kumpulan manusia tanpa konfrontasi langsung. Begitulah kebijaksanaan Wadi Leta S.A menyusun kalimat di dalam puisi tersebut yang menjadikannya sebuah puisi yang dipenuhi kata-kata berhemah walaupun tentang sesuatu isu yang amat tidak disukainya.
Tentu banyak sekali hal yang tidak disukai yang merentap hati kecil Wadi Leta S.A di dalam kehidupan yang direnunginya termasuklah sikap tamak sang penjual atau ahli perniagaan yang hanya bermotif mengaut keuntungan semata-mata. Keadaan tersebut ikut dipetik dan ditulisnya sebuah puisi sebagai kritikan sosial secara lembut tetapi tajam melalui puisi berjudul ‘Penjual Payung’ (hal. 29):
Baginya sekaki payung
mendatangkan dua kali untung.
Dia berasa rugi
kalau hujan
tidak menguyupkan bumi.
Kalau boleh
dia ingin membeli hujan
untuk menjual payung
kepada manusia yang kebasahan.
Ketamakan sang peniaga terus disinggungnya di dalam puisi “Jutawan Kasut dan Sup Kaki” (hal. 41) yang ditulis dengan nada sindiran yang amat tajam tetapi masih dalam gaya bahasa yang lembut dan memukau. Wadi Leta S.A mengajak kita melihat secara telus bagaimana sang peniaga yang rakus ingin mengaut keuntungan tanpa mempunyai rasa belas kasihan dan simpati kepada keadaan (kemiskinan) rakyat. Tetapi pantas Wadi Leta S.A menghukum kerakusan sang peniaga itu dengan suatu kehilangan (kerugian) yang tidak disangka-sangka. Beliau menulis:
Apabila berada di sebuah negeri
seorang jutawan kasut mendapati
seluruh warganya berjalan tanpa kaki
mereka menggunakan tongkat sakti.
Jutawan itu segera menghubungi
kilangnya di Itali
mengarahkan pekerja-pekerjanya
supaya menghentikan operasi membuat kasut
dan memulakan operasi membuat kaki
dengan kulit paling lembut.
Tiba-tiba jutawan itu meraba kakinya sendiri
dan betapa terkejutnya dia apabila mendapati
kakinya juga telah tiada
kerana dilarikan oleh warga negeri itu
yang sudah sekian lama teringin
untuk menikmati sup kaki!
Begitu sekali Wadi Leta S.A menyindir dan mengkritik suatu hal yang jika dilihat dari mata kasar, hanyalah satu perkara remeh bagi orang kebanyakan, namun pada pandangan penyair, perkara itu sebenarnya amat besar kesannya kepada masyarakat serta mengganggu perasaannya. Sikap peniaga yang mahu mengambil kesempatan atas kekurangan orang lain demi untuk memenuhi kantung labanya semata-mata adalah satu sikap yang perlu ditegur dan dikutuk. Namun, sekali lagi Wadi Leta S.A tidak mengutuk dengan jerkahan kata-kata yang kasar dan jelek meskipun beliau sangat mengutuk sikap haloba yang sedemikian.
Wadi Leta S.A telah kembali ke negeri abadi pada 16 Februari 2026 yang lalu dengan meninggalkan kepada kita puisi-puisinya yang indah, lembut dan lunak walaupun mengandungi kritikan yang tajam dan menikam. Bukan itu sahaja Allahyarham juga telah meninggalkan satu legasi kepenyairan yang jarang dimiliki penyair-penyair sezaman dengannya serta penyair zaman kini. Pasti sekali tidak akan ada duanya Wadi Leta S.A di dalam kancah perpuisian tanah air.
Semoga Allah ampunkan segala dosanya dan limpahi rahmat ke atas rohnya di alam barzah serta dibangkitkan nanti di alam akhirat bersama-sama roh para solihin di sisi Allah.
