PENGENALAN
Iranun ialah salah satu suku kaum yang dikategorikan sebagai penduduk bumiputera Sabah. Iranun bermaksud berkasih-kasihan, yakni wujudnya sistem hubungan sosial yang amat erat yang diikat oleh tali persaudaraan yang amat rapat. Suku Iranun menetap lebih 20 buah kampung di daerah Kota Belud, antaranya di Kampung Pantai Emas, Kahuraan, Kota Peladok, Tamau, Marabau, Payas-Payas, Rampayan Laut dan sebagainya. Jumlah penduduk masyarakat Iranun tidak dapat dipastikan kerana angka yang di uar-uarkan itu cuma anggaran. Hal ini disebabkan sebahagian suku Iranun telah dikategorikan dalam kumpulan suku Bajau, iaitu majoriti suku yang menduduki daerah Kota Belud ( Jacqueline Pugh-Kitingan dan Pandikar Amin Mulia, 1996).
Khazanah kesusasteraan Iranun memang kaya dengan prosa dan puisi lisan. Prosa lisan terdiri daripada darangen (seperti hikayat), iringa’ dan tudtul. Dalam genre puisi lisan pula, ada diguani, sambirungan, dtaya’, tubad-tubad, pananaru’en dan bayuk. Dalam makalah ini penulis memperkenalkan secara ringkas berkaitan salah satu puisi lisan, iaitu bayuk.
BAYUK
Bayuk mempunyai pelbagai jenis yakni bergantung kepada apa yang dirasai oleh penyampainya atau pengkaryanya. Antara jenis-jenis bayuk ialah bayuk a uragis (rajuk), bayuk a pitua’ (nasihat), bayuk a pa’ar (kehendak), bayuk a undug (menurut), bayuk a ilat (sindiran), bayuk a daung (kiasan), bayuk a bangsa (patriotik), bayuk a kabpikat (bercerai) dan beberapa lagi.
Melalui pantun, aspek yang pertama sekali dilihat ialah susunan rimanya. Misalnya a, b, a, b atau boleh jadi a, a, a, a. Suku kata pantun antara 8-12 suku kata. Demikian juga pembayang dan maksud. Pembayang pada pantun sebaik-baiknya ialah imej yang boleh dibayangkan, contohnya alam sekitar. Maksud pada pantun merujuk kepada mesej yang ingin disampaikan kepada audiens secara jelas atau secara berkias.
Manakala melalui bayuk, penggunaan sinonim atau perkataan seerti amat dipentingkan. Perkataan ini diturunkan dalam tiap-tiap rangkap yang menunjukkan peralihan tingkat emosi. Malah, bukan sahaja perkataan yang seerti tetapi ayat atau baris setiap rangkap turut kelihatan seerti. Itu itu, seseorang yang ingin menguasai seni bayuk perlu memahami bahasa Iranun dan perlu tahu konsep walu a magatag-atag atau lapan perkataan seerti.
Demikian juga dengan penggunaan bahasa. Bayuk menggunakan bahasa Iranun klasik dalam kebanyakan baitnya. Sebagai contoh, dalam bahasa pertuturan seharian kualungan ku kanguda aken yang bermaksud ketika aku masih muda dahulu, jika dialihkan dalam bayuk akan menjadi guani ku raga aken.
Apa yang dititikberatkan dalam bayuk ialah maksud yang hendak disampaikan. Bayuk terdiri daripada serangkap, dua rangkap atau tiga rangkap. Namun ada juga bayuk yang terdiri daripada enam rangkap. Jika bayuk tersebut mempunyai lebih serangkap, maka rangkap pertama dikenali sebagai ilanu’ atau sampiran. Ilanu’ berfungsi sebagai pembuka wacana, yang membolehkan audiens melihat isi dan isu yang hendak disampaikan.
Rangkap pertama biasanya menggambarkan suatu peristiwa atau keadaan yang biasa atau sederhana. Kata-kata pada rangkap kedua menggambarkan peristiwa yang sama, namun emosi yang dicerminkannya menjadi lebih berat dan hebat berbanding rangkap sebelumnya. Contohnya dalam bayuk dua rangkap, bayuk pertama:
Rangkap Pertama (R1)
Miseg den su garai,
makaruran sa dapat.
(Terjemahan)
Bergeraklah garai,
Bermuat rasa hati.
Rangkap Kedua (R2)
Tumulak den su karangkapan,
makaid sa uragis’.
(Terjemahan)
Bertolaklah karangkapan,
Membawa rajuk dan kecewa.
Jika diperhatikan secara teliti dua rangkap bayuk pertama itu, kita akan mendapati bahawa kedua-dua rangkap itu memiliki pengertian yang sama. Bayuk tersebut menceritakan tentang pergerakan kenderaan air (garai dan karangkapan) yang membawa rasa hati. Dalam hal ini, garai dan karangkapan ialah metafora bagi seorang individu yang amat mengharapkan perhatian. Oleh sebab kecewa, individu tersebut membawa diri.
Bayuk pertama digolongkan dalam jenis bayuk a uragis atau bayuk merajuk. Perkataan yang digunakan hampir semua sama maknanya. Miseg (R1) bermakna beranjak, tumulak (R2) bermakna bertolak (untuk kapal air), atau bergerak dengan maksud akan pergi jauh.
Garai (R1) dengan karangkapan (R2) ialah dua jenis kenderaan air. Garai atau garay ialah kapal perang pada abad Ke-18 dan 19 yang digunakan oleh orang-orang Balangingi, Iranun dan Suluk untuk menyerang serta membinasakan kapal-kapal Barat di perairan Nusantara. Karangkapan pula ialah sejenis kapal pembawa barang yang belayar dari satu tempat ke satu tempat untuk tujuan perdagangan.
Makaruran (R1) bermakna bermuat, Makaid (R2) bermakna membawa. Kedua-duanya hampir sama, tapi sifat makaruran lebih kepada hanya menumpangkan, sedangkan makaid (R2) bermakna membawa dalam masa yang lama. Dapat (R1) bermaksud ‘tersinggung apabila mendapat tahu suatu perkara yang selama ini dirahsiakan; uragis (R2) bermakna perasaan berjauh hati atau merajuk.
Jika dilihat sekali lalu, kita akan mengerti bahawa bayuk itu melukiskan pergerakan kenderaan air ke suatu tempat. Pada R1, dilukiskan sebuah garai, sebuah kapal perang bermuat rasa hati. Melalui R2, digambarkan sebuah karangkapan, sebuah kapal besar untuk tujuan berdagang, bertolak membawa rajuk dan kecewa.
Jika pada R1, apabila tiba ke suatu tempat yang tidak jauh, maka muatan garai (rasa hati yang sifatnya tidak lama) akan dibongkar dan diturunkan, kerana garai dikhususkan untuk berperang, bukan pembawa barang. Ironisnya pada R2, rasa rajuk (yang biasanya ditanggung bertahun-tahun) dibawa belayar oleh karangkapan, dalam perjalanan untuk berniaga di negeri-negeri yang jauh.
Salah satu fungsi rangkap-rangkap dalam bayuk adalah untuk memperluas tanggapan tentang maksud yang hendak disampaikan meskipun disampaikan dalam bentuk kiasan dan mempunyai tingkat-tingkat perasaan tertentu.
Penggunaan imej-imej alam seperti bulan, bintang dan matahari dalam bayuk, berfungsi sebagai metafora. Kesemua bayuk yang saya temui menggunakan unsur-unsur kosmos sebagai wacana. Ini disebabkan oleh kehidupan masyarakat Iranun pada masa dahulu yang berpandu kepada alam semesta dalam melaksanakan aktiviti harian seperti belayar, menangkap ikan, bertani atau berburu. Contohnya dalam bayuk kedua:
Rangkap Pertama (R1)
U tantu ka a bpamikiren,
su pagarayan u aig,
dawag ka sa paduman;
a mititai ka ku ragat.
(Terjemahan)
Jika kau sungguh memikirkan,
gelimang air yang indah,
hulurkan pedoman (bagaimana);
untukmu meniti samudera.
Rangkap 2 (R2)
U benar ka a bpangarendemen,
su rambayung a layagen,
begai ka sa tanda’;
a mirapas ka ku kaludan.
(Terjemahan)
Jika benar kau mengimpikan,
kecantikan lembayung di tempat belayar,
berikanlah tanda (bagaimana),
untukmu merentas segara.
Jenis bayuk kedua ialah bayuk a baung atau bayuk berkias. Bayuk berkias disampaikan oleh penyair kepada seseorang yang telah berjaya menambat hatinya. Namun dia belum tahu sama ada individu itu menyukainya atau hanya sekadar berbuat baik kepadanya. Jadi, penyair mahu agar individu yang dimaksudkan dapat memberikan sebarang isyarat mengenai pendiriannya dan apa yang dirasainya.
Perkataan tantu (R1) dan benar (R2) bermakna benar. Bpamikiren (R1) bermaksud memikirkan dan bpangarendemen (R2) bermaksud memikirkan dengan lebih mendalam. Aig (R1) bermakna air namun dalam bayuk ini bermakna laut dan layagen (R2) bermakna tempat belayar atau air/laut. Dawag (R1) bermakna hulur dan begai (R2) bermaksud beri. Kedua-duanya punyai makna yang hampir sama.
Paduman (R1) bermakna pedoman, tanda (R2) bermakna tanda atau kesan. Mititai (R1) bermakna dapat dibawa meniti, mirapas (R2) bermakna dapat dibawa merentas. Ragat (R1) dan kaludan (R2) bermakna samudera, lautan atau segara.
Penyair bijak menggunakan simbol-simbol alam sebagai kiasan. Misalnya dalam pagaraian u aig (R1) atau gelimang air yang indah yang disebabkan oleh pancaran matahari pada alun dan gelombang yang berada di tengah samudera. Oleh sebab itu, jika individu itu mahu juga melihatnya, maka dia perlu menggunakan pedoman (dawag ka sa paduman) berupa kompas agar dia lebih yakin dalam pelayarannya. Atau jika diertikan secara langsung, dawag ka sa paduman bermakna nyatakan sikap anda.
Saranan itu juga diperkuat dalam R2, su rambayung a layagen atau kecantikan lembayung di tempat belayar yang menggambarkan keindahan lembayung di kala senja di tempat belayar, perlu diiringi dengan usaha dan kesabaran untuk mendapatkannya. Justeru penyair menyarankan agar individu itu perlu mempunyai tekad yang kuat (begai ka sa tanda’) jika mahu merentas segara.
Di sini dapat dilihat bahawa dalam R1 gambaran tentang keinginan manusia untuk melihat keindahan laut yang disebabkan oleh permainan cahaya matahari petang dan diperkuat lagi dalam R2 dengan imej warna lembayung di langit ketika lewat petang di tempat belayar (rambayung sa layagen) yang sering mempesonakan ribuan manusia. Contohnya terkandung dalam bayuk ketiga:
Rangkap Pertama (R1)
Lumalabu’ su kapal,
di’ kaludan di’ kilid,
da’ man a gkalabuan,
pasudan man ku malim,
kalalagan ku lalung.
(Terjemahan)
Kapal yang sedang berlabuh,
bukan di laut bukan juga di pesisir,
tiada tempat pula untuk berlabuh,
disebabkan oleh malim,
cerdik dalam dungu.
Rangkap Kedua (R2)
Ma’ampir su galila,
sa di’ laud di’ dedsa’an,
da’ a gkabarantanan,
puku’ ku jurubasa,
dupang ku maungangen.
(Terjemahan)
Galila yang di luar pantai,
bukan di laut lepas atau di tempat ombak berderai,
tiada tempatnya membongkar sauh,
berpunca daripada jurubahasanya,
bodoh dalam bijaksana.
Tidak dinafikan, bayuk ketiga turut menggambarkan aktiviti masa silam masyarakat Iranun. Aktiviti yang paling dekat dalam hati mereka ialah kehidupan maritim. Dalam konteks zaman dahulu, pengetahuan orang Iranun tentang arah angin, ombak, buruj di langit tidak dapat disangkal. Mereka menggunakan kompas yang disebut sebagai paduman bagi menentukan jarak dan mata angin ketika belayar.
Kemahiran mereka tentang jenis-jenis kapal memang mengagumkan. Kapal-kapal seperti galila, garai, karangkapan sering digunakan dalam bayuk menandakan mereka tidak asing dengan kapal-kapal ini. Mungkin mereka pernah terserampak dengan kapal ini di perairan Nusantara. Misalnya galila atau ghali yang merupakan kapal besar yang digerakkan oleh dayung atau layar pada abad Ke-15 hingga Ke-18 di Laut Mediterranean.
Bayuk ketiga termasuk dalam bayuk a ilat atau bayuk sindiran. Selalu digunakan untuk menyindir orang-orang besar atau pemimpin yang salah dalam cara menangani situasi sehingga merugikan masyarakat di bawahnya, meskipun masalah tersebut mampu diatasi dengan mudah.
Kedua-dua rangkap, iaitu R1 dan R2 melukiskan keadaan kapal yang terumbang-ambing antara laut lepas dan pantai, kerana orang-orang yang berperanan penting di dalamnya kelihatan sukar membuat keputusan, walaupun mereka terdiri dalam kalangan intelektual dan orang yang diberi kuasa. Hal ini bukan sahaja merugikan, tetapi juga membazirkan masa dan tenaga.
Lumalabu’ su kapal (R1) dengan maampir su galila (R2) memaparkan keadaan kapal yang menunggu masa untuk berlabuh; di’ sa kaludan di kilid (R1) dan di’ sa laud di’ dedsa’an (R2) memaparkan keadaan bahawa kapal tersebut bukan di laut lepas, tapi bukan juga di dermaga atau di tepian. Da’ man a gkalabuan (R1) dan da’ a gkabarantanan (R2) kedua-duanya bermaksud tiada tempat membongkar sauh.
Pasudan man ku malim, bermakna disebabkan oleh malim. Malim, jurumudi atau penunjuk arah ialah jawatan penting dalam kapal yang berperanan menentukan haluan pelayaran; kalalagan ku lalung atau cerdik dalam dungu yang membawa maksud seseorang yang tahu tetapi tidak dapat menggunakan pengetahuannya untuk membuat keputusan ketika amat diperlukan.
Puku’ ku jurubasa bermakna kerana jurubahasa. Dalam sebuah pelayaran, peranan jurubahasa sangat diandalkan kerana mereka adalah pemudah cara dalam sebarang interaksi antara kapal yang diwakilinya dan pihak di luar kapalnya sehingga keputusan dipersetujui. Dupang ku maungangen atau bodoh dalam bijaksana membawa maksud bicaranya tidak diterima akal namun mengaku dirinya bijak.
PENUTUP
Demikianlah bayuk secara ringkas yang kaya dengan perlambangan dan kiasan. Bayuk ialah khazanah sastera yang menjadi kebanggaan masyarakat Iranun. Sebagai rujukan, puisi-puisi di atas telah penulis rekod pada 2010 melalui perbualan penulis dengan Pengerusi Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) ketika itu, Haji Masrin Haji Hasin (Allayarham).
Pantun dimiliki oleh orang Melayu yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. Pantun mempunyai keindahan yang tersendiri dan terjaga. Begitu juga dengan bayuk yang dimiliki oleh orang Iranun. Bayuk berisi dengan keindahan, kelembutan dan kebijaksanaan.