Apakah yang dimaksudkan oleh dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI)?
Dasar MBMMBI ialah dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memastikan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di semua sekolah kebangsaan dan sekolah menengah serta memastikan murid boleh menguasai bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dengan fasih dan betul. Semuanya bermula dengan beberapa kajian lepas daripada pakar akademik dan pandangan guru pakar bahasa di sekolah yang dijalankan mendapati Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan. Walhasil, kajian mendapati murid sukar memahami mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Murid mengambil masa yang lama untuk memahami konsep matematik dan sains kerana terdapat segelintir pelajar kita yang kurang dan tidak memahami pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris. Hal ini memaksa guru-guru untuk mengajar dalam bahasa Melayu supaya murid dapat memahami kedua-dua mata pelajaran tersebut. Masalah seperti ini bukan sahaja dialami oleh sekolah-sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Setelah bulat air oleh pembuluh, bulat kata oleh muafakat, maka semua pihak bersetuju untuk meneruskan dasar ini dengan perincian dan matlamat yang lebih baik, sesuai dengan tujuannya yang memberi manfaat kepada negara khususnya bahasa kebangsaan. Oleh itu, kita harus maju ke hadapan dengan memanfaatkan dasar ini melalui memartabatkan bahasa Melayu di samping mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris yang menjadi bahasa antarabangsa.
Kita harus melihat kekuatan dan impak positifnya, dasar MBMMBI yang menetapkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran subjek lain di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah, bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan Cina dan bahasa Tamil di sekolah jenis kebangsaan Tamil. Dasar MBMMBI juga dilaksanakan di sekolah melalui pendekatan mengembalikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa akademik di semua institusi pendidikan bagi memartabatkan bahasa kebangsaan kita tanpa mengabaikan penggunaan bahasa Inggeris malah KPM menyarankan agar pihak sekolah, institusi pendidikan dan universiti mengukuhkan kemahiran bahasa Inggeris di peringkat akademik khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran oleh pendidik. Dasar MBMMBI juga dilaksanakan di sekolah melalui pendekatan mengembalikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pdp sains dan matematik, meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris melalui pelaksanaan tambahan waktu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), transformasi kurikulum, peningkatan kapasiti guru dan sumber manusia, penyediaan bahan dan peralatan serta mengintegrasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam PdP.
Kepentingan Dasar MBMMBI kepada Negara
- Memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan;
- Memantapkan kemahiran berbahasa Inggeris;
- Meningkatkan semula prestasi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris;
- Meningkatkan semula minat pelajar untuk mempelajari mata pelajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris;
- Mengatasi masalah keciciran pelajar kurang mahir dalam subjek bahasa Inggeris.
Jika ditelusuri oleh semua pihak, dasar ini akan memberi satu kesan positif yang amat besar kepada masyarakat, terutamanya guru, pensyarah dan pelajar dalam meningkatkan lagi mutu sistem pendidikan negara kita. Di samping itu, impak dasar MBMMBI kepada bahasa Melayu ialah kita dapat memantapkan penggunaan dan pengajaran bahasa Melayu di samping menyemai sifat ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. Selain itu, bahasa Inggeris dapat diperkasakan secara berterusan tanpa menyekat fungsinya sebagai bahasa antarabangsa dalam kalangan masyarakat. Secara tuntasnya, dasar MBMMBI merupakan dasar yang terbaik dalam meningkatkan sistem pendidikan negara kita dan perubahannya bergantung kepada mutu kualiti dan peningkatan sistem pendidikan serta prestasi pada masa akan datang. Jelas sekali, dasar MBMMBI dapat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Terdapat pelbagai prakarsa, antaranya melaksanakan dasar MBMMBI melalui pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris diperkukuh menerusi pendekatan yang lebih berkesan dengan merujuk kepada SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 1/2010: PELAKSANAAN DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA DAN MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI).
Hal ini bermaksud, dasar MBMMBI juga merupakan satu usaha murni bagi memantapkan kemahiran berbahasa Inggeris tidak kiralah sama ada secara lisan ataupun bertulis dalam kalangan pelajar khususnya bagi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa Inggeris seiring dengan tuntutan bahasa ilmu di peringkat antarabangsa. Tanpa bersifat prejudis, terdapat impak positif dalam mengukuhkan bahasa Inggeris khususnya dalam sistem pendidikan negara, antara kesan positifnya ialah sebagai pendedahan awal dan persediaan murid kepada pelbagai bidang sains dan matematik seperti biologi, fizik dan kimia pada peringkat lebih tinggi seperti bidang pekerjaan, iaitu kewartawanan, kedoktoron, kejuruteraan, arkitek di peringkat ijazah dan sebagainya lebih cenderung kepada bahan pembelajarannya kepada bahasa Inggeris.
Dasar MBMMBI merupakan satu usaha murni bagi memantapkan kemahiran berbahasa dalam kalangan pelajar tidak kira bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris, bagi mengekang impak gelombang bahasa yang kian kritikal dan perubahan mendadak menjadikan prestasi pembelajaran semakin merosot tidak kira di desa mahupun di kota seperti bahasa rojak dan bahasa media sosial yang semakin lama semakin menular dalam kalangan remaja melalui pelbagai aplikasi yang mudah dimuat turun oleh mereka malah menjadi tuntutan kepada budaya media massa. Selain itu, pihak KPM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka kini sentiasa komited dengan mengadakan pelbagai program dan aktiviti di bawah dasar MBMMBI seperti dalam bidang koakademik; Pertandingan Menulis Karya Kreatif seperti menulis sajak dan prosa seperti cerpen dan menulis esei dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di semua peringkat sama ada sekolah rendah, sekolah menengah dan prauniversiti (Tingkatan 6) malah pelbagai program bahasa yang melibatkan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang lain juga dilihat positif seperti pertandingan forum remaja, pidato dan pengucapan awam serta banyak lagi perlu diletak di bawah label program MBMMBI agar dilihat sesuai dengan matlamat dasar ini. Usaha memartabatkan bahasa Melayu ini juga dilihat relevan seiring dengan teras kepada sistem peperiksaan di negara kita serta merupakan syarat wajib kelulusan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ghalibnya, pihak kerajaan sentiasa komited dan nekad untuk memartabatkan bahasa Malaysia dan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris dengan inisiatif yang dirancang dengan teliti. Tambahan lagi, dasar MBMMBI juga telah pun difikirkan secara teliti dan selaras dengan keperluan negara untuk memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.
#bahasa
#pendidikan