Era digital dan kemunculan kecerdasan buatan (AI) membawa pelbagai cabaran baharu terhadap penggunaan bahasa Melayu, daripada kesilapan ejaan dan tatabahasa hingga ke penggunaan istilah teknikal yang tidak konsisten. Isu ini bukan sesuatu yang asing, malah telah menjadi perhatian sejak beberapa dekad lalu, namun hal ini terus menuntut pendekatan proaktif dan bersepadu. Dalam konteks institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia, perpustakaan akademik memainkan peranan strategik yang tidak boleh dipandang remeh dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan, seiring dengan keperluan menguasai bahasa Inggeris dalam arena global.
Sebagai hab ilmu dan pusat pengetahuan, perpustakaan akademik bukan sekadar menyimpan buku dan bahan rujukan, tetapi turut menjadi benteng pemartabatan bahasa Melayu. Platform ini menyalurkan kepakaran, menyediakan sumber rujukan sahih, dan mendorong warga universiti untuk menggunakan bahasa kebangsaan secara tepat, kreatif, inovatif dan relevan dengan tuntutan semasa.
Perpustakaan akademik telah berjaya menongkah pelbagai cabaran selaras dengan hasrat kerajaan Madani, sambil membina platform yang berpotensi besar dalam mengubah cara manusia berfikir, bekerja dan membuat keputusan.
Pembudayaan Bahasa Melalui Program Ilmu
Setiap kali tibanya bulan Oktober, sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan di perpustakaan akademik tidak sekadar menjadi acara tahunan, sebaliknya dirangka sebagai gerakan intelektual yang menyemarakkan kecintaan terhadap bahasa dan sastera Melayu dalam kalangan warga kampus. Pelbagai pengisian diatur secara kreatif seperti pameran koleksi bertema, sesi resensi dan bedah buku, wacana bersama-sama penulis, serta pertandingan pantun dan berpidato yang menguji apresiasi bahasa dan daya fikir mahasiswa.
Sebagai nilai tambah, inisiatif perpustakaan akademik mewujudkan Sudut Sasterawan Negara yang menghimpunkan karya tokoh-tokoh penerima anugerah seperti Anugerah Sastera Negara, sekali gus memperkenalkan pemikiran, gaya bahasa dan perjuangan sastera mereka kepada generasi baharu. Usaha ini turut memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendekati karya sastera melalui pembacaan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sekali gus menanamkan penghargaan yang lebih mendalam terhadap khazanah persuratan negara. Ketampakan sudut ini juga boleh dijadikan ruang interaksi dalam kalangan mahasiswa untuk menyelami pengetahuan tersurat dan tersirat.
Selain program Bulan Bahasa, perpustakaan akademik turut menyokong dan menganjurkan program TELAAH di premis masing-masing. TELAAH merupakan inisiatif bual bicara ilmiah secara dalam talian yang diilhamkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, YBhg. Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir bertujuan mengangkat budaya keilmuan nasional melalui perbincangan mendalam tentang karya-karya berkaitan pemikiran, falsafah, dasar awam dan pembangunan ilmu. Setiap sesi menghadirkan pemikir, ilmuwan dan masyarakat dalam satu ruang wacana yang kritis, terbuka dan membina. Kehadiran TELAAH di perpustakaan akademik membuktikan bahawa institusi ini bukan sahaja ruang fizikal untuk rujukan, tetapi juga hab intelektual yang menghubungkan warga kampus dengan arus pemikiran semasa yang lebih luas dan bermakna.
Langkah tersebut selari dengan aspirasi Dekad Membaca Kebangsaan yang menekankan pembudayaan membaca sebagai asas pembinaan masyarakat berilmu dan berdaya saing. Dengan pendekatan yang lebih interaktif, kontemporari dan futuristik, perpustakaan akademik menjadi ruang hidup untuk literasi bahasa, pemikiran kritis, dan kreativiti mahasiswa.
Perpustakaan akademik turut berperanan sebagai cerminan penggunaan bahasa Melayu yang tepat, berwibawa dan berstandard tinggi dalam setiap aspek penyampaian maklumat dan perkhidmatan. Komitmen ini bukan sekadar diterjemahkan melalui penggunaan bahasa yang komprehensif dalam dokumen rasmi, papan tanda, bahan promosi dan komunikasi digital, malah diperkukuh dengan kepelbagaian aktiviti sepanjang Bulan Bahasa Kebangsaan.
Jaringan Strategik Pemangkin Globalisasi Bahasa
Inisiatif mempererat kolaborasi strategik antara universiti, pusat bahasa, perpustakaan akademik, agensi swasta dan kerajaan serta DBP wajar diperkukuh secara mampan dan diperluaskan ke peringkat global. Pendekatan ini membuka ruang kolaborasi lebih luas, termasuk penganjuran bengkel, kursus profesional, seminar ilmiah, karnival bahasa dan persidangan berskala besar, yang mampu memantapkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan wacana antarabangsa.
Pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) atau Memorandum Persefahaman (MoU) antara perpustakaan akademik dan DBP menjadi landasan strategik yang kukuh dalam merancang serta merealisasikan program kebahasaan yang berimpak tinggi. Dokumen formal ini bukan sahaja menandakan komitmen institusi, tetapi juga berfungsi sebagai rangka kerja operasional yang membolehkan pelaksanaan inisiatif bahasa secara terancang, berfasa dan berorientasikan masa hadapan, sama ada dalam jangka pendek mahupun jangka panjang.
Melalui kerangka MoU atau MoA, pelbagai program dapat digerakkan secara lebih sistematik seperti penganjuran seminar antarabangsa, bengkel terminologi bidang khusus, penerbitan bersama-sama, pembangunan glosari istilah, geran penyelidikan serta projek pendigitalan karya bahasa dan sastera. Sinergi ini menggabungkan kepakaran DBP dalam standardisasi bahasa dengan keupayaan universiti sebagai nadi ilmu, menjadikan bahasa Melayu lebih relevan dan boleh diakses secara berterusan. Mekanisme pengiktirafan menyeluruh turut diwujudkan melalui jaringan ini, memastikan setiap sumbangan dan pencapaian dihargai dan diberi pengiktirafan sewajarnya.
Dalam jangka pendek, kolaborasi ini mampu meningkatkan kesedaran dan penglibatan warga kampus terhadap kepentingan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan profesional. Manakala dalam jangka panjang, kolaborasi ini berpotensi membina ekosistem bahasa ilmu yang mapan, memperluas jaringan antarabangsa serta memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penyelidikan, penerbitan dan wacana berimpak. Dengan strategi bersepadu ini, bahasa Melayu bukan sekadar bahasa rasmi, tetapi menjadi bahasa ilmu, inovasi, dan diplomasi intelektual di persada dunia, selaras dengan aspirasi Madani.
Pendigitalan Warisan Sastera dan Capaian Akses Terbuka
Dalam era digital, perpustakaan akademik memainkan peranan penting sebagai penjaga dan pemelihara warisan sastera Melayu. Melalui inisiatif pendigitalan, karya klasik, manuskrip, dan bahan rujukan berbahasa Melayu kini dapat diakses secara elektronik, membuka ruang ilmu kepada warga kampus dan masyarakat umum tanpa sempadan fizikal. Usaha ini turut merangkumi penyediaan akses terbuka (Open Access) bagi tesis, projek tahun akhir, makalah ilmiah dan penerbitan kreatif berbahasa Melayu yang merujuk kepada fakulti dan kursus yang menawarkan pengajian bahasa Melayu, maka akses terbuka ini dapat memperluas penyebaran ilmu kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa. Walaupun jumlah bahan yang tersedia masih terhad, strategi ini wajar diperkasakan secara berterusan demi memastikan bahasa Melayu terus relevan dalam ekosistem digital global.
Platform digital ini turut menjadi ruang interaktif untuk generasi baharu mengenali warisan sastera dan intelektual bangsa, melalui koleksi multimedia, e-buku, dan repositori digital seperti i-Pustaka, Malaysian Theses Online (MyTO) dan eRepositori DBP. Mahasiswa boleh mengakses manuskrip klasik seperti Sejarah Melayu, karya sasterawan terkemuka, serta bahan kajian moden yang menggunakan bahasa Melayu sebagai medium utama. Dengan cara ini, perpustakaan akademik membina jambatan antara tradisi dan teknologi, memelihara identiti kebangsaan, dan memartabatkan bahasa Melayu dalam konteks penyelidikan dan pendidikan kontemporari.
Pendigitalan dan akses terbuka turut membolehkan kerjasama antarabangsa berkembang, di mana universiti lain, pusat bahasa, dan institusi budaya dapat memanfaatkan koleksi ini untuk penyelidikan, seminar, atau projek pendidikan bersama. Langkah ini bukan sahaja memperluas pengaruh bahasa Melayu sejagat, malah meneguhkan peranan perpustakaan akademik sebagai pusat ilmu yang inovatif, inklusif dan progresif.
Perpustakaan akademik bukan sekadar penjaga ilmu, tetapi juga pemangkin transformasi budaya intelektual bangsa. Melalui program Bulan Bahasa Kebangsaan, Sudut Sasterawan Negara, jaringan strategik bersama-sama DBP, serta inisiatif pendigitalan dan akses terbuka, institusi ini memastikan bahasa Melayu bukan sahaja dipelihara, tetapi terus diperluas penggunaannya di peringkat akademik dan dunia. Dengan pendekatan holistik ini, bahasa Melayu kekal hidup, relevan dan dihargai oleh generasi kini serta akan datang sebagai bahasa ilmu, inovasi, dan diplomasi intelektual di persada dunia.
