TANPA pengalaman bimbingan berkarya ataupun sebarang nasihat daripada pengarang-pengarang besar, saya melangkah ke dalam sebuah toko buku. Saya pergi ke ruangan buku sastera antarabangsa. Saya capai buku Dan Brown dan saya ingat novel The Da Vinci Code kerana filemnya dan permainan videonya telah saya main terlebih dahulu. Maka saya beli buku itu tanpa banyak bicara. Entah sedap atau tidak, saya baca dahulu.
Saya menyukai karya-karya Dan Brown kerana ia bergerak pantas. Dan tika itu juga, nama Paulo Coelho juga meningkat naik. Maka saya mula membeli buku The Alchemist, kerana kugiran Billy Talent ada menyebut buku itu selaku “Bible” mereka dalam perjuangan bermuzik. Ah, ceritanya sarat motivasi dan juga tidak lewah. Mudah membacanya.
Namun, perlahan-lahan saya mula jemu. Saya mahukan cabaran dalam pembacaan. Saya mula membelek buku-buku Haruki Murakami dan tertarik dengan 1Q84. Meskipun tebal, saya tidak teragak-agak membeli dan membacanya.
Ketika itu, syarikat pembinaan tempat saya bekerja berdepan masalah di tapak bina dan berada dalam proses penamatan kerja atas persetujuan bersama. Maka, kebanyakan waktunya, saya hanya duduk termenung di pejabat tapak yang terletak di tebing sungai, memerhati rakan-rakan sekerja memancing sambil menunggu surat pemberhentian kerja.
Saya tidak mengikuti Minggu Penulis Remaja. Saya tidak mengikuti perkembangan dunia penulisan tempatan sehinggalah saya menulis novel pertama saya yang berjudul Selamat Datang ke Narkisa pada usia 28 tahun. Saya tidak ambil tahu pun novel yang bagaimana boleh dijual di pasaran dan novel apakah yang tidak akan atau tidak dikehendaki oleh khalayak pembaca. Kebanyakan waktunya saya ibarat meraba-raba di dalam gelap mencari cahaya, tanpa ada sesiapa pun yang menggenggam tangan saya, lalu membawa saya keluar daripada kegelapan itu. Namun, perjalanan dalam gelap itulah yang menemukan saya dengan pelbagai perkara – yang boleh saya golongkan selaku kematangan dalam pengkaryaan.
Perjalanan membina kota kepengarangan ini samalah seperti apa yang Paulo Coelho nyatakan perihal kembara ke kota asing. Dalam novel Aleph, kita dibawa merentasi perjalanan meredahi laluan rel kereta api Trans-Siberian dan ditunjukkan kembara menakjubkan. Kita hanya mampu mengenali sesebuah kota andai kita berjalan sendiri ke dalam seliratan bahasa asing, bertemu dengan orang asing yang pelbagai sikap dan juga menyaksikan realiti semasa kota itu – jeliknya mahupun keindahannya, kejahatan yang tersorok di dalam keindahan yang melitupi kotanya. Andai kita memilih untuk melancong bersama-sama pemandu pelancong terlatih – kita akan disuguhkan dengan wajah kota sepertimana yang pemandu pelancong itu mahu kita tatap. Besar kemungkinan, kita tidak punya peluang untuk mengenal kota itu dengan wajah sebenarnya, sekali gus mencari jiwa kita dalam kota berkenaan – hanya kerana laluan kembara kita sudah ditentukan orang asing.
Begitulah juga dengan kerja membina kota kepengarangan.
Bimbingan demi bimbingan secara langsung dalam penulisan ini memang baik – tetapi harus diingat, ia bukanlah panduan. Ia hanya ulasan dan bukan undang-undang yang harus dipatuhi.
Apabila saya diminta oleh editor Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak untuk memberi bimbingan kepada pengarang-pengarang baharu berdasarkan cerpen-cerpen yang ditulis dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera, saya membaca setiap karya tersebut dan menggunakan pengalaman pembacaan saya untuk mengasingkan mana-mana bahagian yang enak dibaca dan mana-mana bahagian yang kurang elok.
Saya sering menanyakan soalan yang jawapannya bersifat fizikal seperti “Kenapa karya ini sedap?” – saya tidak lagi mengungkapkan keenakan sesebuah karya sebegitu sahaja. Sepertimana makanan, kita tahu mengungkapkan kekurangan atau masalahnya secara fizikal – mungkin terlebih masin, maka harus dikurangkan garamnya. Atau mungkin kurang pedas, maka harus ditambah cilinya. Sebolehnya, saya mahu berikan solusi yang boleh dipraktikkan serta-merta – bimbingan tidak bermakna jika pengarang yang dibimbing masih keliru dengan tunjuk ajar yang diberikan.
Harus diingatkan, pengalaman pembacaan ini tidaklah dipupuk melalui sekolah pemikiran tertentu. Ia dibina berdasarkan banyak faktor yang bergumpal menjadi satu – maka, seperti pemandu pelancong terlatih, saya memiliki tanggapan tersendiri terhadap terma “kepengarangan” yang barangkali tidak sama dengan pengarang-pengarang lain.
Saya tidak berpegang pada prinsip bahawa terdapat format cerpen sempurna – bahkan kadangkala ketidaksempurnaan itu boleh menjadi penyedap pada proses pembacaan. Meletakkan peraturan ataupun undang-undang ke dalam sastera akan mengehadkan kreativiti pengarang baharu untuk meneroka spektrum penulisan yang lebih luas.
Pokok pangkalnya, apa-apa yang boleh digazetkan selaku peraturan dalam mengarang cerpen hanyalah sekadar panduan supaya sesebuah cerita itu sampai kepada pembaca. Terlalu rinci, akan menidakkan kreativiti. Maka pembimbing berdepan sedikit kesukaran di sini – jika penjelasan yang diberikan terlalu spesifik, hingga seolah-olah memberi tanggapan kepada pengarang baharu yang dibimbing bahawa kaedah yang dikemukakan itu adalah satu-satunya kaedah terbaik dalam mengarang cerpen, itu suatu kegagalan pada pembimbing.
Oleh yang demikian, selaku pembimbing penghasilan karya kreatif – sesekali diberikan gambaran demi gambaran yang sedikit kabur tetapi memaksa pengarang baharu untuk berfikir dengan harapan, proses pemikiran inilah yang akan membantunya dalam menghasilkan karya-karya yang lebih baik.
Sudahnya, apa-apa yang membataskan pembaca untuk menikmati karya seseorang pengarang hanyalah selera pembacaan. Tiada pengarang mampu berbuat apa-apa ke atas selera pembacaan setiap pembaca yang beraneka dan sangat dinamik ini.
Selaku pengarang, baik baharu ataupun lama, kita dianugerahkan kemampuan untuk menganalisis maklumat sekeliling dan mencerapnya lalu membentuk kefahaman baharu yang kita imani secara peribadi tanpa dipengaruhi faktor-faktor luaran secara semberono. Tidak, kemampuan untuk berfikir secara kritis ini adalah salah satu faktor utama kenapa seseorang itu menjadi pengarang dan terus mengarang.
Selama berbelas tahun dalam dunia kepengarangan, saya mendapati, perkara yang menentukan kepanjangan riwayat kepengarangan itu lazimnya adalah tujuannya mengangkat pena itu sendiri. Seorang pengarang yang hanya menulis sebuah buku tidak sama matlamatnya dengan pengarang yang menulis berpuluh-puluh buah buku.
Kesungguhan menghasilkan karya baharu saban tahun tidak boleh dibimbing sesiapa. Pengarang harus sentiasa bertanya pada diri dan membina seribu satu alasan kukuh untuk terus menghasilkan karya-karya baharu. Semestinya, pada permulaan, karya yang dihasilkan itu kurang berkualiti, tidak sampai penceritaannya mahupun mesejnya ataupun tidak menghadirkan kesan yang didambakan kepada pembaca. Bertitik tolak dari sinilah, pengarang harus sentiasa mencari dan mencari, apakah cara terbaik untuk menghasilkan karya yang baik. Perkara ini tidak wajar diajar sebenarnya, tetapi diterokai sendiri. Melalui penerokaan ini, barulah suara kepengarangan yang unik itu dapat dibina.
Pengarang juga harus memilih mazhabnya sendiri. Pengarang harus memilih untuk menjadi pengarang jenis apa. Pengarang harus memilih untuk menulis sekerap mana – semuanya jatuh pada keputusan pengarang itu sendiri dan bukannya pembimbing.
Saya sendiri mencerap maklumat sekeliling, menanyakan soalan yang berpangkal lima – the Five W’s, iaitu Why, Who, Where, When, What yang akan saya jungkirkan dengan pertanyaan “bagaimana jika…” demi mencipta sebuah karya kreatif. Saya tonton filem-filem di Netflix sambil memikirkan, kenapa ada filem yang menarik dan kenapa ada yang membosankan? Saya baca sebegitu banyak buku pelbagai genre dan menelaah strukturnya demi mendapatkan inti pati kepengarangan, dengan harapan saya dapat beroleh cara menghasilkan karya yang lebih baik dari hari ke hari. Saya mendepani kesusahan hidup, kegembiraan dan kedukaan, petaka dan kejayaan lalu menggunakan karya kreatif untuk merakamnya dengan berpenakan kematangan yang dibina dari semasa ke semasa.
Barangkali, saya boleh membukukan bagaimana kaedah mencerap pengalaman sekeliling, cara-cara membaca dan memilih bahan bacaan, cara-cara menonton filem dan anime untuk membina kepengarangan. Namun, adakah kaedah yang saya praktikkan itu berkesan ke atas pengarang-pengarang lain? Semestinya tidak. Pengarang yang berfikiran kritis akan mengambil apa-apa yang sesuai dengan dirinya dan tidak menelan bulat-bulat apa-apa yang disuguhkan kepadanya.
Melalui proses di atas, membina kota kepengarangan akan jadi suatu proses yang tidak pernah selesai, tetapi ia menemukan saya dengan diri saya sendiri. Saya lebih kenal diri saya melalui garapan kata-kata yang saya turunkan pada fail Words yang terpampang di skrin laptop setiap hari dan menemukan hal-hal baharu. Dan apa yang saya lalui ini semestinya tidak sama dengan mana-mana pengarang lain. Proses kreatif dalam penghasilan karya saya tidak sama seperti orang lain. Bagaimana saya mahu mengajarkan pengalaman hidup yang hanya saya tempuhi kepada pengarang-pengarang baharu yang pastinya punya jalan hidup berbeza?
Saya berharap pengarang-pengarang baharu akan begitu juga – dibimbing secara langsung itu memang bagus, tetapi selaku pengarang dalam dunia kreatif – anda sendiri adalah pembimbing yang terbaik. Lorong kehidupan setiap pengarang itu berbeza, maka terokailah ia dengan pancaindera seluasnya.