MENGAPA kita mengajar? Adakah sekadar untuk menyampaikan pengetahuan atau mencorakkan pemikiran generasi akan datang? Pertanyaan ini sering menghantui diri penulis sebagai seorang guru. Dalam dunia yang semakin kompleks dan global, tugas seorang pendidik menjadi lebih luas daripada sekadar mengajar mata pelajaran.
Program pertukaran guru ke Korea Selatan yang penulis berpeluang sertai memberi penulis peluang untuk meneroka bagaimana nilai pendidikan dapat diperkaya melalui pendekatan global, khususnya dalam membentuk kewarganegaraan sejagat.
Program anjuran Kementerian Pendidikan Republik Korea melalui UNESCO Asia Pacific Centre of Education for International Understanding (APCEIU) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), telah membuka ruang untuk penulis mengaplikasikan nilai-nilai Global Citizenship Education (GCED) dalam setiap aspek pengajaran dan pembelajaran, dari bilik darjah hingga kepada aktiviti di luar kelas.
Konteks dan Kepentingan Pendidikan Global
Pendidikan pada masa ini tidak lagi boleh tertumpu pada sempadan negara. Di tengah-tengah landskap global yang dinamik, pelajar perlu memahami bahawa mereka adalah sebahagian daripada komuniti dunia yang lebih besar. Global Citizenship Education (GCED) ialah pendekatan yang berusaha untuk melahirkan pelajar yang peka terhadap isu global, mempunyai rasa tanggungjawab sosial, dan bersedia untuk bertindak dalam menghadapi cabaran dunia.
Di Daedong Middle School, Pohang, Korea Selatan, iaitu lokasi penulis ditempatkan, pelaksanaan GCED tidak sekadar teori, namun turut dihayati dalam setiap aspek kehidupan pelajar. Di sinilah penulis melihat bagaimana pelajar Korea dididik untuk menjadi warganegara yang global, yang bukan sahaja memahami isu tempatan tetapi juga berusaha untuk memahami cabaran dunia. Penulis percaya perkara tersebut menjadi asas yang perlu diserapkan dalam sistem pendidikan di Malaysia, khususnya dalam usaha menyiapkan pelajar bukan sahaja untuk menghadapi peperiksaan, tetapi juga untuk berdepan dengan cabaran dunia yang semakin mencabar.
Integrasi Permainan dalam Pembelajaran
Penulis memperkenalkan permainan simulasi yang meniru situasi dunia sebenar, seperti pengurusan sumber alam atau konflik global. Melalui permainan ini, pelajar diminta untuk membuat keputusan yang mencerminkan peranan mereka sebagai warganegara tempatan dan global.
Permainan ini menekankan tanggungjawab bersama dan kesan keputusan individu terhadap komuniti yang lebih besar, selari dengan nilai GCED. Dalam konteks ini, pelajar mula memahami bahawa tindakan mereka, walaupun kecil, mempunyai implikasi yang besar kepada masyarakat global. Aktiviti ini tidak hanya merangsang pemikiran kritis mereka, tetapi juga memupuk empati terhadap situasi dan cabaran yang dihadapi oleh komuniti lain di seluruh dunia.
Sebagai contoh, dalam aktiviti permainan layang-layang yang penulis jalankan, pelajar bukan sahaja belajar cara menerbangkan layang-layang, tetapi juga diajar untuk memahami nilai simbolik dan budaya di sebalik permainan tradisional ini. Penulis menggunakan pertandingan reka bentuk layang-layang, yang memerlukan setiap pelajar atau kumpulan untuk mereka bentuk layang-layang yang mencerminkan isu global seperti keamanan, perpaduan, atau kemampanan.
Aktiviti ini membantu pelajar memahami isu global dari sudut pandang yang lebih kreatif dan personal, sekali gus menghubungkan mereka dengan budaya tempatan dan antarabangsa. Mereka belajar bahawa walaupun kita datang dari latar belakang yang berbeza, nilai-nilai asas kemanusiaan adalah sama di seluruh dunia.
Penelitian menunjukkan bahawa pembelajaran berasaskan permainan dapat meningkatkan motivasi pelajar dan memperdalam pemahaman mereka terhadap konsep yang kompleks. Menurut kajian oleh Gee (2003), permainan mempunyai keupayaan untuk menyediakan pelajar dengan persekitaran pembelajaran aktif yang membolehkan mereka bereksperimen, mencuba dan gagal, dan akhirnya belajar melalui pengalaman. Melalui permainan, pelajar juga boleh membina kemahiran kerja berpasukan dan komunikasi, yang merupakan elemen penting dalam pendidikan kewarganegaraan global.
Selain itu, pendekatan ini juga selaras dengan Teori Konstruktivisme yang dikemukakan oleh Vygotsky, yang menekankan bahawa pembelajaran berlaku melalui interaksi sosial dan pengalaman langsung. Dalam bilik darjah, penulis berinteraksi melalui permainan yang membolehkan pelajar berkolaborasi dan berkongsi idea dalam suasana yang lebih terbuka dan menyeronokkan. Hal ini dapat mewujudkan suasana saling menghormati pandangan dan perspektif orang lain.
Budaya dan Tradisi: Menghubungkan Dua Negara Melalui Permainan Layang-layang
Sebagai sebahagian daripada peserta program ini, penulis juga mengetengahkan permainan tradisional Malaysia, iaitu layang-layang (wau), yang sangat popular dalam kalangan masyarakat Melayu, terutamanya di kawasan pantai. Layang-layang bukan sekadar permainan, tetapi mempunyai sejarah yang mendalam dalam budaya kita, sering kali berkait dengan semangat kesenian dan sukan. Di Malaysia, wau bulan misalnya, bukan sahaja diterbangkan untuk keseronokan, tetapi juga mempunyai nilai estetik yang tinggi dengan reka bentuknya yang indah dan simbolik.
Menariknya, di Korea juga terdapat permainan tradisional yang hampir serupa, iaitu Yeon Nalligi. Permainan layang-layang ini diterbangkan khususnya semasa Perayaan Tahun Baharu Lunar, dan membawa makna yang mendalam dalam konteks budaya Korea.
Di sinilah penulis melihat persamaan antara dua negara yang kelihatan berbeza, namun berkongsi nilai sejagat yang sama, iaitu menghargai tradisi, seni, dan semangat kebersamaan. Melalui aktiviti ini, pelajar bukan sahaja belajar menerbangkan layang-layang, tetapi juga memahami bahawa permainan tradisional boleh menjadi jambatan yang menghubungkan dua budaya yang berbeza.
Hal tersebut menjadi asas dalam GCED, iaitu mengenali persamaan dan perbezaan, serta menggunakannya untuk membina dunia yang lebih harmoni dan seimbang. Aktiviti permainan layang-layang ini juga mencerminkan falsafah pendidikan yang lebih luas, bahawa pengalaman bermain, sambil belajar tentang budaya dan sejarah, dapat memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang kewarganegaraan global.
Penerapan Nilai GCED Melalui Permainan Tradisional
Sebagai sebahagian daripada projek individu, penulis mengambil inisiatif untuk mengetengahkan permainan tradisional layang-layang sebagai medium untuk menyemai nilai-nilai Global Citizenship Education. Melalui kajian tentang sejarah dan simbolisme layang-layang di Malaysia dan Korea, pelajar bukan sahaja belajar tentang budaya tetapi juga melihat bagaimana permainan ini mencerminkan nilai sejagat seperti keamanan, perpaduan, dan persahabatan.
Projek ini juga melibatkan penerbangan layang-layang, iaitu pelajar diberi peluang untuk mencipta dan mereka bentuk layang-layang mereka sendiri yang melambangkan nilai positif seperti kemampanan, keharmonian, dan kesedaran global. Pengalaman ini memberikan peluang kepada pelajar untuk merasai bagaimana tradisi dan budaya boleh digunakan sebagai alat untuk mendidik dan melahirkan kesedaran tentang isu dunia yang lebih luas.
Pendidikan sebagai Jalan untuk Kewarganegaraan Global
Pengalaman penulis di Korea Selatan melalui program pertukaran guru juga membuka mata penulis tentang potensi sebenar pendidikan. Pendidikan bukan sekadar memindahkan pengetahuan, tetapi juga membentuk pelajar untuk menjadi warganegara dunia yang prihatin, bertanggungjawab, dan empatik. Global Citizenship Education memberikan tumpuan kepada pengajaran yang lebih holistik, iaitu pelajar diajar untuk memahami dunia dalam konteks yang lebih luas, dan berfikir tentang peranan mereka dalam memberikan sumbangan yang berguna kepada dunia.
Dengan mengetengahkan permainan tradisional seperti layang-layang, penulis berharap dapat menunjukkan bahawa melalui budaya dan tradisi, kita boleh membina jalinan yang menghubungkan antara negara dan masyarakat. Pengalaman ini bukan sahaja memperkaya pengetahuan dalam diri penulis sebagai seorang guru, tetapi juga memberi penulis inspirasi untuk terus berusaha dalam melahirkan pelajar yang bersifat global dan bertanggungjawab.
Pendidikan global bukanlah satu pilihan lagi, tetapi satu keperluan. Dunia pada masa ini memerlukan lebih ramai individu yang memahami kepentingan kerjasama, persefahaman, dan keseimbangan antara budaya. Sebagai pendidik, penulis berasa bertanggungjawab untuk memastikan pelajar di Malaysia dan Korea Selatan memahami hakikat ini, dan melalui program ini, penulis yakin kita sedang menuju ke arah itu.