Pengenalan
Sejak YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia Ke-10, pelbagai cara dilakukan oleh rakyat Malaysia untuk meraikannya. Penantian selama dua dekad, kiranya perlu disemarakkan. Oleh sebab itu, pelbagai medium digunakan oleh masyarakat untuk menyatakan gelodak hati sama ada gembira atau sebaliknya. Kita dapat saksikan selain buku terdapat juga filem serta lagu (dalam konteks seni) yang diciptakan khas untuk menyatakan rasa keterujaan dan kegembiraan. Lantaran itu, karyawan seperti penulis juga tidak terkecuali untuk merakamkan detik bersejarah ini. Sehubungan dengan itu, Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP) tidak ketinggalan melancarkan Antologi Puisi Khas PMX dan Malaysia Madani – Kanvas Madani.
Antologi Puisi Khas PM X dan Malaysia Madani – Kanvas Madani ini menghimpunkan sebanyak 39 karya daripada 19 orang penulis yang bernaung di bawah Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP) dalam sebuah buku. Lantaran itu tercatatlah sebanyak 39 buah puisi yang terdiri daripada sajak, syair, gurindam dan pantun. Semua nukilan ini diteliti dari aspek diksi, iaitu sama ada ungkapan, perkataan atau ayat yang menggambarkan karisma seorang yang bernama Anuar Ibrahim dalam mendepani konsep Malaysia Madani. Juga turut mendalami isi atau isu yang dipilih memenuhi tema yang telah ditetapkan.
Karisma bermaksud kualiti, juga seringkali dikaitkan dengan perwatakan seseorang yang mempunyai daya kepimpinan, daya penarik atau sifat-sifat tertentu yang berupaya menjadi perangsang kepada khalayak. Kebiasaannya, karisma ini melambangkan cara atau tingkah laku yang baik atau hebat (sama ada dari segi perbuatan atau pertuturan) yang boleh diteladani atau menjadi ikutan orang lain. Juga kajian tentang perwatakan karisma ini selalunya dilakukan terhadap seorang hero dalam sesebuah cerpen atau novel (Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi, 2018).
Namun dalam perbincangan ini, kita akan melihat sisi terpilih yang terkandung dalam buku Antologi Puisi Khas PMX dan Malaysia Madani – Kanvas Madani ini untuk diketengahkan kepada khalayak secara analisis teks. Antologi ini boleh dianggap istimewa kerana menjadikan PM X sebagai keutamaan. Jadi sejauh manakah puisi-puisi dalam antologi ini memenuhi tema dan menggambarkan karisma seorang yang bernama Anwar Ibrahim?
Makna dan Fungsi Puisi
Sebelum kita bergerak jauh menelusuri pemikiran dan isi kandungan puisi dalam Antologi Puisi Khas PM X dan Malaysia Madani – Kanvas Madani ini, molek kiranya diulang ingatan tentang makna dan fungsi sesebuah puisi terutama kepada pembaca dan peminat puisi. Seperti yang semua sedia maklum puisi terutama sajak menjadi kegemaran atau tidak keterlaluan dikatakan sebagai kegilaan orang ramai. Ketika ini semua orang mahu menulis puisi terutama sajak, lebih-lebih lagi apabila kita diperkenalkan dengan sajak healing atau penyembuh. Maka berlambaklah puisi di media sosial. Tidak ketinggalan juga yang berkemampuan menerbitkan buku sendiri. Perkembangan ini dilihat sebagai sesuatu yang menarik kerana sastera kembali digauli. Cuma lebih baik, jika setiap sajak atau buku yang diterbitkan itu bersedia untuk dibincangkan atau dikritik. Malah penulisnya juga berlapang dada menerima segala teguran untuk penambahbaikan pada masa akan datang.
Seperti yang diketahui umum, puisi bermaksud karangan berangkap yang ditulis atau disusun dalam bentuk tertentu (bebas atau terikat), mengandungi bahasa yang indah dalam menyampaikan sesuatu maksud sama ada tersurat atau tersirat. Maka kita boleh memilih untuk menulis puisi mengikut kemahuan dan kemahiran yang dimiliki. Malah isi atau perkara yang hendak disampaikan juga mengikut kehendak penulisnya dengan pelbagai tujuan dan agenda yang dihajati.
Sehubungan dengan itu, terdapat beberapa fungsi atau tujuan puisi yang boleh difahami oleh khalayak agar setiap penulisan dapat memberikan manfaat kepada semua. Hal ini bermaksud, kita menghasilkan atau mengarang sesebuah puisi tidaklah hanya sia-sia (pun begitu sia-sia ini barangkali tertakluk kepada pemahaman masing-masing, iaitu pembaca atau penulis). Terdapat beberapa fungsi atau tujuan puisi seperti; (1) meningkatkan kreativiti seseorang, (2) menjadikan perasaan lebih baik (tenang), (3) bersuara untuk meluahkan pandangan (ada agenda), (4) meningkatkan kepercayaan diri, (5) mengambil kesempatan seperti menambah pendapatan dan popular serta pelbagai lagi (Muhammad Haji Salleh, 2000). Jadi melalui fungsi puisi yang pelbagai, bercapah dan bercabang-cabang ini dapatlah diteliti serta diadili tentang puisi-puisi dalam buku antologi Kanvas Madani ini. Di mana letaknya nilai, kualiti dan juga manfaatnya?
Antologi Puisi khas PM X dan Malaysia Madani: Kanvas Madani
Keseluruhan 39 buah puisi yang terkandung dalam antologi ini menepati tema yang telah ditetapkan oleh 2PNP, iaitu puisi khas buat YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10 . Buku yang mengandungi 54 halaman ini diselenggara oleh Nordin Hashim dan Zurhan Bakar terbitan 2PNP pada tahun 2023. Daripada 39 buah puisi dibahagikan pula kepada empat genre, iaitu sajak (30), pantun (5), gurindam (3) dan syair (1) seperti yang berikut;
Sajak |
Pantun |
Gurindam |
Syair |
1. Malam 20 September 2. Penyubur Madani 3.Telunjuk Bengkok 4. Tekad Sepadu 5. Tanah Bertuah 6. Menyelusuri Cahaya Perpaduan 7. Mencari Nilai Manusiawi dalam Dakapan Warganegara Malaysia 8. Laungan Demokrasi Memecah Tembok Birokrasi 9. Sebutir Permata Berkemilauan di Bumi Bertuah 10. Mari Julang Konsep Madani 11. Teraju Dimensi 12. Kukuhkan Warisan Kita 13. Hikmah dalam Sel 14. Jati Diri PMX 15. Sateria Negara 16. Malaysia Madani 17. Bahtera Madani 18. Perjuangan Tanpa Henti 19. Keramat 20 September 1998 20. Ketika Sertai UMNO 21. Lelaki Dari Ceruk Tok Kun 22. Menanam Pohon Perpaduan 23. Bapa Madani 24. Kerajaan Perpaduan 25. Kanvas Madani 26. Damai Jiwa, Sejahtera Bangsa 27. Merisik Khabar Malaysiaku 28. Madani 29. Muara Serakah 30. Nuansa Citra Malaysia |
1. Milik Bersama 2. Berpuluh Tahun Rukun Negara (Sejak 1970) 3. Pantun Enam Nilai Teras Malaysia 4. Nilai Teras Malaysia Madani 5. Pantun Masyarakat Madani
|
1. Wajah Madani 2. Gurindam Keperluan Pembangunan Negara 3. Gurindam Tekad Perpaduan
|
1. Syair Malaysia Madani |
Daripada jadual tersebut jelas seperti yang diperkatakan pada awal penulisan bahawa sajak merupakan pilihan popular penulis pada masa kini. Maka sebab itulah daripada 39 buah puisi dalam antologi ini 30 daripadanya ialah sajak. Seterusnya, kita melihat pula kepada tema yang diangkat oleh penerbit, iaitu berkaitan dengan Malaysia Madani dan Tekad Perpaduan (Kata Penyelenggara, hlm. IV). Perkara ini boleh diterokai oleh penulis sama ada secara tersurat mahupun tersirat. Malah badan yang bertanggungjawab terhadap kerajaan juga telah mengeluarkan buku panduan yang menerangkan segala macam kehendak dan hasrat kerajaan untuk menjayakannya. Jadi perkara ini adalah sangat mudah untuk penulis merealisasikannya. Lebih-lebih lagi dalam kalangan penulis 2PNP kerana terdapat ramai penulis yang sudah mapan (establish). Jadi dalam hal tema dan juga isu-isu yang dibawa sangat jelas mendukung tema yang dikehendaki, iaitu Malaysia Madani dan Tekad Perpaduan.
Sebagai contoh saya bawakan sajak yang ditulis oleh Zurhan Bakar berjudul “Nuansa Citra Malaysia”. Bait-bait ayat yang disusun sangat sesuai dalam menyampaikan hasrat yang diidamkan oleh Kerajaan Madani seperti:
Membangun Malaysia Madani
dalam satu kerangka yang penuh bererti
bersepadu dan holistik
dinamik dan realistik
(Halaman 50)
Begitu juga dengan sajak berjudul “Mari Julang Konsep Madani” oleh Anuar Asmadi yang menyeru rakyat Malaysia agar bersama-sama menjayakan konsep yang baik ini. Sebagai contoh:
Rukun Madani harus diperap dan diperkasa,
Agar kesejahteraannya mampu dijulang setiap masa.
(Halaman 13)
Berdasarkan contoh-contoh tersebut dapat dibuktikan bahawa puisi dalam antologi ini menepati tema yang telah ditetapkan. Maka tidak keterlaluan untuk disarankan buku ini boleh dijadikan bahan bacaan dan rujukan atau diketengahkan kepada khalayak dalam meneliti sesebuah puisi yang bertema, terutama memenuhi aspirasi kerajaan pada masa kini.
Karisma PM X dalam Puisi Kanvas Madani
Siapakah PM X? Dalam buku ini telah tercatat serba ringkas tentang PM X atau YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bermula dari muka surat xii hingga xv. Dalam halaman tersebut telah dinyatakan semuanya yang perlu diketahui oleh masyarakat ketika ini. Malah, dalam carian di Google juga boleh ditemui dengan pantas. Jadi untuk mengenali pemimpin yang digelar PM X ini sangatlah mudah.
Tumpuan perbincangan tentang karisma PM X, maka sekali lagi dijelaskan dengan ringkas bahawa karisma boleh difahami sebagai daya penarik, berupa sifat-sifat tertentu yang dimiliki oleh seseorang menjadikannya mampu mempengaruhi orang lain. Hal ini merupakan bentuk pengaruh yang bukan didasarkan pada tradisi atau autoriti formal tetapi lebih kepada persepsi pengikutnya bahawa pemimpin dianugerahkan dengan kualiti yang luar biasa (Max Weber, 1947). Juga dianggap suatu hasil persepsi para pengikut yang dipengaruhi oleh kemampuan semula jadi dan perilaku daripada para pemimpin dalam konteks situasi kepemimpinan dan dalam keperluan individual mahupun kolektif para pengikutnya (Yukl, 1994:269).
Ciri-ciri karisma mengikut Max Weber, boleh dibahagikan seperti berikut (1) yakin diri, (2) bermatlamat/bervisi: yang merangkumi keupayaan menyampaikan visinya dan mempunyai penegasan terhadap visinya, (3) bersifat luar biasa, (4) ejen perubahan, (5) sensitif terhadap persekitaran dan (6) menyelesaikan masalah secara luar biasa.
Contoh-contoh berdasarkan puisi yang terdapat dalam antologi puisi adalah seperti yang berikut:
- Yakin diri
Yakni diri atau berkeyakinan merupakan sikap unggul yang perlu ada dalam diri seseorang terutama tokoh negara. Keyakinan ini antaranya termasuklah percaya dengan kemampuan dan kebolehan sendiri. Sebagai contoh dalam petikan sajak “Malam 20 September ” (Abd Mutalib bin Man):
Berani kerana benar
menentang kumpulan yang ingkar
(Kanvas Madani, hlm. 2)
Juga terdapat dalam sajak “Malam Bertuah” (ABI):
Tanah ini yang dipijak dilatam
tidak pernah menjadi tanah haram
anak-anak di laman bumi ini tenteram
boleh ke mana-mana
mengejar masa dan ketika
berjalan ke ceruk caruk
berlari ke kota desa
menyedut nafas Khatulistiwa
bebas di serata-rata.
(Kanvas Madani, hlm. 7)
Keratan dua buah sajak ini sangat jelas tentang keyakinan diri yang dinyatakan terhadap figura yang disanjung, iaitu tentang keberanian untuk menghadapi apa-apa sahaja di bumi bertuah ini.
- Bermatlamat/Bervisi
Seterusnya seorang yang berkarisma juga perlu menetapkan visi untuk dilakukan dalam kehidupannya. Perkara ini boleh dilihat dalam sajak “Malaysia Madani” ( Mazelan Msani) seperti petikan berikut:
Islam sebagai agama rasmi
memartabatkan bahasa Melayu
nuansa suatu citra Malaysia
agar kekal mampan berdiri
(Kanvas Madani, hlm. 24)
Juga dalam sajak berikut yang berjudul “Bapa Madani” (Pahala Tulus):
tetap teruskan
perjuangan tanpa henti
demi mencapai objektif
untuk jadi Perdana Menteri
(Kanvas Madani, hlm. 36)
Sebagai seorang yang berkarisma perlu ada matlamat untuk dicapai. Dalam hal ini YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempunyai misi yang hendak digapai, iaitu memartabatkan bahasa Melayu dan menjadi Perdana Menteri. Maka penulis melihat perkara tersebut untuk dinukilkan dalam sajaknya.
Berkeupayaan untuk menyampaikan visinya
Sehubungan dengan itu, visi tersebut perlulah disampaikan dengan jelas kepada masyarakat kerana hal ini melibatkan sesuatu kepercayaan. Masyarakat akan hilang kepercayaan jika janji yang dilaungkan tidak dilaksanakan. Keupayaan ini sangat jelas diyakini dapat dilaksanakan dalam bait-bait sajak yang berjudul “Bahtera Madani ” (Mazelan Msani):
Selagi tegak tiang layar
selagi belum carik lembar
bahtera akan terus berlayar
merentas luas samudera
menuju persada dunia.
(Kanvas Madani, hlm. 25)
Penulis menjelaskan janji yang akan diperjuangkan melalui bait bahtera akan terus berlayar bersama-sama matlamat atau visinya. Jadi seorang yang berkarisma harus mempunyai keupayaan tersebut. Masyarakat pula akan terus memerhati dan menilai untuk mengesahkan kebenaran janji-janji tersebut.
Penegasan terhadap visi
Apabila sudah mempunyai visi dan juga berkeupayaan menyampaikan yakni berjanji kepada masyarakat, maka perkara itu perlu ditegaskan. Pendek kata dilaksanakan dengan jayanya. Hal ini dapat dilihat dalam sajak “Lelaki dari Ceruk Tok Kun” (Nordin Hashim):
Perjuanganmu teguh menangkis pawana
tiada gentar hadapi pancaroba
kesabaranmu telah terbalas juga
kau kini dinobatkan tonggok negara
menjadi pejuang bangsa.
(Kanvas Madani, hlm. 33)
Matlamat yang sudah tercapai itu tidak boleh alpa atau dipersia-siakan seperti yang diingatkan oleh penulis, ketika berada di puncak pemimpin harus berjuang seperti yang telah dijanjikan. Jadi karisma bagi seorang pemimpin perlu mempunyai visi dan melaksanakan semua yang dijanjikan itu seperti yang telah dinyatakan oleh penulis dalam antologi ini.
- Bersifat luar biasa
Perwatakan yang luar biasa juga perlu ada kepada seseorang yang menjadi tumpuan masyarakat. Perkara ini boleh difahami seperti sifat yang tiada pada orang lain yakni berbeza. Hal ini digambarkan dalam sajak “Lelaki dari Ceruk Tok Kun” (Nordin Hashim):
Lelaki ini
tokoh berkaliber sepanjang usia
obor perjuangan tidak pernah padam
mendaki dan terus berbakti
(Kanvas Madani, hlm. 34)
Pemilihan perkataan berkaliber memaparkan sifat luar biasa yang bermaksud cekap dalam berfikir seperti membuat keputusan dan tindakan. Hal ini menunjukkan PM X seorang yang berkarisma menepati ciri-ciri yang ditetapkan.
- Melakukan perubahan
Seseorang yang berkarisma juga perlu melakukan perubahan bukan hanya berada dalam lingkungannya tetapi merangkumi alam sekitar seperti dalam rangkap “Gurindam Keperluan Pembangunan Negara” (Noraila M. Noor):
Ingin kemasyarakatan mekar tuntas,
Pupuk perpaduan jurang direntas.
Ingin luar bandar makin berkembang,
Pembangunan nusa agihkan seimbang.
(Kanvas Madani, hlm. 32)
Perkara yang selalu diinginkan oleh masyarakat seperti keamanan, kestabilan dan pembangunan dinyatakan oleh penulis bahawa PM X boleh dan sedia melakukannya dalam pentadbirannya seperti yang digembar-gemburkan setiap masa oleh media.
- Sensitif terhadap persekitaran
Seterusnya seorang yang berkarisma juga perlu sensitif dengan keadaan sekelilingnya, lebih-lebih bagi seorang yang memerintah negara. Masalah rakyat dan juga perkara yang sudah lama tidak dapat diatasi perlu menjadi perhatian. Hal ini jelas dapat dilihat melalui bait-bait sajak “Menanam Pohon Perpaduan” (Nordin Hashim):
Ladang ini telah lama dibersihkan
dari belantara zaman dahulu kala
ditebas semak samun pergolakan
buat menyemai benih pohon perpaduan
(Kanvas Madani, hlm. 35)
Penulis menyedari tindakan PM X tentang usaha untuk menyatupadukan bangsa di negara kita yang sudah lama terpisah. Sifat sensitif ini sangat diperlukan ketika ini demi kestabilan negara dan juga pengukuhan pentadbirannya. Jadi hal ini dinyatakan oleh penulis tentang usaha tersebut yang menjadi perhatian PM X.
- Menyelesaikan masalah secara luar biasa
Sebagai seorang yang berkarisma, ada kalanya sesuatu masalah perlu diselesaikan dengan cara yang luar biasa. Tindakan ini sudah pasti akan lebih meyakinkan masyarakat terhadap penampilan dan juga kepimpinannya. Tindakan ini boleh dilihat melalui dasar yang diperkenalkan dalam pentadbirannya, iaitu Kerajaan Madani dalam “Syair Malaysia Madani” (Seri Atikhah):
Rakyat sejahtera ekonomi mampan,
Kemakmuran ekonomi menjadi harapan,
Negara maju di masa hadapan,
Hidup bersama sentiasa sopan.
(Kanvas Madani, hlm. 44)
Jadi dengan cara memajukan ekonomi sudah pasti masalah kemiskinan hidup dan kesusahan rakyat yang sudah lama membelenggu dapat diatasi. Sebagai seorang pemimpin yang berkarisma perkara ini menjadi perancangan PM X dalam Kerajaan Madani.
Kesimpulan
Sudah terang lagi bersuluh dua objektif yang menjadi matlamat penulisan ini dikemukakan oleh semua penulis dengan jayanya, iaitu tema yang ditetapkan dan aspek karisma PM X. Namun begitu, terdapat beberapa aspek yang boleh ditambah baik atau diteliti pada masa hadapan dari segi struktural seperti yang pertama bentuk puisi. Sebagai contoh; ada pantun yang tidak mengikut format seperti susunan baris, lihat Pantun Masyarakat Madani (Yahaya Abudllah). Begitu juga dengan judul pantun dan gurindam yang dikesani menepati syarat puisi tersebut, tetapi di dalam tajuk tidak nyatakan sama ada gurindam (Wajah Madani) atau pantun (Milik Bersama dan Berpuluh Tahun Rukun Negara (Sejak 1970). Kedua, dari segi kesinambungan dalam setiap rangkap dan baris puisi. Ada beberapa puisi seolah-olah rangkapnya tidak bersambung cerita atau perkara yang hendak disampaikan. Seterusnya, yang ketiga, begitu juga dengan pemilihan diksi yang terlalu abstrak atau kata pinjaman bahasa Inggeris yang menyebabkan puisi menjadi kaku (nada/bunyi yang janggal) apabila dibaca.
Dr. Husairi Hussin merupakan pensyarah Bahagian Kesusasteraan di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM). Bidang pengkhususan beliau ialah Bahasa Melayu (KOMSAS). Beliau juga aktif menulis esei, makalah, novel, cerpen, puisi dan skrip drama pentas.