PENDIDIKAN adalah hak bagi setiap kanak-kanak dalam memacu perkembangan dan pembangunan potensi mereka, khususnya pendidikan formal di sekolah yang sedia termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) Pindaan 2002 (Ghafar, 2023). Pindaan itu mewajibkan semua kanak-kanak di Malaysia menerima pendidikan formal sekolah rendah tanpa sebarang halangan sebagai menunaikan hak mereka (Abidah Abdul Ghafar, 2021).
Dampak yang dilihat ialah pendidikan merupakan suatu proses penting dalam mewarnai sahsiah dan peribadi, membangunkan akal dan pemikiran, serta melentur akhlak, sikap dan personaliti kanak-kanak. Keperluan ini diperakui kerana golongan ini sangat mudah menyerap segala bentuk pendedahan di sekitarnya.
Pendefinisian istilah kanak-kanak telah dimasyhurkan dalam Konvesyen Kanak-kanak dan Akta Kanak-kanak, 2001 Subseksyen 2(1) Akta (611), iaitu seseorang yang berumur di bawah 18 tahun. Manakala Lansdown dan Vaghri (2022) dalam Artikel 1 turut mentakrifkan kanak-kanak seperti yang dinyatakan, melainkan, di bawah undang-undang domestik, ia dicapai lebih awal.
Namun, konteks perbincangan ini lebih tertumpu kepada golongan kanak-kanak di peringkat awal dalam menguasai bahasa Melayu kerana pertumbuhan dan perkembangan psikologi kanak-kanak adalah berbeza mengikut usia. Faktor-faktor yang terlibat adalah perubahan dari segi jasmani, fizikal, mental dan sosial yang dapat diukur secara kualitatif mahupun kuantitatif, sekali gus mempengaruhi penerimaan mereka dalam pembelajaran (Yahaya, 2020).
Lebih diperincikan ialah kanak-kanak yang digolongkan sebagai kanak-kanak autisme memiliki proses pertumbuhan yang berbeza antara satu sama lain serta mempunyai cabaran besar dan kompleks dalam mendidik seperti yang dibincangkan dalam artikel Mohd Sharif dan Jamil (2019).
Seseorang yang dikatakan autisme memiliki tingkah laku, komunikasi dan interaksi sosial serta kemahiran motor yang berbeza jika dibandingkan dengan kanak-kanak tipikal yang seusia mereka (American Psychiatric Association, 2013).
Oleh sebab itu, penerimaan kanak-kanak autisme dalam pemerkasaan bahasa Melayu adalah tidak sama dengan kanak-kanak biasa kerana Hansburry (2005) turut merasakan majoriti daripada mereka menghadapi kesukaran untuk mengikuti proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas aliran perdana disebabkan kesukaran untuk menjalinkan hubungan sosial seperti berinteraksi dengan guru dan rakan sekelas.
Akta Pendidikan 1996 sebagai Langkah Awal Pemerkasaan Bahasa Melayu
Relevansi dan hubung kait Akta Pendidikan 1996 dilihat sebagai satu pematuhan hakiki tentang kewajaran bahasa Melayu dijulang sebagai bahasa ilmu pendidikan (Othman et al., 2021). Di Malaysia, bahasa Melayu ditatang sebagai bahasa kebangsaan sekali gus berupaya memegang peranan penting dalam menyatukan kepelbagaian etnik serta kemenjadian utama dalam sistem pendidikan. Penggunaan diksi dan tatabahasa yang betul perlu diterapkan untuk membina wibawa bahasa Melayu sebagai pengantara yang berkesan dalam kalangan kanak-kanak autisme.
Pembuktian tentang perkara ini telah dibentangkan oleh Sidek et al. (2016) yang telah menarik minat kanak-kanak autisme dalam pembelajaran subjek Bahasa Melayu melalui pembangunan perisian kursus “Saya Suka Belajar”. Pemerkasaan bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak autisme tidak perlu diseling-seli dengan kelewahan bahasa sehingga menimbulkan kesukaran mereka memahaminya di peringkat awal. Sekadar menentukan golongan istimewa ini mampu berkomunikasi dengan baik dan dapat mencapai standard yang sewajarnya, sudah memadai.
Bahasa dijadikan sebagai tapak bagi komunikasi dan kebolehan berkomunikasi itu bermula dari sejak lahir melalui penggunaan bahasa bukan verbal dan diikuti oleh bahasa verbal (Roslina dan Wahid, 2008). Apabila melihat kepada struktur perkembangan komunikasi itu, semestinya bukan hanya tercakup pada kanak-kanak normal, sebalikmya turut merangkumi kanak-kanak yang berada dalam spektrum autisme.
Oleh itu, penguasaan bahasa Melayu adalah kritikal untuk memastikan kanak-kanak autisme dapat berintegrasi dengan baik dengan masyarakat. Dengan penguasaan bahasa Melayu yang optimum, secara tidak langsung mereka mampu untuk mengendali subjek-subjek teras yang lain kerana sememangnya bahasa Melayu adalah bahasa rasmi yang dipertutur dalam pembelajaran bilik darjah.
Namun, titik cabaran perlu dikenal pasti dan diatasi untuk memperkasa pendidikan awal Bahasa Melayu sekurang-kurangnya pada tahap optimum bagi anak-anak autisme. Artikel ini akan menelusuri cabaran tersebut dan merumuskan beberapa strategi pemerkasaan berdasarkan literatur akademik terkini berkaitan khas kanak-kanak autisme.
Cabaran dalam Kepelbagaian Spektrum Autisme
Cabaran utama dalam pendidikan Bahasa Melayu bagi anak-anak autisme adalah kepelbagaian dalam spektrum autisme itu sendiri. Panggilan “spektrum” disebabkan individu yang menghidapnya mempunyai masalah bermula dengan tahap keupayaan ringan sehingga teruk dengan tahap keupayaan dan ketidakupayaan berbeza (Raja Juanita, 2016).
Spektrum turut merujuk kepada kepelbagaian manifestasi kecelaruan seperti keterukan keadaan autistik, tahap perkembangan serta kronologi umur (Siti Marziah dan Nor Shahirah, 2018). Kanak-kanak dengan autisme menunjukkan variasi yang luas dalam kemampuan komunikasi, interaksi sosial dan perilaku (American Psychiatric Association, 2013). Hal ini mencipta kesulitan dalam merancang program pendidikan bahasa Melayu yang sesuai untuk semua jenis spektrum. Kadangkala kanak-kanak ini mengalami kemerosotan kemahiran komunikasi, sosial dan kesukaran tingkah laku yang sukar dijangka. Semestinya,ini memberi satu lebihan tanggungjawab kepada ibu bapa dan guru dalam menyesuaikan penggunaan bahasa Melayu dalam membentuk pembelajaran mereka.
Tidak seharusnya mereka yang mendepani kanak-kanak istimewa ini dibiarkan menanggung masalah mereka tanpa pemantauan pihak yang bertanggungjawab dalam merangka silibus pembelajaran yang spesifik. Dapatan kajian Zorčec (2019) menyetujui bahawa ibu bapa sebenarnya menghadapi cabaran dalam mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti serta sukar mendapat maklumat dan sokongan daripada profesional, pegawai intervensi dan ahli terapi.
Rentas perbezaan ini turut diketengahkan dalam artikel Tan dan Alias (2023) yang menunjukkan bahawa kanak-kanak autisme memerlukan pendekatan individualisasi yang lebih tinggi berbanding dengan kanak-kanak tipikal dalam pembelajaran bahasa.
Oleh yang demikian, penggunaan kaedah bercerita merupakan salah satu strategi yang berkesan digunakan oleh ibu bapa untuk membantu dan mendidik anak autisme di rumah walaupun kadangkala mereka terpaksa mendepani tingkah laku yang tidak terjangka.
Teknik yang diketengahkan oleh Tan dan Alias ini sebenarnya memberi impak yang positif bagi perkembangan komunikasi, sosial, emosi, pengurusan diri dan pengurusan tingkah laku kanak-kanak autisme. Walau bagaimanapun, keberkasanan teknik ini tidak hanya berlaku dalam sehari namun kaedah pengulangan harian harus ditekuni bagi mendapatkan impak yang berterusan.
Persoalan yang dibangkitkan di sini, bagaimana dengan ibu bapa yang bekerja dan mempunyai bilangan anak yang ramai untuk melaksanakan tugas ini secara konsisten? Seharusnya sistem pendidikan negara perlu diperhalusi untuk menangani permasalahan supaya kanak-kanak autisme ini mendapatkan hak yang sama rata dengan kanak-kanak yang lain.
Kekurangan Bahan dan Sumber Pembelajaran
Secara umum, Ahmad, Nawi dan Abdul Ghani (2023) dalam artikel mereka turut membenarkan salah satu cabaran utama adalah kurangnya bahan pengajaran dan sumber pembelajaran yang dirancang khusus untuk kanak-kanak autisme. Bahkan, Mohd dan Arshad (2010) bersetuju bahawa permasalahan berkaitan kekurangan bahan pengajaran dan pembelajaran pendidikan khas di Malaysia adalah agak ketara. Bahkan di seluruh dunia turut mengalami perkara yang sama (Berry, 2012; Cagiltay et al., 2019). Hal ini dibangkitkan kerana kedua-dua entiti tersebut merupakan faktor yang akan memudahkan kefahaman kanak-kanak ini terhadap mutu pembelajaran. Bukan sekadar anak-anak, para guru pendidikan khas juga akan turut tempias.
Walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia turut serius dalam membantu murid berkeperluan khas mengikuti pembelajaran inklusif seperti pelajar aliran perdana, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang diperkenalkan sejak tahun 1962 tidak terkecuali terkesan dengan revolusi pendidikan negara kita. Ini belum lagi dengan kepelbagaian spektrum autisme yang sedikit sebanyak mengubah corak dan stail pembelajaran yang lebih kompleks, silibus yang lewah dan bersilih ganti serta cabaran mendepani kanak-kanak autisme itu sendiri.
Sejauh mana pengenalan laman web (portal) myspecedu.com dibangunkan mampu menangani masalah yang sering dihadapi oleh guru-guru pendidikan khas berkenaan kekurangan bahan pengajaran dan pembelajaran? Malahan dapatan yang diperolehi oleh kajian Ahmad, Nawi dan Abdul Ghani (2023) turut mendapati separuh daripada responden berpendapat bahawa bahan yang tersedia perlu ditambah dan hal ini juga melibatkan implikasi kewangan yang agak tinggi. Sebahagian besar kanak-kanak autisme tidak menggunakan bahasa sebagai alat untuk berkomunikasi (Nurkhamimi, 2017) dan perkara ini akan menyukarkan kedua-dua belah pihak ibu bapa dan guru untuk memanipulasi keadaan tersebut.
Meski kerajaan mengalakkan penggunaan ICT sebagai salah satu pengantara pembelajaran, haruslah diingatkan bahawa spektrum kanak-kanak autisme kadangkala agak sensitif dengan pendedahan cahaya daripada skrin dalam tempoh yang tertentu. Nair et al. (2022) mendedahkan dalam kajiannya bahawa kepelbagaian spektrum dalam individu autisme, sesetengah daripadanya sensitif terhadap cahaya matahari, cahaya lampu, silau dan kelipan lampu serta humming yang dihasilkan oleh lampu pendarfluor konvensional sehingga terdapat keadaan yang boleh menyebabkan keresahan. Sudah pasti, penerokaan tentang pengaplikasian alat peranti perlu diperhalusi dan diperkemas dengan sebaik-baiknya sebelum dapat diimplementasikan dalam pembelajaran Bahasa Melayu.
Keperluan Latihan Guru Pendidikan Khas dan Tahap Kesedaran
Proses pengajaran oleh para guru kepada kanak-kanak autisme bukanlah satu cabang tugas mudah kerana ia memerlukan komitmen dan kesabaran yang tinggi. Mereka dipertanggungjawabkan untuk memiliki pengetahuan dan kepakaran dalam pengurusan sosioemosi murid kecelaruan spektrum autisme agar mereka mampu belajar seperti murid lain (Mathiyalagan dan Toran, 2023).
Mahmut dan McKenzie (2019) turut menekankan dalam dapatan kajiannya bahawa lebih banyak latihan dan sumber diperlukan oleh guru pendidikan khas untuk membantu meningkatkan kemahiran sosioemosi dalam menyokong strategi perkembangan sosial dan kemahiran komunikatif kanak-kanak autisme. Cabaran ini pastinya ditemukan oleh para guru pendidikan inklusif dalam memastikan kanak-kanak autisme ini mampu mempelajari subjek Bahasa Melayu sebaiknya kerana mereka memerlukan kemahiran yang spesifik untuk membangunkan potensi mereka.
Mathiyalagan dan Toran (2023) telah mencadangkan beberapa penambahbaikan dalam dapatan kajiannya termasuk latihan kemahiran khusus, latihan pelbagai pendekatan, melatih kakitangan daripada pelbagai disiplin, memberikan bantuan teknikal dan sokongan kepada guru, menyediakan kepimpinan serta pembiayaan untuk menggalakkan dan meningkatkan persediaan profesional yang mendidik murid-murid autisme. Secara tidak langsung dengan penyediaan platform sebegini mampu mencorakkan sistem pendidikan yang lebih efektif dan efisien.
Natijahnya, para guru perlu memiliki pengetahuan dan keterampilan yang cukup tersedia dalam menangani kepelbagaian keperluan anak-anak autisme. Hal ini disebabkan kebanyakan guru masih memerlukan peningkatan kapasiti dalam pengajaran inklusif, terutama dalam konteks bahasa Melayu. Halangan yang dilihat adalah pengetahuan tentang autisme dalam kalangan guru meningkat dengan ketara, tetapi tidak dapat dikekalkan dari semasa ke semasa (Rebecca et al., 2009).
Kekurangan guru-guru yang terlibat dalam pendidikan inklusif juga dilihat sebagai satu aspek yang perlu diketengahkan. Hal ini disebabkan kadar peningkatan kemasukan murid setiap tahun terutama di negeri yang memiliki kepesatan ekonomi dan kadar peluang pekerjaan yang tinggi memaksa para ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas didaftarkan sebagai murid inklusif (Tee et al., 2023). Dari sudut positifnya, mereka menyedari bahawakanak-kanak ini masih memerlukan pendidikan formal. Namun sejauh mana kekurangan bilangan guru yang terlatih dengan pendidikan inklusif ini dapat ditangani kerana isu ini masih dibahaskan sehingga ke hari ini dalam kajian-kajian yang terdahulu?
Metodologi Pengajaran yang Tepat
Metodologi pengajaran subjek Bahasa Melayu untuk anak-anak autisme juga merupakan cabaran yang dikenal pasti. Pendekatan yang sering digunakan dalam pengajaran Bahasa Melayu di aliran perdana mungkin tidak sesuai dengan keperluan pembelajaran anak-anak dalam spektrum autisme. Kanak-kanak ini sering kali memerlukan pendekatan yang lebih visual, konkrit dan berstruktur tinggi. Hal ini menuntut metodologi yang dapat menyesuaikan diri dengan cara belajar mereka.
Menurut Azam (2015), sesetengah kanak-kanak autistme boleh menyebut sesuatu perkataan, frasa atau ayat namun tidak berupaya mengaplikasikannya. Sesetengah kanak-kanak autisme tidak dapat membangunkan kemahiran pertuturan mereka sendiri. Mereka memerlukan satu sistem komunikasi yang berkait dengan pengalaman, persekitaran dan interaksi mereka bersama orang dewasa (Light dan Drager, 2017).
Pendekatan pedagogi yang lebih menarik dan sistematik haruslah diwujudkan bagi meneroka minat anak-anak autisme dalam pembelajaran bahasa. Saya tertarik dengan pendekatan yang dibincangkan dalam jurnal Hanapiah dan Mohd Rusli (2023) yang membincangkan tatakelola didik hibur oleh guru bagi pengajaran simpulan bahasa dalam kalangan murid sekolah rendah sebagai metode penguasaan bahasa. Pendekatan ini boleh diimplementasikan oleh para guru pendidikan inklusif untuk menarik minat anak-anak autisme menguasai Bahasa Melayu. Secara teori, anak-anak spektrum autisme mengalami kesulitan dalam berkomunikasi kerana mereka mengalami kekangan dalam perkembangan bahasanya, sedangkan bahasa merupakan media utama dalam komunikasi seharian.
Strategi visual seperti penggunaan Picture Exchange Communication System (PECS) dikatakan telah membuktikan keberkesanan meningkatkan kemampuan komunikasi anak-anak autisme (Heryati dan Ratnengsih, 2017). Strategi PECS menggunakan simbol-simbol verbal untuk melatih kemampuan komunikasi yang dapat menterjemahkan keterampilan komunikasi kanak-kanak autisme yang perkembangan bahasanya tidak menggembirakan ataupun tidak berkeinginan untuk berkomunikasi dengan orang lain. Selain itu, penggunaan teknologi dalam pendidikan, seperti aplikasi pembelajaran bahasa dan multimedia interaktif, dapat memberikan manfaat yang signifikan kepada kanak-kanak autisme (Ploog, Scharf, Nelson dan Brooks, 2012).
Walaupun banyak kajian menggambarkan CAT dan PECS untuk meningkatkan kemahiran kanak-kanak autisme, kebanyakannya tidak mempunyai penilaian saintifik yang ketat tentang keberkesanan berbanding pendekatan bukan CAT atau PECS. Pengaplikasian strategi ini di Malaysia dalam pembelajaran subjek Bahasa Melayu masih belum terbuka luas dan memerlukan kajian serta perbincangan yang lebih mendalam untuk direalisasikan.
Penyesuaian Kurikulum
Pengetahuan kurikulum bahasa menekankan bahawa guru bahasa sewajarnya berkemampuan memahami, mengetahui dan menguasai bagaimana kurikulum bahasa itu dibina, direka bentuk menjadi sebuah kurikulum yang sesuai untuk tahap kognitif murid-murid.
Apabila melihat kepada penyesuaian kurikulum bahasa di Malaysia, adakah ia mematuhi segala keperluan yang diperlukan oleh kanak-kanak bersesuaian dengan usia, tahap penerimaan dan konteks pengajaran yang hendak ditonjolkan?
Kurikulum pendidikan Bahasa Melayu perlu disesuaikan untuk memenuhi keperluan pendidikan khusus yang melibatkan penyesuaian dalam penilaian, pengajaran dan bahan kurikulum untuk memastikan bahawa pembelajaran bahasa adalah relevan dan dapat diakses oleh kanak-kanak autisme.
Rashid et al. (2014) menekankan pentingnya kurikulum yang fleksibel dapat disesuaikan dengan kemampuan individu setiap anak untuk memastikan setiap pengajaran dan pembelajaran dapat disampaikan secara efektif. Kepelbagaian spektrum autisme sebenarnya agak kompleks dan kadangkala tidak mampu untuk mengikuti kurikulum seperti yang telah ditetapkan Kementerian Pelajaran Malaysia menurut Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas 1997 Bahagian II 3(2)) yang menyediakan pendidikan khas dan pendidikan intergrasi.
Abdul Wahid (2008) dalam artikelnya menyatakan bahawa kurikulum Bahasa Melayu tidak terikat kepada satu bentuk pengajaran sahaja. Sebaliknya, aktiviti-aktivitinya meliputi pembelajaran mengikut perbezaan keperluan, pemilihan pengalaman pembelajaran melalui komponen pengurusan kehidupan, bidang akademik berfungsi (Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris dan Teknologi Maklumat), bidang kerohanian, riadah dan kreativiti. Pendekatan pemilihan pengajaran dan pembelajaran ditentukan berdasarkan keupayaan individu.
Namun jika difikirkan secara rasional, apakah kurikulum yang direka bentuk untuk kanak-kanak autisme ini boleh diguna pakai dalam tempoh 5, 10 atau 15 tahun akan datang? Apakah langkah realistik yang boleh diambil untuk memastikan bahawa anak-anak ini mempunyai hak kesamarataan dalam mempelajari Bahasa Melayu sama seperti kanak-kanak di aliran perdana yang kini berhempas-pulas dengan silibus yang membebankan? Perbincangan lebih telus dengan para guru pendidikan khas ataupun inklusif perlu diselam untuk mendalami bentuk silibus yang sesuai diterapkan dalam sistem pendidikan khas mahupun integrasi.
Kesimpulannya, pendidikan ialah hak asasi bagi setiap individu, tanpa mengira latar belakang, keupayaan atau keperluan khas yang dimiliki termasuk juga bagi kanak-kanak yang berada dalam spektrum autisme. Mereka sering menghadapi cabaran unik dalam proses pembelajaran dan perkembangan potensi diri.
Di Malaysia, bahasa Melayu tidak hanya berperanan sebagai bahasa kebangsaan, tetapi juga sebagai medium utama dalam sistem pendidikan negara. Penguasaan bahasa Melayu oleh kanak-kanak autisme menjadi kritikal dalam konteks integrasi sosial mereka. Kepelbagaian solusi perlu dihadirkan bagi memastikan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Melayu mereka dapat diterjemahkan dengan lebih lancar bersama rakan sebaya dan masyarakat tempatan, serta memahami nilai-nilai dan budaya tempatan yang diwarisi melalui bahasa Melayu.
Oleh itu, pembangunan kemahiran berbahasa Melayu menjadi aspek penting dalam pemerkasaan anak-anak autisme untuk berintegrasi secara efektif sekali gus merapatkan jurang dalam pendidikan aliran perdana. Namun, dalam usaha untuk memastikan keberhasilan penguasaan bahasa Melayu oleh anak-anak autisme, cabaran-cabaran yang dibincangkan tadi perlu dititikberatkan, termasuklah variasi keperluan pendidikan khusus dalam kalangan individu dalam spektrum autisme, menambah baik bahan pengajaran yang sesuai, keperluan latihan guru yang lebih efisien, serta penyesuaian metodologi pengajaran dan kurikulum yang dapat memenuhi keperluan khusus mereka.
Melalui penelusuran cabaran-cabaran ini dapatlah dirumuskan strategi pemerkasaan bahasa Melayu berdasarkan literatur akademik terkini perlu dipertingkat. Wadah pendekatan yang holistik akan dapat memastikan pemerkasaan pendidikan bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak autisme dapat mencapai integrasi yang mereka perlukan.
Rujukan
Abdul Wahid, P. R., 2008. “Bahasa Reseptif dan Bahasa Ekspresif dalam Komunikasi Verbal: Pemelajaran Bahasa Melayu Kanak-Kanak Sindrom Down”. https://ejournal.um.edu.my/ index. php/jpm/article/download/9731/6869/19586
Abidah Abdul Ghafar. (2021, 5 April). “Hak Kanak-kanak Dapat Pendidikan Formal di Sekolah”. https:// www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2021/04/803624/hak-kanak-kanak-dapat-pendidikan-formal-di-sekolah
Ahmad, S., Nawi, N.D. dan Abdul Ghani,D. (2023). “Mengatasi Masalah Kekurangan Bahan Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Khas melalui Laman Web (Portal)”. https://www.researchgate.net/ publication/367188215_Mengatasi_Masalah_Kekurangan_Bahan_Pengajaran_dan_Pembelajaran_Pendidikan_Khas_melalui_laman_web_Portal
American Psychiatric Association. (2013). “Autism Spectrum Disorder”. https://www.psychiatry. org/File%20Library/Psychiatrists/Practice/DSM/APA_DSM-5-Autism-Spectrum-Disorder.pdf
Azam, S. (2015). “Tahap Kemahiran Sosial Murid-murid Autisme bagi Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran”. https://www.researchgate.net /publication/ 335200818 _Tahap_ Kemahiran_Sosial_Murid-Murid_Autisme_Bagi_Program_ Pendidikan_Khas_ Integrasi_ Bermasalah_ Pembelajaran_-_Saiful_Azam
Berry, A. “The Relationship of Perceived Support to Satisfaction and Commitment for Special Education Teachers in Rural Areas” dlm. Rural Special Education Quarterly, 31(1) , 3-14, 2012.
Cagiltay, Kursat, Cakir, Hasan, Karasu,Necdet, … dan Cicek, Filiz. (2019). “Use of Educational Technology in Special Education: Perceptions of Teachers”. https://files.eric.ed.gov/ fulltext/ EJ1236337 .pdf
Ghafar, A. A. (2023, January 25). “Hak Pendidikan untuk Kanak-kanak di Malaysia dalam Era Pandemik Covid-19”. https://oarep.usim.edu.my/jspui/handle/123456789/19379
Hanapiah, N. dan Mohd Rusli, N. F. “Cabaran Pelaksanaan Didik Hibur oleh Guru bagi Pengajaran Simpulan Bahasa dalam kalangan Murid Sekolah Rendah” dlm. LSP International Journal, 10(2), 61–78, 2023.
Hansburry, M., 2005. Educating Pupils with Autistic Spectrum Disorders: A Practical Guide. London: Paul Chapman Publishing.
Heryati, E. dan Ratnengsih, E. (2017). “Penggunaan Metode PECS (Picture Exchange Communication System) untuk Meningkatkan Kemampuan Komunikasi Anak Autism”. Pedagogia Jurnal Ilmu Pendidikan. https://www.researchgate.net/publication/ 316590276_PENGGUNAAN _METODE_ PECS_ Picture_Exchange_Communication_System_UNTUK_MENINGKATKAN_KEMAMPUAN_KOMUNIKASI_ANAK_AUTIS
Lansdown, G. dan Vaghri, Z. “Article 1: Definition of a Child” dlm. Vaghri, Z., Zermatten, J., Lansdown, G., dan Ruggiero, R. (ed.), 2022. Monitoring State Compliance with the UN Convention on the Rights of the Child. https://doi.org/10.1007/978-3-030-84647-3_40
Light, J. dan Drager, K. “AAC Technologies for Young Children with Complex Communication Needs: State of Science and Future Research Directions” dlm. Augmentative and Alternative Communication, 23(3): 204–216, 2007.
Mahmut Serkan Yazici dan McKenzie, B. “Develop Socio-Communicative Skills among Children with Autism in a Turkish Special Education School and Implications for Development of Practice”. Journal of Disability, Development and Education, 67(5), 2019.
Mathiyalagan, N. dan Toran, H. “Tahap Pengetahuan Guru Pendidikan Khas dalam Pengurusan Sosioemosi Murid Autisme” dlm. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities, 8, 2151, 2023.
Mohd Rosmadi Mohd Salleh dan Hafizhah Zulkifli. “Penggunaan Didik Hibur dalam Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan” dlm. Attarbawiy: Malaysian Online Journal of Education, 4(2), 1-16, 2020.
Mohd Sharif, M.H. dan Jamil, N.A. “Cabaran Ibu Bapa Bersama Kanak-kanak Kecelaruan Spektrum Austime (ASD)” dlm. Tinjauan Literatur, 4. 33-43, 2019.
Nurkhamimi, Z. (2017, Oktober 4). “Memahami Dunia Autisme”. https://www.researchgate.net/ publication/320222986_Memahami_Dunia_Autisme
Othman, I., Esa, M.S., Ationg, R. dan Muda, N. “Relevansi Akta Pendidikan 1996 Memacu Visibiliti dan Memartabat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu dalam Sektor Pendidikan Negara” dlm. International Journal of Education, Psychology and Counseling. 6, 137-159, 2021.
Ploog, B. O., Scharf, A., Nelson, D. dan Brooks, P. J. “Use of Computer-Assisted Technologies (CAT) to Enhance Social, Communicative, and Language Development in Children with Autism Spectrum Disorders” dlm. Journal of Autism and Developmental Disorders, 43(2), 301–322, 2021.
Nair, A. S., Priya, R. S., Rajagopal, P., … dan Zuo, X. “A Case Study on the Effect of Light and Colors in the Built Environment on Autistic Children’s Behavior” dlm. Frontiers in Psychiatry, 13. 2022.
Raja Juanita, R. L., 2016. Mengharungi Autisme. Petaling Jaya: Sekretariat Pengasuhan Positif.
Rashid, N. A., Lee, K. C., … dan Noordin, Z. (2014). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. https:// books.google.com.my/books/about/Falsafah_dan_Pendidikan_di_Malaysia.html?id= 9M6AAQAACAAJ &redir_esc=y
Rebecca, F. B., Megan, C. dan Runion, E, D. C. “A Comparison of Autism-Specific Training Outcomes for Teachers and Paraeducators” dlm. Teacher Education and Special Education: The Journal of the Teacher Education Division of the Council for Exceptional Children, 42(4), 2019.
Roslina, P. dan Wahid, A. (2008). “Bahasa Reseptif dan Bahasa Ekspresif dalam Komunikasi Verbal: Pemelajaran Bahasa Melayu Kanak-kanak Sindrom Down”. https://ejournal.um.edu.my/ index.php/JPM/ article/download/9731/6869/19586
Sidek, S. F., Fathil, N. S., Zain, N. Z. M. dan Muhammad, K. “Pembangunan Perisian Kursus ‘SAYA SUKA BELAJAR’ untuk Pembelajaran Bahasa Melayu bagi Kanak-kanak Autisme” dlm. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 4(1), 1–10. 2016.
Siti Marziah, Z. dan Nor Shahirah, M. T. “Cabaran Membesarkan Anak-anak Autisme Daripada Perspektif Ibu. Jurnal Psikologi Malaysia, 32(1), 58-71, 2018.
Tan, L. W. dan Alias, A. “Penggunaan Kaedah Bercerita sebagai Intervensi Anak yang Mengalami Autisme dalam kalangan Ibu Bapa” dlm. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities, 8(3), 2023.
Tee, T. K., Yee, C. S., Wulansari, R. E., … dan Hanapi, Z. “Challenges and Teaching Needs for Technical Communication Graphics Teachers at National Secondary Schools” dlm. Online Journal for TVET Practitioners, 8(2), 2023.
Yahaya, A. (2010). Bab 2: Teori-teori Perkembangan. https://www.researchgate.net/ publication/ 46405353_Bab_2_Teori-teori_Perkembangan