Skip to content
Menelusuri Pendidikan Kewarganegaraan Global  di Sebalik Squirrel’s Whimsical Adventure
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Bahasa > Menelusuri Pendidikan Kewarganegaraan Global di Sebalik Squirrel’s Whimsical Adventure
Menelusuri Pendidikan Kewarganegaraan Global  di Sebalik Squirrel’s Whimsical Adventure
Bicara Bahasa

Menelusuri Pendidikan Kewarganegaraan Global di Sebalik Squirrel’s Whimsical Adventure

  • NORJILAWATI BINTI MOHD AMIN
  • 5 Januari 2026
  • DBP Wilayah Tengah
  • 113
  • 4

Apakah yang tinggal selepas seseorang guru menawan sebuah bumi asing?
Adakah pengalaman itu berakhir sebagai kenangan, atau tumbuh menjadi sesuatu yang lebih bermakna, sesuatu yang boleh dikongsi, diuji dan diwariskan?

Persoalan itulah yang berlegar dalam fikiran saya selepas memperoleh pengalaman mengajar di Korea Selatan. Suatu pengalaman yang pernah saya rakamkan dalam tulisan “Menawan Bumi Korea”. Jika artikel itu merakamkan detik pertemuan awal saya dengan dunia pendidikan global, maka tulisan ini ialah kesinambungan tentang apa yang lahir dari dalam bilik darjah di Korea itu sendiri, dan bagaimana pengalaman tersebut berkembang menjadi bahan pembelajaran yang nyata, diuji dan dibuktikan.

Apakah yang Saya Cari di Bilik Darjah di Korea?
Saya tidak berangkat ke Korea dengan niat untuk menghasilkan sebuah buku. Saya ke Korea dengan niat sebagai seorang guru yang mencari cara untuk menjadikan pengajaran lebih bermakna di dalam bilik darjah yang dihuni oleh murid daripada latar budaya dan bahasa yang berbeza. Namun demikian, dalam proses mengajar itulah muncul satu persoalan asas, bagaimana nilai global boleh difahami oleh kanak-kanak tanpa menjadi wacana yang jauh dan abstrak? Di Korea, Pendidikan Kewarganegaraan Global atau Global Citizenship Education (GCED) bukan sekadar istilah dalam dokumen dasar. Pendidikan itu hidup dalam amalan sekolah, dalam cara murid berbincang, bekerjasama dan membuat keputusan. Saya mula sedar bahawa GCED tidak boleh disampaikan hanya melalui penerangan, tetapi perlu dialami.

Mengapa Squirrel’s Whimsical Adventure?
Jawapan bagi persoalan tersebut datang secara perlahan, melalui pemerhatian terhadap dunia kanak-kanak. Kanak-kanak tidak belajar dengan baik apabila disuruh menghafal tetapi mereka belajar apabila mereka terlibat. Di sinilah cerita dan permainan bertemu. Cerita membuka pintu imaginasi. Permainan pula membuka ruang interaksi. Apabila kedua-duanya digabungkan, pembelajaran tidak lagi terasa sebagai tugas, tetapi sebagai pengalaman. Dari sinilah lahir buku Squirrel’s Whimsical Adventure semasa saya mengajar di Korea, dalam ruang bilik darjah sebenar.

Watak tupai dipilih kerana watak itu dekat dengan dunia kanak-kanak lincah, ingin tahu dan sentiasa bergerak. Pengembaraan pula mencerminkan proses pembelajaran itu sendiri. Murid, seperti tupai dalam cerita, sedang belajar mengenal dunia yang lebih luas daripada persekitaran mereka. Melalui Squirrel’s Whimsical Adventure, murid tidak diajar tentang Malaysia secara langsung. Mereka mengikut perjalanan watak, bertanya soalan bersamanya, dan menemui jawapan melalui pengalaman.

Menelusuri Pendidikan Kewarganegaraan Global  di Sebalik Squirrel’s Whimsical Adventure

Bagaimana Permainan Tradisional Menjadi Jambatan?
Persoalan seterusnya muncul, apakah medium yang boleh menyatukan murid daripada budaya yang berbeza? Jawapannya ialah melalui permainan tradisional. Permainan mempunyai bahasa sejagat dan tidak memerlukan terjemahan yang panjang. Dalam konteks ini, permainan layang-layang menjadi pilihan kerana di situlah saya menemukan persamaan antara Malaysia dengan Korea. Wau dan “yeon nalligi” bukan sekadar permainan; kedua-duanya membawa nilai kebersamaan, kesabaran dan kerjasama. Apabila murid Korea membina, menghias dan “menerbangkan” layang-layang melalui aktiviti berasaskan permainan, mereka bukan sekadar belajar tentang budaya Malaysia. Mereka belajar bahawa budaya yang berbeza boleh bertemu pada nilai yang sama.

Adakah Pendekatan ini Berkesan?
Sebagai seorang pendidik, pengalaman sahaja tidak mencukupi tetapi perlu diuji dan dibuktikan. Maka, pendekatan ini diperhatikan secara sistematik dan dianalisis melalui kajian yang melibatkan murid sekolah menengah di Daedong Middle School, Pohang. Dapatan kajian menunjukkan tahap penerimaan yang sangat tinggi terhadap pembelajaran berasaskan permainan dan penceritaan ini. Murid menyatakan bahawa pembelajaran tersebut memberikan pengalaman mengenali budaya baharu, meningkatkan kemahiran komunikasi rentas budaya, dan menjadikan pembelajaran lebih menarik serta bermakna. Yang lebih penting, murid bukan sahaja memahami kandungan, tetapi menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dan berinteraksi secara terbuka. Inilah petunjuk bahawa GCED tidak berhenti pada pengetahuan, tetapi bergerak ke ranah sikap dan tingkah laku.

Apakah Sebenarnya Kompetensi Global?
Di sinilah persoalan GCED perlu dijelaskan dengan tuntas. Apakah yang dimaksudkan dengan kompetensi global? Dalam kerangka UNESCO, GCED merangkumi tiga dimensi utama. Dimensi kognitif melibatkan kefahaman tentang dunia dan isu global. Dimensi sosioemosi menyentuh rasa empati, hormat dan kebersamaan. Dimensi tingkah laku pula berkaitan dengan keupayaan bertindak secara bertanggungjawab.

Melalui Squirrel’s Whimsical Adventure, pembinaan kompetensi global berlaku secara bersepadu dan berperingkat. Penceritaan membantu murid meneliti isu budaya dan kehidupan masyarakat tempatan dalam kaitannya dengan dunia yang lebih luas. Aktiviti permainan dan interaksi berkumpulan pula membolehkan murid memahami serta menghargai perspektif rakan yang berbeza. Dalam proses ini, murid berlatih berkomunikasi dan bekerjasama secara terbuka serta sesuai merentas latar budaya. Pengalaman pembelajaran bersama akhirnya mendorong murid bertindak secara kolektif, menyedari bahawa kesejahteraan bersama dicapai melalui kerjasama dan tanggungjawab bersama.

Bagaimana Kompetensi ini Dibina di dalam Bilik Darjah?
Pembinaan kompetensi global dalam Squirrel’s Whimsical Adventure tidak berlaku melalui penerangan nilai secara langsung, tetapi melalui pengalaman sosial yang dilalui bersama. Pendekatan ini selari dengan Teori Pembelajaran Sosial yang dikemukakan oleh Albert Bandura, yang menegaskan bahawa pembelajaran berlaku melalui pemerhatian, peniruan dan interaksi sosial.

Dalam konteks pelaksanaan aktiviti penceritaan dan permainan, murid memerhatikan tingkah laku rakan, meniru cara berkomunikasi dan menyesuaikan tindakan mereka berdasarkan maklum balas sosial dalam kumpulan. Nilai seperti kerjasama, toleransi dan tanggungjawab tidak diajar sebagai konsep, tetapi dipelajari apabila murid melihat kesannya dalam interaksi sebenar. Proses ini membolehkan murid membina kemahiran sosial dan komunikasi secara semula jadi, selari dengan prinsip Bandura bahawa pembelajaran paling berkesan berlaku apabila murid terlibat secara aktif dalam situasi sosial yang bermakna. Dengan cara ini, Squirrel’s Whimsical Adventure menyediakan ruang pembelajaran yang membolehkan pengetahuan, kemahiran, komunikasi dan nilai berkembang secara serentak melalui pengalaman bersama, bukan melalui hafalan atau arahan semata-mata.

Mengapa Hal Ini Penting dalam Konteks Pendidikan Hari Ini?
Dalam dunia yang semakin saling berkait, pendidikan tidak lagi wajar dibatasi oleh ukuran pencapaian akademik semata-mata. Seperti yang ditegaskan oleh UNESCO (2015; 2018), murid perlu diperkasakan dengan kefahaman, kemahiran dan nilai yang membolehkan mereka hidup serta berfungsi dalam masyarakat global yang pelbagai. Keperluan ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan, khususnya SDG 4.7, yang menuntut agar pendidikan membina kefahaman tentang kewarganegaraan global, penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dan komitmen terhadap pembangunan lestari.

Seiring dengan tuntutan tersebut, kajian antarabangsa menunjukkan bahawa pendidikan yang memupuk kompetensi global, sebagaimana dihuraikan dalam kerangka PISA oleh OECD (2018), membantu murid membina keupayaan berfikir secara kritis, berinteraksi secara berkesan merentas budaya dan mengambil tindakan kolektif terhadap isu global. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman pula, menurut Darling-Hammond et al. (2017), lebih berkesan dalam menyokong pembentukan kemahiran sosial, empati dan kolaborasi—keupayaan yang menjadi teras kepada hasrat SDG 4 untuk melahirkan pendidikan yang inklusif dan berkualiti.

Dalam konteks Malaysia, penyelidikan oleh Zohir (2024) memperlihatkan bahawa penerapan elemen kewarganegaraan global dalam kurikulum perlu bersifat kontekstual dan berakar pada budaya tempatan agar aspirasi SDG 4.7 tidak kekal sebagai dasar semata-mata, tetapi dapat diterjemahkan dalam amalan bilik darjah. Pendekatan berasaskan cerita dan permainan dalam hal ini menunjukkan bagaimana agenda global boleh dihidupkan melalui pengalaman pembelajaran kecil yang dekat dengan kehidupan murid dan realiti masyarakat setempat.

Apakah Peranan Guru ?
Persoalan akhirnya kembali kepada guru. Melalui pengalaman ini, saya belajar bahawa guru bukan sekadar penyampai kandungan, tetapi pemudah cara pengalaman. Guru mencipta ruang, menyediakan jambatan, dan membimbing murid menyeberanginya.

Pengalaman mengajar di Korea memperlihatkan bahawa pendidikan yang bermakna lahir apabila guru berani bereksperimen, mencipta dan menilai semula amalan sendiri secara berterusan. Dalam konteks pendidikan hari ini, keberanian ini menjadi semakin penting kerana murid tidak lagi hidup dalam dunia yang terpisah mengikut sempadan negara, budaya atau maklumat. Cabaran pendidikan bukan sekadar memastikan murid menguasai kandungan kurikulum, tetapi membina keupayaan mereka untuk memahami perbezaan, bekerjasama dalam kepelbagaian dan bertindak secara bertanggungjawab dalam masyarakat yang kompleks.

Dalam keadaan ini, guru tidak boleh berfungsi semata-mata sebagai pelaksana silibus yang telah ditetapkan. Guru perlu berperanan sebagai pereka pengalaman pembelajaran yang mampu menghubungkan kandungan akademik dengan realiti kehidupan murid.

Squirrel’s Whimsical Adventure merupakan contoh bagaimana pengalaman antarabangsa boleh diterjemahkan menjadi amalan tempatan yang relevan—bukan melalui peniruan model luar secara langsung, tetapi melalui penyesuaian yang mengambil kira konteks murid, budaya dan keperluan masyarakat setempat. Pendekatan sebegini penting kerana dapat mengembalikan fungsi pendidikan kepada pembinaan insan, bukan sekadar pencapaian peperiksaan. Apabila guru mencipta ruang pembelajaran berasaskan pengalaman, murid tidak hanya belajar tentang dunia, tetapi belajar untuk hidup dalam dunia tersebut. Di sinilah peranan guru menjadi kritikal—sebagai pemudah cara yang membimbing murid membina kefahaman, nilai dan tindakan yang seimbang, selari dengan keperluan pendidikan masa kini dan masa hadapan.

Menelusuri Pendidikan Kewarganegaraan Global  di Sebalik Squirrel’s Whimsical Adventure

Membina Warga Global daripada Acuan Tempatan
Kesinambungan pendidikan kewarganegaraan global di Malaysia menuntut kita kembali kepada asas yang sering kita abaikan dalam konteks sendiri. Bagi murid Malaysia, pembelajaran global tidak seharusnya memisahkan mereka daripada bahasa, budaya dan pengalaman setempat, sebaliknya mengukuhkan kefahaman tentang diri sebagai langkah awal memahami orang lain. Cerita, bahasa dan permainan tradisional bukan sekadar warisan, tetapi sumber pendidikan yang mampu membentuk kefahaman global secara berakar dan bermakna.

Melangkah ke hadapan, ruang perlu diberikan kepada guru untuk mencipta dan menyesuaikan pengalaman pembelajaran berdasarkan realiti murid. Apabila buku cerita, permainan dan pembelajaran kolaboratif digunakan secara bermakna, murid tidak hanya belajar tentang kepelbagaian, tetapi belajar hidup dalam kepelbagaian. Dalam masyarakat Malaysia yang majmuk, pengalaman sebegini lebih berkesan daripada pengetahuan yang disampaikan secara terpisah daripada kehidupan sebenar.

Akhirnya, dalam dunia pendidikan yang terus berubah, persoalan yang wajar kita renungkan bukanlah sejauh mana kita meniru amalan luar, tetapi sejauh mana kita berani mentafsir pengalaman global dengan kebijaksanaan tempatan. Di situlah pendidikan menemukan maknanya, bukan sekadar melahirkan pelajar yang mengetahui dunia, tetapi membentuk warga yang mampu hidup dengan tanggungjawab, empati dan kemanusiaan.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Simbolik Senario Kemajuan Pembangunan Johor dalam “Sirat Figura”
Bicara Sastera

Simbolik Senario Kemajuan Pembangunan Johor dalam “Sirat Figura”

  • 4 Januari 2024
  • 243
  • 5
Bicara Sastera

TEORI STILISITK BERDASARKAN NOVEL “NOVEL RUMAH KUPU-KUPU”

  • 26 November 2023
Iltizam
Puisi

Iltizam

  • 5 Ogos 2024
  • 176
  • 4
شعير زمان فتنه
Puisi Tradisional

شعير زمان فتنه

  • 24 April 2025
  • 4.3

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP