- DALAM sebuah bas, seorang lelaki yang duduk menyendiri di tepi tingkap, dengan bangganya memegang dua buah novel, tulisan Ivan Turgenev dan Ernest Hemingway. Tiada sesiapa pun yang ambil peduli keseronokan dialaminya. Sastera dan buku, dua entiti pelik di kampungnya. Dua buah buku itu merupakan karya terjemahan dan dipinjam dari perpustakaan umum.
Dari sebuah buku ke sebuah buku, (tebal dan nipis), lelaki itu kian hanyut di lautan naratif yang menceritakan kisah-kisah dari negara luar. Hebatnya sastera, lebih hebat pula si pengkarya, yang tidak pernah dijumpai di depan mata. Bersyukurlah, ada individu yang sanggup menterjemahkannya.
Hasil daripada penciptaan kertas dan mesin cetak, dunia tidak lagi serupa sebagaimana sebelumnya. Kemudian usaha penterjemahan pada era khalifah Islam dahulu, ledakan ilmu, falsafah, pemikiran dan kebebasan berpendapat (intelektual) secara individual, terus berkembang sehingga kini. Ilmu berkembang sebelum wujudnya universiti dan gelaran profesor. Keberhasilan aktiviti memindah dan mengalih bahasa asal ke bahasa lain, bukan main-main. Negara-negara yang berpisah dan berbeza budaya, telah dirapatkan oleh sekian ramai pengarang/cendekiawan berkaliber pada ratusan manuskrip yang dibukukan.
Mengapakah perlu menterjemah? Apakah kepentingannya? Apakah pulangan yang diraih daripada usaha penterjemahan? Persoalan-persoalan demikian tidak sukar dijawab oleh mana-mana individu atau penerbit yang mencintai pelbagai bahan bacaan dan ilmu. Bahkan dalam agama Islam, mencari ilmu adalah sesuatu yang amat dituntut. Akibat daripada tidak memperbaharui ilmu dan bertaklid buta dengan orang-orang yang kononnya memiliki kuasa melebihi kudrat dan fitrah, seseorang dan masyarakat akhirnya terbenam dalam dasar kejahilan hingga merugikan dunia dan akhirat.
Memang kerja menulis itu tampaknya mudah.
Para penulis sekarang amat bertuah kerana di sekitar mereka, telah tumbuh contoh-contoh sastera yang terbaik dan hanya tinggal memilih karya-karya yang hendak (teknik dan gaya) diikut.
Lebih mudah lagi jika diterbitkan sendiri tanpa melalui proses suntingan daripada editor bertauliah dan luas pengetahuannya dalam sesuatu bidang.
Tetapi apabila seseorang terlibat dalam bidang kesusasteraan secara serius dan memiliki jati diri, tiada yang enteng dalam pekerjaan sebegitu. Setiap hasil penulisan bukan sahaja mewakili nama pengarang, malahan mengetengahkan tahap pemikiran, kehalusan artistik dan kejernihan ekspresi. Aspek-aspek sedemikian tidak dapat ditiru secara semberono.
Isu pengaruh dan mempengaruhi sudah tidak relevan lagi untuk dipersoalkan. Seseorang pengarang yang ingin berkembang dan menajamkan pelukisan dan renungan dalam tema yang hendak diterokai, mahu tidak mahu harus mencari karya-karya bersesuaian dengan lenggok dan gaya penulisan. Tetapi perlu mempunyai alasan tersendiri mengapa karyanya condong kepada gaya kepengarangan tertentu. Ia berkaitan dengan keperibadian dan latar belakang seseorang pengarang. Bukan sekadar meminjam gaya dan teknik tertentu yang sudah pun popular lalu dilapikkan ke atas naskhah, yang sudah tentu bertujuan untuk memasyhurkan kedudukannya.
Bak kata Budi Darma menerusi buku Harmonium, “Kerana kreativiti bersifat peribadi, subjektif, dan personal, kreativiti hanya dapat dimiliki oleh orang-orang yang persepsinya tinggi, khas, dan tidak dimiliki oleh orang lain. Pandangan seseorang kreatif berbeza dengan pandangan orang lain. Bahkan dalam beberapa hal, mungkin pandangan orang kreatif berlawanan dengan pandangan umum. Pandangan berbeza dengan sendirinya juga membawakan aspirasi yang berbeza.”
Dua puluh atau tiga puluh tahun yang lalu, saya terserempak dengan kata-kata dari sebuah buku bertajuk Cermin Diri: Esei-esei Kesusasteraan, “belajar daripada penulis besar ialah belajar dengan guru yang bijaksana.” Penyataan itu dipetik daripada sebuah esei, “Belajar daripada Gelisah Dunia”, tulisan SN Muhammad Haji Salleh. Apa yang dimaksudkan oleh tokoh persuratan negara itu, lebih kurang membawa peringatan bahawa kesusasteraan itu sifatnya sejagat. Lambat-laun akhirnya saya sedar, hanya sastera yang benar-benar berkualiti, unik, tersendiri, tajam analisis, kuat pelukisan karakter dan indah pula penggunaan metafora dan kebaharuan bahasa sahajalah yang mengelilingi dunia untuk dicari oleh para pembacanya.
Maka, impaknya dalam urusan penulisan seseorang, tidak dinafikan telah memberikan keluasan ragam bentuk penulisan dan pada masa yang sama memajukan lagi tingkat kemahiran bercerita. Itulah, antara lain, mengapa terjemahan memberi manfaat tersendiri kepada golongan pengarang. Selain mempromosi nama dan karya penulis-penulis penting terbaik sesebuah negara, ia juga secara materialnya, memberi imbuhan kepada penerbit dan pengarang yang karyanya diterjemahkan. Lebih daripada sekadar itu, usaha terjemahan (selain karya kreatif) telah menjadi jambatan intelektual kepada pencari ilmu yang ingin meninggikan lagi pemahaman dan pengetahuannya. Memang ada sasterawan tertentu yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana pengarang lain ketika menghasilkan naskhah. Langka.
Juga memang ada kesan karya-karya asing yang dibaca, melalui terjemahan, hingga memberi perbezaan/perubahan pada kaedah penulisan seseorang. Normal. Dunia berputar dan demikian juga cara berfikir seseorang pengarang. Jika masih kekal dengan kaedah lama dan enggan mendedahkan diri dengan kerja penulisan pelbagai penulis dari negara luar, ia bukan sifat positif kepada seseorang pengarang yang komited. Sekali lagi, jati diri dan suara peribadi perlu kukuh dalam naskhah sendiri. Itulah ciri spesifik yang membezakan pengarang berwawasan kreatif dan penulis pengejar kebendaan.
Dalam bidang penulisan karya kreatif, saya dimaklumkan betapa pengarang sehebat Gabriel Garcia Marquez juga memperoleh manfaat daripada kerja penterjemahan dengan menerapkan idea provokatif yang melanggar kebiasaan fiksyen setelah membaca cerpen Franz Kafka, The Metamorphosis. Aliran penulisan realisme magis yang bersemarak dalam genre penulisan sastera di Amerika Latin dijadikan medium sasterawan-sasterawannya untuk merakam kekejaman kolonialisme. Kehebatan penulisan dari Amerika Latin diceritakan oleh penulis tempatan, misalnya SN Shahnon Ahmad melalui esei-eseinya untuk dijadikan rujukan perkembangan karya kreatif tidak semestinya hanya bertumpu di benua tertentu sahaja.
Saya juga menyedari bibit-bibit perkenalan karya terjemahan juga meresap masuk ke dalam kerja penulisan pengarang-pengarang generasi baharu di Sarawak. Ia suatu kesedaran positif buat pengarang-pengarang demi faedah mereka sendiri. Kesannya boleh dilihat pada teknik penulisan mereka. Ada beberapa orang pengarang muda sudah mula terpesona dengan gaya penceritaan pelik oleh penulis-penulis luar, misalnya, Juan Rulfo, Julio Cortazar, Roberto Bolano dan menyeberang ke Haruki Murakami, Sayaka Murata dan barisan pengarang dari Indonesia. Mereka mengaplikasikan teknik dan kaedah ke dalam struktur penulisan mereka. Sama ada berjaya atau separuh menjadi, hanya masa dan kesungguhan pengarang yang menentukannya.
Saya sendiri mula terkesan dengan penulisan dari luar sejak di bangku sekolah rendah lagi. Hasilnya, saya semakin dighairahkan dari semasa ke semasa untuk memburu apa-apa sahaja karya yang baik dan, siapa tahu, membantu teknik dan gaya dalam penceritaan. Apa yang dibaca tidak lagi berpusat pada karya fiksyen semata-mata. Terlalu banyak bidang dan subjek boleh dijadikan aset intelektual kepada kerja penulisan. Hal ini kerana, bahan bacaan yang baik dan bermanfaat, akan memberi nilai tambah kepada gagasan, idea, sudut pandang dan pemikiran. Seiring dengan peningkatan usia, ada bacaan yang lebih utama dan tinggi nilainya dalam arah tujuan kehidupan seseorang insan sebelum menemui Penciptanya nanti di alam lain.
Tetapi, sebagai pengarang, apa yang lebih bermakna dalam urusan mengerjakan naskhah, ialah ketulusan, kejujuran dan ekspresi sebenar yang menjadi pendorong kepada tercetusnya sesuatu karya.
Itu yang agak payah dipegang dalam keperibadian seseorang. Adapun pembacaan ke atas karya-karya terjemahan, baik dari Brazil, Russia, Norway, Sweden, Mexico, Jepun mahupun Amerika Syarikat hanyalah sekadar bahan rujukan. Ia tidak sewajarnya ditiru bulat-bulat agar menampakkan sesuatu kelainan dalam penulisan sendiri. Epigonisme merupakan istilah bernada buruk buat mana-mana pengarang yang sedar maknanya.
Hanya manikam yang jeli dan jujur sahaja berani untuk memberikan komen ke atas sesebuah karya.
Di mata penilai berkredibiliti, sesebuah karya yang asli dan sebaliknya, boleh dibezakan bak sekilas ikan di air.
Ada pengarang yang tahu bagaimana hendak memanfaatkan karya terjemahan untuk membantu kaedah penceritaannya. Itu namanya pintar dan berbakat tinggi. Malahan apa yang dikerjakan disampaikan dengan lebih unik dan menakjubkan, setara dengan karya asal dibaca. Namun, buat pengarang yang tidak memiliki imaginasi, kreativiti dan keaslian dalam suara peribadinya, karya-karya terjemahan bakal menjerumuskan seseorang ke lembah kemunafikan dengan memplagiat karya asal. Perkara demikian sangatlah menakutkan kerana tidak selayaknya dibiarkan dalam kesusasteraan.
Dalam LRT, seorang lelaki yang duduk mengasingkan diri, sedang asyik dibuai oleh cerita-cerita karangan Ludmilla Petrushevkaya. Kisah-kisahnya pelik kerana fikiran manusia sesungguhnya memang rumit dan sentiasa berbolak-balik. Eropah atau Asia. Bahasa buku yang dipegang lelaki itu ialah karya terjemahan dari Rusia ke Inggeris.
Maka berulang aliklah lelaki itu, singgah dari sebuah stesen ke sebuah stesen dalam bandar raya dengan pelbagai buku yang dipegang (terpakai dan baharu) untuk menjarakkan sebentar kewujudannya di dunia. Melayang-layang atas hamparan naskhah yang tidak bersempadan. Lelaki itu bukan sahaja berkesempatan menerobos alam fiksyen, tetapi terjebak dengan perbincangan ilmiah yang mencabar akal. Bersyukurlah, usaha penterjemahan belum lagi diharamkan undang-undang.