ABANG MEDIAN ABANG SAID merupakan penulis yang prolifik dan sudah acap kali muncul sebagai pemenang dalam pertandingan atau sayembara penulisan. Guru Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu yang sudah lama menabur khidmat bakti di SMK Marudi, Sarawak ini berbakat besar dan telah menghasilkan banyak novel, cerpen, sajak, esei kritikan sastera dan karya kreatif yang lain untuk tatapan dan renungan para pembaca. Ternyata bahawa hasil penulisan beliau bukan sahaja menyajikan keseronokan membaca, malahan turut membijaksanakan dan menimbulkan keinsafan kepada para pembaca. Sifat didaktik dan misi sastera untuk masyarakat ini sememangnya intim dan sebati dengan jiwa sejati dan misi murni beliau sebagai pendidik bangsa dan generasi muda.
Oleh sebab hasil penulisan Abang Median begitu banyak dan pelbagai, eloklah kalau kita berfokus pada enam buah cerpen beliau yang disiarkan dalam akhbar dan majalah pada tahun 2022. Cerpen tersebut ialah “Hujan Kenangan yang Melimpah” (Berita Harian, Februari 2022), “Kisah Si Penghisap Darah yang Kemabukan Rasa” (Utusan Borneo, Mac 2022), “Dementia di Pagi Syawal” (Utusan Borneo, Mei 2022), “Semut di Kota New York” (Dewan Tamadun Islam, Jun 2022), “Hasrat yang Tertunda” (Dewan Siswa, Ogos 2022), dan “Meranduk Sejarah yang Memisah” (Dewan Sastera, September 2022).
Dalam cerpen “Hujan Kenangan yang Melimpah”, Abang Median menceritakan kisah “aku” yang sering berdiri di dalam hujan kerana hujan menghidupkan imbauan kenangannya tentang pertemuan yang mengasyikkan dan permisahan yang memilukan antara dirinya dengan arwah kekasihnya, Adira, suatu masa dahulu. Hujan yang menyejukkan itulah yang menghangatkan cintanya dengan Adira. Dia merelakan badannya basah lencun dan menggigil kesejukan. Antara air hujan dengan air mata yang tidak terbezakan, dia ingin merasai semula rasa takut, rindu dan sesal yang bersarang dalam jiwanya. “Aku” dan Adira terpisah selama-lamanya apabila Adira mati lemas dalam banjir besar yang melanda rumahnya. Pada akhir cerita, dia didatangi oleh seseorang (Ayuni?) yang sanggup menemani dirinya berhujan dalam sisa hidup yang seterusnya.
Kelebihan Abang Median dalam cerpen tersebut meliputi aspek pengolahan bahasa, kemahiran bercerita dan iktibar yang terselit di sebaliknya.
Ada kalanya penceritaannya turut dibumbui unsur kecindan yang menghiburkan pembaca. Hal ini tergambar dengan jelasnya dalam ayat-ayat berikut:
- Rasa bersalah sentiasa menyeruak dan menjadi anjing gila yang menggigitku.
- Tiada siapa dapat menebak antara air hujan dan air mata. Kedua-duanya bersatu – tidak terpisah dan tidak terbezakan.
- Kedinginan yang bertemu dan bersatu. Kerinduanku akan terus basah di dalam hujan.
- Dia sering melemparkan senyum seperti pelangi selepas hujan. Aku tidak mahu mentafsir warna-warna di sebalik pelangi itu.
- Antara kisah sendu, bicara yang kelu dan ada senyuman terukir daripada cinta yang bertemu dan bertamu.
- Setiap kali hujan, aku mengingati cinta kami yang kian hangat – kontradiksi dengan suasana alam. Hangat dan dingin bersatu dalam ruang waktu yang sama.
- Ada debar di dada dan ketar di jari.
- Kau hujan yang hadir menyuburkan rasa cinta itu sewaktu musim kemarau.
- Deraian hujan di luar rumahnya ingin kusambungkan menjadi tali yang akan mengikat cinta dengan ikatan perkahwinan.
- “Kebelakangan ini hujan selalu turun.” “Sebab itu ramai ahli politik yang menjadi katak.”
Dalam cerpen “Kisah Si Penghisap Darah yang Kemabukan Rasa”, pencerita yang menamai diri sebagai Kitol tidak menyatakan identiti si penghisap darah. Walau bagaimanapun, ada dikatakan bahawa si penghisap darah berpakaian segak untuk mengaburi dahaganya akan darah manusia. Dalam cerita tersebut, si penghisap darah merupakan pengarah syarikat konglomerat yang terlibat dalam industri yang pelbagai dan mempunyai bilangan pekerja yang besar. Watak yang bernama Mendeliar itu kaya-raya dan turut mempunyai pelaburan saham di luar negara.
Mendeliar gemar menghisap darah pekerjanya sehingga mereka menjadi lemah, prestasi syarikat merudum dan pelabur-plabur asing cabut lari. Dia diserang hebat oleh netizen dalam Internet, tetapi dia tetap menafikan segala tuduhan, malahan dia ingin menyaman sesiapa yang melemparkan tuduhan. Perbuatan Mendeliar yang ketagih akan darah pekerjanya turut ditentang oleh pengerusi cawangan syarikat dan Ahli Lembaga Pengarah yang diketuai oleh Bentan. Mendeliar menganggap Bentan yang pernah diajarnya tentang ilmu perniagaan dan kemudiannya dijadikannya sebagai orang kepercayaannya, sebagai pengkhianat. Pada suatu lewat petang, Mendeliar memanggil Bentan ke pejabatnya. Dia bercadang untuk memindahkan Bentan ke anak syarikat di daerah kecil untuk mengurangkan pengaruhnya. Namun begitu, Mendeliar terleka sedikit dan darahnya pula dihisap oleh Bentan sehingga dia akhirnya mati.
Cerpen ini boleh dianggap sebagai kritikan masyarakat di sebalik tabir. Kisah menghisap darah boleh sahaja dikaitkan dengan apa-apa salah laku yang menjadi penyakit sosial yang berulang.
Hal ini terbayang pada ayat-ayat berikut dalam cerita tersebut:
Bukankah kisah yang berlaku itu adalah kisah yang berulang disebabkan pemikiran dan sikap masyarakat Melayu yang tidak pernah berubah? Kesilapan yang tertulis dalam sejarah akan berulang – dikesali hanya seketika dan dilakukan semula – lagi dan lagi.
Untuk menjadikan ceritanya lebih menarik, Abang Median mengaitkan imej penghisap darah dengan kisah Zombie, Drakula, Raja Bersiong, Hang Jebat dan Chupacabra. Ternyata bahawa usaha sedemikian menuntut pengetahuan dan pengalaman yang luas serta kemahiran bercerita yang mantap dan berseni. Dalam hal ini, pembaca yang berfikiran mencapah mungkin mempunyai tafsiran yang pelbagai tentang kisah dan plot penghisap darah dalam cerita tersebut.
Dalam cerpen “Dementia di Pagi Syawal”, Abang Median mengisahkan konflik peribadi yang timbul akibat salah faham dan salah sangka. Seorang penulis telah dituduh oleh rakannya bahawa dia memplagiat atau menjiplak karyanya. Akibat tuduhan yang melulu dan konfrontasi tanpa kompromi, penulis itu telah membakar habis buku tulisan rakannya dan memutuskan hubungan dengannya. Selepas sekian lama waktu berlalu, penulis itu bertemu dengan rakannya itu pada suatu pagi raya, tetapi rakannya sudah kehilangan ingatan akibat dementia vaskular dan sukar bercakap disebabkan oleh penyakit aphasia. Sebelum itu, penulis itu telah membaca kitab dan mendengar khutbah tentang kemaafan, ditambah lagi nasihat daripada kawannya. Oleh itu, penulis itu cukup terharu atas kelewatan tibanya maaf yang diberikan kepada rakannya. Bagi dirinya, biarlah dia juga dihinggapi dementia agar melupakan kisah pahit yang pernah berlaku. Ternyatalah Abang Median ingin menekankan bahawa sikap bertenang, berdiplomasi dan bermaaf-maafan merupakan sandaran hidup yang terpuji lagi bererti.
Satu kelebihan Abang Median dalam cerpen ini ialah keterperincian dan ketelitian penceritaannya tentang sesuatu peristiwa.
Contohnya ialah gambarannya tentang kekalutan dan keletihan masyarakat apabila mendapat tahu bahawa 1 Syawal jatuh satu hari lebih awal daripada tarikh yang dinyatakan dalam almanak dan kalendar rasmi, seperti yang berikut:
Semuanya pasti kalut untuk menyediakan juadah pagi raya – membakar lemang, menganyam ketupat termasuk memasak kari dan rendang. Dalam media sosial, ada yang masih kalut membeli baju raya atau mengecilkan baju yang sedikit besar setelah sebulan berpuasa. Malahan ada juga yang dijanjikan untuk mengambil baju raya pada hari ini dengan andaian bahawa raya jatuh pada esok hari. Tentunya individu berkenaan terpaksa menggunakan baju tiga tahun lepas untuk ke masjid jikalau ditolak dengan dua tahun pandemik yang menggasir seri dan keterujaan berhari raya.
Satu lagi keunikan gaya bahasa Abang Median ialah beliau ada kalanya menggabungkan kata tertentu sebagai kata majmuk mengikut kreativiti sendiri dan berdasarkan kebebasan seni (poetic licence) yang ada pada dirinya sebagai penulis.
Contohnya ialah frasa “memarakapikan sengketa” dan “mencakarlukakan jiwa” dalam ayat-ayat berikut:
- Buku yang terbakar sehingga memarakapikan sengketa – yah, meninggalkan bau hangit yang mencucuk hidung!
- Adakah aku hanya mampu membiarkan tuduhan itu menjadi kuku yang mencakarlukakan jiwaku?
Cerpen “Semut di Kota New York” membandingkan sifat dan tabiat semut dengan manusia. Menurut penulis, semut sentiasa rajin, prihatin, bersatu padu, bersedia awal untuk menghadapi dugaan hidup, dan berpandangan positif meskipun dilanda bencana dan musibah. Manusia pula kelam-kabut sewaktu ditimpa COVID-19 sehingga ekonomi dunia hampir runtuh dan ramai orang melakukan pembelian panik. Selain itu, ada manusia yang bersifat individualistik dan berpura-pura, seperti “dipijak semut pun tak mati”.
Satu hal yang ketara tentang cerpen ini ialah penulis ada melakukan pembacaan dan rujukan tambahan dalam proses pertukangannya. Hal ini terbayang melalui istilah seperti Quantitiative Easing dan The Green New Deal yang digunakan dalam cerpen tersebut.
- Aku pula yang sedang menulis esei tentang hutang korporat di Amerika yang kian menggelembung kerana Quantitative Easing (QE) hanya membiarkan situasi tegang itu akan kendur sendiri.
- The Green New Deal, menurut para ideologi pasaran bebas hanya akan menyebabkan korupsi dan ketidakcekapan hingga lebih memburukkan kerosakan ekonomi.
Cerpen “Hasrat yang Tertunda” merupakan cerpen remaja tentang usaha yang tidak mengenal penat lelah bagi menggapai kejayaan. Ceritanya mengenai seorang budak Penan bernama Buna yang saban tahun menulis surat dan kemudiannya menghantar e-mel kepada Ketua Menteri Sarawak sejak usianya tujuh tahun lagi, agar kerajaan negeri Sarawak memajukan kampung kecilnya yang tersorok di kawasan Ulu Baram. Gurunya yang prihatin membantunya mengepos surat tersebut sewaktu mereka balik bercuti. Buna berbuat demikian kerana ibunya meninggal dunia sewaktu melahirkannya dalam perjalanan dengan perahu ke klinik desa di perkampungan lain. Selain itu, kakaknya mati dalam kemalangan sewaktu melalui laluan balak untuk mendapatkan rawatan dari hospital. Malahan, pada pendapat Buna, pembinaan jalan raya dapat memajukan industri pelancongan dan kraf tangan di kawasan Uu Baram itu.
Buna menyedari masalah kaum Penan termasuk pengangkutan yang sukar, pergantungan pada perubatan tradisional, dieksploitasi oleh orang tengah, kelahiran bayi tanpa berdaftar dan kehidupan yang sukar. Meskipun usahanya menulis surat kepada Ketua Menteri Sarawak dianggap sia-sia dan dia menghadapi ejekan serta senyuman sinis daripada rakan, dia tetap yakin bahawa tiada ruginya berusaha. Buna sedar bahawa kerajaan kita prihatin, namun ada ketikanya mungkin mereka terlepas pandang. Itulah sebabnya dia perlu menulis surat untuk memberikan gambaran dan peringatan tentang masalah hidup komunitinya. Dalam hal ini, kita mengakui bahawa sememangnya gagal dalam hal berusaha jauh lebih baik daripada terus gagal kerana tidak berani mencuba. Malahan, dia membulatkan tekad untuk menjadi doktor perubatan agar dapat menyantuni masyarakat di daerah Baram.
Akhirnya usaha Buna membuahkan kejayaan dan keajaiban apabila wakil rakyat di kawasannya mengucapkan terima kasih atas usahanya dan projek pembinaan jalan ke kawasan Ulu Baram pun dimulakan. Tambahan pula, Buna sudah melanjutkan pelajaran dalam Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Berkat kegigihan dan kesabaran dirinya, semua impiannya akhirnya menjelma sebagai kenyataan yang indah.
Selain penceritaan yang lancar dan nilai murni yang diselitkan, cerpen ini turut menampilkan gaya bahasa yang segar berbanding dengan klise, seperti yang berikut:
- Kasih sayangnya kepadaku seperti buah betik yang berbuah tanpa mengira musim.
- Kami berjejer di kaki pagar, berbaring telentang seperti buaya sedang menjemurkan diri.
- Matahari yang terbenam pada hari itu seperti tidak mampu menghilangkan sinar kegembiraan di hatiku.
- Kemudian kami bergerak ke kawasan bukit dengan laluan mengular yang agak panjang, mendaki punggung bukit dan rakan-rakanku juga meliuk-liuk seperti ular.
Cerpen “Meranduk Sejarah yang Terpisah” yang berlatarbelakangkan sejarah mengisahkan Pemberontakan Limbang yang berlaku pada bulan Disember 1962. Cerita ini bermula dengan seorang penulis yang memenangi Man Booker Prize pada peringkat antarabangsa dengan hasil penulisan novelnya yang berjudul “Petualang”. Walau bagaimanapun, bukunya kurang mendapat perhatian daripada pengulas tempatan kerana dia menulis kisah pemberontakan itu dari kaca mata Barat atau penjajah. Ada juga pandangan yang mengatakan bahawa ceritanya terpesong daripada fakta sejarah yang sebenarnya.
Sekembalinya ke tanah air sendiri, penulis tersebut diserang insomnia akibat pengambilan ubat Escitalopram atau disebabkan rasa bersalah yang sentiasa melanda dan membelit jiwanya secara bawah sedarnya. Disebabkan sukar untuk tidur, dia berhalusinasi sehingga membayangkan dirinya didatangi oleh Salleh Sambas di biliknya. Salleh Sambas ialah Leftenan Muda Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) yang menjadi ketua kumpulan tragedi Pemberontakan Limbang. Kedatangan Salleh Sambas bertujuan membawa penulis itu mengalami dan melalui peristiwa Pemberontakan Limbang bersama-sama dengannya agar dia mendapat gambaran yang benar dan betul tentang peristiwa tersebut. Seterusnya, penulis itu diharapkan akan menilai semula sama ada Salleh Sambas ialah petualang atau perwira nusa dan bangsa yang menentang penjajah Inggeris. Salleh Sambas mahu generasi muda tahu tentang keperitan menentang penjajah dan membaca sejarah dari kaca mata penduduk tempatan. Menurut Salleh Sambas, penulis itu sengaja menggambarkannya sebagai petualang sedangkan penulis itulah sebenarnya petualang kerana dia telah mengubah sejarah untuk kepentingan diri supaya karyanya memenangi anugerah. Itu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berprinsip.
Cerpen ini telah menyusurgalurkan kisah Pemberontakan Limbang dengan terperinci, termasuk rentetan peristiwa, anggota kumpulan yang terlibat, lokasi kejadian, strategi perjuangan, pasang surut pertempuran dan kesudahan peristiwa. Sesudah mengalami pemberontakan itu bersama-sama Salleh Sambas dan pengikutnya, barulah penulis itu menyedari bahawa Salleh Sambas merupakan pemimpin dan pejuang bangsa yang patriotik, prihatin, penyayang, cerdas dan berkarisma. Penulis itu berjanji bahawa dia akan mengubah novel tersebut dalam cetakan yang seterusnya, dan dia akan mengakui kesilapannya dalam siaran Youtube, Facebook, Tiktok dan sebagainya.
Jelaslah bahawa cerpen ini berjiwa patriotik dan bertujuan memaparkan kisah sejarah yang sebenar kepada masyarakat tempatan. Dengan itu, diharapkan semangat cinta akan negara kita akan menebal dan mengental dalam jiwa masing-masing.
Tuntasnya, cerpen tulisan Abang Median Abang Said memuatkan mesej yang sarat berisi dengan nilai murni. Hal ini memang sesuai dan selari dengan visi dan misinya sebagai pendidik tulen di tanah air sendiri. Selain itu, gaya bahasanya yang jitu, indah, berseni dan kreatif dapat dijadikan sebagai langgam contoh kepada para pencinta dan pendamping bahasa Melayu.