Sesiapa sahaja yang melalui zaman remajanya dalam era 1980-an, pasti tidak terlepas daripada mendengar dendangan merdu suara penyanyi Zubir Ali yang sinonim dengan lagu-lagu puisi yang indah dan menawan hati. Zubir Ali bersama-sama Kumpulan Harmoni telah mencetuskan fenomena apabila album pertama berjudul Penantian telah berjaya mencecah jualan sebanyak 50,000 unit, satu pencapaian di luar jangka dalam industri muzik Malaysia pada ketika itu. Zubir Ali telah mencipta nama sebagai seorang pencipta lagu, komposer, penulis lirik serta penyanyi yang sentiasa meniti di bibir para peminat lagu-lagu Melayu yang berlirikkan puisi. Ketika itulah istilah “lagu puisi” mula muncul di persada muzik tanah air.
Md. Zubir Bin Md. Ali dilahirkan pada 18 Oktober 1949 dalam sebuah keluarga yang berpegang kuat pada ajaran agama Islam. Ayahnya ialah seorang imam di Lorong Kampung Padang, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Zubir merupakan anak bongsu dalam keluarga seramai 12 orang adik beradik. Lima orang daripada adik beradiknya meninggal dunia semasa lahir atau semasa masih kecil. Manakala ayah Zubir, Md. Ali bin Abdullah adalah anak sulung daripada tujuh orang adik-adiknya, iaitu Ibrahim, Latif, Jamilah, Balkis, Mardziah, Khalid dan Aziz. Ibu Zubir bernama Rabeah binti Abdullah.
Zubir mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Seberang Perak (Lelaki), Alor Setar, tidak jauh dari tempat kelahirannya, dari tahun 1956 – 1961. Mulai tahun 1962 dia menyambung pelajaran menengahnya di Maktab Mahmud, Alor Setar, sebuah sekolah agama yang terkemuka di negeri Kedah dengan menggunakan pengantar bahasa Arab. Setelah tamat tingkatan lima, Zubir diterima masuk ke Kolej Islam di Petaling Jaya, Selangor untuk menyambung pengajian di tingkatan enam dan kemudiannya meneruskan pengajian di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dalam bidang Pengajian Islam.
Menurut anak saudaranya, Ahmad Badri bin Mohamad Zahir (Tan Sri) dalam satu temu bual, Zubir seorang yang pendiam dan memilih rakan sebaya semasa zaman remajanya. Zubir tidak mempunyai ramai rakan di kampung kerana dia kurang bercampur gaul dengan mereka, tambahan pula dia ialah satu-satunya pelajar Maktab Mahmud dari kampungnya. Sebaliknya dia lebih gemar duduk di rumah, membaca, menulis dan bermain gitar.
Ahmad Badri yang amat rapat dengan bapa saudaranya itu masih dapat mengingati betapa Zubir selalu menulis menggunakan kapur tulis di gelegar lantai rumahnya dengan kata-kata semangat yang dikutip daripada buku-buku yang dibacanya. Don’t feel sad if you don’t have shoes, wait until you see a man with no feet. Itulah antara kata-kata yang ditulis oleh Zubir dan masih kekal dalam ingatan Ahmad Badri sehingga kini.
Semasa di tingkatan lima di Maktab Mahmud, Zubir pernah memenangi Peraduan Mengarang Puisi bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul Daerah Kota Setar dan berjaya merangkul tempat kedua. Semasa majlis penyampaian hadiah di sekolahnya, Zubir telah mempersembahkan bakatnya dalam bidang nyanyian apabila dia menyanyikan lagu yang digubah berdasarkan puisinya yang memenangi peraduan tersebut. Hadiah pertama ialah puisi yang ditulis oleh Zurinah Hassan, seorang pelajar Sekolah Sultanah Asma, Alor Setar berjudul “Muhammad” dan telah dideklamasikan oleh pelajar Maktab Mahmud, iaitu Che Shamsudin Osman (Dinsman). Peristiwa itu dicatat sendiri oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan di dalam blognya https://zurinahhassan.blogspot.com .
Kemenangan itulah yang membuatkan Zubir semakin berminat menulis dan mengirim puisi untuk majalah sekolahnya. Ketika itu juga beliau sudah mengagumi karya-karya penyair Usman Awang (Sasterawan Negara) dan Chairil Anwar, penyair Indonesia dari Angkatan 45 yang tersohor dengan puisi berjudul “Doa” dan “Aku”. Zubir juga semakin gemar menulis ayat-ayat puitis yang disimpan dalam buku-bukunya sebelum menghasilkan puisi.
Menurut catatan Zubir sendiri di dalam buku Pengakuan Penyair (ITBM, 2012) beliau telah menghimpunkan sebanyak 200 buah puisi yang ditulisnya sejak 1970 hingga 2005 untuk diterbitkan dalam bentuk buku. Ketika itu beliau sedang mencari editor yang boleh menilai dan membetulkan kelemahan idea dan bahasa, serta penerbit untuk menerbitkan empat buah buku kumpulan puisinya yang telah diberikan judul Puisi dalam Diri, Sajak Musim Gugur, Kembara Siang dan Puisi Cinta. Malangnya hasrat Zubir belum kesampaian hingga kini. Beberapa buah puisinya telah tersiar di dalam majalah Dewan Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka sekitar tahun 1980-an dengan menggunakan nama pena muhamadzubirali.
Semasa bersekolah di Maktab Mahmud, selain gemar menulis puisi, Zubir juga sudah aktif menyertai sebuah kugiran bernama The Spectors yang menyanyikan lagu-lagu popular era tahun 1960-an dan Zubir telah menghafal berpuluh-puluh buah lagu. Bersama-sama kumpulan itu jugalah Zubir mula belajar bermain gitar dan sering menggantikan pemain gitar rythme apabila dia tidak dapat hadir berlatih atau bermain di mana-mana persembahan.
Apabila dia memasuki tingkatan enam di Kolej Islam di Seksyen 17 Petaling Jaya, Zubir bersama-sama seorang rakan dari Brunei telah menubuhkan sebuah kugiran diberi nama The Shabby dan kugiran tersebut sering membuat persembahan dalam program anjuran kolejnya. Tindakannya menubuhkan kugiran tersebut mengundang pandangan “sebelah mata” daripada rakan-rakannya yang lebih warak. Tetapi Zubir mempunyai alasannya tersendiri ketika menubuhkan kugiran tersebut dan dia berpegang kepada matlamat tersebut.
Zubir menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Malaya, Kuala Lumpur sekitar tahun 1971. Semasa menuntut di Universiti Malaya itu Zubir telah terlibat dalam Kumpulan Kesenian Univeristi Malaya (KESUMA) yang berpusat di Pusat Kebudayaan universiti tersebut. Mahasiswa yang menganggotai KESUMA telah digalakkan mengikuti program-program anjuran Pusat Kebudayaan. Salah satu daripada program tersebut ialah Malam Berbunga Sajak. Sepanjang penglibatannya, Zubir mula mencipta lagu-lagu puisi untuk Malam Berbunga Sajak tahun 1972, 1973 dan 1974. Bakatnya makin terserlah apabila pada tahun 1974, Zubir telah mencipta sebuah lagu berdasarkan puisi karya Datuk Dr. Zurinah Hassan berjudul Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang.
Selepas tamat pengajiannya di Universiti Malaya, Zubir bertugas sebagai guru sementara mengajar Subjek Sastera untuk tingkatan empat serta Subjek Kertas Am untuk tingkatan enam rendah di Sekolah Menengah Dato’ Syed Omar di Alor Setar. Pada waktu itu minatnya dalam bidang penulisan puisi semakin bercambah dan mekar oleh sebab tugasan hariannya mengajar hal-hal berkaitan sastera termasuklah tentang puisi.
Zubir memulakan kerjaya tetapnya sebagai Pegawai Kebudayaan di Unit Kebudayaan, Hal Ehwal Pelajar (HEP), Institut Teknologi MARA, Shah Alam (ITM kini ialah Universiti Teknologi MARA – UiTM) pada tahun 1975. Mulai 1983, Zubir bertukar ke Pusat Kebudayaan di Unit HEP, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi sebagai Pegawai Kebudayaan Kanan hingga tahun 1986 apabila beliau bertukar ke jawatan Timbalan Pengarah Kebudayaan di Universiti Malaya sehingga 2009.
Zubir telah mendirikan rumah tangga dengan Faudziah binti Ismail, berasal dari Sungai Petani, Kedah, seorang graduan ITM dalam Jurusan Institut of Chartered Secretaries and Administrators (ICSA) dalam tahun 1977. Setelah tamat pengajian, Faudziah mula bekerja dengan Telekom Malaysia di Kuala Lumpur tetapi mengakhiri perkhidmatannya dengan Aseambankers Malaysia Berhad (sekarang dikenali sebagai Maybank Investment Bank Berhad) pada tahun 2010.
Ketika mula bekerja, Zubir tinggal di Shah Alam dan isterinya berulang alik ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur setiap hari dengan menaiki bas. Suatu hari semasa menunggu isterinya pulang dari kerja, Zubir Ali mendapat ilham menulis puisi yang kemudiannya dijadikan lirik lagu, berjudul Penantian. Lagu ini menjadi popular selepas dirakamkan pada tahun 1981 di dalam album pertama Zubir Ali dan Kumpulan Harmoni berjudul Penantian. Di dalam album tersebut turut diterbitkan lagu Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang yang pertama kali dinyanyikannya dalam tahun 1974.
Pada tahun 1982 album kedua berjudul Nyanyian Ombak dihasilkan oleh Zubir dan Kumpulan Harmoni. Dua buah lagu yang sangat popular daripada album itu ialah Nyanyian Pantai Timur dan Siapakah Memberi Khabar (puisi karya A Latiff Mohidin). Pada tahun 1983 pula sebuah lagu ciptaan Zubir Ali berjudul Balada Seorang Gadis Kecil telah memenangi Pesta Lagu Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan terpilih mewakili Malaysia ke Pesta Lagu ASEAN di Singapura. Lagu itu kemudiannya dirakamkan di dalam album Sayap Impian. Keseluruhannya Zubir menegaskan beliau telah mencipta sebanyak 100 buah lagu puisi dan 30 daripadanya telah dirakamkan.
Selain berkarya dalam bidang puisi dan penciptaan lagu, Zubir juga pernah menghasilkan karya skrip teater seawal tahun 1975 ketika bertugas di ITM. Skrip teaternya berjudul Semalam dan Esok Adalah Hari Ini telah dipentaskan dalam Himpunan Penulis dan Dramatis (HPD) ITM. Zubir merancang untuk menerbitkan sebuah trilogi mini skrip teater hasil karyanya sendiri, iaitu Monolog Serigala, Cerita dari Bawah Meja dan Dinding. Menurut A. Wahab Hamzah, mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, yang juga merupakan rakan kepada Allahyarham Zubir Ali, skrip Monolog Sang Serigala karya Zubir telah dipentaskan di Stor Teater DBP dua tahun sebelum Allahyarham meninggal dunia.
Pada 27 Februari 2009, Zubir Ali dimasukkan ke Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya, Selangor bagi menjalani pembedahan pintasan jantung. Setelah itu beliau ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan susulan. Pada hari Jumaat 6 Mac, 2009 jam 10.30 pagi Zubir telah dijemput kembali oleh Yang Maha Pencipta, Allah S.W.T. berikutan masalah kritikal pada jantungnya. Jenazah Allahyarham telah dibawa ke Masjid Seksyen 14, Petaling Jaya (Masjid Tun Abdul Aziz) lalu disembahyangi selepas solat Jumaat. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Kuala Lumpur selepas solat Asar.
Allahyarham bukan sahaja meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak serta ahli keluarga besar keturunan As-Saadi, malahan telah meninggalkan khazanah seni yang telah ditekuninya sekian lama. Semoga Allah SWT menempatkan roh Allahyarham Md. Zubir bin Md. Ali bersama-sama roh hamba-hamba-Nya yang beriman.