Pada akhir-akhir ini, pengguna bahasa Melayu nampaknya semakin biasa dan bertambah selesa menggunakan perkataan daripada bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, yang sama maksudnya dengan perkataan yang sedia ada dalam bahasa Melayu. Pengagungan terhadap bahasa lain ini sangat berleluasa dalam bidang politik, pentadbiran, pendidikan, hiburan, sukan, perniagaan dan sebagainya. Hal ini dapat kita kesan daripada saluran lisan dan tulisan seharian, sama ada untuk urusan rasmi atau tidak rasmi.
Dalam perhubungan seharian antara ahli keluarga atau ketika bercakap dengan pihak lain tentang keluarga, sudah biasa penggunaan perkataan I, you, family, parent, son, daughter, brother, sister, cousin dan sebagainya. Lidah sangat ringan menuturkan perkataan daripada bahasa asing, sedangkan perkataan-perkataan itu ada padanannya yang mudah dalam bahasa Melayu, iaitu saya, awak atau anda, keluarga, ibu bapa, anak lelaki, anak perempuan, abang atau adik lelaki, kakak atau adik perempuan, dan sepupu.
Ketika berurusan di luar rumah, dalam kalangan sesama warganegara yang berbangsa Melayu dan dapat berbahasa Melayu selalu menggunakan perkataan exit, flight, pregnant, postpone, busy, calling dan sebagainya. Perkataan-perkataan tersebut ada padanan perkataan dalam bahasa Melayu iaitu, pintu atau susur keluar, penerbangan, hamil atau mengandung, tangguh, sibuk dan panggilan. Kebiasaannya, perkataan-perkataan itu diungkapkan secara bercampur aduk dengan perkataan bahasa Melayu lain, lalu wujudlah “kahwin campur” yang merumitkan keadaan.
Dalam urusan rasmi pula, terdapat penjenamaan agensi atau jabatan kerajaan yang mencampuradukkan kata bahasa kebangsaan dengan bahasa asing, seperti Pusat Koreksional dan Jabatan Insolvensi, sedangkan sudah jelas dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa segala urusan penyampaian kerajaan, sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan harus menggunakan bahasa kebangsaan kerana urusan kerajaan merupakan urusan rasmi. Sekiranya disemak dalam pelbagai dokumen rasmi, banyak perkataan daripada bahasa Inggeris yang belum diserapkan secara rasmi ke dalam bahasa Melayu oleh pihak yang bertanggungjawab telah diperkenalkan ke dalam pelaksanaan dasar beberapa jabatan kerajaan. Hal yang lebih dikesalkan ialah perkataan tersebut mempunyai padanannya dalam bahasa kebangsaan, tetapi disisihkan.
Seiring dengan keterujaan yang melanda masyarakat Malaysia terhadap pelbagai jenis makanan dan minuman dari negara luar, terutamanya dari negara Barat, Jepun dan Korea, nama makanan dan minuman yang asing dan pelik telah menenggelamkan nama makanan tradisional tempatan. Dari peringkat restoran mewah, meliputi kedai makan di pusat beli-belah, sehinggalah ke gerai di pasar minggu dan di pasar malam, banyak nama juadah yang diiklankan pada gegantung, sepanduk dan senarai jualan dan hidangan menggunakan bahasa bukan bahasa kebangsaan. Warung-warung kecil di tepi jalan juga tidak ketinggalan menggunakan perkataan dan rangkai kata cake, coffee, mee, free, mushroom, chicken, fresh-hot-soft, spicy Korean, chicken ball, box family set, baby crab, crispy viral dan lain-lain lagi. Seolah-olah perkataan-perkataan tersebut tiada padanannya dalam bahasa Melayu.
Dalam bidang sukan juga tidak terkecuali. Sukan tradisional negara, sepak takraw sebagai contoh, turut menjadi sasaran pengantarabangsaan bahasa apabila nama pasukan tempatan yang mengambil bahagian dalam kejohanan bertaraf antarabangsa pada tahun 2024 yang dianjurkan oleh sebuah syarikat tempatan gah beraksi dengan nama Kuala Lumpur Thunder, Perak Bison, Selangor Pistons, Negeri Sembilan Antiers dan sebagainya. Nama-nama ini digunakan mungkin supaya dilihat setaraf dengan pasukan dari negara luar yang turut bertanding. Sekiranya pihak berkenaan cakna akan bahasa sendiri, perkataan asing tersebut boleh diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan sebelum digunakan.
Banyak bangsa lain di dunia bersungguh-sungguh menggunakan bahasa sendiri, disebarkan melalui berbagai-bagai cara, sebaliknya masyarakat kita membiarkan bahasa sendiri hanyut, malahan mengangkat bahasa orang lain ke dalam budaya sendiri. Sepatutnya semua pihak berlumba-lumba menggali kata-kata lama yang sudah terbiar atau mencipta dan memperkenalkan perkataan baharu yang indah dan segar yang bebas daripada pengaruh bahasa asing demi menambahkan bilangan kata dan istilah bahasa kebangsaan. Luaskan pengungkapan kata-kata dalam bahasa kebangsaan kita agar tersebar jauh sehingga bangsa lain terpaksa menggunakan bahasa kita apabila mereka berurusan dengan kita, apatah lagi jika melibatkan urusan di negara kita sendiri.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia, khususnya yang berbangsa Melayu, semakin mengalami kelusuhan jati diri terhadap bahasa ibunda sendiri yang diturunkan khas oleh Maha Pencipta kepada umat dan bumi Melayu ini. Bahasa itu hendak diketepikan seperti sebuah piala lama yang dibiarkan berkarat di dalam bilik tertutup.
Hal ini bukan keadaan baharu. Pendeta bahasa Melayu, Zainal Abidin bin Ahmad (Za’ba) telah meluahkan rasa kesalnya tentang penggunaan bahasa asing bagi menggantikan perkataan asal bahasa Melayu. Beliau telah membincangkan hal ini 90 tahun lampau melalui bukunya, Ilmu Mengarang Melayu (1934). Buku dalam tulisan Jawi ini diulang cetak sebanyak enam kali. Cetakan semula buku tersebut dibuat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam ejaan Rumi baharu pada tahun 2002.
Dalam Bab XV pada halaman 267-269 buku edisi 2002 itu, dengan jelas Za’ba menegur pihak yang lekas menggunakan perkataan daripada bahasa asing dalam penulisan bahasa Melayu. Beliau menegaskan bahawa tabiat tersebut tidak baik untuk perkembangan bahasa Melayu kerana perbuatan sedemikian “menghodohkan rupa bahasa Melayu”.
Melalui buku itu, beliau menyenaraikan beberapa faktor yang menyebabkan penutur bahasa Melayu suka menggunakan perkataan-perkataan daripada bahasa asing. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh faktor keperluan dan faktor sikap. Satu faktor yang berkait dengan keperluan yang disebutkan oleh Za’ba ialah “perkataan setaranya yang ada dalam bahasa Melayu tiada cukup penuh isinya atau maksudnya seperti perkataan-perkataan bahasa asing itu”. Keadaan itu kebiasaannya terjadi “kerana bendanya atau fikirannya tidak ada pada orang Melayu”, iaitu pengertian dan pemahaman tentangnya belum ada dalam bahasa Melayu disebabkan ilmu atau laras itu masih baharu atau belum berkembang dalam masyarakat di Malaysia. Kekangan tersebut memungkinkan pengguna bahasa Melayu terpaksa menggunakan perkataan daripada bahasa lain untuk menyampaikan maksud mereka dengan jelas.
Nada Za’ba kelihatan sangat sinis dan kesal dengan sikap pengguna bahasa Melayu ketika menyenaraikan faktor kedua, iaitu sikap pengguna bahasa Melayu. Menurut beliau, “ia merasa perkataan yang sedia ada dalam bahasanya sendiri itu sudah ‘lapuk’, ‘lusuh’ atau ‘tiada bergaya’, dan lebih suka memakai sesuatu yang baharu atau yang dirasanya ‘bergaya’!” Maksudnya, pengguna bahasa Melayu menganggap bahawa perkataan bahasa Melayu ketinggalan dan tidak menarik, atau tidak setaraf dengan bahasa moden lain. Seterusnya, beliau menyatakan bahawa “ia suka berlagak menunjukkan dirinya tahu bahasa asing itu, walaupun ia sedar baik-baik ada perkataannya dalam bahasanya sendiri…!”
Beliau juga menyatakan kekesalannya dengan tegas melalui dua ungkapan lain iaitu, “orang-orang yang tahu bahasa asing tiada pandai dalam bahasanya sendiri dan tidak pula (ber)usaha untuk menyiasatnya”, dan “ia tiada tahu ada perkataannya dalam bahasa Melayu dan kalau tahu pun tiada dapat mengingat atau mencarinya” yang membawa pengertian bahawa pengguna bahasa Melayu yang mengetahui bahasa asing tidak arif tentang bahasa sendiri tetapi tidak berusaha untuk mempelajarinya.
Za’ba menjelaskan bahawa “memakai perkataan baharu dari(pada) bahasa asing dengan disengaja-sengaja dan seolah-olah dipaksa-paksa itu tidak ada apa faedahnya.” Beliau berpendapat bahawa kesan daripada penggunaan perkataan daripada bahasa asing secara tidak terkawal akan “memburukkan rupa dan bunyi bahasa Melayu”, disebabkan perkataan yang sedemikian “tidak akan melekat atau diterima masuk betul jadi bahasa Melayu walau hingga beberapa lama pun”, kerana kebanyakannya tidak sesuai digunakan sebagai bahasa Melayu.
Walaupun begitu, Za’ba tidak menolak sepenuhnya usaha mengambil perkataan daripada bahasa lain. Beliau dapat melihat kepentingan mengambil istilah asing untuk sesuatu bidang ilmu atas dasar keperluan. Walau bagaimanapun, beliau mahu agar perkataan dan istilah yang diambil itu diberikan pemaknaan dan keterangan yang jelas dan digunakan dengan pengertian yang ditetapkan sahaja.
Menurutnya, sesuatu perkataan, sama ada kosa kata umum atau istilah khusus, perlu “dipelatkan bunyi sebutannya menurut tabiat lidah Melayu – pendeknya telah ditukangi, direbus, dimasak, kemudian dimakan dan dihadam oleh orang Melayu”. Ungkapannya ini bermaksud bahawa perkataan umum daripada bahasa asing perlu ditapis atau disaring dengan teliti terlebih dahulu dan disesuaikan dengan budaya bahasa Melayu baru dapat diterima pakai dengan sempurna demi kemurnian bahasa Melayu di samping dapat memperkaya kosa kata bahasa Melayu.
Dalam buku itu juga Za’ba mencadangkan agar “perkataan-perkataan Melayu lama yang telah ketinggalan atau perkataan-perkataan ganjil yang tiada biasa kedengaran lagi, maka barangkali adalah juga baiknya dibiasakan memakainya kembali”, yang memberi maksud bahawa perkataan bahasa Melayu lama yang telah tidak digunakan lebih baik digunakan semula.
Cadangan penggunaan kata umum dan istilah khusus yang baharu sebenarnya dialu-alukan. Namun begitu, kata berkenaan harus dipilih, dinilai dan disesuaikan dengan keperluan bahasa Melayu terlebih dahulu. Oleh sebab itu, pegawai di jabatan kerajaan, khususnya yang diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan dasar, yang menggubal program baharu dan yang menjenamakan sesuatu konsep, seharusnya tidak tergesa-gesa menggunakan bahasa asing tanpa merujuk kepada penguasa bahasa yang telah dilantik untuk memajukan bahasa kebangsaan di negara ini.
Untuk mengharmonikan penggunaan kata bahasa Melayu, biarlah diserahkan tanggungjawab kepada Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) yang telah ditubuhkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memilih dan mengenal pasti istilah baharu bahasa kebangsaan yang sesuai. Semua pegawai, sama ada di jabatan kerajaan atau swasta dan orang awam boleh mendapatkan nasihat tentang penggunaan morfem, kata, frasa, klausa dan ayat daripada petugas Khidmat Nasihat DBP di Dewan Bahasa dan Pustaka dan melalui laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Pengguna bahasa yang mempunyai cadangan perkataan baharu untuk sesuatu makna boleh menyampaikannya kepada jawatankuasa berkenaan atau melalui pusat rujukan tersebut.
Jelasnya, Za’ba tidak gembira dengan tindakan pengguna bahasa Melayu yang memperkenalkan perkataan daripada bahasa asing dengan sewenang-wenangnya untuk menggantikan perkataan yang telah sedia ada dalam bahasa Melayu. Tabiat mencampuradukkan dan menggantikan perkataan bahasa sendiri dengan perkataan daripada bahasa lain yang belum disahkan akan mencemarkan bahasa kebangsaan. Kekesalan dan kebimbangan yang diluahkan oleh tokoh besar bahasa Melayu itu menjadi kenyataan sekarang apabila warganegara dan pewaris bahasa ibunda itu meremeh-remehkan bahasa sendiri.