Skip to content
Menulis Tentang Cinta Ketika Dunia Semakin Retak
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Sastera > Menulis Tentang Cinta Ketika Dunia Semakin Retak
Menulis Tentang Cinta Ketika Dunia Semakin Retak
Bicara Sastera

Menulis Tentang Cinta Ketika Dunia Semakin Retak

  • Benedict Anak Samling
  • 20 Mei 2026
  • DBP Cawangan Sarawak
  • 72
  • 5

SETIAP hari dunia seakan-akan memberi kita sebab untuk berhenti percaya. Berita-berita pilu datang bertalu-talu, seperti hujan yang tidak pernah memberi peluang kepada tanah untuk kering. Berita tentang perang, kebuluran, bencana alam, pembunuhan, penceraian dan banyak lagi terus meningkat. Apakah keadaan ini akan diwariskan kepada satu generasi kepada generasi seterusnya? Masyarakat dunia seakan-akan sedang runtuh perlahan-lahan dan kita dipaksa membuka mata untuk menyaksikannya.

Di pentas global, pemimpin dunia melaungkan slogan-slogan keharmonian. Mereka terkumat-kamit menutur akan keamanan, kestabilan, kemajuan, perpaduan dan membina masa depan bersama. Kata-kata disusun rapi, dilafazkan dengan penuh yakin, disambut dengan tepukan gemuruh dan sorak-sorai. Namun di luar dewan persidangan, peluru terus-menerus menembusi tubuh manusia, diiringi jeritan anak-anak kecil meratapi sekujur tubuh ibu, bapa dan saudara-mara terkulai longlai tidak bernyawa.

Di satu sudut dunia, pemimpin tanpa segan silu memperkudakan statistik ekonomi yang melonjak untuk menunjukkan kekuatan atau kejayaan negara pimpinan. Mereka menjunjung angka pertumbuhan KDNK, peluang pekerjaan, atau pelaburan asing yang meningkat sebagai bukti bahawa dasar mereka berkesan.

Namun penderitaan masyarakat yang dihimpit kerakusan kuasa tidak diangkakan. Jurang antara ucapan dan kehidupan harian semakin melebar, dan di situlah kepercayaan mulai retak. Bukan kerana manusia tidak mahu berharap, tetapi kerana harapan yang ditawarkan terlalu jauh daripada pengalaman sebenar.

Namun ironi terbesar adalah ketika bahasa kuasa semakin gagal menyentuh kemanusiaan dan manusia terus mencari makna dalam hal-hal kecil. Kini, ramai berpendapat bahawa menulis tentang cinta terasa janggal. Hampir memalukan. Seakan-akan menyusun puisi di tengah runtuhan bangunan. Ada suara yang menegur dengan keras: ini masa untuk marah, bukan untuk melankolik.

Hannah Arendt mengingatkan bahawa apabila kejahatan menjadi rutin, manusia berisiko kehilangan keupayaan untuk berfikir dan membuat penilaian. Dalam keadaan seperti ini, kemarahan kelihatan lebih bertanggungjawab daripada kelembutan. Marah menjadi tanda kewaspadaan moral. Cinta pula dianggap pengunduran, seolah-olah memilih perasaan peribadi berbanding tanggungjawab terhadap sejarah.

Namun dunia yang kita hadapi hari ini lebih menyerupai landskap Kafka. Kekuasaan tanpa wajah, keputusan berlaku tanpa penjelasan, keadilan menumpul dan kepalsuan dipuja-puja. Dalam dunia seperti ini, kemarahan tidak menemui sasaran. Ia terperangkap, berputar, dan akhirnya melumpuhkan diri sendiri. Kafka tidak menawarkan jalan keluar, sebaliknya dia menunjukkan keadaan manusia yang diperah oleh sistem yang tidak peduli kepada makna kemanusiaan.

Di sinilah cinta muncul sebagai keperluan dan bukan hiasan emosi semata-mata. Bukan cinta dramatik tetapi keinginan untuk diakui, untuk disentuh, untuk tidak lenyap dalam mesin yang menggilas individu. Dalam dunia Kafkaesque, cinta menjadi ruang terakhir bagi manusia menegaskan kewujudannya sebagai manusia, bukan sebagai objek pentadbiran atau pasaran gelap.

Judith Butler menegaskan bahawa kerentanan membentuk asas setiap hubungan etika. Kita terikat bukan melalui ilusi kemandirian mutlak, tetapi melalui kemampuan untuk dilukai dan untuk melukai kembali. Menulis tentang cinta mendedahkan kerentanan itu secara terang-terangan, seperti membuka kulit halus kepada dunia yang gemar menyanjung kepalsuan. Ia memalukan, hampir menakutkan, kerana mengakui bahawa kita bergantung kepada penerimaan, empati dan kelemahan.

Byung-Chul Han melihat dunia moden sebagai medan kelesuan. Emosi diperah sehingga kering, sementara kemarahan menjadi reaksi segera yang tidak menuntut kedamaian jangka panjang. Cinta menuntut sebaliknya, yakni perhatian, kesabaran, dan keberanian untuk kekal hadir. Menulis tentang cinta menentang logik dunia yang mahu segala-galanya pantas, termasuk penderitaan dan pemulihannya.

Pertentangan ini tidak perlu disederhanakan. Kemarahan diperlukan untuk menentang ketidakadilan. Cinta diperlukan untuk memastikan kemarahan tidak berubah menjadi kehancuran dalaman. Tanpa cinta, kemarahan kehilangan arah. Tanpa kemarahan, cinta kehilangan ketegasan.

Menulis tentang cinta bukan seperti mimpi buruk Kafka tentang kelalaian. Ia ialah pendirian dan penegasan bahawa kemanusiaan tidak akan diserahkan sepenuhnya kepada sistem yang rapuh dan menentang logik angka, dan protokol yang menindas. Setiap kata terbuka kepada perasaan pemberontakan yang mengakui bahawa kita masih mampu merasakan, masih mampu peduli, dan menuntut etika dari kerentanan itu sendiri.

Cinta tidak pernah menunggu dunia menjadi selamat. Anne Frank menulis tentang harapan, tentang kepercayaan terhadap kebaikan manusia, ketika dunia di sekelilingnya sedang menutup semua pintu. Dia bersembunyi, terkurung, dikejar oleh ketakutan yang nyata dan beralasan. Namun dalam ruang sempit itu, dia masih menulis tentang perasaan, tentang manusia, tentang kehidupan yang patut diteruskan. Dunia tidak memberinya keselamatan, tetapi itu tidak menghalangnya daripada mencintai kehidupan.

Cinta dalam konteks ini bukan ilusi siapa yang mengoyak paket sos, bukan juga tentang siapa yang memasukkan penyedut minuman ke dalam bungkusan teh tarik ikat tepi. Bacalah cinta yang dilakarkan oleh Anne Frank. Dia mengetahui dengan jelas hal yang sedang berlaku di luar dinding tempat persembunyiannya. Dia memahami bahaya, kehilangan, dan kemungkinan kematian. Namun dia tetap memilih untuk berharap, untuk mencatat kegembiraan kecil dan konflik batin yang mengancam fizikal dan mental. Cinta terhadap hidup tidak menunggu dunia berhenti memburu manusia.

Anne Frank membuktikan bahawa cinta bukan tentang romantisme semata-mata, tetapi tindak balas terhadap keadaan yang kejam. Simbol cinta Anne Frank merupakan penegasan bahawa manusia tidak boleh dijadikan mangsa.

Dalam sistem duniawi yang menafikan kemanusiaan, cinta menjadi bahasa penentangan yang paling sunyi tetapi paling keras. Ia berkata: aku masih di sini, aku masih merasa, aku belum dikalahkan.

Cinta juga muncul dalam keberanian untuk menulis ketika menulis itu sendiri berbahaya. Setiap halaman diari Anne Frank ialah bukti bahawa kehidupan dalaman tidak boleh ditawan sepenuhnya. Dunia boleh mengawal tubuh, ruang, dan pergerakan, tetapi tidak sepenuhnya mengawal keupayaan manusia untuk mencintai, berfikir, dan berharap. Cinta tidak menunggu keselamatan kerana ia tahu keselamatan mungkin tidak akan datang.

Dalam dunia hari ini yang terus menyebarkan ketakutan baharu dan ketidakpastian yang berpanjangan, kisah Anne Frank mengingatkan bahawa menangguhkan cinta atas nama realisme adalah satu bentuk penyerahan. Cinta tidak menafikan bahaya, tetapi ia menolak untuk membiarkan bahaya menentukan seluruh makna hidup.

Menulis Tentang Cinta Ketika Dunia Semakin RetakAnne Frank menulis kerana dunia tidak selamat, dan kerana dalam ketidakselamatan itulah kemanusiaan perlu ditegaskan. Cinta, dalam bentuk paling jujur, lahir bukan selepas krisis berakhir, tetapi di dalam krisis itu sendiri. Menulis tentang cinta bukan penafian terhadap penderitaan dan bukan melankolik samara-mata dan tentunya bukan percubaan untuk menutup mata daripada realiti. Sebaliknya, menulis tentang cinta ialah pengakuan bahawa manusia tidak hidup hanya dengan kemarahan dan ketakutan. Kita hidup kerana ada sesuatu yang membuat kita ingin kekal. Sesuatu yang membuat kita terus menulis walaupun tangan terasa berat.

Mungkin itu sebabnya kita perlu menulis tentang cinta. Menulis tentang cinta bukan kerana dunia yang indah-indah, bukan kerana romantisme yang tiba-tiba menjalar ketika tiba-tiba melihat segumpal najis haiwan seakan-akan menyerupai manusia berpeluk, tetapi kerana dunia terlalu kejam untuk ditanggung sendirian. Menulis cinta mungkin cara kita berpegang antara satu sama lain melalui kata-kata yang rapuh. Dan mungkin, di dalam kerapuhan itu muncul setompok keberanian.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Menemui Kata-kata yang Sengaja Dialih Bahasa
Bicara Bahasa

Menemui Kata-kata yang Sengaja Dialih Bahasa

  • 20 Mei 2024
  • 110
  • 4.8
توهن، جاݢاکن دي
Puisi Moden

توهن، جاݢاکن دي

  • 20 Julai 2024
  • 5
اكو ايڠين كمبالي
Puisi Moden

اكو ايڠين كمبالي

  • 20 Februari 2025
  • 4
(AI) ساجق کچردسن بواتن
Puisi Moden

(AI) ساجق کچردسن بواتن

  • 5 Disember 2025

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP