Tanggal 22 Jun 1956, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah ditubuhkan di Johor Bahru. Kini, usia DBP pada 22 Jun 2024 ialah 68 tahun dengan iringan doa kepada al-Khalik. Semoga dirgahayu DBP buat selama-lamanya.
“Manusia pada usia itu sebahagiannya mengalami kemerosotan dalam beberapa segi kehidupannya seperti kesihatan, semangat, kemahuan dan harapan. Namun, hayat DBP tidak sama dengan hayat manusia. DBP tetap gagah dan terus mengisi amanah mengangkat bahasa dan persuratan negara. Tepat rangkap kedua seni kata lagu rasmi DBP:
Dewan Bahasa kau obor kebangsaan
Restu dari jiwa pahlawan
Nyala membakar semangat rakyat
Kau abadi dan keramat.”
Demikian petikan nurani YBhg. Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan melalui makalah beliau “65 Tahun DBP Mengangkat Bahasa Negara”, Dewan Bahasa 22 Jun 2021.
Semangat nan membara dan kental yang dimiliki oleh DBP inilah yang seyogianya diamalkan oleh Generasi Madani pascamerdeka kini kendatipun mereka sering kali berhadapan dengan ledakan teknologi maklumat dan komunikasi tanpa sempadan kini. Program Generasi Madani (GenMADANI) merupakan wadah murni Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membina karakter bangsa Malaysia menjadi generasi yang beradab, berakhlak dan berintegriti sekali gus berdaya saing dalam pengekalan konsep karamah insaniah Madani yang kekal bertunjangkan sikap fiil positif Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC).
Jika ditelusuri dan diimbau kembali konsep penting lewat kerangka dasar baharu negara, iaitu “Membangun Malaysia MADANI” yang diperkenalkan oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia pada 19 Januari 2023 ialah keserentakan prinsip keseimbangan dan mampan. Prinsip ini menjamin keadilan untuk semua tanpa diskriminasi, ketidakadilan atau penindasan. Konsep Madani menggambarkan kepercayaan yang dicernakan secara tuntas antara kerajaan dengan rakyatnya berdasarkan asas ketelusan dan kerjasama kerana bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Generasi Madani pada era langit terbuka ini seharusnya berjiwa murni dan tekal bersemangat jiwa merdeka selagi hayat dikandung badan untuk menjayakan kenam-enam tonggak dasar Malaysia MADANI itu, selain bersama-sama DBP mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Sebagai Generasi Madani yang cinta akan negara dan kasih akan bahasa Melayu, bait lirik lagu Bahasa Jiwa Bangsa seyogianya meniti di bibir dan dinyanyikannya dengan penuh semangat.
Gunakanlah bahasa kebangsaan kita
Marilah amalkan ramai-ramai
Bahasalah menyatukan kita semua
Yakinlah bahasa jiwa bangsa.
Marilah mari rakyat semua
Buktikan taat setia dengan satu bahasa
Maju bangsa dan maju negara
Megahkan bahasa kita
Bahasa jiwa bangsa.
Dalam bait pertama lagu Bahasa Jiwa Bangsa jelas menggalakkan Generasi Madani menggunakan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara Malaysia nan tercinta dengan sepenuh hati tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan. Dalam hal ini, sudah terang lagi bersuluh bahawa penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan kaum di Malaysia mampu mengeratkan ukhuwah antara pelbagai kaum di seluruh pelosok buana nan bermaruah ini. Sementelahan pula, tema sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-67 tahun 2024, iaitu “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka” begitu terserlah untuk memupuk semangat aura persaudaraan dalam kalangan Generasi Madani.
Nur Jiwa Merdeka dalam kalangan Generasi Madani hendaklah disuburkan setiap waktu melalui penggunaan bahasa Melayu yang santun agar mereka tidak sekali-kali mudah didominasi oleh pengaruh budaya negatif Barat melalui kecanggihan media sosial pada zaman Volatility, Uncertainty, Complexity dan Ambiguity (VUCA) ini. Penggunaan bahasa Melayu yang santun dan pengamalan budi bahasa yang diamalkan Generasi Madani sejak kecil lagi boleh menyatukan pelbagai kaum masyarakat Madani melalui pelbagai aktiviti kebahasaan seperti penyertaan aktif mereka dalam pertandingan pidato, forum remaja, deklamasi sajak, pantun, syair, pantomim, dekon, bicara berirama, nyanyian lagu patriotik dan seumpamanya. Kesemua aktiviti kebahasaan ini menuntut Generasi Madani pascamerdeka menggunakan kesantunan bahasa secara menyeluruh apabila berbicara atau mengungkapkan perbendaharaan kata yang tepat di mana-mana jua mereka berada kerana bahasa melambangkan bangsa.
Dalam bait kedua lagu Bahasa Jiwa Bangsa pula, Generasi Madani yang berinspirasi dan beraspirasi tinggi seyogianya menggunakan bahasa Melayu yang bertatasusila dalam apa-apa urusan rasmi waima di sekolah, pejabat, restoran, kedai, mahupun di pasar raya sekali pun. Generasi Madani yang celik digital pada zaman Dasar Pendidikan Digital kini juga sewajarnya menggunakan bahasa Melayu baku apabila berhubungan atau berbicara dengan teman dan taulan menerusi aplikasi maya seperti Google Chat, Whatsapp, Telegram, Facebook, TikTok dan seumpamanya.
Generasi Madani seharusnya menjadi suri teladan kepada pengguna media sosial yang lain agar bersiap siaga sekali gus berani berubah daripada penggunaan bahasa sekerat ular sekerat belut, iaitu bahasa yang bercampur-campur yang sekian lama menjadi kelaziman dalam kalangan sesetengah penutur bahasa tersebut baik di desa mahupun di kota. Bahasa sebegini bukan sahaja merosakkan bahasa malah membantutkan perkembangan bahasa itu sendiri sedangkan pada 31 Ogos 2024, usia negara Malaysia kini mencecah 67 tahun. Inilah yang dikatakan nawaitu serampang dua mata yang dapat dijayakan oleh Generasi Madani untuk menyokong perjuangan pejuang bahasa Melayu sebelum ini.
Adakah Generasi Madani masih tergamak atau bungkam membisu untuk menghadapi sikap alpa sesetengah pengguna bahasa yang bercampur-campur ini yang juga dikenali sebagai “bahasa rojak”, iaitu yang membawa maksud penggunaan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu dengan bahasa Cina atau bahasa Melayu dengan bahasa Tamil?
Generasi Madani sewajarnya semakin matang dan bijaksana serta gadik mempertahankan kedaulatan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia ialah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikaikan fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan. Hal ini diperteguh dan dimantapkan pula oleh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dengan Akta Bahasa Kebangsaan tahun 1967. Rakyat Madani sepatutnya mempunyai jati diri dan membuktikan bahawa pendaulatan bahasa Melayu tidak mengekang kemajuan negara kerana banyak negara yang mencapai status negara maju melalui pendaulatan bahasa sendiri.
Sesungguhnya, kemajuan bangsa dan negara yang berdaulat adalah melalui kemegahan penggunaan satu bahasa, iaitu bahasa Melayu tanpa berdolak-dalik lagi. Generasi Madani hendaklah tekal jati diri dan utuh atma sekali gus mengelakkan perselisihan faham dan bergulat untuk merakyatkan bahasa kebangsaan bersama-sama DBP sehingga hujung nyawa. Generasi Madani semestinya mempunyai jiwa merdeka yang bergejolak untuk menggunakan bahasa Melayu yang betul dan baku kerana di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung sebagai pegangan dan azimat keramat atas keyakinan bahasa Melayu benar-benar boleh dijadikan alat perpaduan negara.
Di samping itu, Generasi Madani akan turut sama belajar bertanggungjawab untuk mengukuhkan bahasa Melayu yang pernah diktiraf sebagai lingua franca dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu, iaitu seawal abad ketujuh di Asia Tenggara. Hal ini dikatakan demikian kerana Generasi Madani merupakan pewaris tampuk kepimpinan negara pada masa hadapan. “Kemunculan kerajaan Melayu lain seperti Kesultanan Melayu Melaka, Riau-Lingga, Pahang dan Kedah Tua turut melonjakkan peranan bahasa Melayu sebagai lingua franca. Pedagang asing yang tiba di Nusantara mengambil usaha untuk mempelajari bahasa Melayu atau setidak-tidaknya membawa penterjemah bersama-sama mereka untuk berkomunikasi dengan masyarakat tempatan dalam soal hubungan diplomatik dan juga perdagangan.” (Dr Jayakumary Marimuthu, IPG Kampus Darul Aman, Jitra, Kedah, 8 Jun 2022).
Generasi Madani yang bersahsiah terpuji dan berpendidikan kalis masa depan pada era Revolusi Industri 4.0 ini masih perlu dididik, diasuh, diajar, dibimbing dan dinasihati dari semasa ke semasa oleh semua pihak baik ibu bapa, guru-guru, pemimpin siasah, pejuang dan pencinta bahasa Melayu, pensyarah institusi pengajian tinggi, atau yang berhubungan akrab dengan Generasi Madani pascamerdeka ini. Terkadang golongan muda diibaratkan kelapa muda tak berminyak dan cepat melatah berbanding dengan generasi silam yang tekal berpegang teguh seperti buah padi, makin berisi makin rendah; jangan seperti lalang, makin lama makin tinggi.
Generasi Madani tidak boleh sekali-kali berfikiran jumud bahkan harus berpandangan jauh, kekal kompetitif, berdaya saing melalui pemikiran di luar kotak, berkolaboratif serta berpolemik dengan cara yang amat santun sekali melalui penggunaan bahasa Melayu yang berhemah dan beradab sopan. Tegasnya, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Pengamalan Rukun Negara yang ke-5, “Kesopanan dan Kesusilaan” hendaklah terus-terusan mendarah daging dalam tubuh dan jiwa Generasi Madani sebagai rakyat Malaysia, khususnya sebagai umat Islam yang sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama Islam yang mulia.
Akhirulkalamnya, keserasian, keampuhan, ketepatan dan kejituan ungkapan bahasa indah lewat lagu Bahasa Jiwa Bangsa dan tema Hari Kebangsaan 2024 “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka” yang dapat digabungjalinkan sederap, seia sekata dan sehati sejiwa dalam penyantunan Generasi Madani memberikan projeksi minda Madani yang mampu menggalakkan penggunaan bahasa Melayu secara syumul serta memberikan ibrah kepada pengguna dan pencinta bahasa Melayu ibarat menghela tali jala: rasa tegang dikendurkan, rasa kendur ditegangkan. Dan, wahai Generasi Madani seandainya kalian menjadi pemimpin suatu hari nanti, ingatlah condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan. Di pundak kalianlah bakal diwarisi kelak negara Malaysia Madani yang maju yang berpaksikan ilmu, amalan dan budaya nilai tinggi.