Pengenalan
Bahasa Kimaragang ialah bahasa Austronesia yang dituturkan oleh masyarakat Dusun Kimaragang terutama di daerah Kota Marudu dan Pitas, Sabah.
Dusun Kimaragang ialah kelompok Dusunik atau orang asli yang mendiami sebahagian besar bukit dan lembah di Kota Marudu dan daerah Pitas. Seluruh kawasan Tandek di Kota Marudu dihuni oleh etnik ini termasuk di Tingkalanon, Ulu Bangkoka, Samparita, Damai, Taritapan, Tondig, Mosolog, Salimandut, Tinogu, dan Tanjung Batu. Manakala di daerah Pitas pula terdapat tempat seperti Dandun, Marasinsim, Konibungan, Salimpodon dan Korumoko. Semua lokaliti ini mempunyai penduduk dengan 99 peratus ialah etnik Kimaragang.
Selain itu, nama-nama kampung yang diduduki oleh masyarakat Dusun Kimaragang ialah Morion, Botition, Nolotan, Longob, Minitampak, Talantang 1 dan Mongkolua di daerah Kota Marudu. Masyarakat Dusun Kimaragang yang mendiami kampung tersebut bertutur menggunakan bahasa ibunda namun telah bercampur dengan bahasa Melayu dan bahasa etnik lain di Sabah. Menurut sumber Wikipedia, penutur bahasa Dusun Kimaragang adalah seramai 27,000 orang di negeri Sabah.
Menurut sumber lain, Dusun Kimaragang juga termasuk dalam etnik Kadazandusun yang tinggal di Penampang, Kota Kinabalu. Menurut Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA), senarai keahlian etnik Kimaragang termasuk dalam kalangan kumpulan etnik Kadazandusun. Secara umumnya, etnik Kimaragang ialah masyarakat yang berkongsi persamaan dengan kumpulan etnik Kadazandusun yang lain dari aspek bahasa, asal-usul dan ciri-ciri budaya. Namun begitu, masyarakat etnik Kimaragang percaya bahawa mereka mempunyai identiti dan keunikan tersendiri.
Latar Belakang Etnik Dusun Kimaragang
Beberapa teori dan andaian telah dikemukakan untuk menjelaskan asal-usul dan maksud istilah Kimaragang. Perkataan Kimaragang berasal daripada kata dasar aragang, yang bermaksud warna merah. Manakala awalan “ki” ditakrifkan seperti berikut dalam Kamus Kadazandusun (1995: xxxii):
“Ki” menunjukkan kewujudan atau pemilikan. “Ki” berlaku dengan bentuk kata nama, dan mewakili bentuk yang dipendekkan bagi kata kerja eksistensi kivaa yang bermaksud “mempunyai atau menjadi”. “Ki” digunakan dalam sebarang kata nama yang dimiliki sebagai imbuhan awalan.
Awalan “ki” bermaksud “memiliki” dalam bahasa etnik Kimaragang, seperti dalam frasa “kibaju” yang bermaksud mempunyai baju, “kisigar” yang bermaksud mempunyai sigar, “kisinandang” yang bermaksud membawa dan banyak lagi perkataan lain yang menggunakan awalan “ki” mempunyai makna yang sama.
Mitatabang dalam Etnik Dusun Kimaragang
Mitatabang berasal daripada kata dasar “tabang” yang bererti tolong atau bantu. Manakala “mi” ialah imbuhan “ber” dan “ta” merupakan pengulangan atau penegasan tolong, bantu atau saling tolong-menolong. Oleh itu, mitatabang bermaksud bergotong-royong.
Budaya mitatabang mampu memupuk ke arah kesatuan masyarakat majmuk. Memandangkan dunia kini merupakan dunia tanpa sempadan, budaya mitatabang perlu diperkenalkan dan dipopularkan.
Perkataan mitatabang lazim digunakan semasa aktiviti menebas sebelum menanam padi huma. Sebaik sahaja selesai menebas, aktiviti membakar rumput dan ranting kayu perlu dilakukan sehingga kawasan menanam padi huma luas dan bersih bagi memudah menugal padi. Selain daripada itu, mitatabang selalu dipraktikkan ketika menanam padi secara tradisional di sawah padi. Kemudian menuai padi dengan menggunakan ketam.
Selain itu, mitatabang dalam bahasa Kimaragang selalu digunakan semasa melakukan aktiviti seperti majlis perkahwinan, pekerjaan, perayaan, keramaian, kematian dan hal-hal yang sukar untuk dilakukan seorang diri.
Mitatabang sangat penting dalam masyarakat Dusun Kimaragang, misalnya merumput sawah padi dengan menggunakan parang. Mengetam padi dengan ketam kerana takut padi itu akan cepat buruk kalau selalu dibasahi hujan. Selepas selesai mitatabang di tempat sendiri, pada keesokan hari akan diadakan mitatabang di tempat orang yang kedua dan seterusnya sehingga selesai. Biasanya lima orang dan lebih akan terlibat dalam aktiviti mitatabang. Ini bertujuan agar kerja dapat diselesaikan dengan cepat dan ceria.
Mitatabang Memupuk Kesatuan Masyarakat Majmuk
Mitatabang bukan sahaja bertujuan agar kerja dapat selesai dengan cepat dan mudah bahkan mengukuhkan semangat persahabatan dan persaudaraan. Pekerjaan yang dilakukan tidak terasa penat dan sukar kerana saling tolong-menolong. Bak kata pepatah Melayu, “berat sama dipikul ringan sama dijinjing” susah senang kerja dapat dilakukan bersama-sama dengan ceria dan gembira. Berbanding bekerja seorang diri terutama sewaktu panas terik matahari, kerja akan semakin susah dan berat.
Mitatabang sangat penting demi memupuk kesatuan dalam kalangan masyarakat Dusun Kimaragang. Mitatabang bukan sahaja dalam kalangan saudara-mara, bahkan dari seluruh lapisan masyarakat majmuk. Kehadiran orang yang bergotong-royong dapat membakar semangat untuk bekerja dengan penuh tanggungjawab tanpa memandang asal-usul dan jantina. Dalam zaman sains dan teknologi, jentera-jentera moden dapat memusnahkan hubungan yang baik tanpa mitatabang diadakan. Justeru mitatabang amat penting dipelihara demi untuk generasi seterusnya.
Semasa mitatabang dijalankan, adakala tuan rumah akan menyediakan makanan tengah hari. Ada yang menyediakan nasi bungkus yang dipanggil linopot. Daun yang digunakan untuk membungkus linopot ialah sejenis daun yang bulat bernama longkobung atau daun tarap.
Pada waktu perkahwinan, para lelaki dewasa separuh umur mitatabang mengambil daun tarap. Selepas itu, kaum wanita membuka urat daun di bahagian tengah daun tarap itu yang disaksikan oleh para remaja. Penulis melihat semangat mitatabang memupuk kesatuan dalam masyarakat majmuk selain dapat membimbing anak muda belajar sesuatu yang baharu. Mereka mitatabang bukan sahaja dari kampung yang sama, malah dari kampung berdekatan yang terdiri daripada etnik yang lain.
Meskipun di daerah Kota Marudu purata penduduknya ialah Dusun Kimaragang, namun sudah menjadi masyarakat majmuk kerana perkahwinan campur. Oleh itu, apabila ada perayaan khasnya perayaan pesta menuai yang diadakan di kampung dipilih pada tahun tersebut, ada beberapa kampung akan berkumpul untuk menyediakan makanan. Nasi kosong dibungkus dengan daun rungin atau daun tarap yang dikenali sebagai linopot yang berbentuk empat segi sama. Cara ini dapat menjimatkan perbelanjaan. Daun-daun tersebut akan dibersihkan supaya tidak berhabuk dan tidak kotor.
Penggunaan daun tarap bukan sahaja menjimatkan kos bahkan nasi tahan lama daripada basi. Biasanya jika tidak terkena cahaya matahari, linopot boleh tahan sehingga dua hari. Membungkus nasi itu dengan daun tarap perlu mitatabang kerana tidak dapat menjangka kehadiran orang ramai. Dalam upacara perkahwinan, masyarakat majmuk akan menghadiri upacara tersebut.
Penulis masih ingat ketika datuk sebelah ayah saya meninggal, ramai kaum ibu yang membungkus nasi menggunakan daun tarap. Kemudian dimasukkan dalam sikutan besar dipanggil saging. Linopot dibungkus dengan saiz sederhana supaya tidak berlaku pembaziran.
Kesimpulan
Malaysia MADANI yang sudah dinikmati oleh rakyat Malaysia sentiasa disanjung oleh masyarakat Dusun Kimaragang. Mitatabang sebagai alat komunikasi dan jambatan pemupukan kesatuan dalam masyarakat majmuk supaya sentiasa harmoni, makmur merdeka dan demokrasi. Apabila kesatuan dapat dipupuk sejak generasi lama hinggalah ke generasi baharu, maka mitatabang dalam masyarakat Dusun Kimaragang bukan sahaja dapat dipertahan bahkan terus menjadi saluran berkat kesatuan, perpaduan dan kekitaan yang menunjang. Inilah harapan penulis agar semua penduduk mencintai bahasa dan budaya masing-masing. Sikap bertoleransi, bersatu hati, memahami dan bekerjasama dalam merealisasikan mitatabang di peringkat global perlu diperkasakan.
Glosari
Mitatabang – bergotong-royong.
Linopot – nasi bungkus (nasi kosong atau dicampur dengan ubi manis, ubi kayu atau nasi baharu sahaja).
Longkobung – sejenis pokok yang mempunyai daun bulat bercorak-corak di tepi.
Saging – sejenis sikutan yang besar diperbuat daripada rotan.
Bibliografi
- Kroeger, 2005, p. 397.
- Kroeger, 2005, pp. 397-398.
- (Inggeris)Kroeger, Paul, Kimaragang, The Austronesian Languages of Asia and Madagascar, pp. 397-428, Routledge Language Family Series, Londres, Routledge, 2005, ISBN 0-7007-1286-0.
- Dewan Budaya, Mac 2012.
- Wikipedia https//ms.widipedia.org>wiki>kimaragang.