Pada awal abad ke-19, Alam Melayu mengalami pelbagai perubahan yang ketara dalam perkembangan pemikiran bangsa, pengaruh politik dan ekonomi. Di samping itu, Kesultanan Melayu turut mengalami kelemahan yang ketara akibat daripada pelbagai faktor dalaman dan luaran yang menyumbang kepada kemerosotan pengaruh politik dan perkembangan ekonomi. Perebutan takhta dalam kalangan waris dan golongan bangsawan sering kali melemahkan kesultanan kerana tenaga dan sumber mereka dihabiskan untuk menghadapi konflik dalaman berbanding dengan mempertahankan kedaulatan daripada ancaman luar. Sebagai contoh, Kesultanan Johor-Riau-Lingga mengalami krisis pewarisan yang rumit, yang akhirnya melemahkan kedudukan mereka dan membuka ruang untuk campur tangan British dan Belanda.
Kebangkitan Intelektual Melayu
Pada era ini juga menyaksikan cengkaman kuasa Barat semakin kukuh dan dominan dalam menentukan hala tuju geopolitik, ekonomi dan sosial di rantau ini. British dan Belanda terlibat dalam persaingan untuk menguasai wilayah-wilayah strategik di Alam Melayu yang melemahkan kedaulatan kesultanan Melayu yang wujud pada masa itu. Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang menjadi satu daripada peristiwa penting apabila wilayah Alam Melayu dibahagikan kepada dua zon pengaruh. Perjanjian ini mengakibatkan Kesultanan Melayu di bawah pengaruh kuat British di Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura, serta Belanda di Kepulauan Indonesia.
Di samping itu, pemikiran yang tertutup dan amalan adat yang kolot dalam kalangan masyarakat Melayu menambahkan kelemahan lagi sama ada dari segi sosial, ekonomi mahupun politik. Ramai orang Melayu ketika itu menganggap bahawa pengaruh Barat dan ilmu moden, seperti sains, teknologi, dan bahasa asing; bertentangan dengan ajaran agama dan adat mereka. Sebaliknya, kepercayaan khurafat dan kebergantungan kepada dukun atau bomoh untuk menyelesaikan masalah dianggap lebih penting daripada pendekatan yang logik atau saintifik. Pemikiran konservatif ini menyebabkan masyarakat Melayu ketinggalan dalam arus perkembangan ekonomi dan teknologi. Lebih parah lagi, mereka tidak dapat bersaing dengan bangsa asing, terutamanya Eropah.
Rentetan reaksi daripada senario ini telah mencetuskan kebangkitan intelektual dan sosial dalam masyarakat Melayu yang ditandai dengan kemunculan beberapa tokoh pemikir dan penulis termasuklah Raja Ali Haji, Abdullah Munsyi dan Raja Ali Kelana. Tokoh-tokoh ini tidak hanya fokus terhadap isu-isu agama tetapi juga memajukan pemikiran daripada konservatif kepada progresif seperti menekankan kepentingan terhadap pendidikan, memperkenalkan bentuk kesusasteraan yang mengandungi elemen-elemen baharu serta mengkritik budaya masyarakat Melayu yang kolot pada masa itu.
Munsyi Abdullah (1796-1854)
Munsyi Abdullah atau nama sebenarnya Abdullah bin Abdul Kadir, merupakan tokoh terkemuka dalam kesusasteraan Melayu pada abad ke-19. Ahmad Murad Merican (2011) dalam makalahnya “Occidentalism in the Malay World: The West Through the Eyes of Abdullah Munsyi”, mengatakan bahawa Munsyi Abdullah digelar sebagai ‘Bapa Kesusasteraan Melayu Moden’ atau pengarang Melayu atau penulis Melaka dan Singapura pada separuh pertama abad tersebut. Sementara itu, Mawar Safie (2014) dalam makalahnya “Abdullah bin Abdul Kadir: Hadijah Rahmat’s Focal Point in Malay Literature” juga melabelkan Munsyi Abdullah sebagai ‘Bapa Karya Cetakan Melayu’ kerana karya beliau seperti Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan, Syair Singapura Terbakar dan Hikayat Abdullah merupakan antara karya bercetak berbahasa Melayu terawal abad ke-19. Selain itu, Azman Yusof dan Anisah Bahyah Ahmad (2024) dalam makalah bertajuk “Pemikiran Dakwah Abdullah Munsyi dalam Hikayat Abdullah” berpandangan bahawa Munsyi Abdullah juga disebut sebagai Tokoh Pembaharuan Melayu abad ke-19 ekoran kritikan dan pandangannya yang keras terhadap budaya dan pemikiran masyarakat Melayu yang kolot, zalim dan kepercayaan kepada tahyul.
Sementara itu, Abdullah dilahirkan pada 1796 di Kampung Pali, Melaka. Melaka pada waktu itu merupakan sebahagian daripada wilayah British setelah Raja Belanda menandatangani Surat-surat Kew pada tahun 1795, iaitu menyerahkan tanah jajahannya kepada Britain sehingga selesai perang di Eropah. Walaupun beliau berketurunan campuran Arab-Tamil tetapi sering dianggap sebagai satu daripada penulis persuratan Melayu moden yang terawal.
Sehubungan dengan itu, Munsyi Abdullah terkenal dengan karya autobiografinya Hikayat Abdullah yang menceritakan secara terperinci tentang kehidupannya, keadaan sosial dunia Melayu, dan interaksinya dengan orang-orang Eropah. Pekerjaannya sebagai guru, penterjemah, dan jurutulis, serta kecekapannya dalam pelbagai bahasa, termasuk Melayu, Arab, Tamil, dan Inggeris, menjadikannya perantara yang berharga antara penduduk tempatan dengan pentadbir kolonial.
Penulisannya terkenal kerana penggunaan bahasa Melayu yang jelas dan bebas daripada pengaruh klasik yang menjadi ciri kebanyakan kesusasteraan pada masa itu. Karya Abdullah menandakan peralihan dalam kesusasteraan Melayu, jauh daripada hikayat tradisional yang sering diisi dengan kisah dongeng dan mistik; ke arah gaya yang lebih realistik dan autobiografi. Oleh hal yang demikian, beliau sering dianggap sebagai perintis kesusasteraan Melayu moden dan memainkan peranan penting dalam mendokumentasikan pertemuan awal antara orang Melayu dan Eropah di rantau ini.