Skip to content
Naskhah Melayu Klasik Khazanah Berharga Bangsa Melayu
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Sejarah dan Budaya > Naskhah Melayu Klasik Khazanah Berharga Bangsa Melayu
Naskhah Melayu Klasik Khazanah Berharga Bangsa Melayu
Sejarah dan Budaya

Naskhah Melayu Klasik Khazanah Berharga Bangsa Melayu

  • AZRI BIN SALLEH
  • 5 Ogos 2023
  • DBP Wilayah Selatan
  • 816
  • 5

Naskhah Melayu klasik merupakan harta yang sangat berharga kepada negara dan mempunyai nilai sejarah yang membuktikan ketamadunan sesebuah bangsa. Naskhah Melayu klasik jumlahnya sangat banyak, puluhan ribu hingga ratusan ribu. Manuskrip yang ditemukan pada abad ke-9 hingga abad ke-20 ini mengandungi nilai ilmu dan catatan sejarah dari masa lampau yang dapat dijadikan rujukan dan panduan kepada bangsa Melayu pada hari ini. Teknologi dan kemajuan yang dicapai pada zaman tersebut membuktikan bahawa bangsa Melayu bukan bangsa yang mundur atau bangsa yang kolot, sebaliknya satu bangsa yang bertamadun dan mempunyai khazanah ilmu yang berharga melalui catatan atau tulisan yang diabadikan melalui goresan tangan dengan tinta menggunakan aksara Jawi di atas selembar daun lontar, batu bersurat atau catatan pada kertas yang diimport dari Eropah.

Naskhah Melayu Klasik Khazanah Berharga Bangsa Melayu
Pada tahun 1902, Saiyed Husin bin Ghulam Al-Bukhari, seorang ahli perniagaan menemui batu bersurat di tebing Sungai Tersat (Sungai Tara), Kampung Buluh di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Sejarah kehidupan suatu bangsa dapat dilihat daripada peninggalan berbentuk tulisan berupa naskhah klasik tersebut. Catatan pada naskhah Melayu klasik seperti Undang-undang Laut Melaka, jurai keturunan raja-raja, ketokohan figura Melayu seperti Hikayat Hang Tuah dan termasuk juga pemikiran nenek moyang yang menggunakan tanda-tanda alam dalam menentukan kejadian atau bencana. Dalam  naskhah Melayu klasik dijelaskan bahawa sebelum bencana alam, akan ada tanda-tanda dari haiwan yang turun dari pergunungan menuju ke kawasan penempatan penduduk. Melalui tanda-tanda inilah, bangsa terdahulu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan ditimpa bencana.

Naskhah Melayu Klasik Khazanah Berharga Bangsa Melayu
Manuskrip Sejarah Melayu yang tersimpan di British Library. The British Library

Sebagai bukti, menurut catatan dalam Sejarah Melayu yang dikarang oleh Tun Sri Lanang pada tahun 1565, ketika sedang berehat di bawah pohon Melaka, Parameswara telah melihat peristiwa anjing pemburuannya telah ditendang oleh seekor pelanduk. Peristiwa ini dianggap luar biasa kerana seekor pelanduk kecil dapat mengalahkan seekor anjing. Oleh itu, Parameswara memilih untuk mendirikan sebuah kerajaan di kawasan tersebut. Parameswara menamakannya sebagai Melaka bersempena dengan nama pokok tempatnya berteduh. Pemerintahan Parameswara berkembang dengan pesat dan menjadi sebuah pelabuhan yang terpenting di Kepulauan Melayu pada abad ke-15 dan ke-16. Melaka muncul sebagai pusat perdagangan rempah yang utama di dunia. Melaka menjadi pintu kepada negeri-negeri pengeluar rempah untuk memasarkan rempah.

Menurut Duarte Barbosa, seorang penulis dan pegawai dari Portugis, mengatakan bahawa, “Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia.” Hal ini menunjukkan bahawa bangsa Melayu merupakan bangsa yang maju dan bijak dalam dan pemerintahan dan dunia perniagaan sehingga berjaya memajukan sebuah pelabuhan yang berkembang sebagai sebuah pusat perdagangan dunia dan disegani bangsa-bangsa asing seperti Portugis, Belanda, Inggeris, China dan pedagang dari negara Arab.

Naskhah Melayu Klasik Khazanah Berharga Bangsa Melayu
Yang Berhormat Dato’ Prof. Kassim Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor.

Menurut Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor dan pengkaji sejarah, Yang Berhormat Dato’ Profesor Kassim Thukiman, ketika dijemput hadir sebagai ahli panel program Wacana dari Suatu Sejarah, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan pada 24 Jun lalu, menyatakan bahawa ketika Melaka berkembang sebagai sebuah pelabuhan perdagangan antarabangsa yang pesat, Melaka muncul sebagai pusat pendidikan dan pemangkin perkembangan bahasa Melayu, kesusasteraan dan kesenian Melayu. Kesultanan Melaka menandakan zaman kegemilangan kesultanan Melayu di Nusantara, dan bahasa Melayu Klasik menjadi lingua franca Maritim Asia Tenggara dan tulisan Jawi menjadi medium utama pertukaran budaya, agama dan intelektual. Para pedagang yang mahu berdagang dengan kerajaan Melaka telah mempelajari bahasa Melayu untuk urusan perdagangan antara pedagang-pedagang dari seluruh dunia. Melalui perkembangan intelek, rohani dan budaya ini, zaman Melaka telah menyaksikan penubuhan identiti Melayu dan seterusnya pembentukan Alam Melayu di dalam peta dunia.

Tulisan Jawi juga berkembang seiring perkembangan ekonomi di negeri Melaka. Tulisan Jawi digunakan dalam naskhah-naskhah Melayu klasik, antaranya termasuklah puisi tradisional terbitan Singapore Press yang ditulis oleh Umar bin Muhammad Khan pada tahun 1937. Naskhah klasik bertajuk Syair Nabi Ayub alaihissalam merupakan koleksi simpanan Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, mempunyai 30 halaman bercetak yang sarat dengan mesej dan nilai-nilai murni tentang kehidupan. Naskhah ini merupakan catatan pemikiran bangsa Melayu yang menjadi khazanah intelektual, jati diri budaya dan estetika bahasa yang penting dalam pembinaan kekuatan Bahasa Melayu.

Naskhah Melayu Klasik Khazanah Berharga Bangsa Melayu
Kitab al-Aqa’id al-Nasafiah merupakan sebuah karya yang agung, dikarang oleh Imam Najmuddin Abu Hafs Umar al-Nasafi.

Peranan istana sebagai pusat pengumpulan hasil sastera tradisional atau tempatan di Alam Melayu melalui penghasilan karya agung seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, dan Hikayat Merong Mahawangsa memperlihatkan bahawa pendidikan berkembang pesat dengan lahirnya banyak Naskhah Melayu Klasik. Jika tiada pendidikan, tidak mungkin lahirnya naskhah Melayu Klasik yang banyak di kawasan jajahan Melayu. Seperti kata Profesor Kassim, jika sesebuah bangsa itu ada buku undang-undang bertulis, membuktikan bahawa bangsa itu lebih maju daripada bangsa lain. Hal ini dikatakan demikian kerana, catatan atau naskhah bertulis membuktikan bahawa sesebuah negara itu mempunyai sistem pentadbiran yang terancang, baik dan maju kerana mempunyai sistem bertulis yang menjadi rujukan para pentadbir yang dilantik.

Sayangnya, manuskrip Melayu klasik ini tidak tersimpan di negara kita sebaliknya telah dirampas oleh bangsa yang menjajah negara kita. Memusnahkan ketamadunan Melayu dengan membawa keluar naskhah dan catatan kemajuan bangsa kita ke negara mereka. Lebih 20,000 manuskrip Melayu yang kini tersimpan di perpustakaan Universiti Leiden di Belanda, Universiti Hamburg di Jerman, British Library di London, United Kingdom, di Muzium Topkapi di Turkiye dan Portugal.

Naskhah Melayu Klasik Khazanah Berharga Bangsa Melayu
Manuskrip Hidayat al-Salikin fi Suluk Maslak alMuttaqin, terjemahan Sheikh Abdul Samad daripada karya Bidayat al-Hidayah oleh al-Ghazali yang dimiliki oleh British Library, London, United Kingdom.

Pensyarah Leiden Institute for Area Studies (LIAS) di Universiti Leiden, Dr. Surya Suryadi, di Leiden memaklumkan bahawa genre manuskrip Melayu yang paling banyak disimpan di Universiti Leiden ialah cerita rakyat yang kaya dengan kandungan kearifan tempatan puak yang mendiami wilayah Nusantara. Manuskrip itu dirakam sama ada dalam bentuk historiografi tradisional, seperti chronicle (kronikel) dan annal (babad), undang-undang atau cerita panji. Selain itu, tersimpan juga warkah raja-raja dan manuskrip ilmu agama.

 

Naskhah Melayu Klasik Khazanah Berharga Bangsa Melayu
Allahyarham Dr. Harun Mat Piah

Allahyarham Dr. Harun Mat Piah pernah menyatakan dalam satu temu bual bersama Berita Harian Online (3 April 2017), bahawa naskhah Bustan as-Salatin yang dikeluarkan pada 1639 oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri dari Acheh memuatkan asas terbaik ilmu sains perubatan Melayu. Naskhah ini boleh menjadi rujukan perubatan selain (rujukan) sejarah pada masa kini.

Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Mohd Syukri Yeoh Abdullah menyatakan bahawa, semua manuskrip Melayu yang tersimpan di beberapa negara berada dalam keadaan yang cukup terpelihara. Setiap manuskrip Melayu Klasik memberi gambaran kepada kehidupan masyarakat, teknologi serta pengetahuan ketika manuskrip itu ditulis. Kebanyakan manuskrip Melayu berusia antara 200 hingga 700 tahun, termasuk manuskrip besar seperti Sejarah Melayu serta kitab-kitab awal berkaitan agama Islam. Kitab-kitab berkaitan hukum hakam agama ini kebanyakannya ditulis oleh ulama Nusantara sebelum manuskrip berkenaan dibawa ke negara luar untuk simpanan serta kajian. Manuskrip Melayu bukan sahaja tersimpan di Britain, Jerman, Belanda tetapi manuskrip Melayu banyak berada dalam simpanan di Muzium Topkapi, Turki kerana alam Melayu mempunyai pertalian sejarah dengan kerajaan Uthmaniyyah.

Hal ini membuktikan bahawa banyak manfaat yang boleh diperoleh hasil daripada penelitian manuskrip Melayu dan buku nadir oleh para sarjana, tokoh akademik dan penyelidik tempatan mahupun luar negara sebagai satu bentuk warisan yang perlu dipelihara dan disebarluaskan kepada masyarakat untuk mengambil manfaat daripada manuskrip tersebut. Melalui manuskrip Melayu klasik ini juga, membuktikan bahawa bahasa Melayu yang menjadi tonggak perpaduan masyarakat dan kemajuan negara pada waktu itu.

 

Hakikatnya, penyelidikan yang berkaitan dengan manuskrip Melayu atau koleksi nadir khususnya, amat kurang diberikan perhatian sama ada dalam bentuk penyelidikan ilmiah atau kesarjanaan, mahupun untuk keperluan pembacaan. Pengerusi Majlis Penasihat Peradaban Melayu, Profesor Tan Sri Dr. Abdul Latiff Abu Bakar mencadangkan agar diwujudkan satu institusi khusus yang mengumpul, menyimpan serta melaksanakan kajian tentang manuskrip Alam Melayu yang ribuan jumlahnya di seluruh dunia. Beberapa kaedah yang boleh dilakukan untuk membawa pulang manuskrip ini, antaranya menerusi simpanan digital. Institusi berkenaan perlu juga mendapat kerjasama daripada Perpustakaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam, Pusat Pengembangan Bahasa dan Pustaka Indonesia, Yayasan Karyawan Malaysia, dan universiti yang memiliki kepakaran dalam pengkajian manuskrip lama. Jika semua pihak berganding bahu, pastinya khazanah berharga milik bangsa Melayu dapat dikembalikan ke tempat tanah tumpah lahirnya manuskrip itu dan menjadi sumber rujukan dan kajian bangsa Melayu agar ketamadunan yang dicipta bangsa terdahulu dapat dibina kembali.

Manuskrip Melayu klasik sangat berharga kerana sebagai saksi sejarah yang menyimpan kearifan dan menggambarkan jati diri bangsa Melayu yang tinggi nilai tamadunnya. Kajian terhadap naskhah Melayu lama mestilah diperkasakan kerana manuskrip Melayu Klasik merupakan warisan bangsa yang bernilai tinggi dan mengandungi pelbagai bidang ilmu yang boleh dimanfaatkan. Hasil kajian tersebut dapat memperkaya khazanah ilmu yang menjadi bahan rujukan persuratan Melayu.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #dbpselatan (12) #karyasastera (14) #komsas (2) #penulis (4) #penulisbaharu (14) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (4) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (13) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) bengkel (2) budaya (2) cerpen (9) dbpcawangansabah (4) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (23) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

ڤمرڬين
Puisi Moden

ڤمرڬين

  • 20 Disember 2024
جاري سڤولوه
Puisi Moden

جاري سڤولوه

  • 20 Mac 2024
  • 4.8
Dampak Peranti Mudah Alih Terhadap Perkembangan Kesusasteraan Kanak-kanak
Bicara Bahasa

Dampak Peranti Mudah Alih Terhadap Perkembangan Kesusasteraan Kanak-kanak

  • 20 Mac 2024
  • 425
  • 4.6
Sirna Sinar Ah San
Cerpen

Sirna Sinar Ah San

  • 9 Oktober 2023
  • 192
  • 4.1

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP