Ada pendapat berdasarkan sejarah yang menyatakan Sungei Ujong merupakan nama lama untuk Seremban yang tiada kaitan dengan kewujudan sungai.
Sungei Ujong juga dikatakan telah lama wujud di Tanah Melayu lebih purba daripada yang diketahui oleh masyarakat. Sejarawan berpandangan bahawa nama Sungei Ujong berasal daripada perkataan “Sang Hyang Hujung”.
Tempat ini wujud dalam catatan Negarakertagama semasa era Kerajaan Majapahit yang dicatatkan pada tahun 1365 sebagai “Suneujon” dalam rekod peta dan kartografi Eredia seawal tahun 1613. Kajian lanjut teks klasik Jawa tersebut juga mengesahkan Sang Hyang Hujung merupakan sebuah negeri dan mempunyai kerajaan tersendiri.
Dalam Sulalatus Salatin, ia ditulis sebagai سنيڠ هوجڠ kemudian dirumikan dalam Sejarah Melayu versi Shellabear sebagai “Sening Ujong” manakala dalam versi Leiden dieja sebagai “Senyang Ujong”.
Berdasarkan teori William Marsden pada tahun 1784 mengenai sejarah Sumatera, diandaikan bahawa Sungei Ujong telah wujud pada tahun 1260-an ketika era kejatuhan Kerajaan Srivijaya dan kebangkitan Kerajaan Singhasari yang seterusnya menjadi Kerajaan Majapahit.
Teori Marsden itu diperkukuh lagi dengan pandangan Richard Olaf Winstedt memetik Tom Pires yang menyatakan Mandalika telah ada di Sungei Ujong pada abad ke-14.
Winstedt berpendapat Mandalika itu bermaksud gabenor dalam bahasa Sanskrit. Apabila dipadankan dengan artifak zaman Kerajaan Srivijaya yang ditemui di Terengganu, jelas Sungei Ujong telah ada orang besar yang dipanggil Mandalika pada era kerajaan besar itu.
Ketika ini, memang ada orang besar Sungei Ujong bergelar Dato’ Andulika Mandalika yang berperanan sebagai Tua Lembaga Waris di-Darat dan Tua Lembaga Tiang Balai Undang Luak Sungei Ujong.
Berdasarkan teorinya, Dato’ Andulika Mandalika merupakan warisan perjawatan Mandalika Sungei Ujong zaman Sriwijaya. Babad Jawa naskah Pustaka Raja-raja Bumi Nusantara yang kontroversi itu pula menyatakan keberadaan Sungei Ujong sebagai negeri direkodkan seawal tahun 1275 Masihi.
Jika diambil tahun yang direkodkan Babad Jawa berkenaan, usia Sungei Ujong ketika ini ialah 747 tahun, kedua tertua selepas Kesultanan Kedah.
Hal ini juga menjadikan luak Sungei Ujong ialah luak tertua sekali. Selain itu, penemuan makam Nenek Janggut Siti Mariam di tanah perkuburan Kampung Anak Air Garam, Mambau, Seremban membuktikan Luak Sungei Ujong sudah berkerajaan sejak abad ke-9 Masihi.
Batu nisan pada makam Nenek Janggut Siti Mariam bertarikh 324 Hijrah yakni bersamaan dengan 930/931 Masihi.
Batu megalit di Pengkalan Kempas di tebing Sungai Linggi dalam Luak Sungei Ujong dikesan wujud pada abad ke-2 dan ke-3 Masihi.
Batu itu unik kerana berbentuk kemudi, sudu (payung) dan pedang (keris) yang dikaitkan dengan kepemimpinan dan adat purbakala Sungei Ujong. Hal ini membuktikan wujudnya kedatuan/kerajaan di Sungei Ujong pada zaman purbakala.
Tapak perkuburan Pengkalan Kempas di Linggi pula (dalam Luak Sungei Ujong) dianggarkan bertarikh sekitar 14-15 Masihi berdasarkan pentarikhan secara relatif kubur seorang ulama, iaitu Syeikh Ahmad Majnun yang mempunyai pentarikhan kematian sekitar 1467 Masihi.
Rekod bertulis ratusan tahun lepas dan artifak-artifak yang ada jelas menunjukkan Sungei Ujong pernah menjalin hubungan atau dilindungi oleh beberapa kerajaan besar bermula daripada kerajaan Srivijaya, Majapahit dan kemudiannya sebagai wilayah dalam Kesultanan Melayu Melaka.
Sehubungan itu, berkemungkinan besar sudah ada pemerintah Sungei Ujong di bawah naungan kerajaan-kerajaan besar Nusantara ini, sebelum adanya penghulu menteri bawah Sultan Iskandar Shah atau Parameswara seperti yang disebut dalam Sejarah Melayu.
Teks Sejarah Melayu mengenai Sungei Ujong menyebut:
“Maka Sultan Iskandar Shah pun berpindah dari sana lalu mendarat. Berapa hari di jalan maka terus ke Sening Ujong. Maka dilihat baginda tempat itu baik, maka ditinggalkannya seorang menteri di sana. Itulah maka tempat itu bermenteri datang sekarang.”
Berdasarkan teks Sejarah Melayu, dipercayai Sultan Iskandar Shah mengiktiraf atau memperakui pemimpin Sungei Ujong yang sememangnya telah ada sebagai wakilnya sebelum baginda membuka Melaka.
Perkataan “ditinggalkannya” itu diyakini bermaksud perakuan atau pengiktirafan dan bukannya melantik atau meletakkan pemimpin di negeri Sungei Ujong, memandangkan teks Jawa dan rekod-rekod lama menunjukkan Sungei Ujong sudah menjadi negeri semasa zaman Kerajaan Srivijaya, Singhasari dan Majapahit.
Sang Hyang Hujung bermaksud “Kepala Tuhan” pernah ditulis oleh Sultan Abdul Samad pada tahun 1880 sebagai kawasan yang menganjur dari Sepang hingga Linggi, selari dengan kawasan Tanjung Tuhan atau Tanjung Tuan kini atau ketika zaman British dinamakan sebagai Cape Rachado.
Jika dikaji pada kedudukan geografi, titik tengah antara dataran yang menganjur dari utara ke selatan inilah terletaknya bandar Seremban yang nama asalnya ialah Sungei Ujong.
Hari ini, nama Sang Hyang Hujung atau Sungei Ujong diabadikan dalam nama salah satu daripada empat luak di Negeri Sembilan, iaitu Luak Sungei Ujong.
Luak Sungei Ujong tidak hanya Seremban tetapi meliputi seluruh daerah Seremban dan Port Dickson (Tanjung Tuan).
Pemerintahan Sungei Ujong bertonggakkan Dato’ Klana Petra daripada Waris Klana sebagai Dato’ Undang. Waris Klana pula terbahagi kepada Klana di-Hulu dan Klana di-Hilir. Selain itu, terdapat Waris di-Darat yang diketuai oleh Dato’ Andulika Mandalika dan Waris di-Ayer dipimpin oleh Dato Syahbandar atau Dato’ Bandar.
Dikenali Waris Negeri, ketiga-tiga waris itu asalnya satu keturunan, iaitu anak cucu Dato’ Bendahara Skudai Bendahara Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang. Cuma hak dan pangkat adatnya berlainan dan ditentukan mengikut peraturan yang teradat.
Selain Waris Negeri, terdapat waris bergajah tunggal dan waris-waris lingkungan yang diam dalam jajahan Luak Sungei Ujong dan dipimpin oleh Dato’-dato’ Lembaga masing-masing mengikut aturan Adat Zaman Purbakala.
Kesimpulannya, Negeri Sembilan sebenarnya bermula dengan kerajaan Sungei Ujong sejak 700 tahun lalu diikuti luak-luak yang lain.
Raja Melewar yang dicatatkan dipertuankan pada 1773 hanya kesinambungan dan lambang konfederasi kerajaan-kerajaan luak purba sedia ada.