Skip to content
Nilai Keislaman dalam Cerpen Hasan Baseri Budiman: Surat dari Negeri Puitika
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Sastera > Nilai Keislaman dalam Cerpen Hasan Baseri Budiman: Surat dari Negeri Puitika
Nilai Keislaman dalam Cerpen Hasan Baseri Budiman: Surat dari Negeri Puitika
Bicara Sastera

Nilai Keislaman dalam Cerpen Hasan Baseri Budiman: Surat dari Negeri Puitika

  • Batrisyia Napiah
  • 20 April 2026
  • DBP Wilayah Utara
  • 148
  • 4.8

Islam merupakan agama yang bersifat syumul, tidak terbatas kepada pelaksanaan ibadah semata-mata, malah berfungsi sebagai panduan menyeluruh dalam membentuk akhlak, nilai kemanusiaan dan tata kehidupan sosial manusia. Gagasan Muhammad Yusuf Qardhawi tentang konsep Islam Dakwah yang Syumul, sebagaimana dihuraikan oleh Sazahlie Sapar (2020, hlm. 5) menyatakan bahawa Islam ialah risalah dalam segenap lapangan hidup manusia dan setiap aspek kegiatannya. Tidak ada satu aspek pun dalam kehidupan manusia ini, melainkan Islam telah menetapkan ketentuannya. Namun, dalam realiti kehidupan moden, penghayatan terhadap nilai-nilai ini sering terhakis akibat kejahilan manusia terhadap agama, sama ada secara sedar mahupun tidak, sehingga menimbulkan pelbagai kepincangan moral dan sosial.

Dalam Surat dari Negeri Puitika, Hasan Baseri Budiman menghimpunkan sebanyak 18 buah cerpen yang dihasilkan sepanjang tempoh antara tahun 2017 hingga 2021.  Lapan daripadanya pernah tersiar dalam Dewan Tamadun Islam, Dewan Bahasa, Pelita Bahasa dan Dewan Budaya. Manakala baki sepuluh buah cerpen lagi, ada yang beliau pernah hantar ke media cetak tetapi tidak disiarkan, dan ada juga yang beliau simpan untuk tatapan sendiri. Berkat kegigihannya Kumpulan Cerpen Surat dari Negeri Puitika  berjaya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2023. 

Hampir kesemua cerpen yang termuat di dalam Surat dari Negeri Puitika ini dihasilkan berdasar pengamatan Hasan Baseri Budiman sendiri dan ada antaranya yang bersifat peribadi. Keadaan ini mungkin menjelaskan mengapa terdapat beberapa cerpen yang pada awalnya dianggap kurang sesuai untuk diketengahkan oleh pihak editor. Namun demikian, tidak semua peristiwa yang digambarkan dalam cerpen-cerpen tersebut lahir sepenuhnya daripada kisah benar atau pengalaman peribadi Hasan Baseri Budiman.

Sebaliknya, karya ini tidak lahir untuk menyentuh mana-mana individu secara khusus, malah berfungsi sebagai refleksi masyarakat yang menyingkap kejahilan terhadap agama, keruntuhan akhlak dan kemerosotan nilai kemanusiaan. Kesedaran penulis terhadap proses penuaan turut mempengaruhi kecenderungannya untuk mendekatkan diri kepada Tuhan, sekali gus menjadikan penulisan cerpen sebagai ruang pengabdian dan sumbangan kepada masyarakat. Melalui pendekatan penceritaan yang pelbagai, pengarang mengangkat Islam sebagai panduan hidup serta menjadikan sastera sebagai medium kritikan sosial yang halus tetapi bermakna, tanpa bersifat menggurui atau dakwah secara langsung.

Menyoroti cerpen yang terpilih seperti “E-Mel dari Neraka”  memperlihatkan bagaimana konflik rohani dan sosial digarap untuk menegur realiti masyarakat yang semakin terpisah daripada penghayatan ajaran Islam yang sebenar. Dalam cerpen ini watak “Aku” mengenali Brunella melalui sebuah seminar yang pada awalnya bertujuan memperkenalkan keindahan Islam, namun akhirnya menimbulkan kecelaruan apabila agama disalahfahami dan ditafsirkan secara bebas. Brunella digambarkan sebagai seorang wanita Muslim yang terperangkap dalam kekeliruan akidah sehingga berani mempersoalkan kewujudan Tuhan serta menentang hukum agama, seperti yang tergambar dalam petikan berikut:

“Aku sudah muak untuk memikirkannya, terutamanya ketika dia mendakwa bahawa dia mempunyai versi Islamnya tersendiri dan lebih menjelikkan apabila dia mengajak kami untuk mempercayai bahawa sekiranya Tuhan itu menciptakan segala-galanya, tentulah Tuhan itu pun diciptakan oleh sesuatu”. (2023, hlm.4-5)

Petikan ini memperlihatkan suasana kebingungan dan kegelisahan watak “aku” ketika berhadapan dengan hujah Brunella yang menyeleweng. Melalui kegelisahan dan tanggungjawab moral yang dirasakan, watak “aku” cuba menentang hujah tersebut dengan mengutuskan sebuah e-mel yang diibaratkan sebagai “E-mel dari Neraka”, berisi peringatan tentang balasan azab, seruan untuk kembali kepada ajaran Islam. Pada masa yang sama, pengarang turut mengaitkan peringatan ini dengan narasi dalam Surah al-A‘raaf, ayat 179 yang menegaskan bahawa manusia yang tidak menggunakan hati, mata dan telinga untuk memahami kebenaran berada dalam keadaan lalai. Secara tidak langsung, cerpen ini berfungsi sebagai wadah dakwah yang halus untuk menegur masyarakat yang semakin jauh dari asas akidah.

Cerpen “Perempuan” pula mengisahkan Rudy yang menggunakan medium lukisan digital untuk menghasilkan potret sahabatnya, Shahrin, sebagai satu usaha menyedarkan bahawa imej yang terpapar pada kanvas itu tetap memperlihatkan sifat kewanitaan dan tidak menafikan identiti asalnya sebagai lelaki. Pengakuan Shahrin bahawa dia telah menukar jantina serta menamakan dirinya sebagai “Erin” menimbulkan kemarahan dan kegelisahan dalam diri Rudy. Melalui situasi ini, pengarang menyingkap persoalan manusia yang semakin terpesong daripada naluri dan fitrah asal kejadian, sehingga sanggup menolak hakikat diri demi memenuhi keinginan dan kecenderungan peribadi, petikan berikut memperincikan:

Engkau dijadikan laki-laki. Kerana itu adalah hidayah Allah kepada manusia. Ketentuan itu sepatutnya tidak akan sampai menjadikan manusia angkuh dan sombong serta tidak mahu muhasabah dirinya. Kalau kita benar-benar memahami proses penciptaan manusia, kita tentunya akan tunduk, berserah, dan kembali menyedari betapa kecilnya kita. ( 2023, hlm.73) –

Petikan di atas secara tuntasnya mengajak manusia untuk merenung kembali hakikat kejadian diri serta menerima ketentuan yang telah ditetapkan oleh Tuhan. Melalui ungkapan tersebut, pengarang menegaskan bahawa kesedaran terhadap proses penciptaan manusia seharusnya membawa seseorang kepada sikap merendah diri, muhasabah dan kembali kepada fitrah asal. Oleh yang demikian, pengarang juga menunjukkan bukti sokongan dalam cerpen tersebut melalui perkongsian kes berkaitan penularan penyakit yang dikaitkan dengan gaya hidup songsang. Hal ini dapat dilihat dalam petikan berikut:

“KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) merupakan kelompok tertinggi dijangkiti HIV yang mewakili 50 peratus kes baharu dilaporkan sepanjang 2017. Berdasarkan laporan Sektor HIV/STI, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, sebanyak 1697 kes melibatkan mereka yang mengamalkan tabiat seks songsang daripada 3347 kes HIV baharu yang dicatatkan pada tahun lalu.” (2023, hlm.76)  

Perkongsian fakta ini jelas memperlihatkan usaha pengarang mengaitkan realiti sosial dengan mesej yang ingin disampaikan dalam cerpen. Melalui penyisipan maklumat tersebut, pengarang seolah-olah menegaskan bahawa larangan agama bukanlah sekadar ketetapan tanpa tujuan, sebaliknya bertujuan menjaga kemaslahatan umat manusia daripada kemudaratan fizikal dan rohani. Dalam konteks ini, isu penyakit HIV dan AIDS dijadikan sebagai peringatan tentang akibat yang boleh berlaku apabila melanggar batas fitrah dan hukum yang telah ditetapkan. Secara halus, pengarang menampilkan gambaran bahawa setiap ketentuan dalam agama mempunyai hikmah tersendiri, termasuk dalam usaha memelihara kesejahteraan hidup manusia.

Selanjutnya, cerpen “Pemburu Dosa” memaparkan kehidupan Jasman seorang penulis blog yang hanyut dalam pergaulan bebas sehingga mengabaikan ibu bapanya dan hidup bersama-sama Paulina, wanita bukan mahram. Setelah menghidap pendarahan otak dan koma selama dua minggu, dia bermimpi tentang azab neraka sebagai bayangan terhadap dosa-dosa yang dilakukan. Pengalaman itu menjadi titik kesedaran rohani dan memperlihatkan betapa dirinya telah jauh daripada nilai ihsan dan keyakinan kepada Allah SWT kerana terlalu tenggelam dalam keinginan duniawi, seperti yang diungkapkan oleh penulis menerusi petikan yang berikut:

“Jasman tidak pasti ketika itu Tuhan ada di mana. Dia mahu berjumpa Tuhan. Mahu meminta maaf atas segala yang dilakukannya. Dia tidak mahu lalai menjadi pemburu dosa”. ( 2023, hlm.88)

Petikan tersebut jelas menggambarkan penyesalan mendalam watak terhadap kesalahan yang telah dilakukan. Melalui penceritaan ini pengarang menyampaikan peringatan bahawa pintu taubat sentiasa terbuka dan selagi manusia masih diberi kesempatan hidup, mereka masih berpeluang untuk kembali memohon keampunan serta mendekatkan diri kepada Allah SWT sebelum segalanya terlambat. Secara tidak langsung, cerpen ini menekankan beberapa nilai keislaman yang penting seperti kesedaran dosa, kepentingan bertaubat, tanggungjawab terhadap ibu bapa, serta keperluan kembali kepada fitrah sebagai hamba yang sentiasa bergantung kepada rahmat dan keampunan Allah SWT.

Surat dari Negeri Puitika memperlihatkan kepekaan Hasan Baseri Budiman terhadap konflik rohani dan sosial yang wujud dalam masyarakat moden. Melalui cerpen seperti “E-mel dari Neraka, Perempuan dan Pemburu Dosa”, pengarang menyoroti manusia yang terpesong daripada fitrah dan akidah, serta kesan kelalaian terhadap tanggungjawab diri, keluarga dan masyarakat. Naratif ini memberikan ruang kepada pembaca untuk menilai kembali hubungan mereka dengan Tuhan dan memahami kepentingan nilai keislaman dalam hidupan seharian.

Karya ini juga menekankan fungsi sastera sebagai medium didaktik. Penggunaan dalil al-Quran, peringatan tentang azab dan seruan untuk bertaubat diselitkan secara halus, menjadikan cerpen bukan sekadar hiburan, tetapi juga sarana pendidikan moral dan rohani. Melalui pengalaman watak-wataknya, Hasan Baseri Budiman mengingatkan pembaca bahawa setiap tindakan manusia membawa implikasi, serta menunjukkan betapa pentingnya kesedaran terhadap fitrah dan tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

 Tuntasnya, Surat dari Negeri Puitika membuktikan bahawa cerpen mampu menjadi cerminan masyarakat sekali gus medium introspeksi diri. Hasan Baseri Budiman berjaya menyatukan nilai keislaman dalam unsur kritikan sosial dan pendidikan rohani dalam satu naskhah yang relevan dan menyentuh hati pembaca.

 

Rujukan

Hasan Baseri Budiman. (2023). Surat dari Negeri Puitika. Dewan Bahasa Dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Sazahlie Sapar. (2020). Muhammad Yusof Qardhawi: Islam Dakwah yang Syumul. AnyFlip. https://anyflip.com/wejy/nxts/basic

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Harapan Melewati Ramadan
Puisi

Harapan Melewati Ramadan

  • 3 April 2026
Bisikan Pulau Tiga
Puisi

Bisikan Pulau Tiga

  • 21 November 2025
  • 140
  • 5
بوندا
Puisi Moden

بوندا

  • 20 Januari 2025
  • 4.8
Peranan Guru dalam Membentuk Masyarakat Berilmu
Bicara Bahasa

Peranan Guru dalam Membentuk Masyarakat Berilmu

  • 5 Februari 2026
  • 330
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP