TAK kenal maka tak cinta, Pak Sako atau nama sebenarnya Ishak Haji Muhammad merupakan antara kelibat penulis pramerdeka ataupun era sebelum kemerdekaan dan pascamerdeka. Seorang nasionalis dan pernah diangkat sebagai pejuang alam sekitar kerana karyanya yang berunsurkan alam sekitar. Dilahirkan pada 14 November 1909 di Kampung Bukit Seguntang dan seorang penulis sekitar tahun 1930 sehingga 1950. Jika diimbas kembali Pak Sako merupakan pejuang yang berjuang dalam beberapa gagasan seperti penyatuan Melayu Raya, iaitu Indonesia, Malaysia dan Brunei dalam satu rumpun.
Terkenal dengan pelbagai nama samaran seperti Anwar, Hantu Raya dan Pak Pandir Moden malah mendapat julukan oleh orang Jepun sebagai Isako-San. Anak jati kelahiran negeri Pahang ini berpendidikan awal di sekolah Laki-Laki Temerloh atau kini dijenamakan semula dengan nama sekolah yang baharu, iaitu Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah pada tahun 1919 dan seterusnya melanjutkan pendidikan di Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Lipis pada tahun 1924 hingga tahun 1928. Pada tahun 1929, beliau telah lulus dan berjaya sijil persekolahan dari Sekolah Inggeris Raub dan menyambung ke Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1930 dalam latihan sebagai Pegawai dalam Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu (Malayan Civil Service). Berkat usaha beliau dalam bidang pengajian, beliau telah diberikan beberapa jawatan sebagai Timbalan Penolong Pegawai Daerah, Majistret Kelas III malah pernah menjadi guru bahasa sebelum beliau menyertai arena kepenulisan.
Politik dan Sejarah
Dalam bidang politik, semuanya bermula ketika Pak Sako bekerja sebagai Majistret Kelas III. Setelah beberapa tahun, beliau telah menghidu niat pihak British yang cuba membuat perkara negatif terhadap orang Melayu. Beliau akhirnya berhenti berkhidmat dan terjun dalam bidang penulisan dan berjuang dalam politik nasionalis sehingga pernah dipenjarakan sebanyak dua kali kerana tulisannya. Beliau pernah disifatkan sebagai pejuang berhaluan kiri. Ya, lidah bisa berkata apa sahaja, namun siapakah yang dapat menilai semangat perjuangan mereka? Pejuang berhaluan kiri ataupun sinonimnya dengan Gerakan Kemerdekaan Kiri ini dapat dikaitkan sedikit dengan Pak Sako yang merupakan pejuang tulen kemerdekaan yang mungkin tidak disedari ramai pihak.
Merungkai sejarah Pak Sako sebagai salah seorang pejuang negara, Ahmad Boestamam, Burhanuddin al-Helmi dan Pak Sako merupakan antara tokoh nasionalis yang merupakan pejuang tulen kemerdekaan tanah air. Mereka bersama dengan beratus-ratus pejuang lain yang kurang ternama, telah dipenjarakan bertahun-tahun oleh penjajah Inggeris di bawah Undang-undang Darurat, 1948. Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang juga di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin al-Helmi dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) ditubuhkan pada tahun 1945 sebaik sahaja Jepun menyerah kalah.
Perjuangan beliau yang digelar sebagai gerakan kiri ini bukannya ke arah menconteng arang nama negara, bahkan perjuangan gerakan beliau bukan sahaja di bibir melaungkan kemerdekaan, malah melalui karya beliau serta bersedia mengangkat senjata mempertahankan tanah air. Bahkan, mantan Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Dalam Negeri ketika itu pernah memberikan pengiktirafan kecil dalam ucapan beliau ketika menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran dari Universiti Sains Malaysia pada tahun 1973 telah menyebutkan bahawa pejuang-pejuang dari golongan kiri perlu diiktiraf.
Kewartawanan
Horizon penulisan beliau pada zaman pramerdeka ketika itu merupakan permulaan kepada bidang kewartawanan. Beliau bangkit dan individu yang pertama berusaha untuk menerbitkan akhbar Utusan Melayu. Akhirnya, berkat kerja keras, beliau telah menjadi pengasas kepada penerbitan akhbar Utusan Melayu malah sebelum itu meninggalkan Warta Malaya yang diterbitkan oleh Anglo-Asiatic Press di North Bridge Road, iaitu sebuah akhbar harian berbahasa Melayu dan Singapura yang agak terkenal sekitar tahun 1930-an pada peringkat awal politik nasionalisme Melayu. Beliau giat berkempen dalam penubuhan Syarikat Utusan Melayu dengan menjelajah beberapa negeri seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu. Beliau juga bertugas di Utusan Melayu di bawah Abdul Rahim Kajai selaku ketua pengarang ketika itu malah semasa era pemerintahan Jepun, beliau menjadi pengarang nasionalis sebagai pengarang Berita Malai.
Pencinta Alam Sekitar
Segelintir daripada masyarakat mungkin hanya melihat beliau sebagai pejuang sastera yang agung, namun hakikatnya beliau juga merupakan seorang pejuang alam sekitar. Hal ini terbukti melalui sikap beliau dan pandangan yang pernah beliau lontarkan melalui bukunya Memoir Pak Sako: Putera Gunung Tahan. Apa yang digambarkan oleh beliau lebih tertumpu kepada sikap beliau terhadap alam dan zaman nasionalis rakyat pada ketika itu, iaitu era pascamerdeka dan sebelum kemerdekaan. Melalui bukunya itu masyarakat melihat beliau sebagai pencinta alam sekitar dan lebih menonjolkan beliau sebagai pejuang alam sekitar. Beliau dengan sikapnya yang kurang gemar terhadap kehidupan bandar amat jelas. Beliau tidak gemar dengan gaya hidup bandar yang merosakkan bukan sahaja dari segi akhlak dan nilai tetapi juga terhadap alam sekitar. Malah, beliau lebih gemar dengan kehidupan desa yang murni dan mesra terhadap alam sekeliling.
Lantas, beliau mencemuh corak pembangunan yang dibawa ke tanah airnya yang indah dan mewah ini kerana pembangunan telah banyak memudaratkan alam sekitar. Beliau kesal dengan kemusnahan tersebut bukan sahaja kerana beliau tidak lagi dapat menikmati alam sekitar sebagaimana sewaktu zaman kanak-kanaknya tetapi juga sedih kerana generasi sekarang tidak lagi berpeluang mengalami dan menikmati alam yang pernah beliau lalui. Pak Sako bukan sahaja bersuara tentang alam sekitar tetapi juga mengamalkan nilai-nilai yang mesra terhadap warisan semula jadi dalam kehidupannya. Bukti mesranya beliau terhadap alam sekitar dan kehidupan kampung, antara lain, dapat dilihat daripada mudahnya beliau menerima cadangan tentera Jepun ketika kependudukan Jepun pada tahun 1940-an dulu untuk menambahkan bekalan makanan.
Dunia Sastera
Terdapat beberapa orang penulis lain yang hidup sezaman dengan Pak Sako. Secara tuntasnya, ramai penulis sezaman beliau dengan nama-nama besar seperti Abdul Rahim Kajai dan tokoh wartawan dan sasterawan A. Samad Ismail. Beliau menghasilkan pelbagai karya genre seperti novel, cerpen, esei dan memoir serta rencana untuk akhbar Kumpulan Utusan Melayu. Menurut sumber daripada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), terdapat 1000 naskhah koleksi kesusasteraan yang telah dihasilkan oleh beliau.
Pak Sako telah menghasilkan banyak jenis karya yang menarik dan yang uniknya ialah beliau banyak menghasilkan karya yang membawa kepada persoalan alam sekitar dan semangat kebangsaan. Melihat kepada karya beliau, novel yang cukup gemilang seperti Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila, kedua-duanya berpaksikan kepada semangat kebangsaan dan sindiran terhadap pengaruh-pengaruh asing dan penjajah. Malah melalui karya tersebut, beliau cuba membangkitkan semangat cinta kepada tanah air dalam kalangan masyarakat pada zaman beliau yang aktif menulis pada pada era sebelum kemerdekaan dan pascamerdeka. Jika diimbas kembali karya tersebut merupakan karya satira yang menyindir dan membuat kritikan kepada orang-orang British ketika itu yang memberatkan budaya mereka, justeru Pak Sako tampil dalam penulisannya dalam usaha menaikkan budaya Melayu dan keagungannya yang setanding dengan budaya Barat itu.
Putera Gunung Tahan dijadikan teks Komsas yang awal. Novel Putera Gunung Tahan dijadikan sebagai teks Komsas yang terawal kerana penyerapan ilmu dan intipati mesej yang tekandung di dalam novel tersebut. Putera Gunung Tahan lahir daripada luapan semangat kebangsaan dan rasa cemburu kepada pengaruh-pengaruh asing khususnya penjajahan Inggeris. Oleh itu, novel ini ialah sebuah novel politik yang bertujuan untuk meniup semangat cinta akan tanah air, semangat ingin hidup maju dan bebas daripada belenggu penjajahan. Justeru, karya ini juga dipilih bertujuan bagi mendidik anak-anak didik hari ini agar sentiasa sedar daripada pengaruh-pengaruh luar dengan sentiasa mencintai negara serta kemerdekaan yang dicapai hari ini. Karya Pak Sako tersebut dikatakan memberikan kesan kepada pemikiran masyarakat. Tidak dapat dinafikan bahawa karya-karya beliau dapat memberikan kesan kepada pemikiran masyarakat. Hal ini terbukti apabila karya beliau, iaitu novel Putera Gunung Tahan dipilih dan mendapat kepercayaan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia, Bahagian Buku Teks (BBT) pada ketika itu agar dijadikan sebagai teks Komsas utama kerana intipati mesej pemikiran patriotik yang jelas ditonjolkan.
Selain itu, persoalan alam sekitar yang disuarakan oleh beliau melalui bukunya Memoir Pak Sako: Putera Gunung Tahan juga banyak memberi kesan kepada para penulis tempatan dan luar negara agar merungkai kembali keindahan alam sekitar dan warisan negara yang agung daripada dicemari pengaruh asing dan permodenan liar serta dijadikan kajian ilmiah pada hari ini oleh ramai sasterawan dan ahli akademik.
Sesungguhnya beliau telah dihargai dan mendapat beberapa penghargaan. Sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau, pada 29 Jun 1973, Universiti Malaya telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan manakala tiga tahun selepas itu, pada 29 Mei 1976, Pak Sako telah menerima anugerah Pejuang Sastera daripada Perdana Menteri, Tun Hussein Onn.
Pada pendapat saya memang wajar diberikan apa sahaja bentuk anugerah kepada beliau, bukan sekadar dikenang, malah sebagai gelaran Pejuang Negara dan Nasionalis Rakyat. Beliau juga layak diberikan anugerah Pejuang Alam Sekitar serta Wartawan contoh dan Wartawan Sepanjang Hayat atas sumbangan kerana usaha beliau bagi mengasaskan Utusan Melayu dan aktif dalam bidang kewartawanan.