Sabah Negeri di Bawah Bayu mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai suku kaum. Secara amnya, negeri Sabah terbahagi kepada dua bahagian, iaitu bahagian pantai timur dan pantai barat. Pantai Barat Sabah merangkumi daerah Putatan, Tuaran, Kota Kinabalu, Kota Belud, Kota Marudu, dan Papar, manakala Pantai Timur Sabah merangkumi daerah Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau. Penduduk Sabah terdiri daripada 33 kumpulan peribumi yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik (Laman Web Rasmi Kerajaan Negeri Sabah, 2023). Kerencaman etnik di Sabah ini menjadi tarikan kepada para sarjana dan pelancong dalam mengkaji serta mendalami pelbagai bahasa, sastera dan budaya di Sabah.
Asal Usul Suku Kaum Bajau Laut
Bajau merupakan suku kaum kedua terbesar di Sabah. Terdapat beberapa teori yang dikemukakan oleh pakar-pakar antropologi dalam mengkaji susur-galur suku kaum Bajau. Ada yang berpandangan bahawa orang Bajau berasal dari Filipina dan ada yang lebih cenderung untuk mempercayai bahawa orang Bajau mempunyai perkaitan dengan keturunan Johor. Perbezaan pandangan ini didasari oleh penemuan hasil kerja lapangan yang direkodkan menerusi catatan masing-masing.
Suku kaum Bajau boleh didapati di seluruh kawasan Nusantara termasuklah Malaysia, Indonesia dan Filipina. Namun begitu, terdapat perbezaan ketara dari segi bahasa serta budaya yang disebabkan oleh faktor waktu, geografi dan migrasi. Perpindahan ini terjadi sama ada secara sukarela ataupun tidak. Faktor politik turut menyumbang kepada perpindahan dari suatu tempat ke suatu tempat yang baharu. Misalnya, komuniti Bajau pada asalnya merupakan pelayar dari Filipina yang bermigrasi ke Sabah pada tahun 1970-an. Migrasi tersebut berlaku disebabkan tindakan presiden Filipina ketika itu, iaitu Marcos Ferdinand yang mengisytiharkan perintah darurat yang telah mencetuskan pertempuran. Kejadian ini menyebabkan berlakunya gelombang migrasi pelarian warga selatan Filipina ke Sabah. Asmah (1983) pula menyatakan bahawa penghijrahan orang Bajau ke Sabah disebabkan oleh Perang Moro, penolakan proses Kristianisasi dan kegiatan perhambaan. Masyarakat Bajau ini tidak pulang ke negara asal mereka, iaitu Filipina, sebaliknya memilih untuk menetap di Sabah. Apabila perkara ini berlaku, imigran-imigran ini sudah tentu akan membawa bahasa dan budaya mereka masuk ke negara Malaysia, seterusnya menyebabkan pertembungan serta asimilasi bahasa dan budaya.
Selain itu, Alliston (1966) mencatatkan bahawa masyarakat Bajau mengakui mereka mempunyai kaitan kekeluargaan dengan Kerajaan Johor. Suatu ketika dahulu, Sultan Johor mempunyai seorang puteri bernama Dayang Ayesha yang memiliki kecantikan luar biasa sehingga menjadi rebutan Sultan Brunei dan Sultan Sulu. Sultan Brunei telah memenangi hati Dayang Ayesha, namun Sultan Johor berhasrat untuk menjodohkan puterinya dengan Sultan Sulu. Dayang Ayesha terpaksa akur dengan pilihan ayahandanya dan bersetuju untuk dihantar ke Sulu, Selatan Filipina bersama-sama pahlawan dan pelayar handal Johor. Ketika dalam pelayaran ke Sulu, rombongan mereka diserang oleh Sultan Brunei. Sultan Brunei telah membawa lari Dayang Ayesha ke Brunei dan berkahwin di sana. Rombongan dari Johor ini tidak dapat meneruskan perjalanan ke Sulu tanpa Dayang Ayesha dan takut akan murka Sultan sekiranya kembali ke Johor. Maka, mereka memilih untuk berkelana di laut, dan akhirnya menjadi “Sea Gypsies”, “Sea Nomads”, atau “People Boat”. Dalam bahasa Melayu dikenali sebagai Bajau, Orang Laut, Orang Suku Laut, Rakyat Laut ataupun Orang Perahu atau Sampan (Anderback, 2012). Pahlawan dan pelayar handal Johor ini berkahwin dengan wanita-wanita yang tinggal di pesisir laut dan hidup secara nomadik.
Penemuan yang berbeza-beza ini menimbulkan beberapa persoalan: Berapakah jenis Bajau yang terdapat di Malaysia? Wujudkah perbezaan antara Bajau Kota Belud dengan Bajau Semporna? Sejauh manakah tahap persefahaman bahasa bagi kedua-dua kategori Bajau ini?
Orang Bajau di Sabah boleh diklasifikasikan kepada dua kelompok utama, iaitu kelompok Bajau Darat yang mendominasi Pantai Barat Sabah dan kelompok Bajau Laut yang mendominasi Pantai Timur Sabah. Masyarakat Bajau Darat terkenal sebagai petani, penternak, nelayan di samping memiliki kemahiran menunggang kuda, manakala masyarakat Bajau Laut terkenal sebagai nelayan, pelayar dan penyelam yang mahir (Tregonning, 1964). Ada juga yang mengklasifikasikan Bajau kepada tiga kelompok, iaitu Bajau Pantai Barat, Bajau Pantai Timur dan Bajau Laut yang terdapat di sepanjang pantai timur Sabah dan di sekitar pulau-pulau di luar Semporna (Wan Shawaluddin dan Peters, 2020). Ketiga-tiga kumpulan ini dapat dibezakan melalui bahasa, pendidikan dan status sosioekonomi.
Panangsang: Ritual Penyembuhan Suku Kaum Bajau Laut
Seni tari merupakan seni yang mementingkan elemen gerakan dan irama lagu. Tarian merujuk kepada pergerakan harmoni seluruh anggota badan secara serentak, iaitu kaki, badan, pinggang, leher, kepala, mata, tangan dan jari yang dilengkapkan dengan elemen emosi serta irama (Muhdi Kurnia, 2016). Pada zaman dahulu, tarian tradisional merupakan seni yang terlibat dalam upacara keagamaan dan upacara adat yang kebiasaannya melibatkan unsur mistik atau ghaib. Pengaruh agama dalam masyarakat Malaysia telah menyebabkan seni tari tradisional tidak lagi dipraktikkan dalam konteks pemujaan kerana bertentangan dengan tuntutan agama. Oleh itu, seni tari sering disajikan sebagai hiburan kerana menzahirkan keindahan menerusi kreativiti yang mampu menambat hati penonton. Tarian tradisional ini tidak boleh diabaikan kerana memaparkan pola-pola tradisi serta kebudayaan sesuatu masyarakat.
Masyarakat Bajau Laut terkenal dengan tarian tradisi igal, igal-igal ataupun mag’igal yang dipersembahkan semasa pertandingan, majlis perkahwinan dan dikomersialkan pada Sambutan Regatta Lepa di Semporna pada setiap tahun dalam bulan April. Tarian ini diiringi oleh alat muzik tradisional seperti kulintangan, gong, dan gabbang yang boleh dipersembahkan secara solo, berpasangan atau berkumpulan. Igal-igal yang ditarikan bertujuan untuk persembahan sekarang telah menerima beberapa pengaruh modenisasi dari segi gerak-geri dan muzik. Namun begitu, masyarakat Bajau Laut pada zaman dahulu bergantung dengan tarian ini sebagai salah satu medium penyembuhan penyakit. Terdapat banyak jenis tarian igal yang boleh didapati di kawasan Pantai Timur Sabah. Antaranya, Igal Limbayan, Igal Tabawan, Igal Tarirai, Igal Sayan, dan Igal Lellang. Setiap jenis igal ini mempunyai keunikan dan fungsi yang tersendiri.
Terdapat satu upacara yang diamalkan oleh masyarakat Bajau Laut di Pulau Bum-Bum, Semporna, iaitu persembahan Panangsang untuk mengubati penyakit, menolak bala, membuang sial, menangkap ikan, bercucuk tanam, menanam agar-agar laut dan sebagainya (Yeon Amsalie et al., 2017). Upacara ini akan diketuai oleh “orang tengah” yang digelar sebagai Kalamat. Peranan Kalamat dalam upacara ini lebih kurang sama dengan Bobohizan dalam ritual masyarakat kaum Kadazan Dusun, iaitu menghubungkan alam manusia dengan alam ghaib.
Arung Salamiah merupakan legenda yang tidak asing dalam kepercayaan masyarakat Bajau Laut. Mereka mempercayai bahawa sewaktu kelahiran Arung Salamiah, semua hidupan alam seperti ombak, hujan, burung-burung dan ikan yang timbul pada permukaan laut tidak bergerak secara tiba-tiba. Pada usia 10 tahun, beliau dilihat sering bermain di tepi pantai bersama-sama seekor ikan pari betina yang besar. Ikan pari tersebut dikenali sebagai penjaga laut (Jin Relaut) yang hanya mendampingi Arung Salamiah (Yeon Amsalie et al., 2017). Selanjutnya, pada pertengahan usia remaja, keupayaan Arung Salamiah dalam ritual penyembuhan terserlah apabila beliau berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak yang telah dipatuk ular tedung dengan menyedut bisa ular tersebut, lalu pengsan akibat terkena bisa. Kemudian, ular tedung yang lebih besar datang menghampiri dan terus mematuk kakinya yang terkena bisa itu seolah-olah sedang menyedut bisa yang ada dalam badannya. Arung Salamiah kemudiannya sedar semula dan melihat ular tedung yang besar itu masuk ke dalam hutan dan terus hilang daripada pandangan. Dikatakan bahawa Arung Salamiah memulakan upacara penyembuhan dengan menari Igal Tabawan, Igal Limbayan, seterusnya mencapai tahap Panangsang (kerasukan).
Jenis-jenis Igal dalam Panangsang
Tiga jenis igal yang terlibat dalam ritual penyembuhan penyakit ini ialah Igal Limbayan, Igal Tabawan, dan Igal Lellang. Lazimnya, jin wanita (jin denda) akan memasuki tubuh penari wanita, manakala jin lelaki (jin lella) akan mendominasi tubuh penari lelaki dalam upacara penyembuhan (Mohd Anis & Hanafi, 2019). Igal Tabawan dan Igal Limbayan akan ditarikan oleh penari wanita seperti yang dipersembahkan oleh Arung Salamiah, manakala Igal Lellang merupakan tarian yang ditarikan oleh lelaki kerana melibatkan gerak tari dan pola lantai yang lebih agresif, bertenaga dan dominan. Menurut Yeon Amsalie et al. (2017), limbai dalam bahasa Bajau Laut membawa takrif menguak pada tangan, siku dan bahu seakan-akan meniru aksi seekor burung yang terbang tinggi. Igal limbayan menekankan aspek pergerakan siku, lengan dan bahu serta ditarikan secara berpusing-pusing sambil melambaikan tangan. Igal Tabawan pula menumpukan pada pergerakan tengkuk, pergelangan tangan, telapak tangan, bahu, lengan, siku dan pergerakan kaki. Ketiga-tiga jenis igal ini akan ditarikan dengan iringan muzik Tagunggu’, seterusnya Kalamat yang berperanan sebagai “orang tengah” akan membaca Lugu’ dan Mantlak (mantera) untuk memanggil roh atau semangat halus supaya memasuki tubuh penari. Apabila tubuh penari dikawal sepenuhnya oleh semangat halus, tarian Panangsang akan dipersembahkan. Menurut Kalamat, semangat halus akan memasuki tubuh penari ketika menarikan tarian Panangsang melalui pergelangan tangan (titik nadi), tengkuk, anak jari manis, belakang, lutut dan jari kaki. Oleh hal yang demikian, tarian-tarian asas seperti Igal Tabawan, Igal Limbayan, dan Igal Lellang ditarikan untuk mendedahkan anggota-anggota tubuh badan yang dianggap sebagai pintu masuk semangat halus ini.
Menariknya, Kalamat akan berkomunikasi dengan semangat halus melalui tubuh pesakit ataupun penari yang dirasuk sama ada secara lisan ataupun bukan lisan (Yeon Amsalie et al., 2017). Komunikasi lisan dikesan menerusi dialog antara Kalamat dengan individu yang dirasuk. Komunikasi bukan lisan pula akan ditampilkan melalui persembahan Panangsang yang membawa mesej kepada keluarga pesakit dan penonton. Setiap gerak tari yang dipersembahkan melambangkan beberapa pergerakan haiwan dan masing-masing membawa mesej yang tertentu. Jika gerak tari Panangsang yang dipersembahkan menonjolkan atau meniru pergerakan haiwan seperti helang, ikan pari, penyu, burung, ayam, harimau, kucing dan ikan, maka roh nenek moyang mereka tampil untuk memberi pesanan, nasihat atau teguran. Sebaliknya, sekiranya gerakan yang ditampilkan dalam bentuk haiwan-haiwan berbisa seperti ular tedung, kala jengking, labah-labah, ular sawa, kelawar dan ular laut, semangat jahat seperti syaitan dan iblis dipercayai sedang merasuk tubuh pesakit atau penari. Maka, penggunaan sihir dan ilmu hitam dapat dikesan.
Tuntasnya, igal, igal-igal ataupun mag’igal merupakan tarian tradisional masyarakat Bajau Laut yang memiliki keunikan dari segi sejarah, kesenian serta pengamalannya. Walaupun ritual Panangsang ini sudah kurang diamalkan rentetan pengaruh agama Islam, menjadi tanggungjawab kita untuk mengangkat seni kebudayaannya kerana merupakan sebahagian daripada sejarah dan warisan kita.
“Orang yang tidak mengetahui sejarah, asal usul, dan budaya masa lalunya diibaratkan seperti pohon tanpa akar.” – Marcus Garvey.
Rujukan
Alliston, C., 1966. Threatened Paradise: North Borneo and Its Peoples. London: Robert Hale.
Asmah Haji Omar, 1983. The Malay Peoples of Malaysia and Their Languages. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Anderback, K. “The Malayic-speaking Orang Laut: Dialects and Directions for Research” dlm. Jurnal Wacana 14:2, hlm. 265-312, Oktober 2012.
Kerajaan Negeri Sabah, 2023. Rakyat dan Sejarah Sabah. Kota Kinabalu: Laman Web Rasmi Kerajaan Negeri Sabah. Dipetik daripada https://www.sabah.gov.my/cms/?q=ms/content/rakyat-sejarah.
Mohd Anis Md Nor dan Hanafi Hussin. “Gendering Dance, Gazing Music: Dance Movements, Healing Rituals and Music Making of Sama Bajau and Sama Dilaut of East Malaysia and Southern Philippines” dlm. SAMUDERA-Journal of Maritime and Coastal Studies 1:1, hlm. 75-91, September 2019.
Muhdi Kurnia, 2016. Tari Tradisi Melayu, Eksistensi dan Revitalisasi Seni. Medan: Puspantara.
Tregonning, K.G., 1964. A History of Modern Sabah (North Borneo, 1881-1963). Kuala Lumpur: University Malaya Press.
Wan Shawaluddin Wan Hassan dan Peters, D. “The Vulnerability of Bajau Laut as Stateless People in Sabah” dlm. Jurnal Kinabalu 26:2, hlm. 183-196, Disember 2020.
Yeon Amsalie et al. “Persembahan Panangsang dalam Ritual Penyembuhan Masyarakat Bajau Laut” dlm. Jurnal Gendang Alam 7, hlm. 75-95, Disember 2017.
Laman Sesawang
Wong Y. T. (2011). Arung Salamiah 84 In x 108 In ( 213.5 x 274.5 cm Commissioned Mixed Media). Based on the legend of Arung Salamiah. Dipetik daripada http://everythingting.blogspot.my/2011/04/arung-salamiah.html pada 9 September 2023.