Dalam kalangan masyarakat Malaysia yang terkenal dengan berbilang kaum dan bahasa, fenomena penukaran kod (code-switching) dan kedwibahasaan merupakan sesuatu yang biasa. Bahkan, selari dengan perkembangan media sosial, migrasi ekonomi dan era perindustrian 4.0 yang semakin rancak, semakin ramai rakyat Malaysia yang menguasai dan menuturkan lebih daripada satu bahasa. Kebiasaan ini seakan-akan telah menjadi fenomena ikutan dan popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurut Hazlina (2012), “penukaran kod” merupakan lakuan bahasa yang terjadi apabila “satu fenomena penukaran daripada satu bahasa ke bahasa yang lain dalam wacana yang sama”. Salah seorang tokoh terawal sosiolinguistik yang menumpukan kepada penukaran kod, iaitu Ronald Wardhaugh (1998) menjelaskan lakuan bahasa sebagai “a strategy of using two or more languages in the same utterance”. Dalam bahasa lebih mudah, penukaran kod ialah amalan bertukar dan mencampurkan bahasa ketika berkomunikasi. Dalam istilah linguistik, penukaran kod juga berkait erat dengan konsep-konsep lain dalam bidang sosiolinguistik seperti percampuran kod (code mixing), peralihan kod (code-shifting), bahasa rojak dan bahasa campur.
Fenomena amalan penukaran kod ini tidak hanya terbatas dalam konteks, latar atau domain perbualan santai dan popular semata. Ia bahkan turut mempengaruhi bahasa golongan badan perundangan, wakil rakyat terutamanya ahli-ahli Parlimen. Dalam hal ini, kita perlu berwaspada kepada seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menyebutkan;
“Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta ini dan tertakluk
kepada perlindungan-perlindungan yang terkandung dalam Perkara 152(1) Perlembagaan berhubung dengan mana-mana bahasa lain dan bahasa mana-mana kaum lain di Malaysia, bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.”
(Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67)
Lantaran itu, wajar sekali Bahasa Melayu (seterusnya BM) wajib menjadi bahasa utama terutamanya kalangan ahli-ahli Parlimen yang merupakan pembuat dasar dan undang-undang tertinggi di Malaysia. Namun, tidak kurang banyak laporan-laporan di akhbar menyatakan kebimbangan tentang penggunaan BM di parlimen, antaranya “Bahasa Melayu yang Layu di Parlimen” (Fatihah Jamhari, 19 April 2017), “Hormati dan Gunakan Bahasa Melayu di Parlimen” (Kamal Shukri, 24 Julai 2020), “Ahli Parlimen Perlu Hormati Bahasa Melayu Ketika Berbahas” (Syahidatul Akmal, 24 Julai 2020), “Kalau Setia pada Negara, Guna Bahasa Melayu” (Zareen Humairah, 17 November 2021).
Kesemua komentar tersebut menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap penggunaan BM di parlimen yang dilihat semakin berantakan dengan Bahasa Inggeris (seterusnya BI). Kamal Shukri ( 24 Julai 2020) selaku Timbalan Persatuan Linguistik Malaysia dalam artikelnya berpandangan, BI pula seakan-akan lebih popular dalam perbahasan Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Tidak sedikit dalam kalangan pembuat dasar tertinggi dilihat lebih mengangkat BI meskipun semasa persidangan rasmi, iaitu sidang Parlimen. Sikap ini wajar ditegur kerana sewajarnya martabat BM bahasa rasmi itu perlu dihormati selayaknya terutama oleh pembuat undang-undang sendiri.
Parlimen dan Bahasa
Parlimen ialah institusi legislatif tertinggi dalam negara sebagaimana menurut Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan. Perkara tersebut turut menjelaskan struktur parlimen yang terdiri daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Ketiga-tiga institusi ini bertindak sebagai satu komplimentari yang menurunkan kuasa kepada undang-undang di Malaysia. Dewan Negara atau disebut juga Dewan Senat merupakan yang tertinggi antara kedua-dua Dewan perwakilan. Dewan Negara, terdiri daripada 70 ahli bergelar senator, yang 26 daripadanya dipilih melalui pengundian oleh negeri dengan dua orang senator setiap negeri di Persekutuan. Manakala, 44 lagi Ahli Senator lagi dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menurut Perkara 45(2) dipilih atas merit “…perkhidmatan awam yang cemerlang atau telah mencapai keunggulan dalam profesion, perdagangan, perindustrian, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau yang mewakili ras minoriti atau berkebolehan mewakili kepentingan orang asli”. Peranan Dewan Negara adalah untuk meluluskan rang undang-undang yang diangkat kepadanya setelah lulus di Dewan Rakyat.
Manakala, Dewan Rakyat merupakan salah satu daripada dua dewan dalam Parlimen Malaysia. Ahli-ahli yang dipilih terdiri daripada calon-calon yang menang dalam pilihan raya peringkat Parlimen. Kebiasaannya, calon-calon ini kebanyakan menang dalam Pilihan Raya Umum yang diadakan lima tahun sekali melainkan terdapat Pilihan Raya Kecil yang diadakan atas sebab kekosongan kerusi seperti kematian, misalannya. Mengikut prosedural, kesemua rang undang-undang sama ada ada dipinda atau diperbuat baharu, hendaklah diluluskan oleh kedua-dua Dewan perwakilan, iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat sebelum mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan dikuatkuasakan oleh Menteri.
Sebagai dewan perwakilan yang menjadi tempat perbahasan dan perdebatan mengenai satu-satu rang undang-undang, dasar mahupun isu-isu rakyat, suatu laporan perlu dikeluarkan yang menjelaskan butir-butir usul yang diangkat dan diputuskan dalam mesyuarat. Selain itu, selari dengan kedudukan parlimen sebagai komponen semak dan imbang dan pembahagian kuasa, apa-apa pandangan diutarakan oleh ahli-ahli parlimen tentang isu atau satu-satu rang undang-undang dalam prosiding hatta melibatkan ucapan kontroversial tidak boleh dikenakan tindakan. Ini dijelaskan dalam Perkara 63, Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat 36.
Maka, selain pelaporan, kebebasan berucap dalam dewan perwakilan tertinggi ini menuntut kepada kebertanggungjawaban, meskipun batas-batas kebebasan telah sedia ada diperjelaskan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat Dewan seperti dilarang berbicara tentang perilaku raja-raja atau Yang Arif Hakim-hakim. Oleh sebab itu, diwujudkan suatu dokumen bernama Penyata Rasmi untuk merekodkan secara verbatim prosiding, usul-usul, keputusan terutamanya ucapan-ucapan dalam persidangan. Melalui dokumen tersebut, apa-apa pertikaian mengenai suatu tuduhan atau ucapan mana-mana ahli parlimen akan dirujuk dalam dokumen ini.
Bahasa Rasmi di Parlimen
Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 8 dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat diperuntukkan bahawa “Bahasa rasmi Majlis ialah bahasa Malaysia tetapi Tuan Yang di-Pertua boleh membenarkan penggunaan Bahasa Inggeris”. Peraturan ini secara langsung menunjukkan bahawa BM harus dipentingkan dalam prosiding majlis sama ada bercetak mahupun secara lisan dalam kedua-dua dewan perwakilan. Ini kerana, sudah tentu persidangan kedua-dua dewan tergolong dalam konteks “urusan rasmi”. Sebenarnya, terma “urusan rasmi” telah ditafsirkan dalam keputusan penghakiman dalam kes Merdeka University Bhd. v. Government of Malaysia yang dipengerusikan oleh Yang Arif, Hakim Eusoffe Abdoolcader pada 7 November 1981. Dalam kes tersebut, Yang Arif Hakim telah memutuskan terma “urusan rasmi” membawa maksud “apa-apa tindakan dan urusan sesuatu pihak berkuasa berkanun yang menjalankan kuasa yang diberikan kepadanya melalui peruntukan undang-undang Persekutuan atau undang-undang negeri” (Fatihah Jamhari, 19 April 2017).
Keputusan tersebut telah memperkukuhkan Perkara 152(6) yang menyebut: “Maksud rasmi” membawa erti;
“…apa-apa maksud kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”.
Walau bagaimanapun, bagi perbincangan yang melibatkan terma-terma kompleks dan teknikal, terdapat kesesuaian yang dibolehkan dengan kuasa Yang di-Pertua Dewan selaku Pengerusi Majlis untuk membenarkan menggunakan BI dengan pematuhan kepada memohon keizinan terlebih dahulu yang biasa disebut “Dengan izin Tuan Yang di-Pertua”.
Tidak hanya Malaysia, isu campur aduk bahasa semberono dalam majlis rasmi seperti persidangan parlimen turut dihadapi oleh negara-negara lain yang mempunyai bahasa rasmi tersendiri. Antaranya ialah Tanzania. Menurut sejarah, pada tahun 1962, iaitu selepas setahun pengisytiharan kemerdekaan negara Tanzania daripada penjajahan British, bekas presiden Tanzania, Nyerere segera mengisytiharkan bahasa kebangsaan mereka, iaitu Swahili, sebagai bahasa rasmi negara tersebut (Quarshie, 2014). Dalam erti kata yang lain, bahasa Swahili sudah mula digunakan di dalam parlimen pada tahun 1962. Walau bagaimanapun, penggunaan BI adalah dibenarkan dalam persidangan parlimen negara Tanzania. Salah satu kajian mendapati fenomena campur aduk acapkali berlaku melibatkan beberapa bentuk perubahan penggunaan bahasa yang silih berganti antara bahasa Swahili dan BI dalam perbahasan parlimen. Namun di Tanzania, fenomena ini ditangani secara paradoks, iaitu dokumentasi perbahasan Parlimen selengkapnya dilakukan menggunakan BI (Quarshie, 2011).
Kajian Pola Penukaran Kod dalam Perbahasan Parlimen ke-13.
Salah satu kajian di Malaysia yang terawal melihat fenomena percampuran kod dalam persidangan parlimen ialah kajian Muhammad Zakwan Mohd Izam et al. (2023) bertajuk “Penukaran Kod dalam Korpus Hansard Malaysia: Analisis Berpandukan Korpus”. Kajian tersebut mengguna pakai data teks Penyata Rasmi daripada persidangan parlimen ke-13, merangkumi penggal pertama tahun 2013 hingga penggal keempat tahun 2018.
Dapatan umum kajian menunjukkan, penggal ketiga parlimen ke-13 merupakan sesi mesyuarat yang paling banyak penggunaan percampuran kod dengan sebanyak 245,632 ayat. Ini diikuti oleh penggal pertama, iaitu sebanyak 203,586 ayat. Sementara itu, penggal kedua dan penggal keempat masing-masing mencatatkan percampuran kod yang sama kerap, iaitu masing-masing 199,553 ayat dan 190,148 ayat.
Apabila diterjemahkan kepada bentuk pola dan peratusan, dimulakan bagi penggal pertama dan penggal kedua, peratusan penggunaan penukaran kod BM-BI masing-masing didapati pada tahap 21%. Peratusan ini meningkat pada penggal 3 kepada 23.6%. Tren ini terus berlaku dalam penggal keempat pula, iaitu kepada 24.6%. Cerapan pola jelas menunjukkan tren peningkatan sedang meningkat dari satu tahun ke satu tahun meskipun masih dalam peratusan rendah.
Dari aspek jenis-jenis perkataan pula, kajian ini mendapati penggunaan perkataan bahasa yang paling tinggi digunakan ialah golongan kata fungsi (atau definite article) “the”, iaitu kekerapan daripada 4,085 pada tahun 2013, meningkat kepada 6,171 pada tahun 2016. Memahami tren peningkatan ini, kumpulan pengkaji melontarkan kemungkinan bahawa pengaruh BI dalam perbahasan kini tidak hanya sebatas kata sebagai opsyen bagi mengatasi kekangan menyebutkan isitlah-istilah kompleks yang tiada dalam padanan kamus BM. Jelas didapati, pengaruh BI sudah mulai menguasai sebahagian besar di peringkat struktur ayat. Ini kerana, penukaran kod tidak lagi hanya untuk mengujarkan istilah khusus yang kebiasaannya menggunakan kata nama (nouns) atau kata sifat (adjectives). Maka, sekiranya tren ini berterusan, tidak mustahil penggunaan BI akan meningkat kepada peringkat perenggan dan akhirnya keseluruh teks ucapan dalam BI.
Selain “the”, perkataan lain seperti “government” dan “interest” juga menunjukkan peningkatan dari penggal pertama hingga penggal keempat parlimen ke-13. Namun menurut kumpulan pengkaji, didapati kedua-kedua perkataan ini digunakan secara arbitari oleh ahli parlimen dalam perbahasan. Berdasarkan tinjauan, istilah “government” dan “interest” ini hadir dalam konteks ayat yang sering kali tersasar daripada makna kamus apabila seseorang ahli parlimen menukar kod daripada BI kepada BM. Ini juga disokong lagi oleh pemerhatian yang mendapati penukaran bagi tujuan padanan isitlah “kerajaan” kepada perkataan “government” dan “minat” kepada “interest” secara sewenang-wenang.
Selain ketiga-tiga perkataan tersebut, perkataan BI lain yang kerap digunakan ialah arrived, rejected, themselves, balance, question, rights dan energy.
Kesedaran Mengutamakan Bahasa Melayu
Penemuan dan cadangan dalam kajian Muhammad Zakwan Mohd Izam et al. (2023) perlu mendapat perhatian serius pihak berkaitan. Mengutamakan bahasa lain selain BM jelas sekali meremehkan semangat, menerjang peruntukan-peruntukan bertulis bahkan mengkhianati Perlembagaan Persekutuan. Dikhuatiri, jika tidak dikawal, mungkin suatu masa kelak peranan BM sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi akan sampai ke tahap benar-benar diremeh-temehkan dan hanya menjadi catatan perlembagaan tidak ‘bertaring’. Sedangkan kita wajar mengandalkan BM menjadi sarana seperti yang disebutkan Abdullah Hassan (2009b) dalam bukunya, Mengapa Kami Bantah:
“Bahasalah yang merupakan faktor yang sangat penting dan berpengaruh dalam melahirkan kesedaran bangsa itu. Mengapa bahasa? Sebabnya adalah, bahasa merupakan alat pembentukan tamadun bangsa yang sangat integratif; melalui bahasalah sesuatu bangsa itu memperkenalkan dirinya melalui cara mereka menanggapi alamnya, baik alam sosial mahupun alam kosmos, dan membentuk pandangan hidup atau sistem nilai bangsanya melalui proses pemikiran, rasa hati, imaginasi dan renungan dirinya yang digambarkan dalam pelbagai karya lisan dan tulisan yang dihasilkan oleh bangsa itu dan yang membentuk himpunan memori bersama bangsanya sepanjang zaman. Itulah proses yang berlaku dalam pembentukan tamadun sesuatu bangsa”.
Bagi tokoh bahasa seperti Abdullah Hassan, bahasa jelas sekali adalah sarana penting dalam pembentukan sesebuah tamadun bangsa. Menurut beliau, bahasa menjadi sebuah medium untuk sesuatu bangsa mengkhabarkan karakter atau identitinya melalui tanggapan dan pandangan terhadap hidupan dan alam sekelilingnya. Tanggapan-tanggapan ini seterusnya diekspresikan dan diterjemahkan menerusi tulisan dan karya lisan yang menjadi ingatan dan pegangan masyarakat dalam menempuh kehidupan.
Kesimpulannya, BM sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi urusan parlimen wajar diutamakan oleh pemimpin dan wakil masyarakat sebagai cerminan kepada tamadun, peradaban, akhlak serta pegangan bangsa Malaysia masa kini. Mungkin satu hambatan yang mewujudkan dilema adalah kerana kurangnya semangat nasionalisme bahasa yang merupakan komponen yang sangat penting dalam rangka pembinaan bangsa yang sejahtera dan bersatu-padu.
Perlu difahami, nasionalisme bahasa bukanlah bermaksud mengutamakan BM dan merendah-rendahkan bahasa yang lain. Sebaliknya, nasionalisme bahasa sebagaimana disebut oleh Abdullah Hassan (2009a) adalah suatu kesedaran bahawa bahasa itu adalah komponen politik dan budaya yang signifikan dalam menuju ke arah negara yang progresif, memelihara identiti bangsa serta membina bangsa yang dinamik melalui kreativiti minda bangsanya yang hanya dapat dicetuskan oleh bahasa itu sendiri.
Nasionalisme bahasa perlu dimulakan oleh ahli-ahli parlimen terlebih dahulu dengan mengutamakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kita perlu mengambil iktibar daripada sejarah dan perit jerih perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu bersusah-payah untuk menaikkan dan mempertahankan BM sebagai bahasa rasmi daripada penjajah British.
Rujukan
Hazlina Abdul Halim. “Pengaruh Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam Strategi Penukaran Kod Bahasa Perancis” dlm. GEMA Online™ Journal of Language Studies, 12:2, hlm. 693-709, 2012.
Ronald Wardhaugh, 1998. An Introduction to Sociolinguistics (3rd ed.). Oxford: Blackwell.
Quarshie, J. Dzahene. “Language Policy, Language Choice and Language Use in the Tanzanian Parliament” dlm. Legon Journal of the Humanities, 22, hlm. 27-69, 2014.
Quarshie, J. Dzahene. Language Policy, Language Choice and Language Use in the Tanzanian Parliament”. Legon Journal of the Humanties. 2011:11. hlm. 27-69, 2011.
Abdullah Hassan, 2009a. Bahasa Melayu di Persimpangan: Antara Jati Diri dengan Rempuhan Globalisasi. Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan:Universiti Sains Malaysia.
Abdullah Hassan, 2009b. “Mengapa Kami Bantah!: Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris”. https://www.scribd.com/document/16875242/eBook-Mengapa-Kami-Bantah-PPSMI (dicapai pada 23 Ogos 2023).
Muhammad Zakwan Mohd Izam, Marlyna Maros, Azhar Jaludin dan Imran Ho Abdullah, 2023. “Penukaran Kod dalam Korpus Hansard Malaysia: Analisis Berpandukan Korpu”. https://www.researchgate.net/publication/371956905_2023_Penukaran_Kod_dalam_Adaptasi_Komunikasi_Pelajar_Jurusan_bahasa_Melayu (dicapai pada 23 Ogos 2023).
“Akta Bahasa Kebangsaan (1963/67)”. https://warisan.penang.gov.my/images/pdf/AKTA%20BAHA SA%20KEBANGSAAN.pdf (dicapai pada 23 Ogos 2023).
“Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Edisi ke-13”. https://www.parlimen.gov.my/ images/webuser/peraturan_mesyuarat/PMDR-bm.pdf (dicapai pada 23 Ogos 2023).
Fatihah Jamhari, (19 April 2017). “Bahasa Melayu yang Layu di Parlimen”. Utusan Melayu. https://fatihahjamhari.blogspot.com/2017/04/bahasamelayu-yang-layu-di-parlimen.html?m=1&fbclid =IwAR2v2qIl9g7pMKQVhSX2XUgaN7cBRrpri0VCiG6t-ykwkG38f_INUsDAxs (dicapai pada 23 Ogos 2023).
Kamal Shukri Abdullah Sani, (24 Julai 2020). “Hormati dan Gunakan Bahasa Melayu di Parlimen”. Berita Harian. https://www.malaysiakini.com/news/535979 (dicapai pada 23 Ogos 2023).
Zareen Humairah Sejahan, (17 November 2021). “‘Kalau setia pada negara, guna bahasa Melayu’-Awang”. Utusan Malaysia. https://www.utusan.com.my/terkini/2021/11/parlimen-kalau-setia-pada-negara-guna-bahasa-melayu-awang/ (dicapai pada 23 Ogos 2023).
Syahidatul Akmal Dunya, (24 Julai 2020). Ahli Parlimen Perlu Hormati Bahasa Melayu Ketika Berbahas”. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/93863/berita/nasional/ahli-parlimen-perlu-hormati-bahasa-melayu-ketika-berbahas (dicapai pada 23 Ogos 2023).
Muhammad Qhidir Mat Isa merupakan Pegawai Penerbitan di Parlimen Malaysia, Munsyi Muda, Munsyi Dewan (Bahasa) yang aktif menulis tetang isu-isu semasa, bahasa dan sastera dalam pelbagai majalah dan akhbar. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel [email protected]