BEBERAPA hari yang lalu, laman sosial Munsyi Muda Bahasa yang dikelolakan oleh Sekretariat Munsyi Muda Bahasa, Jabatan Perkhidmatan Awam, heboh memperkatakan hantaran istilah “cop ayam” sebagai terjemahan kulinari “chicken chop”.
Pengenalan istilah “cop ayam” menjadi tular dengan 360 perkongsian, 485komentar dan hampir 1,800 reaksi suka dan ketawa daripada warga maya. Apabila ditelusuri, rata-rata komen teratas bernada sinis dan tidak bersetuju dengan penggunaan istilah ‘cop ayam’.
Antara komen yang mendapat reaksi suka paling tinggi ialah komen yang menyatakan:
“Kering sangat dah ni ideanya. Cop getah, Cop dahi, Cop parkir. Kekalkanlah. Itukan lebih kepada nama khas, Chicken Chop. Kenapa ramai sangat pakar jenis. Terlalu nak ikut buku. Makin lama makin tak terkawal. Inilah sebabnya kenapa non-Malay memilih untuk guna B.I dalam surat menyurat, khususnya organisasi/syarikat swasta. (Nak sahkan, buat kajian). Habis semua nak diMelayukan. Kalau kita memang dah tak ada perkataan dalam BM (miskin istilah) – guna je lah yang sedia ada. Pasni pasti banyak lagi yang akan menyusul; lamb chop = cop kambing, shell out = keluar cengkerang, steamboat = bot berwap, Swiss roll = Swiss bergulung, Pasta ? Spaghetti ? Croissant ? Tu belum lagi perkatan melibatkan jenis-jenis air kopi. Caramel latte, Machiato, Expresso, Brewed Coffee, Mocha latte, Hazelnut latte, latte = susu, Minta maaflah…. Ni luahan hati je.”
Terdapat juga komentar bersikap natural seperti;
“Tahukah anda menu Chicken Chop bukan menu asli Barat tetapi ia diperkenalkan oleh chef China Hainan di Malaysia Singapura di zaman kolonial British. Pada awalnya mereka menggunakan daging babi menjadi Pork Chop menggantikan Lamb Chop. Namun lama kelamaan dengan penyesuaian halal, digantikan dengan ayam. Perkataan ‘Chop’ bermaksud potongan daging.”
Pun begitu boleh dikatakan, sebahagian besar komentar hantaran Munsyi Muda Bahasa tersebut mengutarakan pandangan berbeza seperti:
“Aku rasa “potongan ayam” lagi betul..tak payah beria sgt nak melayukan perkataan inggeris.. Chop tu memang potong pun maksudnya..semua benda inggeris nak dimelayukan..apa benda lah”.
Hakikatnya, polemik persepsi ini bukan suatu yang baharu dalam dunia usaha pengembangan dan pembakuan Bahasa Melayu. Cabaran-cabaran sebegini sebenarnya telah lama menjadi gula, asam dan garam kerana polemik ini menyentuh ehwal “harta bersama” masyarakat Malaysia, iaitu bahasa Melayu.

Melihat ketajaman komentar-komentar tersebut, penulis teringat akan pengalaman yang sama dahsyat ketika terlibat dalam bengkel-bengkel pemurnian mutu penulisan dokumen urusan rasmi di beberapa agensi awam. Usaha untuk menerapkan format, gaya bahasa dan tanda baca yang sahih dalam bahasa rasmi sering berhadapan dengan hegemoni gaya dalaman (in-house style) yang diwarisi turun-temurun walaupun sebahagian besarnya tidak ada justifikasi atau benar-benar diperlukan.
Kecaman yang dilontarkan dalam laman Munsyi Muda Bahasa turut membawa ingatan penulis kepada sebuah hakikat daripada pengalaman menulis sebagai Munsyi Muda JPA, Munsyi Dewan, editor, serta auditor bahasa di beberapa agensi.
Nyatanya, memperbetulkan bahasa bukan semata-mata tentang format, gaya bahasa, tatabahasa, tanda baca dan ejaan yang betul. Persediaan yang paling utama sebenarnya ialah strategi mengurus ego dalam memupuk kepedulian terhadap mutu bahasa rasmi. Inilah perkara pertama yang perlu dikuasai.
Secara optimis, mungkin polemik sebegini ada kalanya diperlukan dalam gelanggang pemartabatan bahasa Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana usaha-usaha mempromosikan penggunaanbahasa Melayu baku sebelum tercetusnya idea laman media sosial seperti Munsyi Muda Bahasa cenderung kepada kaedah-kaedah tradisional seperti ceramah. Paling ketara ialah, usaha sebelumnya selalu berbentuk silo dan tidak keterlaluan disebut “usaha bermusim”. Tentu sekali yang dimaksudkan ialah musim bulan bahasa kebangsaan.
Oleh sebab itu, laman media sosial seperti yang digerakkan oleh tenaga muda Sekretariat Munsyi Muda Bahasa merupakan kaedah yang muncul sebagai sebuah usaha yang progresif, konsisten dan strategik.
Bahasa Melayu Semakin Mendapat Perhatian
Polemik sebegini memang diperlukan kerana secara positif, laman-laman sosial Munsyi Muda Bahasa JPA akan kian popular dan menempatkan dirinya sebagai aset strategik, lebih-lebih lagi apabila banyak hantarannya turut dikongsi oleh laman-laman media sosial rasmi jabatan kerajaan lain. Hal ini sekali gus mulai memperlihatkan kecaknaan bersama dalam kalangan agensi awam terhdap isu-isu bahasa.
Paling utama, polemik ini juga menghantar sebuah mesej yang jelas, iaitu warga maya amat prihatin dengan perkembangan bahasa Melayu. Walaupun dengan tanggapan positif atau negatif, nyatanya perkembangan bahasa Melayu sentiasa menjadi tarikan dalam hantaran-hantaran.
Penting untuk kita ketahui bahawa, fenomena ini membuka ruang perbahasan akademik ke peringkat awam. Maka, di sinilah perlunya pakar-pakar bahasa untuk mempermudah rumus-rumus panduan bahasa kepada khalayak awam, sama ada diterima awam atau tidak.
Perkara yang penting adalah, apabila wacana akademik turun ke peringkat bawah, ia menjadi petunjuk sebenar dasar terbesar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu pengembangan dan pengkorpusan bahasa Melayu. Penyertaan awam terhadap perbahasan isu-isu bahasa amat tinggi terutama sejak tahun-tahun pentadbiran Perdana Menteri ke-10 dan hal ini ialah petanda positif bagi usaha pengembangan dan bahasa Melayu tersebut.

Walau bagaimanapun, apa-apa sahaja pandangan awam yang diberikan tidak dapat mengatasi fakta bahawa, bidang kajian bahasa atau linguistik bukanlah suatu bidang mudah.
Pertama, pandangan perlu dibuktikan dengan konsep-konsep dasar linguistik. Kedua, apa-apa cadangan harus ada jalan kerja. Ketiga, cadangan amalan yang dilontarkan harus bersifat lestari. Bukan terpecah-pecah mengikut selera.
Contohnya apabila timbul cadangan untuk mengekalkan sebutan istilah asing sepertimana sebutan dalam bahasa Inggeris, persoalan yang timbul di minda penulis ialah, apakah ia membantu dalam pengembangan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang? Apakah benar bahawa pilihan untuk tidak menggunakan bahasa Melayu adalah disebabkan oleh pengistilahan yang tidak mengikut selera awam atau sebenarnya ada faktor-faktor lain yang mendorong bahasa Melayu menjadi bahasa bukan pilihan utama masyarakat pada masa kini?
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa, DBP telah menyediakan sebuah panduan yang komprehensif tentang pembentukan istilah bahasa Melayu. Panduan ini dibuat oleh pakar-pakar bahasa Melayu tiga buah negara, iaitu Brunei, Indonesia dan Malaysia. Kesemua pandangan pakar-pakar bahasa dan kelainan variasi bahasa Melayu telah dirumuskan secara konsensus dalam Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu yang diterbitkan pada tahun 2004.
Bagi penulis, polemik ini timbul disebabkan oleh kurangnya pengetahuan dan kurang rasa kepentingan untuk merujuk sumber berautoriti dalam kalangan pengguna Bahasa Melayu. Keberadaan sumber rujukan dalam talian yang disediakan oleh DBP seperti Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu Edisi Bahasa (2004) mungkin tidak disedari oleh ramai pihak.
Sememangnya ruang kritikan sentiasa ada, bahkan kritikan adalah baik untuk sesebuah perkembangan.
Namun pada akhirnya, prinsip menyandarkan kepada ahli dalam bidang merupakan pendekatan yang terbaik. Penulis yakin kaedah-kaedah pembentukan dan penyerapan istilah terangkum dalam panduan adalah yang terbaik, buat pada masa ini. Hal ini kerana, yang disebut sebagai bahasa sentiasa muncul yang baharu, berkembang daripada sedia ada dan banyak juga yang telah mati. Perkara yang pasti ialah, panduan yang disediakan DBP bukan berlandaskan selera, tetapi perbincangan ilmiah yang sistematik dan kritis oleh pakar-pakar bahasa yang berautoriti.
Dari satu aspek yang lain, inisiatif pengembangan bahasa Melayu melalui media sosial oleh agensi-agensi tertentu, perlu bersifat kependidikan. Memang sentiasa ada komentar dan pandangan sinis, namun penulis yakin lebih ramai pembaca-pembaca senyap hantaran-hantaran tentang bahasa Melayu ini yang berfikiran rasional, iaitu mahukan penjelasan. Tentunya, tanpa penjelasan, suatu fakta yang meskipun sahih tetapi tidak diketahui khalayak umum, pasti akan meledakkan polemik dalam kalangan warga maya. Sama ada aspek penjelasan ini adalah hal yang terlepas pandang, atau memang disengajakan sebagai strategi penjenamaan, penulis serahkan kepada pentadbir halaman.
Kesimpulan
Secara optimis, keghairahan awam terhadap usaha-usaha pengembangan dan pembakuan bahasa Melayu yang kian rancak dalam kalangan warga maya memberi petanda baik terhadap penggunaan bahasa kebangsaan ini. Walau bagaimanapun, memandangkan ruang media sosial merupakan medan amalan bagi demokrasi pandangan yang tentunya sentiasa terbuka luas kepada sesiapa sahaja, namun penulis ingin menyeru khalayak awam untuk memahami landasan ilmu. Jika dalam bidang agama warga maya boleh menghormati dan menyerahkan keputusan kepada orang alim dan agensi autoriti agama. Maka tentunya sikap yang terbaik juga perlu digunakan dalam konteks bahasa. Memang bidang bahasa bukanlah mutlak seperti agama. Namun konsep “…maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan (ahli ilmu) jika kamu tidak mengetahui.” seperti yang termaktub dalam surah an-Nahl ayat 43, ialah seruan terbaik untuk sikap yang baik.
Dalam pada itu, DBP atau mana-mana organisasi gerakan kebahasaan wajar menyambut sentimen tinggi kecaknaan awam yang mulai bercambah naik terhadap usaha pengembangan dan pembakuan bahasa Melayu. Selain memanfaatkan minat awam yang semakin menebal, mungkin sudah tiba masanya juga untuk dikemas kini buku-buku panduan tahun-tahun 80-an dan 90-an yang ada.
Cadangan ini dinyatakan dengan positif dalam sebuah komentar;
“DBP seharusnya mengambil inisiatif untuk menjelaskan terjemahan yang keliru dalam kalangan penggunanya. Tindakan berkongsi terjemahan terus dalam laman sosial tanpa penjelasan merupakan kelekaan DBP yang tidak cakna dan peka terhadap soalan. Selain itu, DBP tidak harus hanya melihat bahasa dari aspek nahu Tatabahasa Dewan tetapi mengambil kira aspek linguistik yang lain. Pendapat sepuluh sen ku”.
Pada kesempatan ini juga, penulis ingin merakamkan tahniah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka ̶ “api” dari suatu zaman, yang akan menyambut ulang tahun ke-70 tepat tanggal 22 Jun, tahun ini.
Bahasa Jiwa Bangsa
