Setiap etnik di Sabah mempunyai keunikan dan caranya yang tersendiri dalam mengusahakan tanah sawah padi. Kaedah tersebut dilaksanakan berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan sumber yang terdapat di sekeliling mereka. Golongan petani sentiasa mempelajari dan membuat inovasi bagi meningkatkan hasil pertanian mereka khususnya dalam aktiviti penanaman padi. Secara amnya, kaedah atau amalan tradisonal dalam penanaman padi di negara ini mempunyai persamaan dari segi kaedah atau bahan yang digunakan. Mereka saling berkongsi teknik dan pendekatan bagi menyelesaikan kerja-kerja mengusahakan sawah padi sama ada secara langsung atau sebaliknya.
Bagi masyarakat Kimaragang yang mendiami Kampung Salimandut, Kota Marudu khususnya, mereka juga memiliki kaedah tersendiri dalam usaha mengerjakan sawah padi mereka. Ramai dalam kalangan masyarakat tersebut bekerja sebagai petani dari generasi ke generasi dan mewarisi kaedah pembajakan sawah padi. Setiap ketua ahli keluarga suku ini sekurang-kurangnya memiliki dua ekar tanah sawah padi. Sementara tanah yang dimiliki yang terletak di kawasan tanah tinggi telah diusahakan untuk tanaman lain seperti pokok getah ataupun kelapa sawit. Ini menunjukkan bahawa sebahagian besar masyarakat itu bekerja sebagai petani. Namun demikian, dewasa ini hampir 30 peratus masyarakat Kimaragang bekerja di jabatan-jabatan kerajaan, di universiti, di sektor swasta dan berniaga secara kecil-kecilan. Selain itu, sesuai dengan perkembangan semasa, hampir 90 peratus ahli masyarakat ini mendapat pendidikan sekurang-kurangnya pada peringkat menengah rendah. Oleh sebab itu, mereka semakin terdedah dengan pengetahuan-pengetahuan baharu sama ada melalui pembacaan atau didikan secara formal di sekolah.
Selain itu, masyarakat Kimaragang yang juga merupakan salah satu subetnik Kadazandusun berkongsi kepercayaan dengan etnik Kadazandusun lain, iaitu kepercayaan kepada kinoringan atau kinorohingan, malah mereka mempercayai bahawa tuhan mereka hanya satu (Minah Sintian,2019). Unsur-unsur kepercayaan tersebut masih lagi wujud hingga kini. Terdapat pula amalan dan upacara berkaitan kepercayaan etnik ini terhadap motif sesuatu benda atau lebih tepat lagi budaya bukan benda, menjadi pegangan sesetengah ahlinya. Malah segelintir masayarakat etnik ini meyakini kewujudan kuasa ghaib yang dianggap lebih berkuasa daripada manusia. Hal ini terjadi berdasarkan konsep kepercayaan mereka yang menganggap bahawa benda-benda ghaib tersebut dapat dihubungi, diseru dan dipujuk untuk menunaikan segala permohonan dan permintaan mereka. Hal tersebut dipermudah dengan kemahiran yang dimiliki oleh seorang bobolian (pemegang adat) yang sentiasa menjadi rujukan berkaitan adat-istiadat atau amalan masyarakat. Maka, tidak menghairankan jika dalam usaha meneroka alam hutan termasuk menebang pokok kayu, amalan mengikut kepercayaan turut memainkan peranan sebagai pegangan.
Oleh sebab itu, masyarakat terdahulu percaya bahawa bagi mengekalkan hubungan baik dengan alam, amalan spiritual berbentuk pemujaan bagi memelihara alam mengikut kepercayaan primitif tetap dijalankan. Menurut informan, salah satu kepercayaan dan amalan yang perlu dikuasai oleh seorang petani ialah kemampuan menghafal dan melafaz mantera yang dipanggil giang pomogunan. Giang boleh didefinisikan sebagai “buka”. Maka apabila mantera dilafazkan untuk tujuan tertentu maka pintu untuk kebaikan bakal terbuka (Jamail et.al.,2023). Oleh sebab itu giang pomogunan bertujuan memohon kepada makhluk halus atau pun tuhan Kinoringan supaya memberikan jalan mudah atau perlindungan bagi tindakan atau niat kepada pelaku tersebut daripada sebarang bala apabila menebang pokok-pokok di hutan. Namun demkian, perlu ditegaskan bahawa amalan-amalan tersebut tidak lagi diamalkan pada masa kini. Ini disebabkan ramai dalam kalangan masyarakat Kimaragang khususnya di Kampung Salimandut, Kota Marudu telah berpegang kepada ajaran agama, khususnya agama Islam.
Pada zaman dahulu, benda-benda ganjil atau mistik sering dikaitkan dengan amalan kehidupan masyarakat tersebut yang hidup dalam lingkungan alam terpecil seperti di pinggir hutan, di pinggir sungai atau tasik, kurang pendedahan kepada pengetahuan baharu dan teguh mepertahankan amal-amalan yang sudah menjadi kebiasaan. Kepercayaan ini terus membentuk cara berfikir dan bertindak sebagai panduan dalam menjalani kehidupan. Mereka menganggap bahawa makhluk ghaib boleh memberikan kekuatan kepada mereka yang amat bergantung kepada sumber alam di samping meyakini alam semestar tetap dikuasai dan ditadbir oleh kuasa Minamangun (Yang Maha Pencipta). Justeru, sebarang tindakan memperoleh keperluan daripada sumber alam sekitar perlu mendapat restu dan keizinan daripada yang menguasainya, iaitu tuhan Kinoringan termasuk penghuni-penghuni ghaib benda-benda di sekeliling.
Menariknya, biarpun tindakan mereka sering dibatasi dengan kepercayaan lama tersebut, masyarakat tradisional ini tetap boleh berasimilasi dengan sebarang perubahan atau fenomena alam. Objek-objek alam sekitar dalam penciptaan peralatan pertanian, bangunan dan kaedah penyucian diri tetap menjadi inspirasi masyarakat Kimaragang. Hubungan mereka dengan alam adalah berlandaskan kepada kepercayaan mereka bahawa alam mampu menyediakan apa-apa keperluan mereka. Sumber-sumber semulajadi seperti hutan, sungai, kolam dan tanah merupakan unsur-unsur alam yang banyak mempengaruhi kehidupan mereka. Sumber-sumber alam ini telah dimanfaatkan sebaik-baiknya, dijaga dan dilestarikan sebagai tunjang kepada kegiatan sehari-harian dalam usaha mereka mencari sumber makanan.
Jika diamati, amalan pertanian secara kecil-kecilan melalui kewujudan botung (sawah padi) merupakan tunjang kepada kehidupan sehari-harian masyarakat ini sejak zaman dahulu. Hal ini menunjukkan betapa akrabnya mereka dengan alam. Masyarakat Kimaragang mulai mengusahakan tanah sawah apabila mereka membina petempatan di kawasan tanah rata. Mereka mulai meninggalkan tradisi penanaman padi bukit apabila pengetahuan asas penanaman sawah padi mereka pelajari daripada para perantau atau pengunjung luar. Amalan tersebut salah satu kemandirian hidup. Pada awal tahun 1970-an, tidak lengkap kehidupan sesebuah keluarga jika tidak mempunyai botung (sawah padi) sendiri. Hasil daripada botung memastikan keluarga tersebut tidak terputus bekalan makanan. Struktur botung wujud seiring dengan kesedaran masyarakat bahawa mereka boleh memperoleh hasil yang lebih banyak dan boleh menyimpan makanan dalam jangka masa panjang jika rajin berusaha.
Menurut informan, teknologi membajak sawah padi mulai dikuasai oleh masyarakat Kimaragang pada awal tahun 1970-an dan berkembang pesat bermula pada tahun 1980-an. Berdasarkan temu bual dengan informan masyarakat Kimaragang di Kampung Salimandut, Kota Marudu, mereka mulai menggunakan guring pada tahun 1976 bagi tujuan merata, menghancurkan tanah sawah mereka. Hal ini seiring dengan kegiatan menternak kerbau yang mulai berkembang di kampung tersebut. Pada masa itu, sesiapa yang memiliki satu atau lebih kerbau maka mereka berpotensi meningkatkan hasil pertanian mereka kerana kerbau diperlukan untuk menarik apa-apa peralatan pembajakan tanah sawah dan seumpamanya.
Salah satu kaedah yang dikuasai oleh masyarakat ini yang dianggap moden pada waktu itu ialah menggunakan peralatan tradisional membajak atau penghancur tanah yang disebut guring atau ragus. Peralatan ini menyerupai alat tenggiling yang digunakan di Kedah (dlm. Memori-kedah.com). Namun sedikit perbezaan dari segi struktur dan kekemasannya. Dalam masyarakat tradisional Kimaragang, guring atau ragus dibuat daripada kayu-kayu terpilih. Jenis kayu yang paling senang diperoleh ialah kayu bongkol. Jenis kayu ini senang membiak melalui buahnya. Buah pokok ini biasanya menjadi makanan kelawar, monyet dan burung apabila masak ranum. Biji benihnya senang disebarkan dan mudah tumbuh di tanah yang basah. Isi kayunya apabila dijemur beberapa hari akan menjadi kekuning-kuningan. Lama-kelamaan batang kayu bongkol ini akan menjadi kehitam-hitaman apabila sering digunakan di atas tanah berlumpur.
Walau bagaimanapun, proses membuat guring atau ragus bukannya mudah. Proses pembuatan guring menuntut kesabaran kerana kaedah pembuatannya melibatkan teknik tertentu serta ada hubung kaitnya dengan kepercayaan terutama yang melibatkan interaksi dengan alam dan “penjaga alam”. Maka beberapa amalan seperti melafazkan giang pomogunan perlu dilaksanakan apabila seseorang mengambil hasil alam, khasnya yang melibatkan hutan.
Jika diperhalus, pokok bongkol tumbuh di persekitaran yang berair. Pokok ini mempunyai ketumpatan yang tinggi dan tahan air. Beratnya tidak akan berkurangan dalam jangka masa panjang. Oleh sebab itulah masyarakat Kimaragang dapat menggunakan guring yang diperbuat daripada pokok tersebut untuk beberapa tahun. Selain pokok bongkol, guring atau ragus boleh dibuat daripada kayu lain mengikut kehendak sendiri. Namun kayu-kayu yang lebih berkualiti tinggi memang sukar diperoleh. Misalnya, jika ingin membuat guring daripada kayu bulian, mereka terpaksa mendapatkannya dari hutan-hutan yang jauh serta memakan masa yang lama untuk mendapatkannya dan mereka bentuknya. Maka masyarakat terdahulu lebih memilih kayu-kayu yang terdekat dengan rumah mereka sahaja. Oleh itu, pokok bongkol menjadi pilihan selain daripada teras pokok pelindung, atau sejenis kayu keras yang dipanggil bogil, bagi tujuan membuat po’od atau pi’in guring. Berikut merupakan gambaran berkaitan pohon kayu bongkol yang amat popular tersebut:
Gambar 1: Pokok bongkol yang lurus dan besar.
Sumber: Koleksi penulis, Kg. Salimandut, Kota Marudu, 2024.
Pada zaman dahulu, pokok ini ditumbangkan menggunakan kapak atau wasoi (sejenis kapak yang bermata runcing) atau menggunakan parang. Batang pokoknya yang liat dan sedikit keras mengambil masa lama ditumbangkan. Apabila sudah ditentukan panjangnya, batang kayu tersebut dibiarkan beberapa hari sehingga isinya kelihatan kekuning-kuningan. Ini memudahkan mereka membuat alur atau mata guring. Biasanya, proses membentuk matanya memerlukan beberapa orang. Pada zaman dahulu, guring biasanya dibuat secara mitatabang (gotong-royong) sama ada dalam kalangan keluarga atau bersama-sama penduduk kampung. Amalan mitatabang sudah sebati dalam jiwa masyarakat tradisional masyarakat Kimaragang secara turun-temurun. Waktu menebang pokok yang sesuai mengikut kepercayaan masyarakat Kimaragang adalah pada masa tonob (bulan gelap). Hal ini diyakini agar batang pokok yang digunakan itu tidak mudah diserang serangga perosak.
Seterusnya, saiz panjang atau pendek sesebuah guring adalah bergantung kepada keinginan atau kesesuaian kawasan tanah sawah padi. Jika guring dibuat terlalu panjang dan besar, guring menjadi masalah kepada kerbau yang menariknya nanti. Saiz guring juga ditentukan oleh keadaan tanah sawah padi. Jika tanah sawah terlalu berlumpur dan menakung air yang dalam mereka menggunakan guring yang sederhana berat untuk mengelakkan beban yang berlebihan kepada kerbau yang menariknya. Oleh sebab itu, seorang petani biasanya membuat beberapa set guring sebagai pilihan berdasarkan situasi atau bentuk fizikal kerbau yang menariknya. Bagi tujuan mempercepat proses merata dan membecak tanah sawah seorang petani boleh menggunakan dua atau tiga buah guring. Setiap guring ditarik oleh seekor kerbau. Kerbau kedua akan diikat ke guring pertama yang ditarik oleh kerbau pertama. Kerbau kedua tersebut hanya mengikut arah tujuan kerbau yang pertama. Teknik ini akan mempercepat proses penyediaan tanah sawah mereka yang bakal ditanam anak padi.
Proses seterusnya bagi mereka bentuk sebuah guring ialah mengukir mata guringnya yang berbentuk belimbing segi. Membentuk atau mengukir mata guring memerlukan kesabaran yang tinggi. Mata guring haruslah lurus alurnya dan bebentuk sedikit condong ke hadapan (arah guring tersebut ditarik). Pada zaman dahulu, mereka biasanya hanya menggunakan parang atau pahat yang diubah suai bagi mendapatkan mata guring yang sesuai. Hal ini seperti ditunjukkan dalam gambar 2 yang berikut:
Gambar 2: Proses membentuk mata guring.
Sumber: Koleksi Penulis, Kg. Salimandut, Kota Marudu, 2024.
Tindakan seterusnya ialah proses memasang pin guring yang yang bertindak sebagai pemegang kepada mata guring dipasang bagi menguatkan struktur guring atau ragus tersebut. Strukur guring yang kukuh dan kuat diperlukan kerana satu set guring ditarik oleh seekor kerbau dan bakal merempuh serta melalui tanah yang berlumpur dalam termasuk tunggul-tunggul kayu kecil. Hal ini ditunjukkan dalam gambar 3 yang berikut:
Gambar 3: Proses memasang pin guring.
Sumber: Koleksi Penulis, Kg. Salimandut, Kota Marudu, 2024.
Seterusnya, mata guring ini akan direndam dalam beberapa hari dalam air lumpur untuk mengekalkan beratnya dan memberikan bau tanah supaya dijauhi serangga perosak. Set sebuah guring yang sudah lengkap dengan sarung atau pin akan dipasang tali (pada zaman dahulu menggunakan rotan atau timbangan, iaitu tali yang diproses daripada kulit kayu). Tali tersebut dipasang pada kedua-dua hujung sarung guring kemudian pada hujung tali tersebut diikat sebatang po’od. Po’od diperbuat daripada kayu melengkung yang sesuai dipasang pada tengkuk seekor kerbau yang akan menarik set guring tersebut.
Gambar 4: Sebuah Guring atau ragus sedia untuk ditarik oleh seekor kerbau.
Sumber: Koleksi Penulis, Kg. Salimandut, Kota Marudu, 2024.
Seperti yang dinyatakan, kehidupan masyarakat tradisional suku Kimaragang pada zaman dahulu bukanlah senang. Mereka terpaksa membanting tulang tanpa mengira waktu di sawah padi. Mereka bekerja keras meneruskan kehidupan mereka dengan apa cara sekalipun termasuk melibatkan kepercayaan dan amalan kuno generasi terdahulu yang terpaksa mereka warisi. Mujur pengetahuan berunsur moden yang diperoleh, khususnya dalam pembinaan guring atau ragus, sedikit sebanyak memudahkan kerja dalam proses penyediaan tanah sawah padi mereka.
Konklusinya, memanipulasi objek-objek alam dan kepercayaan dalam penciptaan alat-alat pertanian tradisional Kimaragang masih berpegang teguh kepada nilai-nilai yang boleh diterima umum. Nilai-nilai tersebut merangkumi kesungguhan, keberanian, kerajinan dan nilai muafakat. Sementara itu, objek-objek alam mempunyai perkaitan langsung dengan kewujudan alat-alat tradisional yang merupakan tempat bermulanya pembentukan ketamadunan sesebuah bangsa. Sikap dan tingkah laku seorang individu yang mementingkan aspek kemoralan yang berkaitan sikap tekun untuk memenuhi tuntutan dan keperluan diri dan ahli keluarga melalui penghasilan makanan melalui sawah padi merupakan sesuatu yang terpuji. Melalui sikap dan tingkah laku positif ini mereka berusaha menjalani kehidupan dengan terus mencipta alat-alat sokongan hidup berdasarkan sumber-sumber daripada persekitaran mereka. Implikasinya, ketekunan dan kesabaran yang ditunjukkan oleh masyarakat Kimaragang dalam proses penciptaan guring memberikan kesan empirikal dari segi fungsi dan sumbangan dalam usaha mendidik masyarakat supaya menghargai apa-apa juga amalan dan kepercayaan lama yang semakin dipinggirkan.
Rujukan
Minah Sintian, 2019. Nilai-nilai Kearifan Lokal dalam Cerita Rakyat Kadazandusun. Artikel Jurnal. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris, dlm. https://www.researchgate.net/publication/333601492.
Jamail Masador, A. Halim Ali dan Azhar Wahid, 2023. Kepercayaan Lama dalam Budaya Bukan Benda Masyarakat Kimaragang. Artikel Jurnal. Rumpun Jurnal Persuratan Melayu. Vol. 11 No.1 (2023).
https//: www. memori-kedah.com, [Dalam Talian: Julai 21,2024].
Infoman:
Paifson Aying, Masyarakat Kimaragang, Kg. Morion, Kota Marudu, Sabah.
Jani Pangadap, Masyarakat Kimaragang, Kg Salimandut, Kota Marudu, Sabah.
Jaipin Mariji, Ketua Kampung Salimandut, Kota Marudu, Sabah.