Skip to content
Pementasan Teater “Manek Sulamkan Si Ayer Mata” Memartabatkan Seni dan Budaya Masyarakat Baba Nyonya sebagai Warisan Negara
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Sejarah dan Budaya > Pementasan Teater “Manek Sulamkan Si Ayer Mata” Memartabatkan Seni dan Budaya Masyarakat Baba Nyonya sebagai Warisan Negara
Pementasan Teater “Manek Sulamkan Si Ayer Mata” Memartabatkan Seni dan Budaya Masyarakat Baba Nyonya sebagai Warisan Negara
Sejarah dan Budaya

Pementasan Teater “Manek Sulamkan Si Ayer Mata” Memartabatkan Seni dan Budaya Masyarakat Baba Nyonya sebagai Warisan Negara

  • EMELIA ISHAK
  • 5 Januari 2025
  • DBP Wilayah Selatan
  • 70

Pada 22 dan 23 November 2024, Auditorium Pusat Dagangan Antarabangsa  Melaka (MITC) menjadi saksi kepada pementasan teater berjudul Manek Sulamkan Si Ayer Mata yang berjaya mengangkat martabat seni dan budaya masyarakat Baba Nyonya sebagai warisan negara. Pementasan teater ini menonjolkan keindahan seni kerajinan tangan kasut manik selain menonjolkan keindahan busana kebaya Nyonya yang halus dengan sulaman flora dan fauna, seni bina rumah, makanan serta amalan adat dan budaya yang masih terpelihara sehingga ke hari ini. Pementasan teater ini merupakan hasil usaha Persatuan Pelancongan Negeri Melaka dengan kerjasama Pertubuhan Seni Kesidang Sari (PERSIDANG) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka (JKKN), serta mendapat sokongan Kerajaan Negeri Melaka dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pementasan Teater “Manek Sulamkan Si Ayer Mata” Memartabatkan Seni dan Budaya Masyarakat Baba Nyonya sebagai Warisan Negara
Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam (tengah) dan isteri, Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman (kanan).

Sehubungan dengan itu, teater arahan Ery Majid ini menjadi medium yang berkesan bertujuan memelihara dan memperkenalkan warisan Baba Nyonya bukan hanya kepada pewaris Baba Nyonya tetapi kepada generasi muda serta khalayak global dalam dan luar negara. Teater Manek Sulamkan Si Ayer Mata yang berkisar tentang hubungan antara Guek Neo, seorang pengusaha kasut manik Baba Nyonya, dengan anaknya Molly yang berkisar tentang konflik antara tradisi dengan moden, sekali gus membuka ruang kepada eksplorasi mendalam tentang seni dan budaya masyarakat Baba Nyonya yang kekal hidup dan subur di Malaysia.

Pementasan Teater “Manek Sulamkan Si Ayer Mata” Memartabatkan Seni dan Budaya Masyarakat Baba Nyonya sebagai Warisan Negara
Pementasan Teater Manek Sulamkan Si Ayer Mata di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 22 dan 24 November 2024.

Sesungguhnya, teater bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan tetapi juga sebagai alat pendidikan dan pemeliharaan seni budaya warisan masyarakat Baba Nyonya. Pementasan teater Manek Sulamkan Si Ayer Mata membawa penonton memahami simbolisme yang terkandung dalam seni pembuatan kasut manik Baba Nyonya. Kasut manik bukan sekadar aksesori tetapi suatu seni warisan yang mencerminkan kehalusan, kesabaran, dan nilai-nilai tradisional dalam kehidupan masyarakat Baba Nyonya.

Pementasan Teater “Manek Sulamkan Si Ayer Mata” Memartabatkan Seni dan Budaya Masyarakat Baba Nyonya sebagai Warisan Negara
Molly dan Guek Neo dalam pementasan teater Manek Sulamkan Si Ayer Mata.

Seterusnya, karya hasil garapan Mellyaeshak ini bergerak indah dengan memberikan fokus pada proses pembuatan kasut manik oleh Molly, sebagai satu-satunya pewaris kerajinan tangan Baba Nyonya milik ibunya, Guek Neo. Teater ini secara sedar mengangkat aspek kerajinan tangan yang semakin terpinggir dalam dunia serba moden pada hari ini. Generasi muda pada hari ini tidak berminat terhadap seni warisan kerana menganggapnya lapuk, tiada masa depan dan sukar untuk dihasilkan kerana harus menggunakan kaedah tradisional. Namun demikian, syarat yang ditetapkan oleh Guek Neo kepada Molly membawa mesej mendalam tentang pentingnya menghargai warisan keluarga. Watak Molly pada awalnya menolak untuk mewarisi tradisi keluarganya kerana Molly bercita-cita untuk berkahwin dan memulakan hidup baharu jauh daripada perniagaan keluarganya. Ibu Molly pada awalnya kecewa, namun dengan cadangan sahabat baiknya, Leha Tapak, Guek Neo memberikan restu untuk Molly berkahwin tetapi dengan syarat Molly harus membuat sepasang kasut manik terlebih dahulu. Meskipun pada awalnya sukar, namun proses ini menjadi titik perubahan dalam hidup Molly. Babak ini menguatkan naratif penceritaan bahawa seni pembuatan kasut manik merupakan cerminan nilai-nilai seperti kegigihan, kesabaran, dan ketenangan, yang relevan dalam kehidupan rumah tangga pasangan muda yang bakal mengharungi cabaran pada masa hadapan.

Dalam konteks antropologi budaya, teater memainkan peranan sebagai alat pemeliharaan warisan tidak ketara. Edward Said dalam bukunya bertajuk Orientalism (1978), menyatakan bahawa dalam teorinya mengenai orientalisme memperlihatkan bagaimana seni dan budaya digunakan sebagai alat untuk menyampaikan naratif identiti. Seni teater seperti dalam kisah Guek Neo dan Molly ini memenuhi tiga fungsi utama pemeliharaan budaya, iaitu rekonstruksi sejarah melalui persembahan teater yang berjaya menghidupkan semula elemen sejarah dan budaya masyarakat Baba Nyonya. Seterusnya melalui penceritaan dan  gambaran tradisi yang menjadi rujukan dan panduan kepada penonton serta pengkaji seni dan budaya.

Seterusnya, melalui persembahan teater ini juga pemindahan nilai tradisional yang bersifat halus dan kompleks dalam pembuatan kasut manik menjadi medium pemindahan nilai sabar, kegigihan, dan kepakaran antara generasi. Sementara itu, pengadaptasi kepada konteks moden pula, teater ini mengangkat konflik Molly yang tidak mahu terlibat dengan pembuatan kasut manik digambarkan sebagai cabaran kepada generasi muda untuk menyeimbangkan tradisi dengan aspirasi kontemporari. Sungguhpun kasut manik sudah tidak lagi menjadi pakaian harian masyarakat Baba Nyonya moden, namun seni warisan kasut manik tetap perlu dipelihara dan dipulihara agar tradisi ini terus tersimpan dan dikenali oleh generasi seterusnya.

Oleh hal yang demikian, generasi muda sewajarnya mempelajari cara menjahit manik pada kasut tradisi Baba Nyonya dan melalui seni tangan tersebut, mereka dapat mempelajari erti kesabaran dan kegigihan menghasilkan kasut manik kerana usaha menyiapkan sepasang kasut manik tidak mudah. Melalui kerja tangan ini, mereka dapat menerapkan erti kesabaran dan kegigihan dalam kehidupan seharian serta hakikat bahawa tidak mudah untuk mencapai kebahagiaan dalam rumah tangga kerana ada pelbagai dugaan dan cabaran yang mesti dihadapi. Kesulitan ini perlu dilalui dengan sabar, barulah rumah tangga yang dibina akan mencapai kebahagiaan.

Sementara itu, warisan kerajinan tangan masyarakat Baba Nyonya wajar dikongsi dengan semua rakyat Malaysia melalui dunia peragaan fesyen, pementasan teater dan pameran antarabangsa yang mengangkat kesenian unik milik masyakat Baba Nyonya. Hal ini pastinya menjadi produk berharga negara dan merupakan satu daripada tarikan pelancong melawat ke negeri Melaka untuk melihat keunikan masyarakat Baba Nyonya yang terdapat di Malaysia, khususnya negeri Melaka. Hal ini disokong oleh Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Dato’ Seri Wong Chun Wai ketika merasmikan Festival Peranakan Malaysia pada 4 Ogos 2024, di The Shore Shopping Gallery, Melaka.

Menurut Dato’ Seri Wong, budaya masyarakat Baba Nyonya di Melaka semakin diiktiraf oleh komuniti antarabangsa, khususnya pelancong dari negara China. Pelancong dari China begitu cantik mengenakan kebaya Nyonya ketika bersiar-siar dan membeli-belah di Jonker Street dan Heeren Street (Jalan Tun Tan Cheng Lock), Melaka. Mereka memakai kebaya Nyonya kerana kagum dengan seni sulaman yang halus dan keunikan baju kebaya tersebut. Hal ini membuktikan bahawa kesenian dan kebudayaan yang dimiliki oleh Baba Nyonya mendapat perhatian masyarakat antarabangsa seiring perkembangan modenisasi dunia fesyen. Pakaian tradisional masyarakat Baba Nyonya tetap dihargai dan mempunyai nilai yang tinggi di mata dunia.

Sehubungan dengan itu, kebaya Nyonya tidak hanya sesuai dan cantik dipakai oleh wanita dewasa tetapi sesuai digayakan oleh kanak-kanak dan remaja. Saiful Akram Che Cob (2007) dalam tesis sarjananya bertajuk “Ekspresi Kebudayaan: Kesan-kesan Adaptasi Kaum Cina Baba Nyonya dengan Masyarakat Melayu” menyatakan bahawa kebaya Nyonya turut menjadi pilihan wanita Melayu, Cina dan India yang menggayakannya ketika musim perayaan atau majlis-majlis tertentu, selain sesuai dijadikan pakaian harian ataupun untuk ke pejabat.

Pementasan Teater “Manek Sulamkan Si Ayer Mata” Memartabatkan Seni dan Budaya Masyarakat Baba Nyonya sebagai Warisan Negara
Kebaya Nyonya.

Hasil kajiannya juga membuktikan bahawa kebaya Nyonya merupakan hasil kerja tangan yang mempunyai nilai estetik yang amat tinggi kerana reka bentuknya yang asli dan tidak berubah dari dahulu hingga kini dan berjaya mengekalkan identiti masyarakat  Baba Nyonya sejak  500  tahun   yang  lalu. Potongannya sangat unik dan bertambah manis apabila dipadankan dengan kain batik sarung yang menambahkan nilai kesopanan seorang wanita Asia lagi.

Sehubungan dengan itu, corak dan motif pada kebaya Nyonya tampak segar kerana menggunakan motif flora dan fauna yang membawa maksud yang baik dalam kepercayaan masyarakat Baba Nyonya. Misalnya, motif burung  merak melambangkan keindahan dan kemewahan kerana burung merak melambangkan simbol keindahan, kemewahan, kekuatan dan keunggulan yang tiada tandingannya. Motif burung merak juga melambangkan pengembangan budaya masyarakat Baba Nyonya yang unik dan indah. Sementara itu, motif flora seperti bunga teratai pula melambangkan kesucian, keharmonian dan keamanan yang bersesuaian dengan sifat seorang wanita yang mengenakan pakaian tersebut. Maka dapatlah disimpulkan bahawa setiap motif yang terdapat pada kebaya Nyonya memberikan kebaikan serta menambahkan keyakinan kepada pemakai dan selain cantik digayakan dengan pelbagai warna dan corak yang indah. Hal ini menjadi warisan berharga  kepada masyarakat Baba Nyonya.

Selain itu, kasut manik Baba Nyonya juga menjadi metafora signifikan yang melambangkan jalinan tradisi, ketelitian, dan kesabaran sebagai nilai yang penting dalam kehidupan individu dan komuniti Baba Nyonya. Hal ini turut menampilkan gandingan pengkaji budaya, seniman, dan usahawan untuk mencari jalan inovatif bagi mengekalkan tradisi dalam dunia moden. Watak Molly sebagai generasi muda dapat beradaptasi untuk menghasilkan kasut manik Baba Nyonya yang sesuai dengan selera dan fesyen moden pada hari ini. Jika hal ini dapat ditangani dengan bijaksana, terhasillah pendapatan yang lumayan untuk dirinya.

Oleh hal yang demikian, penggunaan estetika dalam pementasan teater selari dengan teori seni John Dewey dalam Art as Experience (1934) bahawa seni dilihat sebagai pengalaman mendalam yang menghubungkan emosi, intelek, dan nilai budaya. Teater ini menggunakan beberapa pendekatan estetika seperti visual dan kostum yang mempamerkan pakaian tradisional Baba Nyonya, kasut manik, dan hiasan pentas yang mencipta pengalaman visual yang kaya dengan warna cerah dan corak geometri yang unik, yang mencerminkan harmoni budaya yang telah diasimilasikan selama berabad-abad lamanya.

Walau bagaimanapun, sebagai salah satu warisan kebangsaan, budaya Baba Nyonya bukan sahaja perlu dipelihara tetapi juga relevan dengan keperluan zaman. Kisah Molly menunjukkan bahawa warisan ini boleh diadaptasikan ke dalam dunia moden melalui kaedah inovasi. Contohnya, kasut manik yang dahulunya bersifat tradisional kini boleh diberi sentuhan kontemporari, menjadikannya produk global yang memberikan keuntungan kepada negara dan juga kepada pengusaha kasut manik. Seni kerajinan manik bukan hanya boleh diteruskan dengan kasut manik, sebaliknya seni ini boleh digunakan untuk pelbagai produk fesyen dan perhiasan yang mempunyai nilai estetik yang tinggi.

Lantaran itu, kisah Molly dalam pementasan teater Manek Sulamkan Si Ayer Mata menggambarkan bahawa seni tradisional boleh menjadi alat untuk mendidik generasi muda tentang kepentingan menghargai warisan bangsa. Pierre Bourdieu melalui bukunya Distinction: A Social Critique of the Judgement of Taste (1984), berpandangan bahawa seni budaya dilihat sebagai satu bentuk “modal budaya” yang memperkaya identiti dan daya tahan komuniti. Hal ini terbukti apabila Molly yang dipertontonkan sebagai generasi muda yang memperkukuh nilai diri dan keluarga tanpa perlu melepaskan aspirasi peribadi. Molly tetap boleh melanjutkan cita-citanya dengan berkahwin, namun Molly tidak seharusnya meninggalkan warisan keluarganya sebagai pengusaha kasut manik. Namun demikian, Molly seharusnya belajar cara membuat kasut manik, dan akan merasai kepentingan memelihara warisan keluarganya setelah belajar dan memahami seni pembuatan kasut manik. Hal ini terbukti apabila Molly berjaya menyiapkan kasut manik tersebut dan setelah itu barulah Molly dapat merasai  kepentingan warisan keluarganya yang diwarisi sebagai pewaris tunggal. Akhirnya, Molly menyedari nilai warisan budaya dan kasih sayang ibunya, lalu memutuskan untuk meneruskan perniagaan keluarga sebagai penghormatan kepada tradisi peranakan Baba Nyonya.

Seterusnya, pementasan teater Manek Sulamkan Si Ayer Mata berjaya menyampaikan mesej bahawa seni dan budaya menjadi akar identiti yang perlu dipelihara untuk kesinambungan warisan seterusnya pada masa hadapan. Hal ini membuktikan bahawa tradisi tidak semestinya bertentangan dengan kemodenan tetapi boleh menjadi inspirasi kepada inovasi yang akan terus kekal hidup seiringan dengan perkembangan dan kemodenan dunia kini. Pakaian tradisional akan berubah seiring perkembangan tersebut dan akan terus hidup selagi nilai dan warisan tersebut dipelihara. Melalui pementasan seperti ini, seni dan budaya Baba Nyonya bukan sahaja dipertahankan tetapi dihidupkan semula sebagai elemen penting dalam naratif kebangsaan yang mendidik generasi muda untuk terus mengekalkan warisan bangsa yang unik dan indah serta berjaya menarik perhatian dunia kepada keunikan seni dan budaya yang diwarisi oleh rakyat Malaysia.

Pementasan Teater “Manek Sulamkan Si Ayer Mata” Memartabatkan Seni dan Budaya Masyarakat Baba Nyonya sebagai Warisan Negara
Mangkuk sia yang menjadi sebahagian daripada adat dan budaya kaum Peranakan Baba Nyonya yang dipaparkan dalam Teater Manek Sulamkan Si Ayer Mata.

Sesungguhnya, seni dan budaya Baba Nyonya merupakan suatu keunikan yang mewakili kepelbagaian budaya di Malaysia. Warisan ini menggabungkan elemen budaya Cina dan Melayu yang telah disesuaikan selama berabad-abad serta mencerminkan keharmonian pelbagai bangsa. Malaysia sebuah negara yang kaya dan bertuah kerana menyimpan pelbagai seni dan budaya yang unik dengan masyarakatnya yang berbilang kaum, agama dan bangsa. Harus diakui, bahasa pementasan teater Manek Sulamkan Si Ayer Mata berjaya mengangkat martabat seni dan budaya masyarakat Baba Nyonya sebagai seni warisan negara yang unggul dan unik.

 

# #dbpselatan# budaya# Warisan Tak Ketara
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (12) #karyasastera (14) #komsas (2) #penulis (4) #penulisbaharu (14) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (4) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (13) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) budaya (2) cerpen (9) dbpcawangansabah (4) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (23) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) ramadhan (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Raja Ali Kelana: Pewaris Yamtuan Muda Riau Terakhir
Tokoh

Raja Ali Kelana: Pewaris Yamtuan Muda Riau Terakhir

  • 4 November 2024
  • 620
  • 4.9
Satu Abad Usia Tambak Johor Perkukuh Hubungan Dua Negara
Sejarah dan Budaya

Satu Abad Usia Tambak Johor Perkukuh Hubungan Dua Negara

  • 1 Disember 2024
  • 63
  • 5
Penganan: Warisan Tak Ketara Gastronomi Iban (Bahagian 1)
Kearifan Tempatan

Penganan: Warisan Tak Ketara Gastronomi Iban (Bahagian 1)

  • 20 Februari 2024
  • 523
  • 4.5
Panangsang: Ritual Penyembuhan Suku Kaum Bajau Laut
Sejarah dan Budaya

Panangsang: Ritual Penyembuhan Suku Kaum Bajau Laut

  • 4 November 2023
  • 1345
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP