Akal merupakan anugerah Allah SWT kepada manusia yang tiada ternilai harganya. Setiap insan dianugerahi akal, dan inilah yang membezakan manusia daripada haiwan. Dengan adanya akal, otak kita bekerja keras, lalu lahirlah pemikiran yang bernas dan berwawasan. Oleh itu, manusia dituntut untuk memanfaatkan akal fikiran yang dikurniakan oleh-Nya sebaik mungkin. Dunia bukan sekadar tempat persinggahan, malah merupakan pentas untuk manusia mencorakkan dan mengembangkan pemikiran mereka.
Berbicara perihal pemikiran, manusia telah diberikan pilihan untuk menentukan alur kehidupan. Sama ada mahu mewarnakan pemikiran mereka seputih awan ataupun sehitam zulmat. Keberadaan syaitan dan hawa nafsu acap kali membelenggu kita di segenap penjuru pemikiran. Hasutan demi hasutan menyebabkan pemikiran seseorang manusia menjadi lemah dan semakin malap bersalut gelap. Sehubungan dengan itu, salah satu kaedah bagi mencorakkan pemikiran manusia agar pulih semula daripada noda dan nista adalah dengan melahirkan pemikiran kerohanian dalam diri. Menurut Mohd. Yusof Hasan, pemikiran ini berhubung dengan keimanan, ketauhidan dan kepercayaan manusia terhadap keesaan dan kebesaran Allah (2007:14).
Aspek kerohanian mampu menjadikan pemikiran manusia lebih waras serta dapat membezakan antara yang hak dan yang batil dalam sesuatu perkara. Pada masa yang sama, pemikiran yang berteraskan kerohanian juga berperanan membimbing manusia untuk melakukan amal kebaikan serta meninggalkan segala perkara yang dilarang oleh-Nya. Perihal ini jelas tergambar dalam novel terbaharu Mahizan Husain berjudul Romi dan Kucai (2025), yang diterbitkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menerusi Projek Penerbitan Buku PENA–MALAYSIA MADANI. Secara harfiah, novel Romi dan Kucai mengisahkan soal dunia persahabatan yang sarat dengan warna-warni kehidupan.
Pada permulaannya, dunia Romi dan Kucai dilatari dengan kegelapan dan kejahatan. Kedua-dua watak ini dikatakan telah terpengaruh dengan filem-filem Melayu yang berunsurkan gangster. Sebagaimana novel TIVI karya Shahnon Ahmad yang mengkritik keberadaan televisyen dalam keluarga Chah, Mahizan Husain turut menghidangkan kepada para pembaca tentang bahananya kewujudan filem, khususnya filem gangster kepada masyarakat belia. Romi dan Kucai telah terjerumus dalam pelbagai perkara yang tidak memberikan sebarang manfaat, seperti melakukan peras ugut, pergaduhan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, sikap negatif yang ditonjolkan oleh mereka tidak berkekalan. Dengan keizinan Allah SWT, keinsafan hadir melalui pelbagai bentuk kesusahan yang dialami. Oleh itu, mereka akhirnya kembali ke pangkal jalan dengan menginsafi diri dan berusaha mentaati perintah-Nya.
Salah satu detik permulaan yang membawa perubahan dalam kehidupan Romi dan Kucai ke arah kebaikan berlaku apabila mereka terhimpit dengan pelbagai masalah. Romi dan Kucai diburu oleh kumpulan gangster seperti Ah Hong, Naga Sembilan serta Geng Lapan-Lapan. Akibat tekanan yang dihadapi, mereka mengambil keputusan untuk melarikan diri dan bersembunyi di sebuah perkampungan yang dikenali sebagai Kampung Matahari Jatuh.Usai perpindahan tersebut, Romi dan Kucai telah berazam untuk meninggalkan segala hal yang tidak bermanfaat, lantas berhasrat untuk melakukan pekerjaan yang halal. Romi dikatakan telah bekerja sebagai nelayan laut dalam, sedangkan Kucai pula berkhidmat di ladang lada milik anak imam Kampung Matahari Jatuh.
Sewaktu berada di Kampung Matahari Jatuh, Mahizan Husain telah menghidupkan watak Romi dan Kucai dengan menggambarkan detik mereka menerima cahaya keimanan daripada Allah SWT. Pada peringkat awal, watak Kucai mula menunjukkan perubahan apabila beliau melazimi solat tahajud dan berwirid. Romi, yang ketika itu hanya tidur-tidur ayam, turut mendengar amalan yang dilakukan oleh sahabatnya itu. Perkara ini dapat diperhatikan menerusi petikan berikut:
Selalunya, Romi akan berpura-pura tidak sedar apabila Kucai bangun bersolat tahajud. Dia mendapati Kucai akan berdoa dan berwirid panjang sambil sesekali terdengar tersedu-sedan.
(Mahizan Husain, 2025:146)
Rentetan daripada peristiwa tersebut, watak Romi turut menerima suntikan keimanan dalam dirinya. Perkara ini berpunca daripada sikap Kucai yang sentiasa melaksanakan ibadah solat tahajud pada waktu malam. Romi kemudiannya meminta agar Kucai turut mengejutkannya sekiranya ingin mengerjakan solat tahajud. Oleh yang demikian, mereka berdua menunaikan solat tahajud bersama-sama, sambil memohon keampunan daripada Allah SWT, sebagaimana yang terkandung dalam petikan berikut:
Malam itu, Kucai dan Romi sama-sama bangun untuk menunaikan solat tahajud. Sama-sama mengangkat tangan memohon keampunan Yang Maha Pengampun. Malam yang sepi benar-benar mendamaikan jiwa dan perasaan mereka, dalam pelukan kasih sayang Allah.
(Mahizan Husain, 2025:147)
Selain itu, Romi dan Kucai telah menjadikan masjid di Kampung Matahari Jatuh sebagai rumah kedua mereka. Masjid yang berusia hampir 150 tahun itu sering dikunjungi oleh mereka. Romi dan Kucai bukan sahaja melaksanakan kewajipan solat di masjid, malah turut berganding bahu bersama imam dalam mengemas ruang solat serta membersihkan tandas dan kolah wuduk. Pada waktu tertentu, Kucai juga menggantikan muazin untuk melaungkan azan sekiranya muazin tidak sihat atau berhalangan.
Kerja amal yang dilakukan oleh Romi dan Kucai adalah semata-mata kerana keikhlasan, tanpa mengharapkan sebarang balasan. Setelah mengecat dinding tandas masjid, imam masjid cuba memberikan upah kepada mereka berdua. Namun demikian, Romi dan Kucai tetap menolaknya dengan sopan. Perkara ini dapat diteliti melalui petikan berikut:
“Kami ikhlas, Tuan Imam. Kalau Tuan Imam memang berhajat sangat untuk memberi kami duit upah, masukkanlah wang tu ke dalam tabung masjid saja, sebagai sedekah daripada kami,” kata Romi, tetap menolak pemberian itu dengan baiknya.
(Mahizan Husain, 2025:151)
Di samping itu, aspek kerohanian yang tersingkap bukan sahaja berlandaskan hubungan manusia dengan Tuhan, malah turut menekankan hubungan sesama manusia. Sebagai makhluk yang dianugerahkan akal fikiran, kita sewajarnya berbuat kebaikan terhadap setiap insan dan masyarakat tanpa mengira usia, pangkat, atau darjat, sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Perihal ini dapat dilihat melalui watak Kucai dalam novel Romi dan Kucai. Mahizan Husain mengisahkan perjalanan hidup Kucai yang ditinggalkan keluarganya ketika masih bayi. Mujurlah Allah SWT menghadirkan Pak Jab dan isterinya yang mengambil Kucai sebagai anak angkat.
Walaupun kehidupan Kucai penuh dengan sisi gelap, namun sebagai seorang anak, dia tetap tidak akan melupakan jasa baik bapa angkatnya yang menjaganya sewaktu kecil. Pak Jab dikatakan mengalami penyakit kencing manis, bahkan kaki kirinya pun sudah dipotong. Segala makan minum dan kencing berak Pak Jab diuruskan oleh Kucai. Sahabatnya, Romi amat mengagumi keperibadian dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Kucai terhadap bapa angkatnya. Hal ini dapat diperhatikan menerusi petikan berikut:
Begitulah perihal Kucai. Jika ayahnya tidak boleh buang air besar secara normal, dialah yang mengorek najis ayahnya keluar demi memastikan keselesaan perut ayahnya. Romi membayangkan, dia sendiri belum pasti dapat melakukan apa-apa yang dilakukan oleh Kucai.
(Mahizan Husain, 2025:52)
Meskipun pada awalnya Romi berfikiran dia tidak mampu memikul tanggungjawab seperti Kucai, namun Romi membuktikan bahawa dia juga mampu menjaga sahabatnya ketika Kucai ditimpa kemalangan. Sebelum kejadian malang itu berlaku, Romi dan Kucai telah memohon perlindungan daripada geng Lapan Lapan kerana gusar dikejar kumpulan Ah Hong. Malangnya, mereka berdua turut menjadi buruan geng Lapan Lapan, hingga menyebabkan Kucai menjadi mangsa. Disebabkan peristiwa ini, Romi dengan beraninya menuntut bela terhadap geng Lapan Lapan, dan akhirnya kumpulan tersebut berjaya diberkas oleh pihak polis. Kecederaan yang dialami oleh Kucai menunjukkan ketulusan Romi dalam persahabatan. Romi menjaga Kucai seperti mana Kucai menjaga bapa angkatnya, Pak Jab. Perkara ini dapat dibuktikan melalui perbualan Kucai sewaktu berada di hospital:
“Ro … sewaktu aku dalam koma, aku dengar engkau kata … engkau tidak mampu meniru apa-apa yang aku buat semasa aku menjaga arwah ayah aku. Tapi sekarang aku tengok elok saja engkau uruskan aku. Salin lampin aku. Cuci berak aku. Lap badan aku.” Kucai tampak sedikit mengah apabila bercakap banyak.
(Mahizan Husain, 2025:167)
Seterusnya, Mahizan Husain sekali lagi menyuntik elemen kerohanian ke dalam watak Kucai sewaktu berada di Kampung Matahari Jatuh. Sebagai orang luar, Kucai telah melakukan kunjungan hormat ke rumah penghulu kampung tersebut. Kucai menjelaskan kepada penghulu bahawa dia dan Romi kini menetap di rumah arwah adik lelaki bongsu Pak Jab. Perkara ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa Kucai memiliki adab yang mulia, terutama terhadap orang tua dan pemimpin dalam sesebuah komuniti.
Unsur kemaafan sesama makhluk turut diselitkan menerusi watak Romi dan abangnya, Romzi. Hubungan mereka berdua tidaklah sejernih yang disangka. Romzi telah mengambil keputusan meninggalkan Romi bersama-sama datuk dan nenek mereka, lalu berhijrah ke Singapura. Setelah sekian lama, Romzi akhirnya pulang menemui adiknya, Romi, yang ketika itu bekerja sebagai pembawa bot di Langkawi.
Pertemuan ini sedikit menggores hati Romi kerana perbuatan Romzi yang sanggup meninggalkannya begitu sahaja. Namun begitu, air dicencang tidak akan putus. Pertalian mereka akhirnya bertaut kembali atas dasar kasih sayang hubungan adik-beradik. Perkara ini dapat ditelusuri melalui petikan yang berikut:
Kedua-dua beradik itu saling berpandangan. Romzi terus memeluk Romi. Romi berdiri kaku ketika dipeluk begitu. Di sudut hati Romi, dia sebenarnya merindui abangnya, meskipun tidak pernah rapat malah selalu bertentangan pendapat.
(Mahizan Husain, 2025:176)
Secara kesimpulannya, novel bertajuk Romi dan Kucai karya Mahizan Husain membuktikan bahawa karya ini sarat dengan nilai-nilai kerohanian. Ini kerana watak-watak utama, Romi dan Kucai, menggambarkan rasa cinta dan ketaatan mereka kepada Allah SWT, selain menonjolkan akhlak mulia yang selaras dengan ajaran Nabi Muhammad SAW. Meskipun pada awalnya Romi dan Kucai terjerumus ke dalam lembah kebinasaan, namun pada penghujungnya mereka diterangi dengan cahaya keimanan. Allah SWT tidak menilai hamba-Nya berdasarkan permulaan kehidupan, tetapi melalui pengakhirannya. Oleh hal yang demikian, novel Romi dan Kucai secara tidak langsung mampu membuka pemikiran kerohanian khalayak pembaca, sama ada yang masih belia mahupun yang sudah berusia. Tuntasnya, novel ini mengajar kita bahawa api kejahatan yang selama ini kita lakukan boleh dipadamkan dengan air mata keinsafan.
Rujukan
Mohd. Yusof Hasan (2007). Teori Pendidikan Pemikiran Global. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Mahizan Husain (2025). Romi & Kucai. Kuala Lumpur: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).