(Makalah ini dibentangkan dalam Seminar Penglibatan Ibu Bapa dalam Pembangunan Literasi Kanak-kanak Daerah Baling 2023 pada 4 November 2023)
Sejak dahulu lagi, isu minat membaca dalam kalangan masyarakat kita sudah menjadi tabu. Malah perbandingan juga sering dilakukan dengan negara-negara luar tentang sikap dan minat membaca dalam kalangan rakyat di negara kita. Terkini budaya membaca rakyat Malaysia dikatakan hanya tiga jam sahaja seminggu berbanding negara lain yang rakyatnya paling rajin membaca, iaitu India sebanyak 10 jam seminggu. Dapatan ini berdasarkan sumber yang dikeluarkan oleh World Culture Score Indeks (WCSI) dalam bharian.com.my pada 1 Februari 2023. Walaupun situasi ini agak menggusarkan, namun kegelisahan ini hanya wujud dalam kalangan cendekiawan umumnya. Sebaliknya, mereka dalam kalangan masyarakat hanya memandang dingin dan enteng sahaja isu ini.
Biarpun isu ini seperti tiada berpenghujung, usaha yang tidak berbelah bahagi tetap dilakukan terutama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), institusi pendidikan serta badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan untuk membenih minat membaca dalam kalangan rakyat di negara kita. Kesungguhan ini boleh dilihat melalui pelaksanaan program Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) yang dilakukan oleh DBP saban tahun. Begitu juga di peringkat institusi pendidikan melalui Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) yang dilaksakan di peringkat sekolah. Cuma persoalannya sejauh mana masyarakat dan ibu bapa menyambut baik program ini?
Begitu juga pada suatu ketika dahulu, kita sering dimomokkan dengan alasan anak-anak terlalu sibuk dengan buku pelajaran sehingga tiada ruang untuk membaca. Anak-anak dikatakan perlu mengejar kejayaan untuk mendapat gred A atau keputusan yang terbaik. Demi masa depan yang cerah, mereka perlu belajar untuk memasuki sekolah-sekolah yang berprestij di negara kita seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sekolah agama dan yang seangkatan dengannya. Pendek kata, anak-anak tiada masa dan keperluan untuk membelek buku selain daripada buku teks dan bahan rujukan yang berkaitan dengan sukatan pelajaran.
Tidak lama kemudian, apabila sistem pendidikan negara mengurangkan pengujian dan penilaian yang berbentuk peperiksaan, mereka dibebani pula dengan penilaian berbentuk tugasan bertulis. Malah rungutannya bertambah bingit kerana kononnya, anak-anak dibebani pula dengan pelbagai kerja sekolah. Maka, masa untuk membaca buku terutama buku cerita dan buku bukan berbentuk pelajaran tetap dikesampingkan. Sehinggakan ada yang menganggap membaca buku cerita sebagai membuang masa.
Sehubungan dengan itu, usaha yang bersungguh-sungguh untuk menyedarkan populasi rakyat Malaysia yang berjumlah 32.9 juta menjadi tugas yang berat. Biarpun tidaklah terlalu sukar, peribahasa yang mengatakan sikit-sikit lama-lama jadi bukit boleh dijadikan motivasi kepada penggiat usaha membaca dalam kalangan rakyat di negara kita. Apabila sudah ada kemahuan, maka pendekatan perlu kena dan tepat, iaitu bermula dari akar umbi. Sehubungan dengan itu, dalam hal ini kita perlu melentur buluh bermula daripada rebungnya. Barangkali akan ada pula rungutan tentang pengaruh telefon pintar yang lebih diminati oleh anak-anak. Jadi persaingan antara bahan bacaaan dengan peranti elektronik hanya boleh diatasi dengan kaedah didikan sejak daripada kecil. Cabaran ini tidak lain dan tidak bukan hanya boleh dimainkan oleh ibu bapa. Maka usaha memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak harus bermula daripada ibu bapa. Pendek kata, rumah memainkan peranan penting untuk memulakan usaha murni dan bermanfaat ini.
Rentetan daripada itu, makalah ini akan membincangkan tiga objektif utama dalam usaha membenih seterusnya menyuburkan sikap minat membaca dalam kalangan rakyat di negara kita. Objektif yang pertama, menyebarkan kebaikan tentang amalan membaca buku kepada ibu bapa. Kedua, memahamkan konsep buku kanak-kanak di Malaysia. Akhir sekali, peranan yang perlu dilakukan dengan iltizam yang kuat oleh ibu bapa dan pihak-pihak tertentu dalam memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak. Pendekatan perbincangan makalah ini berdasarkan kajian dan rujukan perpustakaan dengan merujuk kepada bahan-bahan seperti buku, majalah, makalah, berita dan sebagainya.
Kebaikan dan Manfaat Membaca
Umum mengetahui bahawa membaca ialah jambatan kepada ilmu pengetahuan. Pendek kata dengan membaca, banyak ilmu yang dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian kita. Pengetahuan melalui pembacaan boleh diibaratkan seperti penghubung untuk menyuluh jalan dalam kehidupan. Sesebuah buku terutama buku kanak-kanak (fokus kes dalam perbincangan makalah ini) mempunyai pelbagai maklumat berwarna warni. Maka sesuatu maklumat akan berhubungan dengan pembaca melalui buku-buku yang dibaca. Sebagai contoh, buku kanak-kanak yang ditulis oleh Zurhan Bakar berjudul Mat Raya dan Mat Chinchang (DBP, 2022) memberikan pengetahuan tentang legenda kewujudan nama tempat di Langkawi. Sehubungan itu, melalui pembacaan kanak-kanak dapat menambahkan ilmu pengetahuan tentang nama-nama tempat di negara kita dalam bentuk penulisan kreatif. Begitu juga dengan buku kanak-kanak berjudul Terubuk Kuala Muda (Rizal Othman, DBP 2023) Terusan Keringat (Putraery Ussin, DBP 2023) dan lain-lain lagi.
Cerita-cerita seperti pengembaraan selalunya akan membawa pembaca mengetahui maklumat tentang sesuatu tempat secara interaktif dan menyeronokkan. Pengalaman watak seperti halangan dan cabaran dalam pengembaraan akan meresap dan tertanam dalam minda kanak-kanak. Sebagai contoh, buku kanak-kanak berkonsepkan pengembaraan yang ditulis oleh Putraery Ussin berjudul Sesat Mencari Sinar (DBP, 2023). Maka dengan membaca kanak-kanak dapat mengecapi pengalaman tanpa perlu menanggung risiko bahaya serta mengeluarkan belanja yang banyak. Malah dengan pengetahuan tersebut akan dapat menambah pengalaman untuk dihadapi dalam kehidupan kelak.
Selain itu manfaat membaca juga dapat menggayakan bahasa pembaca. Kanak-kanak memerlukan penambahan kosa kata dalam membesar agar dapat memenuhi keperluan kehidupan serta pergaulan seharian. Penulis yang berpengalaman dalam penulisan buku kanak-kanak selalunya akan mempelbagaikan kosa kata dalam sesebuah karyanya agar lebih bervariasi. Malah, ada sesetengah penulis menggunakan peribahasa agar memberi keindahan atau kepelbagaian supaya cara bercerita lebih berkesan kepada pembaca. Sebagai contoh, buku Mat Labuh (DBP, 2023) yang ditulis oleh Rizal Othman mengetengah pelbagai peribahasa serta maksudnya untuk meluaskan penggayaan bahasa pembaca terutama kepada kanak-kanak.
Memberikan pendidikan kepada anak-anak perlu bermula dari peringkat awal. Banyak bidalan dan juga kata-kata hikmah yang diungkap tentang pendidikan awal kanak-kanak seperti anak ibarat sehelai kain putih, pendidikan perlu bermula sejak dari dalam buaian, melentur buluh bermula daripada rebungnya dan sebagainya. Maka peranan buku cerita kanak-kanak yang mudah seperti Nenek, itu Apa? (DBP, 2023) oleh Wildan Haya sudah pasti boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh para ibu bapa. Pendidikan yang hendak diterapkan oleh penulis adalah tentang pengenalan sesuatu perkara bermula daripada objek yang dilihat. Konsep sebegini memang wujud sejak azali dalam diri kanak-kanak, iaitu suka bertanya. Jadi dengan wujudnya buku-buku yang mudah, anak-anak akan mempelajari dengan mudah sejak dari awal.
Buku cerita kanak-kanak juga pasti akan terselit motivasi sama ada secara tersirat mahupun tersurat. Perkara-perkara seperti sikap saling hormat-menghormati, rajin, sopan santun, berterima kasih, menjaga budi bahasa dan lain-lain adab atau perkara asas dalam kehidupan perlu diterap sejak kecil. Oleh hal yang demikian, dalam buku puisi kanak-kanak Bunyi Tabung (DBP, 2023) menyajikan lebih daripada 50 buah puisi yang menyatakan perkara-perkara berkaitan motivasi seperti nilai dan pengajaran kepada kanak-kanak. Malah dengan menggunakan pendekatan pembacaan bersama-sama ibu bapa atau ahli keluarga sudah tentu manfaat ini akan lebih bercambah kepada semua.
Tuntasnya, kebaikan buku kanak-kanak sudah terbukti dalam memberikan pelbagai manfaat kepada masyarakat. Maka perahu sudah tersedia dan pendayung juga sudah di tangan, oleh itu ibu bapa serta penjaga perlu kekal teguh menyediakan kepada anak-anak buku-buku untuk perkembangan rohani dan jasmani yang sempurna. Cabaran dalam menepis kekuatan telefon bimbit boleh diatasi dengan penyediaan buku digital. Jadi jika kita orang dewasa yakni ibu bapa dan penjaga tidak berusaha memecahkan ruyungnya, mana akan dapat sagunya?
Buku Kanak-kanak
Terdapat pelbagai jenis buku untuk pembacaan kanak-kanak di pasaran. Begitu juga dengan jenis atau genre dan juga bentuk fizikal serta isi kandungannya. Malah dewasa ini, penerbitan buku kanak-kanak di negara kita sangat menggalakkan. Penerbit seperti DBP, Oyez! Books (Oyez), ILHAM Books, Karangkraf, Galeri Ilmu dan lain-lain penerbitan sentiasa berlumba dan berusaha untuk menerbitkan buku yang lebih menarik dan bermutu untuk pembacaan kanak-kanak. DBP contohnya, bukan sekadar menerbitkan buku untuk tujuan hiburan semata-mata tetapi juga memberi pendidikan melalui penerapan ilmu pengetahuan di dalamnya.
Buku kanak-kanak di negara kita mendapat manfaat daripada perkembangan buku kanak-kanak di dunia seperti di China, Amerika dan United Kingdom (UK) yang berjaya menjadi pilihan utama di negara masing-masing. Di negara maju tersebut, buku cerita kanak-kanak menjadi pilihan utama mengatasi buku teks atau buku berkaitan pembelajaran di sekolah. Maka, rentetan daripada itu, hal ini mula dibincangkan dengan serius tentang potensi buku kanak-kanak di negara kita yang perlu di beri nafas baharu, ketika berlangsungnya Seminar Sehari Bersama Penerbit Buku pada tahun 2018 (BH Online, 2018).
Berikut adalah kategori buku cerita kanak-kanak yang diterbitkan oleh DBP untuk rujukan dan pemahaman ibu bapa dalam mendapatkan buku yang sesuai kepada anak-anak;
- Buku bergambar (kanak-kanak kreatif dan informatif)
- Buku Berilustrasi (kanak-kanak kreatif dan informatif)
- Novel Kanak-kanak
- Puisi Kanak-kanak
- Buku Informatif/Buku Sokongan Pendidikan Kanak-kanak (Buku Bergambar)
- Kumpulan/Antologi Cerpen Kanak-kanak
Semua buku-buku ini juga dibahagikan mengikut peringkat umur seperti;
- 0 hingga 3 tahun
- 4 hingga 6 tahun
- 7 hingga 9 tahun
- 10 hingga 12 tahun
- 13 hingga 15 tahun.
Daripada lima kategori ini terdapat pula jenis cerita tertentu seperti; kisah binatang, cerita rakyat (sejarah, mitos, legenda, asal usul), fantasi atau sains fiksyen, cerita jenaka, peribahasa dan lain-lain.
Sehubungan dengan itu, semua maklumat ini boleh dijadikan panduan berguna kepada ibu bapa membuat pemilihan buku yang tepat untuk anak-anak. Minat dan dorongan sejak kecil boleh membentuk peribadi dan juga masa depan seseorang. Jadi sebagai ibu bapa, pemilihan buku yang baik amat penting sebagai makanan jiwa untuk membentuk insan yang istimewa seperti yang kita ingini.
Pemilihan Buku Kanak-kanak
Adakah semua buku boleh diberikan kepada kanak-kanak untuk dibaca? Dalam hal ini beberapa perkara boleh dijadikan panduan kepada ibu bapa. DBP sudah menetapkan had umur tertentu kepada penulis buku kanak-kanak. Terdapat lima kategori had umur seperti yang dinyatakan sebelum ini. Jadi dengan had umur demikian, segala aspek seperti bahasa, isi cerita, saiz tulisan, ilustrasi dan juga fizikal buku telah ditetapkan oleh penerbit. Maka, ibu bapa hanya perlu menyesuaikan dengan kadar umur anak-anak sahaja.
Selain itu, terdapat juga kanak-kanak yang cepat matang atau mempunyai kebolehan yang luar biasa. Hal ini bermaksud kanak-kanak tersebut boleh membaca dengan baik pada usia muda. Sehubungan dengan itu, terdapat juga jenis buku yang disediakan mengikut jenis minat dan kecenderungan anak-anak. Sebagai contoh, anak-anak yang agak lasak atau suka kepada aktiviti, maka buku-buku siri pengembaraan atau sukan dan permainan boleh diberikan kepada mereka. Sebagai contoh DBP ada menerbitkan buku-buku yang berbentuk sukan dan permainan seperti Seronoknya Bermain Tenis (2016), oleh Putraery Ussin. Jika mahu mendidik anak-anak dengan pengetahuan seperti sejarah buku-buku tentang cerita rakyat seperti Laksamana dan Maharaja (DBP, 2022) serta Terusan Keringat (DBP, 2023) boleh dimanfaatkan.
Terdapat juga buku yang disediakan oleh penerbit lebih cenderung ke arah jantina kanak-kanak. Buku-buku yang membawa judul feminisme selalunya seperti putera raja, puteri raja, fesyen, masakan dan sebagainya juga boleh dijadikan panduan untuk bahan anak-anak mengikut jantina. Adakalanya pendedahan bahan bacaan yang silap atau tidak kena dengan jantina kanak-kanak boleh mewujudkan kecelaruan identiti atau kecenderungan yang tidak baik pada masa hadapan. Buku-buku seperti Puteri Buluh Betung (DBP, 2022), Laksamana dan Maharaja (DBP, 2022) oleh Puteraery Ussin dan sebagainya, lebih molek diberikan kepada anak-anak mengikut jantina. Dengan cara ini ibu bapa sudah dapat membentuk identiti anak-anak dengan lebih baik dan sempurna dalam proses pembesaran mereka.
Sehubungan dengan itu, dalam pemilihan buku kepada kanak-kanak ibu bapa dan penjaga harus berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan propaganda atau mesej tersirat dalam sesebuah buku. Aspek psikologi juga harus diambil kira oleh ibu bapa dan penjaga. Jadi perkara berkaitan umur, jantina dan kecenderungan anak-anak harus dititikberatkan dalam pemilihan buku yang sesuai kepada anak-anak. Penerbit seperti DBP semestinya sudah menentukan had yang ketat terhadap perkara tersebut dalam mendidik rakyat Malaysia menjadi warganegara yang baik pada masa hadapan untuk agama, bangsa dan negara.
Peranan Ibu Bapa
Apakah peranan ibu bapa dalam memupuk minat membaca anak-anak? Selain daripada mengeluarkan wang untuk membayar harga buku, ibu bapa juga perlu peka dengan bahan bacaan kepada anak-anak. Jika makanan untuk fizikal, kita mahu hidangkan yang penuh dengan nutrien seimbang, agar anak-anak sihat dan kuat. Begitu juga dengan keperluan rohani atau makanan jiwa dan pemikiran untuk melahirkan anak-anak yang pintar dan cerdas. Semua mahukan yang terbaik untuk mendidik emosi dan juga sikap atau perlakuan mereka. Jadi bahan bacaan yang betul serta boleh memberikan pendidikan perlu diutamakan. Oleh itu, ibu bapa bukan sahaja mengeluarkan wang mengikut kehendak anak-anak tetapi juga perlu teliti. Hal ini demikian kerana, melentur buluh biarlah daripada rebungnya, jika sudah menjadi buluh, yakni remaja atau dewasa tentu sukar untuk dilentur.
Selain daripada mengeluarkan wang untuk memenuhi kemahuan anak-anak (dalam konteks pemilihan buku) ibu bapa juga perlu bertolak ansur atau berkompromi. Ketika Pesta Buku Kuala Lumpur (PBKL) 2023 baru-baru ini, buku kanak-kanak yang paling laris ialah komik. Kebiasaannya setiap isi kandungan komik lebih kepada kanak-kanak yang berusia 10 tahun hingga ke atas. Ketika ini kebanyakan kanak-kanak sudah boleh membaca dan memahami jalan cerita yang dipersembahkan di dalam komik tersebut. Dalam konteks ini, peranan ibu bapa amatlah penting untuk menyemak dan memastikan isi kandungan komik tersebut bebas daripada unsur-unsur negatif.
Seterusnya, meneliti dan ambil tahu isi kandungan bahan bacaan anak-anak. Hal ini perlu diberi penekanan yang serius. Terlajak perahu boleh diundur tetapi tersalah bahan bacaan boleh merosakkan pemikiran anak-anak. Di pasaran, demi mengaut keuntungan dan melariskan jualan perkara asas tentang kebaikan dalam mendidik selalunya diketepikan oleh pihak penerbitan, walaupun bukan semua. Falsafah pembinaan karya untuk kanak-kanak adalah untuk memberikan pendidikan (ilmu) melalui pembacaan, di samping menyediakan keseronokan ketika membaca. Elemen seperti mesej, nilai dan pengajaran perlu diterapkan sama ada secara tersurat mahupun tersirat. Namun begitu, dibimbangi perkara penting itu tiada dalam buku kanak-kanak. Oleh hal yang demikian, sebagai pembeli yang mempunyai hak untuk memilih dan membuat keputusan, ibu bapa perlu peka untuk meneliti dari kulit hadapan ke kulit belakang sesebuah buku. Jika terdapat elemen yang tidak elok, maka lebih baik tidak membelinya demi kebaikan masa depan anak-anak.
Akhir sekali, melihat dan memilih perkara yang baik dan sesuai untuk anak-anak. Asas pemilihan buku selalunya bermula dengan dari mata turun ke hati. Oleh hal yang demikian, lihat dengan teliti terlebih dahulu maklumat di muka hadapan buku seperti tajuk, nama penulis, ilustrasi, penerbit dan juga blurb. Jika sudah berkenan dengan sesuatu yang dilihat, semak pula halaman demi halaman. Apabila terdapat perkara yang menjadi kemusykilan tanyalah kepada jurujual buku tersebut tentang isi kandungannya. Setelah benar-benar berpuas hati barulah membelinya, biar seperti kata peribahasa alah membeli menang memakai.
Kesimpulan
Semua pihak perlu memainkan peranan penting seperti aur dengan tebing. Pihak-pihak lain seperti kerajaan perlu mempunyai hala tuju yang jelas seperti penguatkuasaan undang-undang yang ketat untuk memberikan pendidikan kepada kanak-kanak. Jika sudah ada dasar yang kukuh dan mantap digubal oleh kerajaan, maka badan bukan kerajaan atau Non-Government Organization (NGO) dengan mudah dapat menyalurkan sumbangan, sama ada dari segi kewangan dan juga tenaga. Kesannya, masyarakat di seluruh negara lebih mudah memberikan sokongan kepada usaha murni ini.