Persoalan pertama yang bermain-main dalam minda saya sebelum pementasan ialah gila yang bagaimana? Tiba-tiba teringat kisah popular suatu ketika dahulu, orang gila mana yang nak mengaku gila? Di hari pementasan, persoalan ini semakin menghimpit jiwa saya tatkala ketika mengambil tempat duduk, tiba-tiba pelakon tambahan menghampiri dan ketawa sendirian.
“Memang macam orang gila betul,” bisik saya sendirian. Saya sebagai calon penonton semakin dilanda psiko sendirian. Gila jenis apa? Betul-betul gila atau bukan gila? Atau cuma buat-buat gila.
Sebenarnya, gila merupakan sejenis penyakit mental yang banyak dihidapi oleh masyarakat sama ada secara sedar atau tidak. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penyakit mental adalah sejenis gangguan fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkahlaku seseorang. Penyakit ini akan mengakibatkan gangguan dalam menjalani aktiviti seharian dengan baik. Laman web myhealth melaporkan bahawa terdapat beberapa penyakit mental seperti neurosis, psikosis dan kecelaruan personaliti. Antaranya ialah kemurungan, kebimbangan dan skizofrenia. Bacaan lanjut diperlukan untuk lebih memahami penyakit ini.
Secara ringkasnya, penyakit gangguan fungsi psikologi dan tingkah laku yang sering dikaitkan ialah kecelaruan bipolar, kecelaruan obsesif-kompulsif, dan fobia. Namun, masyarakat seharusnya dididik bahawa tidak semua penyakit yang disebutkan ini dikaitkan dengan gila. Paling penting, pesakit perlu dibawa berjumpa dengan pakar untuk proses rawatan dan terapi.
Teater Bukan Gila mengajak penonton untuk sama-sama berfikir tentang beberapa persoalan yang begitu akrab dengan kehidupan sekeliling. Antaranya ialah sikap ketabahan seorang pesakit berhadapan dengan penyakit yang dihidapi secara bersendiriaan, hubung kait cinta dan kasih sayang, penghargaan seorang anak terhadap ibu dan ayah, sifat kesetiaan dalam hubungan, sikap tidak peduli masyarakat dan kepentingan duit dalam kehidupan. Ini dapat diteliti secara tuntas misalnya sikap kasih sayang Azmir kepada kekasihnya Ani yang tidak berbelah bahagi. Namun Ani telah meninggalkannya sendirian di hospital kerana penyakit yang dialami. Memang, Ani pun menganggap bahawa Azmir pun gila.
Menakjubkan. Ini satu-satunya perkataan yang boleh saya rumuskan mewakili keseluruhan pementasan teater Bukan Gila. Walaupun sudah lama dipentaskan, namun kehangatannya masih terasa. Teater KOMSAS ini telah berlangsung selama 3 malam berturut-turut di Auditorium JKKN Perak pada 3 Februari hingga 5 Februari 2023. Cuma hanya sekarang saya berkesempatan berkongsi pengalaman menonton teater ini kepada khalayak. Tambahan sejak akhir-akhir ini, pementasan di Malaysia semakin meriah. Akan datang, DBP bakal mementaskan Balada Si Angsa Hitam berdasarkan cerpen Sasterawan Negara Nordin Hassan di bawah skrip dan arahan A. Wahab Hamzah pada 1, 2, 3, dan 4 November 2023.
Saya terlepas slot malam pertama kerana ada hal yang tidak dapat dielakkan. Namun mujurlah ada kesempatan untuk hadir pada malam kedua. Ternyata, semua pelakon masih bertenaga seolah-olah pementasan malam pertama. Ketika jarum jam menunjukkan detik belum 8.00 malam lagi pun kebanyakan penonton sudah membanjiri ruang legar menunggu pintu dibuka. Namun mujurlah penonton dihiburkan dengan persembahan band dan jualan buku. Paling “mujur”, sudah tentu harga pas masuk yang tidak masuk akal. Bayangkan penonton cuma perlu membayar harga RM15.00 sahaja ketika negara dan dunia menghadapi inflasi.
“Ada lagi teater dengan tiket RM15.00 ketika masyarakat dihangatkan dengan menu rahmah?” Bisik saya sendirian.
Saya bersangka baik.
Barangkali, ini merupakan salah satu inisiatif produksi untuk menarik semula penonton ke auditorium. Pada saya, mana balik modal dengan harga sebegitu. Ada pelakon yang didatangkan khas dari Singapura dan Kuala Lumpur. Semua ini tentu menelan kos yang tinggi. Memanglah, kebanyakan pementasan teater menelan kos yang besar. Ada puluhan ribu malah mencecah ratusan ribu ringgit. Apa yang penting, pementasan ini berbaloi untuk ditonton. Apatah lagi kepada pelajar tingkatan 4 dan 5 yang mengambil KOMSAS. Masyarakat umum juga perlu menonton untuk membuktikan bahawa KOMSAS masih lagi relevan.
Tambahan pula, sudah sekian lama tidak ada pementasan lantaran COVID-19 durjana sehingga aktiviti seni dan budaya begitu malap. Ternyata, teater ini begitu hangat sehingga penuh ruangan tempat duduk di tingkat atas dan bawah. Saya sendiri terpaksa menunggu lama dan beratur panjang membeli tiket. Hal ini menunjukkan bahawa drama dan teater masih lagi bernafas. Masuk sahaja ke auditorium, penonton pasti terpesona dengan rekaan set pentas yang ringkas tetapi berkesan selain seni muzik yang memukau. Saya kagum dengan elemen muzik yang dipersembahkan oleh krew ensemble.
Memang wow!
Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan tahniah kepada seluruh produksi yang bersungguh-sungguh menjayakan pementasan.
Berbalik kepada teater Bukan Gila.
Teater ini merupakan naskhah drama dalam buku Sejadah Rindu yang merupakan salah sebuah Komponen Sastera (KOMSAS) Tingkatan Lima. Teater ini mengisahkan tentang watak Azmir yang dianggap gila kerana mempunyai pemikiran dan pandangan yang berbeza berbanding orang lain. Barangkali, kerana jiwanya lebih kepada aspek kesenian yang menjadikan jiwanya lebih halus berbanding orang lain. Secara lebih jelas, ia terkait dengan perbezaan idealisme dan pandangan sikap manusia yang akan menentukan cara hidup dan tindakan dalam sesuatu perkara. Teater ini juga sarat dengan elemen nilai yang boleh memandu sikap penonton. Antaranya ialah nilai kesetiaan, keprihatinan, kasih-sayang, menghargai, ketabahan, dan baik hati. Setiap babak-babak yang dipersembahkan sememangnya sarat dengan elemen ini.
Lihatlah betapa marahnya Azmir tatkala kertas-kertas yang mengandungi bait puisi dipermainkan oleh Doktor Razi.
Teater nukilan Sharif Shaary ini diterbitkan oleh Yusop Najmi Othman. Ternyata, watak Azmir yang dimainkan oleh Aloy Paradoks begitu hidup dan mengesankan. Sebelum ini, saya lebih mengenali Aloy sebagai seorang penulis indie. Namun sebenarnya, Aloy banyak juga terlibat dalam teater, filem pendek, drama dan filem. Ini termasuklah sebagai pelakon dan penulis skrip. Namun, inilah kali pertama saya menyaksikan Aloy secara langsung di pentas teater. Ternyata, karakter Azmir sangat menjadi di tangan Aloy Paradoks. Patutlah Aloy begitu lancar melontarkan dialek Perak dalam beberapa babak kerana dia rupa-rupanya berasal dari Teluk Intan.
Latar pentas ini juga mudah dan tidak memerlukan kepada penyusunan prop yang kompleks. Pertama, wad Hospital Besar. Kedua, pentas tempat pelakon-pelakon berlatih drama berjudul Sasau. Sudah tentu, set wad hospital sangat hidup kerana beberapa prop yang berkesan seperti kerusi elektrik yang berfungsi. Penontoh pun terkejut tatkala melihat alat tersebut berasap.
Kostum yang dipakai Azmir juga seolah-olah orang gila yang betul-betul gila. Sehingga tangannya terpaksa diikat supaya tidak mengganggu orang ramai. Apatah lagi dengan rambut yang tidak terurus. Lihat sahaja bagaimana menggeletar tubuh badan Azmir tatkala diberikan renjatan elektrik. Kesan bunyi juga sangat memukau sehingga kelihatan penonton memeluk tubuh terkesima.
Pementasan ini bermula dengan sekumpulan orang gila yang melilau-lilau di tempat duduk dan pentas. Ternyata, para pelakon tambahan ini begitu tegar memainkan watak sehingga penonton terpedaya adakah Bukan Gila itu semenangnya tidak gila? Ternyata, telahan awal penonton meleset kerana jawapan sebenar hanya dapat diketahui di akhir pementasan. Eksposisi diteruskan dengan watak utama Azmir yang berada di wad Hospital Besar kerana dikatakan gila. Hal ini dikuatkan lagi dengan Azmir yang banyak berkhayal seorang diri. Misalnya, dia hanya berkhayal tentang kehadiran kekasihnya Ani, kunjungan ayahnya ke wad dan kemunculan watak Pak Haji.
Walaupun sarat dengan elemen yang serius, dialog antara Azmir dan Pak Haji ada juga unsur kecindan yang menyebabkan penonton sedikit ketawa. Ini antara babak-babak yang dapat mengendurkan ketegangan yang bermain-main dalam kepala penonton.
Antara yang cukup “gila” dengan watak yang agak psiko ialah Doktor Razi. Ard Omar yang juga pengarah teater ini sendiri yang memegang watak yang cukup hidup ini. Cuma satu sahaja yang menyebabkan saya terkilan dengan Doktor Razi. Adakah semua begini tindakan doktor melayan pesakit di wad gila? Agak kasar dan terlalu berkeras. Akan tetapi, watak Doktor Razi inilah yang membuatkan teater ini hidup. Ard Omar bijak melontarkan vokal, memainkan mimik muka dan dan mengawal pentas.
Teater ini juga diserikan dengan kemunculan watak Ibu yang dipegang oleh Ellie Suriaty Omar. Antara pelakon-pelakon lain yang turut mengambil bahagian termasuklah Rafaat Hj. Hamzah sebagai Bapa, Syra Sabri sebagai Ani, Pak Cu Raja Lawak sebagai Pelakon 1, Apit Wan Lebo sebagai Pelakon 2, Oton Se’eh sebagai Pelakon 2, Shairazi sebagai Arif dan Nadzri Khalid sebagai Pak Haji.
Walaupun lebih banyak berdiam, watak Atendan 1 yang dipegang oleh Wan Janggut dan Aqem Hamzah sebagai Atendan 2 antara yang paling saya suka. Begitu juga dengan gerak lakon Syasya Yusrah sebagai jururawat yang banyak menghidupkan suasana pentas. Yang menaikkan suasana sudah pastilah korus sebagai selang-seli dihidupkan dengan vokal mantap Azee Mentor Otai dan Addyizuan. Ternyata, barisan pelakon yang dipilih cekap membangunkan karakter watak masing-masing yang begitu pragmatik dan bersungguh. Setiap watak menggayakan watak dan tahu ruang lingkup masing-masing yang kekadang agresif.
Tenyata, pementasan teater ini begitu mengasyikkan sehingga menyebabkan penonton langsung tidak berganjak dari tempat duduk. Barangkali kerana plot drama ini disusun secara kronologi dan tidak terlalu kompleks untuk difahami oleh penonton biasa.Sebagaimana tajuknya, jelas bahawa Azmir tidak gila. Babak akhir terjawab bahawa Azmir menghidapi barah otak. Azmir sebaliknya hanya bersikap gila-gila sejak tingkatan enam kerana terlalu banyak bersendirian melayan penyakit yang dihidapinya.
Kalau boleh diundur masa, Azmir tidak sepatutnya dimasukkan ke wad jika ibunya menyelami dan cuba mendekati anaknya dengan baik. Azmir juga tidak sepatutnya dilayan sebagai orang gila sekiranya Doktor Razi menjalankan diagnosis dengan tepat. Namun apa boleh buat, yang berlalu tetap berlalu. Paling mengharukan, sudah pastilah tatkala Azmir pergi dalam keadaan penuh tragis dan dramatik. Jelas, Azmir bukan gila sebaliknya dia menghidapi penyakit barah otak.