Guru memainkan peranan penting sebagai agen pembentuk pelajar menjadi insan berdaya saing dan beridentiti selaras dengan prinsip Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Peranan guru bukan hanya sebagai pendidik semata-mata tetapi bertindak sebagai agen penanaman nilai-nilai murni yang membawa perubahan dalam pembentukan sosialisasi pelajar di sekolah. Guru menjadi suri teladan yang dapat memupuk potensi murid secara holistik dan berperanan sebagai contoh teladan yang positif di sekolah.
Sehubungan dengan itu, pengajaran nilai-nilai murni bukanlah diajarkan secara khusus melalui mata pelajaran, sebaliknya disisipkan secara bersepadu melalui semua mata pelajaran, aktiviti harian, dan kegiatan kokurikulum (formal dan tidak formal), di dalam dan di luar bilik darjah. Pengajaran nilai murni ini diperkukuh melalui pendekatan holistik bagi memastikan penerapannya berkesan dan menyeluruh dalam diri pelajar berteraskan ajaran agama dan seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Berdasarkan pandangan Hashim Fauzy Yaakob (2000) dalam Pengantar Komunikasi Manusia, seseorang guru tidak dapat mengelak daripada komunikasi kerana teras utama dalam proses mendidik, komunikasi menjadi penghubung utama antara guru dengan murid dalam menyampaikan maksud yang sebenar. Komunikasi berkesan, baik lisan mahupun bukan lisan, adalah kemahiran penting seseorang guru dalam menyampaikan maklumat, membina personaliti, dan berinteraksi secara efektif di dalam atau di luar bilik darjah. Dua jenis komunikasi yang mesti dikuasai oleh seseorang guru ialah komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan. Komunikasi lisan mestilah menggunakan bahasa yang berkesan dan adanya penerapan unsur kecindan dalam menyampaikan maklumat kepada pelajar.
Sementara itu, komunikasi bukan lisan pula seperti penggunaan bahasa badan, postur badan dan interaksi mata. Komunikasi bukan lisan boleh membantu memperkukuh komunikasi berkesan antara guru dengan pelajar. Dengan mempraktikkan kesemua unsur ini, barulah seseorang itu berjaya menjadi seorang pendidik yang baik dan bakal meninggalkan bekas dalam hati dan jiwa pelajar. Komunikasi yang berkesan akan membina hubungan yang lebih erat antara kedua-dua pihak.
Walau bagaimanapun, tanpa disedari proses komunikasi antara guru dengan pelajar secara tidak formal adakalanya lebih berkesan dan memberi pengaruh yang lebih besar dalam proses penanaman nilai-nilai murni dalam jiwa pelajar. Komunikasi tidak formal antara guru dengan pelajar seperti perbualan santai, bimbingan dan aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan di luar bilik darjah dapat mendekatkan hubungan antara murid dengan guru.
Sejujurnya, komunikasi secara tidak formal dikatakan lebih berkesan dan berjaya menanam nilai-nilai murni kerana dapat membina kepercayaan yang lebih tinggi antara guru dengan pelajar, dapat mengurangkan rasa takut dalam kalangan pelajar, dan berjaya memupuk hubungan interpersonal yang ikhlas. Apabila pelajar selesa dan tenang, guru akan lebih mudah menerapkan nilai-nilai murni secara halus, sekali gus memberikan pengaruh yang lebih mendalam berbanding dengan kaedah formal yang lebih kaku dan terkongkong.
Hal ini jelas membuktikan bahawa komunikasi yang baik antara guru dengan pelajar berjaya menerapkan nilai-nilai murni dalam diri dan jiwa pelajar. Pernyataan ini disokong oleh kajian Teven dan Hanson (2004) dalam makalahnya bertajuk “The Impact of Teacher Immediacy and Perceived Caring on Teacher Competence and Trustworthiness” dengan jelas menyatakan bahawa guru berkesan perlu mempunyai kemahiran komunikasi yang hebat. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui komunikasi berkesan, para guru dapat menyampaikan ilmu pengetahuan dengan lebih jelas, lancar dan mudah difahami oleh pelajar. Oleh sebab itu, kemahiran komunikasi penting kepada seseorang guru untuk meningkatkan keberkesanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam atau di luar bilik darjah.
Seterusnya, matlamat dasar pendidikan negara bertujuan melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin, berpengetahuan, bertanggungjawab, berkebolehan, berwawasan dan berketerampilan. Sehubungan dengan itu, sudut pandangan hidup seharusnya didedahkan dan diajar kepada pelajar untuk mereka hayati dan fahami. Hal ini dikatakan demikian kerana fungsi utama proses pendidikan ialah peranan guru sebagai agen pemasyarakatan dan pembudayaan dalam menerapkan nilai-nilai tersebut ke dalam diri dan jiwa pelajar. Bagi menjana pembangunan modal insan yang seimbang, empat sifat utama melalui Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelektual (JERI) yang berjaya menghasilkan keseimbangan dalam melahirkan individu yang berakhlak dan intelek.
Oleh hal yang demikian, peranan dan sumbangan guru kepada masyarakat dan negara amat besar sekali kerana mendidik anak bangsa dapat melahirkan generasi yang berilmu dan produktif. Abdul Halim El-Muhammady (1991) dalam bukunya bertajuk Pendidikan Islam: Falsafah, Disiplin dan Peranan Pendidik menyatakan bahawa guru merupakan agen kepada keberkesanan pendidikan. Sejajar dengan misi nasional, guru turut bertanggungjawab membina modal insan yang berkualiti, dalam erti kata melahirkan pelajar yang mantap dalam pencapaian akademik, memiliki nilai dan akhlak yang baik, serta pemikiran yang cerdas dan fizikal yang cergas. Kebestarian guru terletak pada kebijaksanaan dan keupayaan mereka menyalurkan ilmu pengetahuan dan kemahiran insaniah serta menanam nilai-nilai murni pada diri didikan mereka agar menjadi warganegara yang berguna.
Sementara itu, pendidikan menjadi teras utama dalam pelan strategik pembangunan negara kerana kekuatan sesebuah tamadun bangsa berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan. Profesion perguruan mempunyai nilai yang tinggi dan dipandang mulia oleh mana-mana negara di dunia. Guru bertanggungjawab memimpin dan mendidik generasi muda yang menjadi pewaris negara pada masa hadapan. Guru menjadi contoh dan suri teladan yang baik untuk diikuti dan dijadikan rujukan oleh pelajar.
Pernyataan tersebut disokong oleh Abdul Rashid Mohamed, Abd. Rahman Abd. Aziz dan Abdul Ghani Abdullah (2008) dalam buku Humor dalam Pengajaran, yang menjelaskan bahawa guru berkesan ialah guru yang baik dan dapat memberikan kesan dari segi personaliti serta membawa perubahan tingkah laku kepada pelajarnya. Antara ciri-ciri guru berkesan dari segi peribadi yang paling banyak dikaitkan dengan pencapaian pelajar ialah kemesraan dan sikap memahami yang ditunjukkan oleh seseorang guru kepada pelajarnya. Seterusnya, komunikasi yang diselitkan dengan unsur humor berjaya menarik perhatian pelajar dan dapat membina hubungan yang lebih baik dalam kalangan pelajar dengan guru mereka.
Namun demikian, hal paling utama yang mesti menjadi pegangan dan ingatan kepada guru-guru ialah guru mestilah menjaga keperibadian yang baik sebagai pendidik jika mahu melahirkan pelajar yang cemerlang secara holistik. Hal ini dikatakan demikian kerana guru merupakan contoh ikutan dan model yang terbaik kepada pelajar. Menurut Fenstermacher, G. D. dan Richardson, V. (2005) dalam makalah bertajuk “On Masking Determination of Quality in Teaching”, seseorang guru mestilah mempamerkan personaliti terpuji pada setiap masa kerana hanya dengan mempamerkan sikap dan nilai-nilai positif sahaja yang dapat memberikan kesan dan pengaruh yang baik terhadap tingkah laku pelajar di sekolah. Guru merupakan cerminan kepada keperibadian pelajarnya.
Sebagai contoh, apabila ada pelajar yang memberikan pertolongan, guru mestilah mengucapkan terima kasih atas pertolongan tersebut. Melalui contoh teladan yang ditunjukkan oleh guru, pelajar dapat mempelajari dan mengikutinya dalam kehidupan mereka, baik di sekolah mahupun di luar kawasan sekolah.
Kenyataan ini turut disokong oleh Profesor Mohd Kamal Hasan (1988) dalam buku Pendidikan dan Pembangunan: Satu Perspektif Bersepadu yang menegaskan bahawa contoh teladan guru banyak membantu dalam proses pembentukan akhlak pelajar. Guru merupakan pemimpin dan contoh teladan yang baik kepada pelajar, baik dari segi tingkah laku dan corak pemikiran. Guru mestilah menjadi individu yang mempunyai akhlak mulia dan memiliki personaliti yang baik walaupun ada segelintir masyarakat kurang menghargai watak berbudi luhur ini. Namun demikian, itu bukanlah alasan untuk seseorang guru mempamerkan tingkah laku yang tidak baik di hadapan pelajar mereka.
Sehubungan dengan itu, personaliti pada umumnya merujuk kepada keperibadian atau sahsiah. Personaliti juga dirujuk sebagai perwatakan. Menurut Mishel, W. (1968) dalam bukunya Personality and Assessment mendefinisikan personaliti sebagai suatu susunan pola-pola tingkah laku seseorang individu yang dijelmakan dan kemudian dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Pandangan ini turut disokong oleh Ahmad Mohd Salleh (2008), dalam bukunya Pengajian Agama Islam dan J-QAF: Metodologi dan Pedagogi Pendidikan yang menegaskan bahawa menjadi tradisi masyarakat, guru atau pendidik dinilai dari pelbagai aspek, terutamanya dari segi ketokohan, keperibadian dan kewibawaan. Pada pandangan pelajar, guru adalah orang yang sangat berkuasa dan memiliki segala-galanya. Oleh hal yang demikian, guru mestilah mempamerkan personaliti yang baik kepada pelajar kerana setiap perlakuan guru menjadi contoh dan ikutan.
Sementara itu, menurut Karom Kingsoka (2010) dalam makalahnya “Sikap yang Harus Dimiliki oleh Seorang Guru” menyatakan bahawa dimensi personaliti guru termasuklah kualiti peribadi yang ada pada seseorang guru yang merangkumi sensitiviti, kesungguhan dan perasaan tanggungjawab. Selain itu, kualiti sikap yang lain seperti bertenaga, berkeyakinan diri yang tinggi, kebolehan bekerja dengan orang ramai dan kebolehan mencipta humor juga merupakan nilai tambah kepada seseorang guru untuk mendapatkan kepercayaan dalam membina hubungan yang positif dengan pelajar.
Kualiti peribadi ini boleh dikategorikan kepada dua, iaitu interaksi manusia dan kepimpinan. Interaksi manusia seperti perhubungan yang erat, kemesraan, sokongan, hormat dan sensitiviti. Kepimpinan pula merangkumi sifat seperti dinamisme, berhati-hati, inisiatif, kesungguhan dan jaminan diri. Sikap ini menjadikan guru dihormati, dicontohi dan menjadi suri teladan yang baik kepada pelajar di sekolah. Sikap dinamik seorang guru menjadikan guru itu disenangi dan dihormati oleh para pelajarnya.
Sementara itu, dinamik seorang guru merujuk kepada keupayaan pendidik untuk menjadi proaktif, fleksibel, dan progresif, melangkaui peranan tradisional dalam bilik darjah untuk memacu perubahan. Guru yang dinamik melengkapkan diri dengan teknologi terkini, sentiasa menimba ilmu baharu, dan mampu menarik minat murid. Mereka juga berperanan sebagai agen perubahan yang membentuk sahsiah, kemahiran, dan personaliti pelajar agar selari dengan keperluan semasa.
Kesimpulannya, kejayaan dan kecemerlangan sistem pendidikan di dunia amat bergantung pada integriti, ilmu, dan keperibadian seseorang guru. Keluhuran peribadi seorang guru serta kemahiran ilmu yang tinggi bukan sahaja dapat mendidik dengan baik, tetapi juga menjadi contoh teladan yang berkesan untuk melahirkan masyarakat berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia.
