PERSATUAN Bagi Orang Buta Sarawak atau Sarawak Society for the Blind (SSB) ialah sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO). Persatuan ini diasaskan oleh sekumpulan sukarelawan yang diketuai oleh mendiang Tan Sri Datuk William Tan dan secara rasmi didaftarkan pada 3 November 1960.
Objektif utama SSB adalah untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan golongan bermasalah penglihatan di negeri Sarawak. Kini, SSB telah berkembang ke seluruh negeri dengan membuka tiga cawangan di Kuching, Sibu dan Miri.
Pembentukan sebuah carta organisasi induk dengan beberapa pecahan jawatankuasa , membolehkan SSB merangka serta melaksanakan program-program yang meliputi bidang pendidikan, pemulihan, latihan vokasional, pekerjaan dan integrasi sosial.
Sejak lima tahun kebelakangan ini, SSB mula meneroka bidang penulisan sastera. Di bawah Jawatankuasa ICT/Braille, SSB telah berjaya menarik minat sekumpulan golongan bermasalah penglihatan untuk menghasilkan karya sastera. Bidang ini dipilih kerana kesusasteraan itu sendiri dimaknai sebagai pengungkapan yang indah-indah sama ada ditulis atau tidak. Ia juga acap kali dimanfaatkan untuk menyampaikan pesan, menzahirkan imaginasi mahupun berkongsi cerita.
Oleh itu, tidak sedikit golongan bermasalah penglihatan yang memilih keindahan sastera sebagai cara berkongsi kisah hidup mereka. Contohnya, Roslan Bidin telah menghasilkan sebuah novel cinta yang diadaptasi daripada kisah hidupnya.
Pengkarya buta itu menulis tentang hubungan percintaannya bersama-sama seorang gadis celik. Walau bagaimanapun, hasrat mereka untuk berumah tangga telah ditentang oleh keluarga watak perempuan atas alasan kekurangan yang dimiliki oleh watak lelaki utama. Menerusi novel yang berjudul Izinkan Aku Menyentuh Cintamu, Roslan Bidin telah mengetengahkan isu hak seorang buta yang mahu hidup seperti orang biasa. Setiap baris penulisannya menegaskan bahawa menilai seseorang daripada kekurangan fizikal adalah tidak adil. Seharusnya, ketulusan serta kesungguhan hatilah yang menjadi ukuran penting dalam sesebuah hubungan.
Bidang penghasilan karya sastera di negeri Sarawak juga pernah diwarnai oleh seorang penulis istimewa, iaitu mendiang Yong Chwan Fwu atau lebih dikenali sebagai Cikgu Yong. Beliau banyak menghasilkan cerpen berkaitan orang buta. Antaranya ialah cerpen yang berjudul “Aneh”. Cerpen ini digarap dengan menampilkan seorang lelaki yang menerima derma kornea mata selepas beberapa tahun mengalami kebutaan akibat kemalangan di tempat kerja.
Ajaibnya, hal itu bukan setakat menyebabkan dia dapat melihat kembali namun juga melihat suasana tempat yang tidak pernah dia kunjungi. Melalui pembinaan cerita yang unik ini, Cikgu Yong cuba menyampaikan satu pesan penting, iaitu kepentingan menderma organ yang mampu mengubah hidup penerima. Tidak terikat dengan satu topik sahaja, Cikgu Yong turut berjaya menerbitkan beberapa buah novel. Guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah pendidikan khas bagi pelajar bermasalah penglihatan ini bahkan sering menggunakan nama pelajar-pelajarnya sebagai nama watak yang ditulisnya.
Bagi meneruskan perjuangan para penulis kurang upaya kategori masalah penglihatan ini, pihak Jawatankuasa ICT/Braille SSB telah menganjurkan beberapa bengkel penulisan yang bertujuan untuk mencungkil bakat golongan ini dalam bidang sastera.
Bengkel Penulisan Kreatif SSB yang pertama telah diadakan pada 9 hingga 11 Julai 2019. Bengkel ini telah mendapat kerjasama yang baik daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak. Program yang berlangsung selama tiga hari ini, banyak membuka jalan kepada ahli SSB untuk menyalurkan karya-karya kreatif para peserta bengkel. Bimbingan ilmu penulisan kreatif serta alat berfikir oleh penulis berpengalaman luas, iaitu Jais Sahok pun banyak mempengaruhi hasil karya yang disiapkan oleh para peserta. Beliau telah memperkenalkan perihal keindahan sastera serta manipulasi bahasa dengan lebih mendalam kepada para peserta . Semangat untuk menghasilkan karya semakin berkobar-kobar ketika seorang lagi penulis mapan, iaitu Siti Nur Hidayah Abdullah dan editor DBP ketika itu, Puan Siti Zubaidah Sekak, menyempatkan waktu untuk sesi perkongsian.
Berkat permulaan yang cemerlang itulah Jawatankuasa ICT/Braille SSB sekali lagi menganjurkan Bengkel Penulisan Kreatif yang kedua pada bulan Oktober tahun yang sama. Kali ini, bakat yang dicungkil ingin digilap seterang mungkin. Banyak karya yang dihasilkan dalam tempoh masa penganjuran kedua-dua bengkel ini yang dibedah siasat. Puisi prosaik diubah menjadi puitis. Cerpen dengan kesalahan tatabahasa, dinaik taraf dengan diksi dan plot yang lebih memukau. Hasilnya, 12 orang pengkarya sastera telah dikenal pasti. Beberapa karya pun telah terpilih untuk disiarkan di ruangan akhbar tempatan. Antaranya ialah cerpen “Popiaku Hangus” karya Adzohari Jamil, puisi “Perjuangan Seorang Pejuang” karya Ain Danisha dan puisi “Perosak Dunia” karya Jee Kouk An. Karya Dayangku Aisah Awg Taha yang bertajuk “meniti Ranjau” pula menjadi sebuah lagi hasil sastera yang tercetus daripada curahan hati seorang guru cacat penglihatan. Cabaran mendidik anak bangsa dengan keterbatasan diri diceritakannya penuh puitis.
Bagi tujuan meningkatkan kualiti karya para penulis tunanetra ini, pihak SSB mengilhamkan sebuah jawatankuasa editorial. Anggotanya dipilih daripada kalangan penulis tunanetra yang dirasakan layak untuk memberikan bimbingan kepada yang lainnya. Dua orang daripada empat orang ahli jawatankuasa ini ialah graduan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UNIMAS, seorang penulis prolifik dan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa ICT/Braille SSB sendiri.
Cerpen, esei atau puisi yang dihasilkan oleh para penulis tunanetra akan dihantar kepada jawatankuasa ini. Pihak editorial akan memberikan cadangan tambah baik bagi sesebuah karya sebelum dihantar kepada pihak penerbitan.
Ulasan bagi setiap karya akan dikumpulkan. Ia akan diteliti dan dijadikan sebagai panduan untuk penghasilan karya selanjutnya.
Dalam meneruskan usaha memupuk minat menulis dalam kalangan golongan bermasalah penglihatan di Sarawak, pada setiap tahun, Jawatankuasa ICT/Braille akan menganjurkan Peraduan Menulis Esei Braille. Ibarat sambil menyelam sambil minum air, selain mendedahkan golongan ini pada dunia penulisan, SSB turut dapat mengekalkan tulisan Braille sebagai sistem tulisan khas untuk orang buta yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.
Meski kebanyakan penulis tunanetra sudah mahir dengan penggunaan teknologi, tulisan Braille dianggap masih perlu untuk dikekalkan. Alasan utamanya tentulah kerana penggunaan sistem ini juga telah mengalami revolusi. Esei yang dikumpulkan melalui peraduan tersebut, kemudiannya dihantar ke peringkat kebangsaan untuk dipertandingkan sekali lagi.
Esei yang mendapat tempat di peringkat ini kemudiannya akan diterjemah ke bahasa Inggeris sebelum dikirimkan ke peringkat antarabangsa. Pada tahun 2020, lima buah esei Braille daripada para penulis tunanetra Sarawak telah dihantar ke Jepun. Lebih membanggakan apabila esei milik Sim Sim Wei telah memenangi hadiah sagu hati bagi kategori senior.
Seterusnya, SSB mula menghasilkan sebuah antalogi puisi. Projek yang dinamakan sebagai Projek Puisi Tongkat Putih ini mengumpulkan pandangan serta perasaan para penulis tunanetra dari segenap sisi. Tongkat putih dipilih sebagai subjek utama kerana ia ialah simbol kemandirian kepada golongan buta di seluruh dunia. Buku ini dirancang untuk diterbitkan bersempena dengan sambutan Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa pada 3 Disember. Sebanyak 110 puisi telah dikumpulkan dan kejayaan penerbitan antologi ini akan menjadi buku terbitan pertama dalam sejarah penubuhan SSB.
Pada tahun 2023, pihak SSB meneruskan langkah dalam memperkasakan karya sastera golongan masalah penglihatan dengan menubuhkan sebuah kumpulan muzik. Kumpulan ini diberi nama kumpulan Tongkat Abyad. Perkataan “abyad” ialah perkataan bahasa Arab yang membawa maksud putih. Jika digabungkan dengan perkataan tongkat, Tongkat Abyad, diilhamkan daripada salah satu alat bantu bagi orang buta, iaitu tongkat putih.
Seperti yang umum ketahui, golongan bermasalah penglihatan memang tidak asing dengan seni muzik. Ramai daripada kalangan mereka menjadikan muzik sebagai kerjaya. Beberapa nama-nama besar dan karya-karya hebat di Malaysia mahupun di dunia ternyata merupakan cetusan ilham golongan ini. Antaranya ialah Stevie Wonder. Beliau telah menghasilkan lagu seperti I Wish, Too High, Blame It on The Sun dan banyak lagi. Biarpun lagu-lagu tersebut tidak menceritakan tentang kebutaan secara langsung, namun setiap daripadanya telah ditulis dari perspektif Stevie Wonder yang mengalami masalah penglihatan sejak lahir.
Begitu juga dengan pencipta lagu Jesnita, dendangan kumpulan Exists. Penulis lagu bermasalah penglihatan itu mendapat ilham untuk mengarang lagu tersebut semasa bekerja sebagai tukang urut. Katanya, pertemuan dengan seorang gadis Rusia bernama Jesnita telah memberikan kesan mendalam di hatinya.
Fokus utama kumpulan muzik SSB adalah untuk menggilap bakat bermain alat muzik dan mencipta lagu dalam kalangan golongan tunanetra di Sarawak. Kumpulan ini menghasilkan lagu-lagu yang liriknya diambil daripada puisi-puisi yang ditulis oleh penulis tunanetra itu sendiri. Kumpulan muzik ini menjadi pecahan kedua daripada kumpulan penulis. Mereka diketengahkan sebagai wakil SSB dalam apa-apa program yang melibatkan seni persembahan.
Pada bulan Februari 2023, kumpulan Tongkat Abyad telah mementaskan persembahan bertajuk Pentas Manifestasi Seni Puisi: Harapan Kami di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak. Persembahan ini menggabungkan seni dekon, deklamasi puisi, syair serta nyanyian lagu puisi karya kumpulan ini sendiri. Persembahan ini telah dijayakan oleh 15 anggota Tongkat Abyad dengan kerjasama DBP Cawangan Sarawak serta sekumpulan sukarelawan. Selepas kejayaan tersebut, kumpulan Tongkat Abyad telah menghasilkan sebuah album lagu puisi. Enam lagu puisi daripada pementasan tersebut digabungkan bersama beberapa buah lagu puisi yang baharu.
Pencapaian demi pencapaian yang sudah diraih oleh golongan bermasalah penglihatan ini, khususnya dalam bidang penulisan kreatif dan karya seni, merupakan hasil sokongan dan dukungan SSB dan seluruh ahlinya, daripada ahli jawatankuasa tertinggi sehingga para sukarelawan.
SSB sebagai sebuah organisasi telah menjalankan peranan penting dalam mempertingkat tahap kehidupan dan wibawa penulis tunanetra di negeri Sarawak. Kewujudannya bagai tangan yang memimpin orang buta ke destinasi yang ingin dituju. Semua program yang telah, sedang dan akan dianjurkan berupaya melahirkan pencinta sastera yang lebih ramai tanpa mengira latar belakang seseorang individu tersebut.