Pengenalan
Menurut Jasni Matlani (2013), puisi-puisi berunsur Islam di Sabah mula terserlah pada pertengahan tahun 1980-an. Para penulis yang menghasilkan puisi era sebelum Sabah merdeka melalui Malaysia dan selepas merdeka lebih cenderung menggunakan tema-tema kesedaran perjuangan dalam menuntut kemerdekaan di samping ada antara mereka yang menulis puisi bertemakan sosiobudaya dan percintaan. Pada ketika itu belum ada pengelasan puisi berunsur Islam disebabkan faktor kurang galakan dan pendedahan terhadap kepentingan puisi berunsur Islam.
Latar Belakang
Pada tahun 1985, DBP Cawangan Sabah dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sabah (JHEAINS) telah mengadakan Pengucapan Puisi Islam, Nadwah dan Mahrajan Sastera Islam Sabah yang disemarakkan lagi dengan acara seperti Malam Pengucapan Puisi Islam, penerbitan antologi puisi berunsur Islam dan penyampaian Anugerah Penyair Islam Negeri Sabah.
Jasni Matlani (2013) menyatakan bahawa melalui program Mahrajan Sastera Islam Sabah, DBP Cawangan Sabah telah berjaya mengumpul sebanyak 18 buah antologi puisi berunsur Islam. Antaranya ialah Antologi Puisi Kekasih (1987), Ujana Laut Ujana Hati (1989), Al-Khafi (1992), Kiswah Rindu (1993), Qiam (1993), Kafilah (1996), Mujaddid (1997), Tasbih Rindu (1998), Cahaya (2000), Sapaan Bonda (2002), ‘Iktikaf (2003), Nyanyian Imam (2004), Nyanyian Iman dan Hadrah Cinta (2005).
Buku-buku puisi ini bukan sahaja menjadi khazanah sastera paling penting apabila membicarakan tentang perkembangan sastera Islam di Sabah, malah sebagai sumber penting dalam memperkatakan tentang sastera Islam peringkat nasional mahupun Nusantara. Namun demikian, program tersebut terhenti pada tahun 2006. Pada tahun 2008, kegiatan tersebut dihidupkan semula dengan jenama baharu, iaitu Karnival Kesenian Islam Negeri Sabah.
Menerusi Mahrajan Sastera Islam, beberapa orang telah dinobatkan sebagai tokoh penyair Islam seperti Pengiran Haji Adnan Pengiran Abbas (Allahyarham), Datuk Haji Jamdin Buyong, Ustaz Datuk Haji Jalidar Abdul Rahim, Datuk Haji Shuhaibun Yusof (Allahyarham), Datuk Hajah Zaiton Ajamain, Datuk Hajah Noraini Datuk Haji Salleh, Haji Harun Haji Salleh (Allahyarham), Datuk Haji Mohd. Ariffin Mohd. Arif, A.B.M Fajeer (Allahyarham), Hasyuda Abadi dan Datuk Jasni Matlani.
Bersempena dengan Pengucapan Puisi Islam 1985 hingga 2005, DBP Cawangan Sabah juga telah berjaya menganjurkan Sayembara Menulis Puisi Berunsur Islam dengan 10 orang pemenang dipilih bagi setiap tahun. Namun sayembara yang dianggap dapat mengumpul khazanah puisi berunsur Islam di Sabah itu pun terhenti hingga ke hari ini. Pada tahun 2006 dan 2007, Mahrajan Sastera Islam tidak lagi diadakan.
Menurut Jasni Matlani (2013:7), walaupun Mahrajan Sastera Islam dihidupkan semula dan diserap ke dalam Program Karnival Kesenian Islam Negeri Sabah, pihak penganjur tidak lagi menerbitkan antologi puisi Islam. Hanya pada tahun 2012, dua buah antologi puisi berjaya diterbitkan, iaitu Sinar Sidiq dan Hitam Putih. Namun konsep penganjuran Mahrajan Sastera Islam tidak sama dengan sebelumnya kerana pengisian tidak lagi berfokus kepada konteks Sabah sebaliknya membuka ruang lebih luas kepada Nusantara. Oleh itu nama program diubah kepada Mahrajan Sastera Islam Nusantara. Program tersebut diadakan di Membakut dan diketuai oleh wakil rakyat kawasan tersebut, Datuk Ariffin Arif. Beberapa orang tokoh sasterawan Nusantara dari Indonesia, Brunei dan Malaysia sendiri diberi anugerah penghargaan.
Antara penyair yang selalu memenangi sayembara Puisi Islam Sabah ialah Hasyuda Abadi, Sahara Jais, Marmoh Kasman, Jair Sulai, Mohammad Zain AH dan Ramli Gollah. Manakala penyumbang tertinggi bagi antologi puisi berunsur Islam ialah Hasyuda Abadi, iaitu sebanyak 52 buah puisi, Zaiton Ajamain@Ajza Laitatul Farhan menyumbangkan 41 buah puisi, manakala Arifin Arif dan Jair Sulai masing-masing menyumbangkan 37 buah puisi. Jalidar Abdul Rahim menyumbangkan 36 buah puisi, Jasni Matlani, Juri Durabi, R.Hamzah Dua, Sahara Jais dan Raymond Majumah@Azlan Safie Abdullah masing-masing menyumbangkan lebih daripada 20 buah puisi.
Terdapat beberapa kumpulan atau antologi puisi yang telah dihasilkan oleh penyair di luar program Mahrajan dan Nadwah Sastera. Buku itu ialah antologi puisi Kun (DBP, 1991) yang diselenggarakan oleh Matlin Dullah dan Jasni Matlani, Kalimah (Warisan, 2001) karya A.B.M Fajeer, Kumpulan Puisi Di Kebun Amal (DBP Cawangan Sabah, 2004) karya Ramlie AR, Kumpulan Puisi Pelayaran (DBP Cawangan Sabah, 2005), Antologi Puisi Kasmaran (DBP Cawangan Sabah, 2005) diselenggarakan oleh Japar Ungki dan lain-lain.
Peranan persatuan penulis dalam merancakkan penulisan puisi Islam tidak dapat dinafikan. Usaha ini telah dilaksanakan oleh Ikatan Penulis Sabah pada tahun 1997 dengan menganjurkan Puisi Ramadan setiap tahun. Walaupun tajuk peraduan tersebut berkaitan Ramadan, ini tetap dianggap sebagai penulisan puisi berunsur Islam. Menurut Hasyuda Abadi selaku Ketua II IPS pada ketika itu, peraduan tersebut bertujuan untuk menyemarakkan lagi bulan Ramadan sebagai bulan barakah selain untuk menyampaikan mesej mentaati amalan rukun Islam ketiga yang dianggap sebagai bulan keberkatan dan bulan keampunan.
Sebanyak 10 buah puisi terbaik setiap tahun dipilih untuk diberikan hadiah. Namun demikian, tiada sebarang dokumentasi dilakukan. Puisi-puisi yang dihasilkan oleh penyair termasuk yang memenangi hadiah tersebut tidak dibukukan dan tidak diterbitkan. Penganjuran Puisi Ramadan tersebut hanya dapat bertahan hingga tahun 2007.
Pada tahun 2014, DBP Cawangan Sabah telah memperkenalkan hadiah bagi kategori buku, iaitu kumpulan puisi terbaik melalui Hadiah Sastera Sabah. Setakat ini, tiga kumpulan puisi yang telah diangkat sebagai pemenang Hadiah Sastera Sabah bagi kategori tersebut ialah Negeri Wangi (ITBM) karya Ramli AR, Dongeng Perkebunan (ITBM) karya Jasni Matlani dan Jelita Seorang Aisyah (ITBM), karya Sahara Jais.
Walaupun Hadiah Sastera Sabah kategori buku genre puisi tersebut tidak berfokus kepada puisi berunsur Islam, Jelita Seorang Aisyah dianggap berjaya mengangkat kredibiliti penyair wanita Sabah khususnya dalam memartabatkan puisi berunsur Islam kerana puisi-puisi yang terkandung dalam buku tersebut membawa pemikiran Islam yang berprestij.
Isu dan Cabaran
Walaupun penyair Sabah produktif melahirkan puisi moden berunsur Islam, pembicaraan atau kritikan terhadapnya masih lagi kurang. Isu kekurangan pembicaraan terhadap karya Sabah harus dilihat dari sudut yang positif, iaitu bertujuan untuk memperkenalkan buku yang dihasilkan juga mengetengahkan pemikiran penyair Sabah.
Para penyair Sabah turut menghadapi cabaran dari aspek daya kreativiti dan pengetahuan dalam pelbagai disiplin ilmu. Disiplin ilmu yang dimaksudkan ialah rangsangan dan sokongan oleh pengkritik sastera yang berwibawa, iaitu pengkritik yang dapat memberi motivasi dan sumbangan serta pandangan terhadap sesuatu hasil karya. Cabaran yang paling besar juga ialah keampuhan penulis Sabah memasuki bidang kritikan. Justeru itu, kesedaran penulis terhadap disiplin ilmu amat penting untuk menilai hasil karya rakan-rakan penulis yang lain. Hasil kritikan itu dapat dijadikan dokumentasi dan rujukan sesuai dengan peredaran zaman yang mengalihkan kepentingan terhadap sains dan teknologi semata.
Menurut Abdul Halim Ali (2010), puisi-puisi Islam yang dihasilkan oleh penyair Sabah kelihatan terpinggir daripada sentuhan akademik dan wacana ilmu. Walaupun beberapa orang penyair pernah memenangi hadiah dan diberi pengiktirafan, hasil karya mereka tidak pernah dibincangkan. Dalam kajian Asmiaty Amat dan Abdul Halim Ali menunjukkan bahawa karya puisi Islam yang dihasilkan oleh beberapa orang tokoh penyair Sabah mempunyai nilai keindahan yang tinggi dan membawa pemikiran yang relevan dengan kehidupan masyarakat semasa.
Pengkaji berpendirian bahawa kajian terperinci perlu dilaksanakan untuk memahami serta menyelongkari inti pemikiran dan keindahan dalam puisi-puisi penyair-penyair Sabah ini. Tujuannya bukan sahaja untuk menunjukkan kekuatannya sebagai wadah perpuisian baharu, tetapi juga penting untuk membuktikan signifikan kewujudan dan peranannya sebagai langgam penyampaian perutusan agama dalam masyarakat, khususnya masyarakat di Sabah.
Selain itu, peranan kepenyairan Sabah harus juga dilihat dalam konteks Malaysia, bukan setakat dalam konteks negeri Sabah semata-mata. Sehubungan itu, usaha pihak berwajib harus dilipatgandakan untuk memartabatkan puisi Islam Sabah sebagai hasil karya dalam konteks Malaysia. Kajian lanjut sewajarnya diusahakan atau diberi pengiktirafan kepada pengkritik puisi Islam demi memartabatkan penyair yang terlibat atau mengangkat hasil kualiti penulisan mereka.
Hasil karya puisi berunsur Islam merupakan media dakwah yang berguna untuk generasi kini dan akan datang. Kualiti sesuatu karya itu dapat diukur melalui hasil kritikan yang membina. Kritikan yang membina lahir daripada seorang pengkritik yang menguasai disiplin ilmu, umpamanya tahu dan faham menggunakan teori yang sesuai dengan bentuk sesuatu karya. Misalnya untuk mengulas puisi berunsur Islam, keberkesanannya dapat ditemui dengan menggunakan pendekatan Takmilah yang diasaskan oleh Shafie Abu Bakar atau teori Estetika Bersepadu yang diperkenalkan oleh Abdul Halim Ali, Pengkaedahan Melayu oleh Hashim Awang, Estetika Tauhid oleh Mohd Affandi Hassan dan lain-lain.
Pengkritik yang pernah terlibat dalam memperkatakan hasil penulisan puisi Islam ialah Kemala, Asmiaty Amat, Lokman Abd Samad, Zaiton Ajamain, Jasni Matlani, Ariffin Arif, Shafie Abu Bakar, Abdul Halim Ali dan Arbak Othman. Jasni Matlani pernah menghasilkan buku kajian Perkembangan Puisi Berunsur Islam Sabah pada tahun 2013 dengan menggunakan teori Takmilah. Manakala Asmiaty Amat dan Lokman Samad pernah menganalisis Kumpulan Puisi Api Laut Merah dengan menggunakan teori yang sama.
Kesimpulan
Bagi memperteguhkan puisi berunsur Islam di Sabah, usaha mengembalikan penerbitan buku, iaitu antologi puisi berunsur Islam perlu diwujudkan kembali. Peranan DBP Cawangan Sabah bersama-sama JHEAINS dan persatuan-persatuan penulis yang terbabit amat penting bagi mengangkat kualiti kepenyairan dan karya puisi Islam di Sabah. Dalam masa yang sama tokoh-tokoh penyair yang diiktiraf harus diberi peranan dalam aspek bimbingan kepada penulis pelapis ataupun diberi ruang memberi perkongsian ilmu di sekolah-sekolah atau agensi-agensi kerajaan yang lain. Dalam hal ini kerjasama persatuan-persatuan penulis dan pejuang bahasa dan sastera serta agamawan amat diperlukan agar puisi Islam di Sabah tidak dilupakan dalam dunia teknologi yang semakin mencabar ini.
Esei kritikan atau kertas kerja seminar atau wacana ilmu yang memperkatakan tentang puisi Islam juga harus dihimpunkan untuk dijadikan sebagai antologi esei kritikan puisi Islam agar dapat ditatap oleh masyarakat. Antologi esei kritikan itu juga akan menjadi panduan penulis atau penyair dalam memperbaiki mutu penulisan seterusnya menjadi penanda aras terhadap perkembangan kepenyairan puisi Islam di Sabah.
Rujukan:
Abdul Halim Ali, 2019. “Penulis Genre Puisi Moden di Sabah (1950-2000)” dlm. Wadah, hlm. 9-11, Mac 2019.
Arbak Othman, 2012. “Sufisme dalam Puisi Ariffin Arif”. Kertas kerja dalam Mahrajan Sastera Islam Sabah.
Asmiaty Amat, 2000. “Api Laut Merah: Lambang Keteguhan Seorang Penulis” dlm. Wadah.
Jasni Matlani, 2008. Sastera Sabah dalam Kritikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jasni Matlani, 1995. Perkembangan Puisi Berunsur Islam di Sabah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
http://hasyuda-abadi.blogspot.com/2017/08/definisi-puisi-mengikut-para-penyair.html