Skip to content
Pesta Angin Timur: Menyulam Tradisi, Memartabat Warisan Negeri Perlis
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Bahasa > Pesta Angin Timur: Menyulam Tradisi, Memartabat Warisan Negeri Perlis
Pesta Angin Timur: Menyulam Tradisi, Memartabat Warisan Negeri Perlis
Bicara Bahasa

Pesta Angin Timur: Menyulam Tradisi, Memartabat Warisan Negeri Perlis

  • MAULANA AL-FIN BIN CHE MAN
  • 20 April 2025
  • DBP Wilayah Utara
  • 27
  • 5

 SETIAP tahun ketika angin timur mula bertiup di Perlis, negeri kecil ini berubah wajah. Sawah padi yang menguning, langit biru terbentang luas, dan deru angin yang membawa kesejukan seolah-olah memberikan isyarat bahawa sebuah perayaan besar bakal berlangsung. Setiap negeri di Malaysia mempunyai keunikan budayanya tersendiri, dan Perlis tidak terkecuali dalam hal ini. Walaupun merupakan negeri terkecil di Semenanjung Malaysia, Perlis kaya dengan warisan budaya yang diwarisi secara turun-temurun. Salah satu manifestasi terbesar budaya dan identiti negeri ini ialah Pesta Angin Timur, sebuah festival tahunan yang menghidupkan kembali seni tradisional, permainan rakyat dan warisan turun-temurun masyarakat setempat.

                                                                         Pesta Angin Timur: Menyulam Tradisi, Memartabat Warisan Negeri Perlis

                                                                         Sumber: Penulis 

Festival ini dinamakan bersempena dengan fenomena angin timur yang bertiup pada setiap awal tahun, pesta ini menjadi lambang hubungan erat masyarakat Perlis dengan alam semula jadi serta satu manifestasi penghargaan terhadap kitaran kehidupan yang telah lama diamalkan oleh penduduk setempat. Angin timur yang bertiup dari arah Laut China Selatan, bukan sekadar perubahan musim tetapi juga isyarat penting bagi komuniti agraria dan nelayan di kawasan  “darat” negeri ini. 

Pesta Angin Timur: Menyulam Tradisi, Memartabat Warisan Negeri Perlis

                                                                                 Sumber: Penulis 

            Bagi golongan petani, kehadiran angin timur menandakan bermulanya peralihan musim selepas menuai padi, satu masa untuk berehat sebelum kembali bekerja di ladang. Bagi nelayan darat pula, tiupan angin ini menjadi petunjuk bahawa ikan air tawar mula lebih aktif di sungai-sungai dan tali air, menjadikan waktu ini sesuai untuk menangkap ikan darat seperti haruan, keli, dan puyu. Dalam konteks inilah pesta ini bukan sekadar acara hiburan, tetapi juga satu bentuk perayaan simbolik yang mencerminkan kesinambungan hubungan manusia dengan alam sekitar yang telah terjalin sekian lama. 

Dalam suasana penuh kesyukuran ini, pelbagai aktiviti budaya dianjurkan untuk membangkitkan semangat kekitaan dan nostalgia warisan silam. Permainan tradisional, seni pertahanan diri, persembahan kebudayaan, dan demonstrasi masakan tradisional dijadikan wadah untuk menyampaikan nilai-nilai kemasyarakatan serta identiti unik masyarakat Perlis.

Menyemarakkan Kembali Permainan Tradisional

Pesta Angin Timur menjadi medan menghidupkan semula pelbagai seni dan permainan tradisional yang semakin jarang disaksikan. Antara acara utama yang mencuri perhatian ialah pertandingan Wau Helang, pertunjukan layang-layang moden, demonstrasi mencanting batik, serta persembahan seni mempertahankan diri seperti silat, wushu, muay thai dan silambam.

          Keunikan seni Wau Helang Perlis yang lebih ringkas tetapi tetap elegan mendapat tumpuan dalam pertandingan wau yang menjadi salah satu acara kemuncak pesta ini. Wau Helang, yang merupakan antara identiti seni wau di Perlis, memiliki bentuk aerodinamik yang memudahkannya meluncur di udara dengan stabil. Dihasilkan daripada rangka buluh yang diraut halus dan ditampal dengan kertas warna-warni atau plastik khas, wau ini dikenali kerana keupayaannya untuk mencapai ketinggian yang mengagumkan walaupun hanya diterbangkan dengan sedikit hembusan angin.

             Seni pembuatan wau helang bukan sekadar kerja tangan biasa tetapi memerlukan kemahiran khusus. Para penggiat wau tradisional di Perlis masih mengekalkan teknik lama dalam meraut buluh, mengikat benang gelasan, serta menghias wau dengan corak flora dan fauna yang mencerminkan identiti setempat. Proses ini bukan sahaja menguji kesabaran tetapi juga ketelitian pembuatannya, kerana keseimbangan setiap bahagian wau adalah kunci kejayaan agar ia dapat melayang dengan sempurna.

              Bagi mereka yang membesar dalam suasana kampung, melihat pertandingan wau di langit biru yang luas pasti mengimbau kenangan zaman kanak-kanak terutamanya ketika menganyam wau, mencelup kertas dengan warna-warna terang, dan mengikat benang gelasan dengan penuh berhati-hati agar tidak mudah putus. “Dulu, wau terbang tinggi melambangkan kebebasan dan semangat juang. Sekarang, ia menjadi simbol budaya yang mesti kita pertahankan,” kata seorang peserta pertandingan yang mengimbau nostalgia zaman kecilnya.

             Dalam pertandingan wau helang di Pesta Angin Timur, peserta bukan sahaja dinilai berdasarkan keupayaan wau untuk terbang tinggi tetapi juga keunikan reka bentuk dan keindahan motif yang dihasilkan. Setiap peserta mempunyai strategi tersendiri, sama ada dari segi teknik melayang atau kekuatan benang gelasan yang digunakan. Keunikan pertandingan ini menarik perhatian pengunjung dari dalam dan luar negeri, sekali gus membuktikan bahawa seni menerbangkan wau masih mempunyai tempat istimewa dalam budaya Melayu.

            Tidak hanya wau, permainan tradisional lain seperti congkak, batu seremban, dam aji, serta bidik dan menang sayur turut diadakan bagi mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak masyarakat Melayu. Bunyi buah congkak berjatuhan satu demi satu dalam lubang kayu, biji getah yang dijadikan buah congkak, dan suasana riuh ketika mencatur langkah dalam dam aji semuanya menghidupkan kembali kenangan lama yang semakin jarang dilihat pada hari ini. 

Lebih menarik lagi, pertandingan bidik dan menang sayur yang jarang-jarang diketengahkan turut menarik perhatian pengunjung. Permainan ini melatih ketangkasan dan daya tumpuan kerana memerlukan pemain membidik tepat ke arah sasaran untuk memenangi sayur-sayuran sebagai hadiah. Ia bukan sahaja menyeronokkan, malah menonjolkan elemen pendidikan dalam permainan tradisional, membentuk nilai berjimat cermat serta kesedaran akan kepentingan pertanian dalam kehidupan masyarakat Melayu dahulu kala.

Menghidupkan Memori Dapur Kampung dan Bendang

Pesta ini juga membawa kita kembali ke dapur kampung yang hangat dengan aroma dodol yang dimasak dalam kawah besar. Pertandingan memasak Dodol Perlis dan Asam Pedas Perlis mengingatkan kita kepada suasana kenduri zaman dahulu ketika jiran tetangga bergilir-gilir mengacau dodol supaya tidak berkerak, sambil bersembang dan bergurau senda.

            Bagi masyarakat luar bandar, memasak dodol bukan sekadar menyediakan makanan, tetapi satu ritual sosial yang mengeratkan hubungan kejiranan. Setiap orang mempunyai tugas masing-masing, ada yang mengacau dodol tanpa henti, ada yang mengawal api, dan ada yang sekadar menghiburkan suasana dengan cerita-cerita lama. Kehangatan suasana itu, yang kini semakin jarang ditemui, cuba dihidupkan kembali dalam pesta ini.

           Salah satu tarikan kulinari dalam Pesta Angin Timur ialah pertandingan memasak Asam Pedas Perlis. Asam Pedas Perlis sebuah hidangan tradisional yang mempunyai keunikan tersendiri berbanding variasi dari negeri lain khususnya Asam Pedas Melaka. Asam Pedas Perlis menampilkan rasa yang lebih segar dan ringan berbanding versi Melaka yang terkenal dengan kuahnya yang pekat dan kaya dengan rempah. Dalam hal ini perbezaan utama terletak kepada penggunaan asam jawa dan air asam keping sebagai bahan utama dalam kuah, menghasilkan rasa masam yang sedang-sedang sahaja. Selain itu, bilangan cili kering yang digunakan dalam masakan Asam Pedas Perlis tidak terlalu banyak, iaitu dalam 10 hingga 12 biji sahaja dan menjadikannya tidak terlalu pedas. Selain itu, Asam Pedas Perlis tidak menggunakan belacan dalam ramuannya, berbanding Asam Pedas Melaka yang mempunyai aroma belacan yang lebih kuat.

                  Dari segi pilihan ikan, Asam Pedas Perlis lebih sering menggunakan ikan air tawar seperti ikan haruan, ikan sepat benua dan ikan puyu yang mudah didapati di sungai dan bendang di negeri ini. Manakala Asam Pedas Melaka lebih kerap menggunakan ikan laut seperti ikan pari, ikan kembung, dan ikan tenggiri. Rempah yang digunakan dalam Asam Pedas Perlis juga lebih ringkas, seringkali terdiri daripada bawang merah, bawang putih, daun kesum, bunga kantan dan satu batang serai serai yang dititik untuk memberikan rasa yang lebih ringan dan tidak terlalu kompleks.

               Selain itu, dalam penyediaan Asam Pedas Perlis, sayur-sayuran seperti terung dan bendi turut ditambah untuk memberi kepelbagaian tekstur dalam hidangan. Kuah yang lebih cair menjadikan hidangan ini sesuai dimakan dengan nasi putih panas, dan ia juga sering dihidangkan bersama-sama ulam-ulaman seperti daun selom, pegaga, serta sambal belacan untuk menambahkan selera.

        Pertandingan memasak Asam Pedas Perlis di Pesta Angin Timur bukan sahaja mempamerkan keunikan gastronomi Perlis tetapi juga memberikan peluang kepada generasi muda untuk memahami kepentingan masakan warisan. Dengan rasa yang lebih bersifat tempatan dan bersandar kepada bahan-bahan yang mudah didapati di negeri ini, Asam Pedas Perlis menjadi simbol identiti masakan rakyat Perlis yang harus terus dilestarikan.

Pesta Angin Timur: Menyulam Tradisi, Memartabat Warisan Negeri Perlis                                                                                  Sumber: JKKN Perlis.

                   Dalam pada itu, pertandingan menangkap itik di bendang mencetuskan gelak tawa dan kegembiraan dalam kalangan peserta dan penonton. Acara ini menguji kelincahan dan ketangkasan peserta  menangkap itik yang bebas berlari di kawasan sawah yang berlumpur. Itik-itik yang dilepaskan akan berusaha sedaya upaya untuk mengelak daripada ditangkap, menyebabkan peserta perlu bergerak pantas dan bijak membaca pergerakan itik bagi menangkapnya dengan tepat.

          Jika dahulu, menangkap itik di bendang merupakan sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat kampung, khususnya dalam kalangan kanak-kanak selepas musim menuai, kini ia diangkat sebagai satu aktiviti dalam festival bagi menghidupkan semula nostalgia zaman lampau. Kanak-kanak generasi baharu yang lebih terbiasa dengan hiburan digital kini dapat merasai sendiri pengalaman bermain lumpur dan mengejar itik seperti yang pernah dialami oleh generasi terdahulu. Aktiviti ini juga memperkenalkan nilai ketahanan fizikal dan kesabaran, kerana menangkap itik bukanlah sesuatu yang mudah.

           Selain menjadi daya tarikan utama dalam pesta, pertandingan ini juga memberikan pendedahan kepada generasi muda tentang kehidupan tradisional yang pernah menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat luar bandar. Ia membangkitkan kenangan bagi mereka yang pernah membesar di kampung dan membawa kembali kegembiraan permainan zaman dahulu yang kini semakin dilupakan.

      Acara Bendang X Games dan ATV Bendang turut mengembalikan semangat hidup di sawah dengan mengingatkan kita kepada kesusahan petani yang bergelumang dengan lumpur saban hari. hal ini bukan sekadar pertandingan fizikal, tetapi satu penghargaan kepada petani yang selama ini menjadi tulang belakang negeri.

Seni dan Muzik: Hiburan Sarat Makna

Pesta Angin Timur: Menyulam Tradisi, Memartabat Warisan Negeri Perlis

                                                                                 Sumber: JKKN Perlis.

           Seni persembahan turut menjadi elemen utama dalam festival ini. Gendang Terinai, muzik alu bunyi, dan persembahan busking oleh kumpulan tempatan seperti D’Chromatic Buskers dan Twin Boys Band menghangatkan suasana pesta, menggabungkan irama tradisional dan moden untuk menarik perhatian generasi muda.

         Gendang Terinai merupakan salah satu warisan muzik tradisional yang sangat sinonim dengan negeri Perlis. Gendang Terinai bukan sekadar irama muzik biasa, tetapi ia mengandungi elemen ritual, simbolisme, dan keindahan seni tari yang telah diwarisi sejak zaman Kesultanan Melayu. Muzik ini biasanya dimainkan dalam acara istiadat diraja, perkahwinan, dan upacara tradisional, menampilkan alunan gendang yang berpadu dengan serunai untuk menghasilkan irama yang mendayu-dayu dan penuh estetika.

          Keunikan Gendang Terinai terletak pada cara permainannya yang melibatkan beberapa jenis alat muzik seperti gendang ibu, gendang anak, serunai, dan gong kecil. Setiap pemain mempunyai peranan tersendiri dalam mencipta keserasian bunyi yang harmoni. Ritma yang dimainkan bukan sekadar untuk hiburan, tetapi juga membangkitkan emosi dan suasana mistik yang memukau pendengar. Malah, tarian yang mengiringi muzik ini sering kali dipersembahkan dengan gerakan lemah gemalai yang menyerlahkan kehalusan budaya Melayu.

Awang Batil: Suara Lama yang Masih Bergema

Pesta Angin Timur: Menyulam Tradisi, Memartabat Warisan Negeri Perlis

                                                                                Sumber: Pauline Fan.

Walaupun Persembahan Awang Batil pada Pesta Angin Timur tahun 2025 ini tergendala namun menjadi satu keperluan untuk penulis kongsikan dalam penulisan ini. Awang Batil merupakan satu seni persembahan yang sinonim dengan negeri Perlis, seni lisan tradisional yang semakin dilupakan oleh generasi muda kini. Awang Batil merupakan seni penceritaan rakyat yang disampaikan oleh seorang penglipur lara, menggunakan sebuah alat muzik yang dikenali sebagai “batil”, iaitu sejenis bejana tembaga yang diketuk untuk menghasilkan bunyi tertentu bagi mengiringi naratif cerita.

           Suatu ketika dahulu, suara Awang Batil bergema di setiap pelosok kampung menjadi hiburan utama ketika malam menjelang. Tok Awang Batil akan duduk bersila dengan batil di hadapannya sambil memakai topeng atau kain bertutup separuh muka bagi memberi identiti unik kepada watak yang diceritakan. Cerita-cerita yang dibawakan bukan sekadar hiburan kosong tetapi turut menyelitkan sindiran sosial, kritikan terhadap kepincangan masyarakat, serta pengajaran hidup yang disampaikan secara halus.

         Antara kisah yang sering diceritakan ialah “Hikayat Awang Selamat” dan “Ceritera Pak Kaduk”, yang mengandungi unsur kebijaksanaan, kelicikan, dan pengajaran moral. Gaya penceritaan Awang Batil amat berkesan kerana menggunakan unsur humor, nada suara yang bervariasi, serta iringan muzik seperti rebana dan serunai untuk memberi kesan dramatik kepada pendengar. Malangnya, seni ini semakin pudar dek kerana kurangnya generasi muda yang mahu mewarisinya.

               Kini, dalam Pesta Angin Timur, persembahan Awang Batil cuba dihidupkan semula agar warisan seni lisan ini tidak lenyap ditelan zaman. Usaha ini bukan sekadar untuk hiburan, tetapi juga untuk memastikan warisan budaya lisan masyarakat Perlis terus bertahan dan difahami oleh generasi akan datang.

Pesta Angin Timur: Antara Tradisi dan Moden

Walaupun festival ini berpaksikan tradisi, namun turut membuka ruang kepada elemen moden seperti Belon Udara Panas, Car Boot Sales, dan pameran usahawan tempatan. Hal ini membuktikan bahawa budaya lama tidak semestinya ketinggalan zaman, tetapi masih boleh disesuaikan dengan era baharu agar terus relevan dan diminati oleh generasi muda.

Pesta Angin Timur: Menyulam Tradisi, Memartabat Warisan Negeri Perlis

                                                                                 Sumber: Fendy Bakri.

                 Jarang-jarang langit Perlis dihiasi dengan belon udara panas, namun di Pesta Angin Timur, “Mini Cappadocia” muncul untuk beberapa malam, menarik pengunjung dari dalam dan luar negeri. Pengalaman menaiki belon udara panas memberikan perspektif baharu terhadap keindahan landskap Perlis yang dikelilingi sawah padi menghijau dan bukit-bukit batu kapur. Hal ini bukan sahaja menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung, malah berpotensi menjadi daya tarikan pelancongan baharu bagi negeri ini.

                        Selain itu, aktiviti Car Boot Sales menjadi satu daya tarikan yang menggalakkan ekonomi setempat. Konsep jualan terus dari bonet kereta ini memberikan peluang kepada peniaga kecil dan usahawan muda untuk memasarkan produk mereka secara santai tetapi efektif. Pengunjung dapat menikmati suasana membeli-belah yang lebih mesra dan santai, sambil menyokong produk tempatan seperti kraf tangan, pakaian tradisional, dan makanan ringan unik dari Perlis.

                        Pameran usahawan tempatan pula menampilkan pelbagai produk inovatif yang berasaskan sumber alam negeri Perlis, seperti madu lebah kelulut, produk berasaskan mangga Harum Manis, dan kraf tangan warisan Melayu. Hal ini membuktikan bahawa festival seperti Pesta Angin Timur bukan sahaja menjadi platform pemeliharaan budaya, tetapi juga membantu meningkatkan daya ekonomi masyarakat tempatan dengan menggalakkan keusahawanan berasaskan warisan dan sumber semula jadi.

Di samping itu, promosi gerai jualan dan pameran produk tempatan memberikan peluang kepada masyarakat untuk menjana pendapatan sambil memperkenalkan hasil kraf tangan dan makanan tradisional kepada pelancong. Hal ini membuktikan bahawa festival ini bukan sahaja menjadi medan hiburan, tetapi juga platform  kepada usahawan kecil dan sederhana untuk menjana ekonomi.

Kesimpulan

Dengan perancangan yang lebih strategik, tidak mustahil suatu hari nanti, Pesta Angin Timur Perlis bakal diiktiraf sebagai warisan budaya negara, malah diangkat ke peringkat UNESCO sebagai satu simbol kebanggaan masyarakat Melayu khususnya yang terus lestari merentas zaman. Namun, usaha untuk mengekalkan keunikan dan keaslian festival ini memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk kerajaan negeri, institusi budaya, akademia, serta masyarakat setempat.

          Peranan sektor pendidikan juga tidak boleh diabaikan dalam usaha memastikan kelangsungan warisan ini. Generasi muda perlu diberikan pendedahan tentang nilai-nilai budaya yang terkandung dalam Pesta Angin Timur melalui program-program kesedaran, bengkel interaktif, serta dokumentasi sejarah dan budaya.

             Di samping itu, sokongan daripada sektor pelancongan dan ekonomi kreatif boleh membantu memperluas skop festival ini ke persada antarabangsa. Dengan promosi yang lebih agresif, penyertaan dalam pameran kebudayaan antarabangsa, serta penggunaan teknologi digital seperti realiti maya dan media sosial, Pesta Angin Timur boleh menarik lebih ramai pelancong luar untuk mengalami sendiri keindahan budaya Perlis.

Oleh itu, masa depan Pesta Angin Timur bergantung kepada kesungguhan dan keupayaan kita untuk mengimbangi antara kelangsungan tradisi dan inovasi moden. Dengan usaha kolektif, festival ini bukan sahaja dapat terus bertahan tetapi juga menjadi contoh kejayaan dalam pemeliharaan warisan budaya yang relevan dalam dunia global hari ini.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (12) #karyasastera (13) #penulis (4) #penulisbaharu (12) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (4) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (13) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) budaya (2) cerpen (8) dbpcawangansabah (4) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (4) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (22) Puisi Islam (6) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) Rasulullah (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Dua Sifar Satu Lapan
Puisi

Dua Sifar Satu Lapan

  • 19 Oktober 2023
  • 161
  • 4.8
Membina Kota Kepengarangan
Bicara Sastera

Membina Kota Kepengarangan

  • 4 Oktober 2024
  • 138
  • 4.8
بلاجر ۏرسوس برديبت
Puisi Moden

بلاجر ۏرسوس برديبت

  • 5 Julai 2024
  • 3.8
Seimbas Tentang Hati Mawarku
Bicara Sastera

Seimbas Tentang Hati Mawarku

  • 20 Ogos 2024
  • 120
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP