Raja Ali Haji lahir di Pulau Penyengat, iaitu sebuah daerah yang terletak dalam wilayah Kepulauan Riau, Indonesia yang merupakan pusat Kesultanan Riau-Lingga yang terkenal di alam Melayu pada ketika itu. Tarikh kelahiran beliau tidak dapat dipastikan secara tepat tetapi jika didasarkan kepada peristiwa-peristiwa penting; iaitu lima tahun Pulau Penyengat dibuka sebagai tempat kediaman Engku Puteri, atau dua tahun setelah benteng Portugis, iaitu A-Famosa di Melaka diruntuhkan dengan perintah William Farquhar. Oleh itu, tarikh beliau lahir dianggarkan sama ada akhir tahun 1808 atau 1809 seperti pandangan Barbara Watson Andaya dan Virginia Matheson (1983) dalam bukunya, Pikiran Islam dan Tradisi Melayu:Tulisan Raja Ali Haji dari Riau.
Raja Ali Haji atau nama sebenar beliau ialah Raja Ali bin Raja Ahmad bin Raja Haji bin Daeng Celak. Ibunya bernama Hamidah binti Panglima Perang Selangor. Manakala, ayahnya Raja Ahmad merupakan tokoh penting dalam kerajaan Riau-Lingga khususnya sebagai perantara dalam beberapa siri rundingan di antara kerajaan Riau-Lingga dengan Gabenor Jenderal Hindia Belanda di Betawi. Beliau juga merupakan saudara lelaki kepada Raja Jaafar, Yang Dipertuan Muda VI Kerajaan Riau-Lingga (1805-1857). Datuknya, Raja Haji bin Daeng Celak ialah pemimpin angkatan perang yang memerangi Kolonial Belanda di Kota Melaka pada tahun 1784 . Kekalahan Raja Ali Haji di Teluk Ketapang telah menyebabkan kerajaan Riau-Lingga mengambil jalan damai dan diplomasi dengan pihak penjajah Belanda.
Sehubungan dengan itu, Raja Ali Haji merupakan salah seorang tokoh yang telah memainkan peranan utama meletakkan nama Riau-Lingga sebagai pusat keilmuan dan persuratan Islam. Sebagai seorang penasihat yang paling kanan kepada pemerintah Riau–Lingga pada masa itu, terutama kepada sepupunya Yang Dipertuan Muda Ali, beliau tergolong sebagai seorang yang arif dalam undang-undang dan adat istiadat Melayu. Menurut Abu Hassan Sham (1981) dalam makalahnya bertajuk “Undang-undang Lima Fasal dari Riau dalam Malaysia dari Segi Sejarah”, pengaruh pemikiran Raja Ali Haji terhadap perkembangan dunia Melayu sangat ketara melalui karya-karyanya dalam pelbagai bidang seperti bahasa, sastera dan ketatanegaraan seiring perkembangan ilmu di Kerajaan Riau-Lingga yang menjadi pusat kegiatan persuratan Islam di Alam Melayu.
Sehubungan dengan itu, menurut Virginia Matheson Hooker (1998) dalam buku Tuhfat al-Nafis: Raja Ali Haji, Sejarah Melayu-Islam, perkembangan ilmu yang pesat di Riau-Lingga membawa pengaruh yang besar kepada perkembangan penulisan Raja Ali Haji yang menetap di Pulau Penyengat. Oleh sebab itu, sebagai ibu negeri Kerajaan Riau-Lingga, Pulau Penyengat pada waktu itu menjadi tumpuan kegiatan persuratan Islam di Alam Melayu dan juga terkenal sebagai pusat kegiatan tasawuf terutamanya bagi pengikut tarekat Naqsyabandiah.
Karya Ketatanegaraan: Thamarat al-Muhimmah dan Muqaddimah fi Intizam
Menurut Kamus Dewan (2005), tatanegara bermaksud susunan dan bentuk pemerintahan negara. Manakala, ketatanegaraan pula bermaksud hal yang berkaitan dengan tatakelola negara seperti politik, ekonomi dan sosial. Secara umumnya dapatlah dibuat kesimpulan bahawa istilah “ketatanegaraan” merujuk kepada semua perkara yang berkaitan dengan pentadbiran sesebuah negara seperti cara pemerintahan, peraturan pentadbiran dan etika pemimpin.
Sehubungan dengan itu, dua buah karya Raja Ali Haji dalam bidang ketatanegaraan ialah Muqaddimah fi Intizam dan Thamarat al-Muhimmah. Antara kedua-dua karya tersebut, Thamarat al-Muhimmah merupakan teks yang lebih lengkap dan mewakili kedudukan Raja Ali Haji sebagai pengarang karya ketatanegaraan. Teks ini lebih tebal dan merupakan kitab undang-undang yang terpakai di Riau pada masa itu. Teks ini telah siap ditulis pada tahun 1275/1857 namun terbit pertama kali di Lingga pada tahun 1304/ 1886. Karya ini mengandungi 79 halaman dan ditulis dalam bahasa Melayu dengan huruf Jawi. Teks undang-undang terdiri dari tiga bahagian dan 17 fasal, yang sebahagiannya dipecahkan lagi kepada furu’ (cabang) dan setia (artikel perjanjian) serta diakhiri dengan syair yang terdiri daripada 5 fasal.
Manakala, Muqaddimah fi Intizam hanya sesuai dikatakan sebagai sebuah risalah kecil kerana mengandungi hanya 18 halaman sahaja. Mengikut Khalif Muammar A. Harris (2011) dalam makalahnya “Ilmu Ketatanegaraan Melayu Abad ke-19: Kajian Terhadap Karya Raja Ali Haji”, karya Raja Ali Haji yang dinamakan sebagai Muqaddimah (pengantar), yang memberi isyarat bahawa ada satu karya lain yang lebih mendalam sifatnya. Walau bagaimanapun, kedua-dua karya ini adalah bukti bahawa beliau seorang yang berpengetahuan luas dalam adat istiadat Melayu dan juga undang-undang Islam terutama yang berkaitan dengan ketatanegaraan.
Mengikut Jelani Harun (2001:134) dalam makalahnya “Kitab Kumpulan Ringkas Berbetulan Lekas: Karya Ketatanegaraan Melayu yang Terakhir”, pengarang karya ketatanegaraan biasanya terdiri daripada penasihat kepada sultan atau pembesar yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan berkuasa besar di istana. Sebahagian mereka ialah ulama, sejarawan istana yang kaya dengan ilmu serta berpengalaman tentang selok-belok sejarah, adat istiadat, nilai moral dan tatacara pentadbiran negara. Mereka menulis di atas permintaan raja untuk dijadikan pedoman kepada baginda dan para pembesarnya dalam hal ehwal pemerintahan negara. Di samping itu, raja juga hendak menunjukkan kemegahannya, iaitu legasi untuk terus dikenang oleh generasi terkemudian. Dengan kata lain, karya ketatanegaraan yang dinukilkan oleh cendekiawan istana zaman silam dihasilkan kerana gesaan daripada pihak istana bagi tujuan di atas. Ironinya, menurut Abu Hassan Sham (1981:74) dalam makalahnya “Muqaddimah fi Intizam al-Waza’if ”, karya-karya ketatanegaraan Raja Ali Haji dihasilkan kerana keinginannya sendiri. Hal ini dinyatakan dengan jelas dalam Muqaddimah fi Intizam bahawa, “Bermula al-faqir ila Allah Ta‘ala al-Haq ‘ala ibn Raja Ahmad al-Riawiyyah mempersembahkan hadiah ini akan jadi peringatan ke hadrat al-Mukarram Yang Dipertuan Muda Raja Ali”.
Menurut Khalif Muammar A. Harris (2011) dalam makalahnya bertajuk “Ilmu Ketatanegaraan Melayu Abad ke-19: Kajian Terhadap Karya Raja Ali Haji”, dalam Muqaddimah fi Intizam, Raja Ali Haji membahasakan dirinya kekanda dan Yang Dipertuan Muda sebagai adinda. Sedangkan dalam Thamaratal-Muhimmah beliau menggunakan kata panggilan anakanda. Kedua-dua penggunaan kata panggilan yang berbeza ini menunjukkan adanya dua tujuan yang berbeza. Dalam penulisan pertama iaitu Muqaddimah fi Intizam sebagai karya nasihat yang ditujukan khusus untuk Yang Dipertuan Muda, yang merupakan saudara sepupunya. Sedangkan yang kedua, iaitu Thamarat al-Muhimmah ialah karya untuk panduan umum kepada semua pegawai kerajaan termasuk juga raja yang memerintah dan tidak terhad kepada Kerajaan Riau semata-mata.
Thamarat al-Muhimmah dan Muqaddimah fi Intizam: Mengembalikan Era Kegemilangan Kesultanan Melayu-Islam
Walaupun dicatatkan dalam Muqaddimah fi Intizam, teks ini hanya dianggap sebagai risalah atau ringkasan kepada kitabnya yang lebih lengkap, iaitu Thamarat al-Muhimmah tetapi kedua-dua karya ini dihasilkan kerana dorongan yang sama, iaitu ingin mengembalikan era kegemilangan Kesultanan Melayu-Islam umumnya dan memulihkan kehebatan Kerajaan Riau-Lingga khasnya yang semakin sirna sejak kehadiran Kolonial Barat. Oleh hal yang demikian, selain tujuannya yang tersurat, iaitu sebagai mengenang kemangkatan Yang Dipertuan Muda. Selain itu, secara tersiratnya teks ini turut menjadi dorongan kepada Raja Ali Haji untuk menghasilkan karya-karyanya yang lain, khususnya Thamarat al-Muhimmah.
Menurut Hanapi Dollah (1996) dalam makalahnya “Mandat Pemerintahan Raja-raja Melayu: Satu Perbicaraan Berdasarkan Teks Sastera Sejarah dan Ketatanegaraan”, pada abad ke-19M merupakan abad pergolakan yang menyaksikan bumi Melayu sedikit demi sedikit ditakluki oleh kolonial Barat, iaitu Inggeris dan Belanda. Dalam hal ini, Kesultanan Riau-Lingga turut menerima tamparan hebat dengan kemunculan kuasa asing ini terutamanya selepas tewas dalam peperangan dengan Hindia Belanda pada tahun 1784M. Seiring dengan kemerosotan kuasa politik, kedudukan Riau-Lingga sebagai kota pelabuhan dan pusat perdagangan utama di alam Melayu yang dinikmatinya sejak akhir abad ke-17 turut terjejas. Namun begitu, dari sisi lain Riau masih berjaya mempertahankan peranannya sebagai pusat perkembangan bahasa dan budaya Melayu. Pencapaian ini dapat dibuktikan dengan muncul nama-nama besar dalam bidang kepengarangan seperti Raja Haji Ahmad, Raja Ali Haji, Raja Khalid Hitam, Raja Ali Kelana dan lain-lain yang sangat prolifik.
Dalam pada itu, perkembangan kesusasteraan, kebudayaan dan agama Islam di Riau masih memperlihatkan kesinambungannya dengan abad yang lampau. Dengan kata lain, semangat keislaman terus nyata dan ketara dalam karya-karya yang dihasilkan pada abad ini. Mereka sedar tentang pentingnya aktiviti berkarya sebagai senjata dan medium intelektual untuk membangkitkan semangat jati diri bangsa khususnya ketika menghadapi tekanan kolonial yang semakin mencengkam seperti yang ditegaskan oleh Mardiana Nordin (2022) dalam makalahnya yang bertajuk “Keintelektualan Masyarakat Johor: Tradisi Persuratan Merentas Zaman”. Oleh hal yang demikian, ada kemungkinan bahawa pergolakan politik yang berlaku pada masa itu dan semangat ‘zaman’ yang ingin mengembalikan era kegemilangan tamadun Melayu-Islam yang pernah dikecap suatu masa dahulu sangat terkesan kepada jiwa pengarang sehingga mendorong beliau menghasilkan karya sebegini rupa seperti kajian yang dilaksanakan oleh Azman Yusof (2012) dalam tesisnya bertajuk “Pemikiran Ketatanegaraan Raja Ali Haji dalam Thamarat Al-Muhimmah.”
Menurut Abu Hassan Sham (1981: 72) Thamarat al-Muhimmah ialah karya ketatanegaraan yang penting, lahir dalam sejarah kegemilangan Riau sebagai pusat bahasa, sastera dan budaya Melayu pada sekitar abad ke-19M. Namun kajian tentang pengaruh karya ini terhadap sistem kerajaan yang sedang berkembang pada waktu itu masih kurang diperkatakan secara mendalam. Kajian terhadap teks Thamarat al-Muhimmah dan Muqaddimah fi Intizam telah membuktikan bahawa karya-karya ketatanegaraan ini sangat signifikan dalam membantu raja dan para pembesar ketika menjalankan pemerintahan dan pentadbiran negara. Selain itu, keilmuan dan pengalaman pengarang yang diberi kepercayaan sebagai penasihat raja, menteri, dan pengarang istana telah melayakkan beliau berada pada kedudukan yang tinggi dalam struktur sosiopolitik masyarakat di Riau.
Thamarat al-Muhimmah dan Muqaddimah fi Intizam Berjaya Mempengaruhi Pemikiran Sosial dan Politik Pemerintah
Pemikiran ketatanegaraan Raja Ali Haji yang terkandung dalam kitab Thamarat al-Muhimmah dan Muqaddimah fi Intizam telah berjaya mempengaruhi pemikiran sosial dan politik pemerintah di Riau ketika itu. Mengikut Virginia Hooker (1998: XVI) konsepnya yang ideal mengenai raja ialah pemerintahan raja yang baik akan menghasilkan negara yang sejahtera. Sebaliknya, raja yang zalim dan tidak bermoral dilihat sebagai punca segala kacau-bilau dan kejatuhan pemerintahannya. Dengan konsep itu, konsep raja pra-Islam, iaitu konsep Dewaraja warisan pemikiran Hinduisme telah ditolak oleh masyarakat Melayu. Sebaliknya, kriteria raja yang baik dan adil adalah wajib dipatuhi. Hal ini dinyatakan dengan jelas sebagaimana berikut:
“…bahawa hendaklah raja itu Islam yang teguh memegang ugama Islam dan laki-laki mukallaf dan merdeka lagi adil lagi mempunyai ijtihad yang elok dan mempunyai bicara yang baik dan penglihatan yang baik dan mempunyai berani yang tetap dan yang rajin, tiada jemu dan malas daripada mendirikan kerajaan, lagi pantas segera berbangkit pada tiap-tiap pekerjaan yang jadi kebajikan, maka inilah setengah syarat raja, atas yang dihimpunkan.”
(Raja Ali Raja Ahmad,1999).
Menurut Noriah Taslim (2006:45) dalam makalahnya, “Raja Ali Haji dalam Wewenang Tradisi Kanun Melayu”, mesej yang hendak disampaikan oleh Raja Ali Haji ialah raja yang tidak memiliki ciri-ciri sebagaimana dinyatakan di atas “tidak lagi menjadi pemerintah yang boleh diterima. Perwarisan seharusnya pergi kepada pengganti yang sesuai”. Selari dengan falsafah politiknya itu, Raja Ali Haji tidak mempersoalkan tindakan Belanda menyingkirkan Sultan Mahmud IV dari takhta Kerajaan Riau–Lingga, sebaliknya mengkritik sikap baginda:
“Ia tidak ingin mendengarkan nasihat atau ajaran dari kaum sesepuh, serta mengikut hawa nafsunya dengan pengiring-pengiringnya yang muda. Inilah sumber salah faham…, ia juga tidak memerhatikan keputusan- keputusan residen Riau, atau mengikuti penduduk negaranya, ia hanya mengejar keinginan-keinginannya.”
(Virginia Matheson Hooker, 1998)
Kritikan seumpama ini sangat jarang-jarang ditulis oleh pengarang Melayu terdahulu. Bagi masyarakat Melayu tradisional, raja tidak boleh “disentuh” dan sebarang kritikan terhadap peribadi raja boleh dianggap sebagai menderhaka. Oleh hal yang demikian, kritikan Raja Ali Haji terhadap Sultan Mahmud boleh dianggap sebagai “anjakan paradigma” yang menyanggah tradisi pemikiran orang-orang Melayu pada masa itu. Dari segi ini, ternyata bahawa Raja Ali Haji mempunyai asas falsafah dan prinsip yang tersendiri. Tegasnya beliau ialah seorang yang idealis; tegas dan taat dengan ajaran agama.
Biarpun mengkritik kesakralan raja, Raja Ali Haji tetap memilih sistem pemerintahan negara dalam bentuk monarki. Dalam hal ini, beberapa andaian dapat dibuat. Pertama, barangkali kerana sistem pemerintahan yang ada pada waktu itu semuanya dalam bentuk monarki. Kedua, ada kemungkinan beliau terikat dengan pemikiran ulama abad pertengahan yang menganggap sistem pemerintahan negara Islam hanya satu, iaitu bentuk monarki. Hal ini seiringan dengan pandangan Khalif Muammar A. Harris (2011) yang mengatakan karya Raja Ali Haji menjadi besar kerana bersandarkan karya-karya yang besar sebelumnya, serta dengan kemampuannya menggarap unsur-unsur baharu dan terkini sesuai dengan semangat zamannya. Ketiga, sebagai seorang ulama, Raja Ali Haji mungkin sedar bahawa Islam tidak menetapkan satu sistem pentadbiran negara yang khusus.
Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, Raja Ali Haji tegar dengan konsep “negara yang sejahtera datangnya daripada kerajaan yang adil”. Mengikut Teuku Iskandar (2005:9) dalam memberikan tafsiran adil, yang membawa maksud menyebelahi pihak yang benar, meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul, menepati hak seseorang atau sesuatu dan tidak berat sebelah. Dalam sebuah negara moden, tanggungjawab ini dipikul oleh jabatan atau institusi kehakiman. Raja Ali Haji yang hidup dalam lingkungan sistem kerajaan feudal turut melontarkan idea yang serupa. Dalam Thamarat al-Muhimmah, bab ini diberi tajuk, “Tertib Kerajaan dan Aturan Mahkamah”. Perkataan “mahkamah” bermaksud tempat membicarakan kes undang-undang sebagaimana yang difahami hari ini. Hal ini tidak dapat diragukan lagi berdasarkan petikan berikut:
“Bermula makna mahkamah itu iaitu tempat mendirikan hukum atas segala hamba Allah Ta‘ala, maka di dalamnya beberapa orang besar-besar yang memegang jabatan berlain-lainan, maka masing-masing dengan pekerjaannya.”
(Raja Ali Raja Ahmad, 1999)
Manakala, apa-apa yang dimaksudkan dengan beberapa orang besar-besar yang memegang jabatan yang berlain-lainan pula merujuk kepada sejumlah kadi. Kadi ialah hakim dalam perkara yang berkaitan dengan Islam, membicarakan orang yang dituduh melanggar hukum Islam. Oleh hal yang demikian, istilah kadi sinonim dengan istilah hakim. Namun demikian, dalam Thamarat al-Muhimmah, istilah “hakim” digunakan kepada orang yang bertugas membantu wazir (menteri urusan dunia) dalam menjalankan urusan pentadbiran dan bukan dalam urusan keadilan. Raja Ali Haji menggunakan istilah tersebut dalam konteks yang berbeza sebagaimana yang difahami pada hari ini. Persoalan ini menarik untuk diteliti terutama dari aspek sistem keadilan negara sebagaimana yang diilustrasikan pengarang dalam karyanya itu.
Sementara itu, Raja Ali Haji juga menyifatkan pemerintah yang memerintah sekehendak hatinya sebagai ‘raja hawa’, iaitu raja yang memerintah mengikut hawa nafsunya. Hal ini tidak bermakna beliau mengkritik sistem pemerintahan beraja. Sebaliknya, Raja Ali Haji membina citra pemerintah sebagai pemimpin yang mempunyai sifat khalifah; taat kepada agama, memelihara kesucian agama dan menjaga kebajikan rakyatnya. Untuk mencapai matlamat tersebut, seseorang pemerintah itu harus mempunyai kualiti peribadi yang tertentu sebagai persediaan bagi menjalankan tugas dan tanggungjawab berkenaan. Dalam konteks ini, Raja Ali Haji menyarankan raja dan para pembesar supaya memelihara ‘roh, jasad dan nama’. Dalam membicarakan hal ini, Raja Ali Haji berhasil menerangkan bagaimana peranan tasawuf dalam membimbing dan menyelamatkan seseorang daripada menjadi pemimpin yang jahat atau zalim seperti yang disokong oleh Khalif Muammar A. Harris (2011) dalam makalahnya yang bertajuk“Ilmu Ketatanegaraan Melayu Abad ke-19: Kajian Terhadap Karya Raja Ali Haji.”
Khazanah Ilmu yang Bernilai
Kajian ke atas karya ketatanegaraan Raja Ali Haji ini penting kerana dapat memberikan gambaran tentang pencapaian ulama terdahulu yang sudah mempunyai tradisi keilmuan yang mantap. Pencapaian ini dibuktikan dengan peninggalan kitab turath dalam pelbagai bidang ilmu Islam. Kitab merupakan simbol keintelektualan Melayu dan khazanah ilmu yang sangat bernilai dan perlu dilakukan penyelidikan ke atasnya. Oleh itu, kajian ini akan dapat membangkitkan kesedaran generasi muda hari ini khususnya tentang perlunya khazanah bernilai ini dipulihara, kandungannya diteliti dan ilmunya disebarluaskan. Selain itu, kajian ini boleh menambahkan bahan-bahan rujukan bermanfaat tentang pemikiran Raja Ali Haji mengenai ketatanegaraan. Hasil kajian ini akan memberikan informasi berguna kepada semua, menjadi sumber bacaan dan rujukan di samping menyebarluaskan ilmu dan maklumat untuk lebih memahami pemikiran pengarang khususnya dalam aspek yang dikaji.
Kajian ini juga mengemukakan alternatif baharu dalam memahami konsep negara Islam yang sebenar pada zaman karya ini dihasilkan dengan mengambil kira kepentingannya dalam konteks sejarah dan politik. Di samping itu, karya ini membuka ruang pemikiran dan percambahan idea tentang isu-isu seperti pelantikan dan perlucutan jawatan raja, menteri dan kadi dengan meneliti pendapat sarjana-sarjana Islam terkemuka dan membandingkannya dengan pandangan daripada tokoh yang dikaji. Di samping itu, karya ini juga meletakkan Islam sebagai teras dan asas rujukan pemikiran tentang ketatanegaraan dalam apa-apa jua isu sama ada dari aspek pelantikan dan perlucutan jawatan pemimpin, pentadbiran kerajaan, pengurusan keadilan dan etika. Ajaran Islam sebagai satu-satunya alternatif terbaik bagi seluruh manusia sejagat tentang isu-isu seperti yang dinyatakan di atas.
Raja Ali Haji seorang bangsawan, ulama dan intelektual terkenal di penghujung abad ke-19. Karya-karyanya tidak hanya terbatas dalam bidang bahasa dan kesusasteraan sahaja tetapi juga meliputi pelbagai bidang seperti agama, sejarah dan ketatanegaraan. Walaupun dihasilkan pada abad ke-19, karya-karyanya itu terus dirujuk dan diperkatakan sehingga ke hari ini. Kegiatan dan sumbangan beliau dianggap sebagai khazanah bangsa dan menarik perhatian ramai ilmuwan di alam Melayu khasnya dan di seluruh dunia amnya. Hal ini membuktikan bahawa beliau merupakan seorang tokoh yang sangat istimewa dan pemikirannya wajar diteroka untuk dijadikan panduan kepada generasi hari ini dan yang akan datang.
Historiografi kajian yang berkaitan dengan Raja Ali Haji menunjukkan bahawa karya-karya beliau belum dikaji lagi secara lengkap. Para ilmuwan tempatan lebih berminat kepada karangan Raja Ali Haji dalam bidang agama, dan falsafah, sementara itu para pengkaji Barat menumpukan lebih banyak perhatian kepada karya-karya Raja Ali Haji dalam bidang bahasa dan sastera.
Kajian ke atas karya-karya ketatanegaraan Raja Ali Haji sebagai sumber sejarah dan sumber maklumat tentang kehidupan masyarakat Melayu memang amat signifikan. Analisis teks Muqaddimah fi Intizam dan Thamarat al-Muhimmah akan membantu memahami pandangan Raja Ali Haji mengenai konsep pemimpin dan ketatanegaraan, sistem keadilan dan etika yang ideal dalam konteks agama, akhlak dan kehidupan sosial masyarakat Melayu.