Raja Ali Kelana putera Johor-Riau yang menjadi pewaris jawatan Yamtuan Muda Johor-Riau (YTM). Yamtuan Muda Kelana merupakan jawatan yang pertama kali diwujudkan oleh Daeng Kemboja kepada Raja Haji pada 1745M. Raja Ali anak Sultan Mohamad Yusof al-Ahmadi (YTM 10) ibni Raja Ali (YTM 8 ) ibni Raja Jaafar (YTM 6) ibni Raja Haji as-Syahid Marhum Teluk Ketapang (YTM 4) ibni Opu Daeng Chelak (YTM 2). Beliau dilahirkan di Riau, tetapi tarikh lahirnya tidak dicatatkan, mungkin sekitar 1850M. Pada awal 1870-an, beliau pergi ke Mekah dan Mesir untuk belajar. Antara guru beliau di Mekah termasuklah Sheikh Wan Ahmad al-Fathani, Sheikh Said Abdullah Zawawi dan Sheikh Ismail Minangkabau. Beliau memakai gelar al-Ahmadi kerana menisbahkannya kepada mujaddid Naqsyabandiyah, Sayyid Ahmad al-Muzhar.
Sungguhpun Raja Ali Kelana dilahirkan dalam keluarga bangsawan Kerajaan Riau-Lingga, namun tarikh lahirnya belum dapat dikenal pasti dengan jelas. Hal ini agak sedikit menghairankan kerana budaya catatan terutamanya dalam kalangan keluarga bangsawan Riau telah lama berkembang. Menurut Abdul Jalil Borhan (2011), dalam makalahnya, “Pengaruh Khilafah Othmaniyyah Turki dalam Pentadbiran Kerajaan Johor bagi Memartabatkan Sebuah Negara Islam Merdeka di Asia Tenggara”, Raja Ali Kelana lahir pada tahun 1858. Manakala, Aswandi Syahri (2007) dalam bukunya Temenggung Abdul Jamal dan Sejarah Temenggung Riau-Johor di Pulau Bulang (1722-1824) menyebutkan tarikh kelahiran Raja Ali Kelana adalah antara tahun 1849 hingga tahun 1860.
Nama ‘Ali’ sangat popular dalam kalangan bangsawan Riau. Oleh sebab itu, untuk membezakan dengan figura yang lain, beliau lebih dikenali dengan julukan Raja Ali Kelana. Gelaran ‘Kelana’ membawa maksud bakal atau calon Yamtuan Muda Riau. Malangnya, pihak kolonial Belanda tidak menyetujui pengangkatannya sebagai Yamtuan Muda ke-11, dan pada akhirnya jawatan tersebut dimansuhkan daripada struktur Kerajaan Riau-Lingga.
Selain itu, beliau turut dikenali dengan gelaran lain seperti Raja Ali Riau, Raja Ali Bukit dan Raja Haji Ali al-Ahmadi. Gelar ‘al-Ahmadi’ ini diperoleh setelah beliau menerima baiah atau tawajjuh Tariqat Naqsyabandiah Mujaddidiah Ahmadiah Muzhariah daripada keluarga az-Zawawi sewaktu mengerjakan haji pada tahun 1322 Hijrah/1905 Masihi.
Raja Ali Kelana membesar dalam keluarga bangsawan Kerajaan Riau-Lingga yang kuat dengan tradisi keagamaan dan keilmuan. Dapatlah dikatakan bahawa Raja Ali Kelana memperoleh pendidikan secara formal dan tidak formal dengan baik. Hal ini dikatakan demikian kerana Istana Riau merupakan institusi pendidikan terbaik pada waktu itu kerana berupaya menyediakan guru-guru daripada tokoh agama yang berkaliber sama ada yang berasal dari Riau seperti Raja Ali Haji mahupun yang datang dari luar seperti Habib Syeikh al-Saqaf, Syeikh Ahmad Jabarti dan Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minkabawi.
Tambahan pula, leluhur beliau bukan sahaja ketua negara yang berwawasan tetapi juga kuat pegangan agamanya, cinta akan ilmu pengetahuan serta sangat memuliakan dan meraikan ulama. Umpamanya pada masa pemerintahan Raja Ali bin Daeng Kamboja, Yamtuan Muda Riau ke-5 (1784-1806), datangnya seorang ulama dari Madura bernama Syekh Abdu Gaffar dengan membawa ajaran tarekat “Khalawatiyah Samaniyah” dan Yamtuan Muda menjadi pengikut setianya.
Begitu juga Raja Ja’far, Yamtuan Muda Riau ke-6 (1808 – 1832) disebutkan bahawa sangat menyayangi ulamadan guru agama, termasuklah guru al-Quran (qari). Jika ada qari yang datang di Pulau Penyengat, Raja Ja’far meminta guru tersebut untuk tinggal di kediamannya dalam beberapa bulan agar para pegawai dan pembesar kerajaan serta keluarganya dapat mempelajari al-Quran. Oleh hal yang demikian, situasi yang kondusif ini menyediakan peluang dan ruang kepada Raja Ali Kelana untuk menimba ilmu tanpa banyak gangguan.
Sementara itu, Raja Ali Kelana juga dicatatkan pernah menuntut ilmu di Mekah. Bersama-sama dengan bapa saudaranya Raja Ali Haji, mereka berguru dengan Syeikh Ahmad al-Fatani, iaitu seorang ulama Melayu tersohor yang telah lama menetap di sana.
Sehubungan dengan itu, suasana Riau pada masa itu digambarkan oleh B.W. Andaya dan V. Matheson (1983) dalam bukunya, Pikiran Islam dan Tradisi Melayu:Tulisan Raja Ali Haji dari Riau. Karya ini menyatakan bahawa kaum reformis Islam di penghujung abad ke-19 dapat berkembang serta memperoleh dorongan daripada kesolehan Sultan Melayu dan Yamtuan Muda Bugis.
Setelah jawatan Yamtuan Muda dihapuskan, Raja Ali Kelana bergerak aktif dalam organisasi bukan kerajaan (NGO), iaitu Jamiyah Rushdiah atau Rushdiah Club bersama-sama dengan Raja Khalid Hitam, iaitu cucu kepada Raja Ali Haji. Pada asalnya, anggota Rushdiah Club terdiri daripada Ahli Musyawarah (dewan permusyawaratan) Kerajaan Riau-Lingga yang berfungsi seumpama kumpulan penasihat dan pemikir kepada sultan. Oleh hal yang demikian, aktiviti Rushdiah Club ini disokong kuat oleh kerajaan menerusi sumbangan dana kewangan bagi menggerakkan dan memperkukuh organisasi tersebut.
Secara beransur-ansur, organisasi ini berkembang dengan lebih pesat dalam mempromosikan idea, kesusasteraan, dan aktiviti intelektual menerusi penghasilan karya dalam pelbagai genre. Menerusi kegiatan percetakan, idea dan pergerakan organisasi mereka dapat dipromosikan kepada khalayak dengan lebih luas di Kepulauan Melayu. Akibatnya kesedaran politik dalam kalangan orang ramai mula meningkat dan mencetuskan perubahan yang lebih luas dalam masyarakat dari segi politik, sosial dan ekonomi.
Seterusnya, selain bertindak sebagai teraju organisasi, Raja Ali Kelana juga seorang penulis yang prolifik dengan menghasilkan karya-karya dalam pelbagai genre. Antara hasil-hasil penulisan beliau termasuklah:
- Pohon Perhimpunan Pada Menyatakan Peri Perjalanan yang selesai dikarang pada hari Sabtu, 23 Ramadan 1313 Hijrah/6 Mac 1896 Masihi dan dicetak oleh Maktabah wa Mathba’ah ar-Riyauwiyah, Pulau Penyengat, 1315 Hijrah/1897 Masihi.
- Perhimpunan Pelakat yang selesai dikarang pada tahun 1316 Hijrah/1899 Masihi dan dicetak oleh Mathba’ah ar-Riyauwiyah, Pulau Penyengat, 1317 Hijrah.
- Bughyatul Ani fi Hurufil Maani. Tarikh selesai dikarang tidak diketahui dan dicetak oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura,1341 Hijrah/1922 Masihi.
- Rencana “Mudah Pada Mengenal Diri yang Indah” yang selesai dikarang pada 3 Rejab 1344 Hijrah/17 Januari 1926 Masihi dan dicetak oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 1344 Hijrah.
- Kesempurnaan Yang Lima Bagi Islam Menerima yang selesai dikarang pada 3 Jamadilakhir 1345 Hijrah/8 Disember 1926 Masihi dan dicetak oleh Maktabah wa Mathba’ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 27 Ramadan 1345 Hijrah.
- Kitab Kumpulan Ringkas Berbetulan Lekas pada Orang yang Pantas dengan Fikiran yang Lintas. Tarikh selesai dikarang tidak dinyatakan dan dicetak dan diterbitkan pada tahun 1910 oleh Matbaat al-Imam di Singapura.
Lantaran tekanan oleh Kolonial Belanda terhadap dirinya dan perniagaan yang diusahakannya mengalami kemerosotan, Raja Ali Kelana mengambil keputusan berpindah ke Johor untuk terus menyebarkan ajaran Islam di tempat yang selamat dan tenang. Di Johor, Raja Ali Kelana dilantik sebagai Syeikh al-Islam Kerajaan Johor, satu jawatan yang lebih tinggi daripada mufti kerajaan seperti yang digunakan oleh Khilafah Othmaniah Turki. Ketika menyandang jawatan tersebut, beliau beberapa kali telah dihantar ke Turki untuk mendalami undang-undang Mal Islam, iaitu “Majallah al-Ahkam al-`Adliyyah” pada tahun 1883, 1895, 1899 dan1913.
Sesungguhnya bumi Nusantara kehilangan seorang tokoh agama dan pemimpin yang berwibawa apabila Raja Ali Kelana mangkat pada hari Ahad, pukul 8.00 pagi di rumahnya di Jalan Tebrau, Johor Bahru pada 10 Jamadilakhir 1346 Hijrah/4 Disember 1927 Masihi. Namun demikian, namanya tercatat kukuh dalam catatan sejarah bangsa Melayu dan hasil penulisannya terus menjadi rujukan dan panduan kepada generasi muda hari ini.