Skip to content
Raja Haji Fisabilillah: Antara Kepahlawanan dan Khianat Petualang
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Tokoh > Raja Haji Fisabilillah: Antara Kepahlawanan dan Khianat Petualang
Raja Haji Fisabilillah: Antara Kepahlawanan dan Khianat Petualang
Tokoh

Raja Haji Fisabilillah: Antara Kepahlawanan dan Khianat Petualang

  • AZMAN YUSOF
  • 5 November 2026
  • DBP Wilayah Selatan
  • 1

Yang Dipertuan Muda Raja Haji Fisabilillah merupakan seorang pahlawan Melayu-Bugis yang terkenal dengan keberanian dan kepimpinannya dalam mempertahankan maruah umat dan tanah air. Beliau lahir pada tahun 1725M dengan nama penuh Raja Haji ibni Daeng Celak, hasil perkongsian hidup Daeng Celak dengan Tengku Mandak, saudara kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Sepanjang hayatnya, Raja Haji bukan sahaja dikenali sebagai tokoh politik dan panglima perang Riau, tetapi juga sebagai simbol jihad menentang penjajahan Belanda. Kemuncak perjuangan beliau terserlah pada bulan Februari 1784M, apabila memimpin angkatan perang Riau menggempur dan mengepung kubu Belanda di Melaka; suatu peristiwa besar dalam sejarah perlawanan Melayu terhadap kolonialisme.

Strategi perkahwinan turut menjadi pendekatan Raja Haji bagi memperkukuh jaringan politik dengan mengahwini puteri raja Asahan dan puteri raja Inderagiri. Hasil perkongsian tersebut, beliau dikurniakan 11 orang cahaya mata, terdiri daripada empat putera dan tujuh puteri. Putera sulungnya, Raja Jaafar, kemudiannya diangkat sebagai Yang Dipertuan Muda Riau VI, diikuti Raja Idris, Raja Pahang, dan Raja Ahmad. Tujuh puteri beliau pula ialah Raja Salamah, Raja Siti, Raja Hamidah atau Engku Puteri, Raja Buntit, Engku Tengah, Raja Aminah dan Raja Pasir.

Ketokohan

Kepemimpinan Raja Haji mula mendapat pengiktirafan apabila beliau dianugerahkan gelaran Kelana oleh bapa saudaranya, Daeng Kemboja, yang ketika itu memegang jawatan Yang Dipertuan Muda Riau III. Sejak itu, beliau menonjol sebagai seorang “diplomat” yang cekap dan berwawasan, menjelajah dari satu negeri ke negeri lain bagi memperluas pengaruh politik di Riau. Hasil kebijaksanaan dan strategi diplomatiknya, negeri-negeri seperti Jambi, Inderagiri, Perak, dan Kedah akhirnya berada di bawah naungan Riau.

Selepas kemangkatan Daeng Kemboja pada 30 Jun 1777M ketika berusia sekitar 80 tahun, Raja Haji kemudiannya diangkat sebagai Yang Dipertuan Muda Riau IV pada Disember 1778M. Pelantikan tersebut mengukuhkan  hubungan antara pembesar Melayu dengan Bugis lagi kerana darah campuran bangsawan yang diwarisinya.

Sebagai pemerintah, Raja Haji terkenal dengan sifat tegas, berani, keras dalam prinsip, cekap mentadbir, berkemahiran dalam strategi peperangan laut, serta berusaha meningkatkan ekonomi kerajaan. Keperibadian dan kewibawaan ini menyebabkan pengaruh politiknya meluas sehingga ke Pahang dan Johor, sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada pihak Belanda di Melaka.

Kekuatan dan pengaruh Raja Haji turut diakui oleh kolonial Belanda. Hal ini terbukti apabila P.G. de Bruijn, Gabenor Melaka, mengambil langkah diplomatik dengan mengirimkan ucapan tahniah atas pelantikan baginda sebagai Yang Dipertuan Muda Riau IV pada 28 Disember 1778M. Kewibawaan yang dimilikinya bukan sahaja diwarisi daripada ayahandanya, Daeng Celak, tetapi juga daripada kegemilangan bapa saudaranya yang digelar “Upu Berlima”, kumpulan bangsawan Bugis yang berpengaruh. Sebagai pemimpin berwawasan, Raja Haji menjadikan Kota Piring di Pulau Biram Dewa sebagai pusat pentadbiran baharu kerajaan Riau, sekali gus menegaskan peranannya sebagai pemerintah yang strategik dan berpandangan jauh.

Kerajaan Riau pada Era Raja Haji (1777–1784M)

Dalam tempoh pemerintahan Raja Haji antara tahun 1777 hingga 1784M, kerajaan Riau mengalami perkembangan geopolitik yang pesat, sekali gus menjadikannya sebuah pusat kuasa penting di Alam Melayu. Kemakmuran serta kestabilan politik pada masa ini memberikan ruang kepada pertumbuhan ekonomi yang rancak. Antara faktor utamanya ialah kejayaan mengkomersialkan tanaman gambir, yang pada asalnya dibawa dari pesisir Pulau Sumatera semasa pemerintahan ayahandanya, Yang Dipertuan Muda Riau II, Daeng Celak. Sejak itu, gambir muncul sebagai komoditi perdagangan utama Riau dan menjadi tonggak kepada kekuatan ekonominya.

Selain hasil pertanian, pendapatan kerajaan turut diperkukuh melalui pungutan cukai bandar perdagangan. Pertumbuhan pesat pelabuhan Riau menjadikannya pusat tumpuan pedagang serantau mahupun antarabangsa. Hal ini dibuktikan dengan ramainya pedagang yang singgah di pelabuhan Riau menggunakan pelbagai jenis kapal dan perahu, mencerminkan rangkaian perdagangan maritim yang dinamik.

Kemakmuran Riau juga dapat diukur melalui beberapa bukti kajian daripada beberapa orang pengkaji. Jumlah penduduknya, yang dianggarkan sekitar 90,000 orang, merupakan angka yang besar pada abad ke-18. Pembangunan infrastruktur yang terserlah melalui pembinaan istana yang megah memperlihatkan kemakmuran kerajaan Riau serta mencerminkan keupayaan Raja Haji membangunkan asas ekonomi dan pentadbiran yang kukuh, sekali gus memperteguh kedudukan politiknya dalam kalangan kerajaan serantau. Bahkan, harga beras yang relatif murah turut melambangkan kestabilan ekonomi serta kemampuan kerajaan mengawal urus tadbir perdagangan dan pertanian.

Keuntungan ekonomi yang besar itu tidak disia-siakan. Raja Haji menggunakan kesempatan tersebut untuk memperkukuh angkatan tenteranya, khususnya dari segi persenjataan laut. Tindakan ini bukan sahaja memperlihatkan kebijaksanaan beliau dalam memanfaatkan kemakmuran negara, malah menegaskan kedudukan Riau sebagai sebuah kerajaan maritim yang berdaulat dan disegani pada zamannya.

Pusat Pendidikan, Kebudayaan dan Hubungan Diplomatik

Selain menjadi pusat perdagangan, Riau pada era Raja Haji juga berkembang sebagai pusat pendidikan Islam dan kebudayaan Melayu yang berpengaruh. Bandar Riau menjadi tumpuan ramai ulama dan pendakwah, bukan sahaja dari rantau Nusantara seperti Jawa, tetapi juga dari India dan Timur Tengah.

Perkembangan pendidikan agama seiring dengan kemajuan ekonomi telah mewujudkan suasana keilmuan yang rancak. Keadaan ini turut dirakamkan oleh Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis, yang menggambarkan bagaimana rumah, masjid, wakaf dan surau di Riau sentiasa dipenuhi oleh para ulama, syed, dan lebai. Tradisi majlis keagamaan, khususnya pembacaan maulid pada malam Jumaat, sering diikuti dengan sedekah dan pemberian hadiah, sekali gus mencerminkan kemakmuran serta budaya keilmuan yang subur dalam masyarakat.

Dari sudut politik dan diplomasi, Riau juga memperlihatkan kewibawaannya. Pada tahun 1780M,  perjanjian persahabatan dan keamanan telah ditandatangani antara kerajaan Riau dengan Vereenigde Oostindische Compagnie (VOC) Belanda yang mengandungi 12 fasal. Satu daripada fasal menyebut bahawa segala musuh VOC dianggap sebagai musuh Riau, manakala harta rampasan atau tahanan hendaklah dibahagikan sama rata antara kedua-dua pihak. Perjanjian ini jelas membuktikan bahawa Riau ketika itu diiktiraf sebagai sebuah kuasa yang kuat dan berdaulat di rantau ini.

Namun demikian, hubungan mesra ini tidak berkekalan. Pada tahun 1782M, tercetus pertelingkahan apabila VOC bertindak menahan sebuah kapal Inggeris yang membawa muatan candu sebanyak 1,154 peti tanpa mengagihkannya kepada Riau sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian terdahulu.

Raja Haji berasa dikhianati dengan tindakan tersebut, lalu hubungan diplomatik bertukar menjadi konflik ketenteraan. Dalam satu pertempuran di perairan Riau, angkatan perang VOC gagal menewaskan armada Riau yang dipimpin oleh Raja Haji, sekali gus memperlihatkan kekuatan ketenteraan kerajaan tersebut.

Konflik itu akhirnya memuncak pada Februari 1784M apabila Raja Haji bertindak menggempur kedudukan Belanda di Melaka. Hampir setahun lamanya beliau bersama-sama angkatan Riau mengepung kota tersebut sehingga menyebabkan penduduk Melaka, termasuk pihak Belanda, mengalami kebuluran. Kedudukan Belanda di Melaka pada waktu itu berada di ambang kejatuhan, membuktikan ketokohan Raja Haji sebagai panglima perang yang digeruni serta simbol perjuangan antikolonial Melayu.

 Tewas kerana pengkhianatan

Namun demikian, kejayaan besar angkatan Riau dalam mengepung Melaka tidak bertahan lama. Pihak Belanda akhirnya memperoleh bantuan daripada enam buah kapal perang moden berserta 2,130 askar upahan, kebanyakannya terdiri daripada peribumi Melayu, yang dihantar dari Betawi di bawah pimpinan Jacob Pieter Van Braam. Kehadiran bala tentera tambahan ini mengubah keseimbangan kekuatan di medan peperangan.

Dalam satu serangan hendap, beliau ditembak ketika sedang berwirid. Peristiwa tragis ini berlaku pada Jun 1784M dan menandakan gugurnya seorang panglima Melayu yang menjadi simbol jihad menentang kolonialisme.

Dengan bantuan petualang bangsa sendiri, pihak Belanda berjaya mengesan kedudukan Raja Haji di Teluk Ketapang. Dalam satu serangan hendap, beliau ditembak ketika sedang berwirid. Peristiwa tragis ini berlaku pada Jun 1784M dan menandakan gugurnya seorang panglima Melayu yang menjadi simbol jihad menentang kolonialisme. Sejak itu, beliau dikenang dengan gelaran Marhum Teluk Ketapang, lambang kepahlawanan dan pengorbanan seorang pemimpin bangsa yang berani dan berjiwa besar.

Kematian Raja Haji membawa kesan yang mendalam terhadap kerajaan Riau. Angkatan perang yang sebelum itu disegani tidak lagi memiliki kekuatan yang sama. Hal ini memaksa pemerintah Riau selepasnya memilih pendekatan diplomasi dan mengelakkan konfrontasi secara langsung dengan Belanda. Riau tidak lagi berfungsi sebagai sebuah negara yang merdeka sepenuhnya kerana setiap keputusan politik dan pentadbiran perlu dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak kolonial Belanda. Keadaan ini menandakan bermulanya era pengaruh kuat kolonial terhadap kerajaan Riau dan juga rantau sekitarnya.

Perjuangan Raja Haji Fisabilillah memperlihatkan bagaimana kekuatan, keberanian, dan kebijaksanaan mampu mengangkat martabat bangsa. Namun, kisah tragis kejatuhan beliau juga mengingatkan kita bahawa pengkhianatan dan perpecahan dalaman sering menjadi punca kelemahan sesuatu umat.

Walau bagaimanapun, sejarah bukan sekadar catatan masa lampau untuk dikenang, tetapi medan ibrah yang wajar dijadikan pedoman bagi generasi masa kini dan akan datang. Perjuangan Raja Haji Fisabilillah memperlihatkan bagaimana kekuatan, keberanian, dan kebijaksanaan mampu mengangkat martabat bangsa. Namun, kisah tragis kejatuhan beliau juga mengingatkan kita bahawa pengkhianatan dan perpecahan dalaman sering menjadi punca kelemahan sesuatu umat.

Oleh hal yang demikian, pengajaran terpenting yang boleh diambil ialah keutuhan bangsa hanya dapat dipelihara melalui kesatuan, keikhlasan, dan penolakan terhadap sebarang bentuk pengkhianatan yang menggadaikan kepentingan bersama-sama demi kepentingan peribadi. Jika sejarah diabaikan, bangsa akan mengulangi kesilapan yang sama; perpecahan, kelemahan, dan akhirnya tunduk kepada kuasa luar justeru itu memelihara perpaduan serta mengutamakan kepentingan umat lebih utama daripada mengejar kepentingan diri, kerana hanya dengan itu maruah bangsa dan negara dapat terus dipertahankan.

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#baimbad (3) #cerpendbp (14) #cerpenkehidupan (8) #dbpselatan (17) #karyasastera (33) #kedah (4) #penulis (9) #penulisbaharu (38) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (7) #puisialam (6) #puisijawi (7) #puisimoden (28) #sasteramelayu (12) #sasteramoden (5) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (17) abuyon (5) adie abd gani (6) anak (3) bahasa (3) cerpen (17) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (31) dbpsarawak (4) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (7) Esei (6) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (7) palestin (3) penulis sarawak (16) puisi (35) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (6) puisi kehidupan (15) rindu (3) sajak (13) Sarawak (5) sastera (3) stephaniejuanitaahlee (4) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Teman di Persimpangan
Puisi

Teman di Persimpangan

  • 7 Oktober 2026
  • 135
  • 4.7
سستراون نݢارا عثمان اوڠ
Puisi Tradisional

سستراون نݢارا عثمان اوڠ

  • 7 Julai 2025
Jelatang
Puisi

Jelatang

  • 22 September 2025
  • 111
  • 5
Bahasa Abadi di Jiwaku
Puisi

Bahasa Abadi di Jiwaku

  • 20 Jun 2025
  • 206
  • 4.5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP