Nabillah Bolhassan meneliti karya Abg Zainoren Jess, “Pak Su (Pejuang yang Tak Didendang)“. Cerpen ini telah disiarkan dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera, akhbar Utusan Sarawak, pada 26 Julai 2023.
IBNU Khaldun mendefinisikan sejarah sebagai sesuatu yang membicarakan perkara tentang manusia, peradaban dunia dan perubahan yang berlaku pada sifat masyarakat. Manakala Norman E. Cantor berpendapat bahawa sejarah adalah kajian tentang apa yang telah dilakukan, dikatakan dan difikirkan oleh manusia pada masa lampau. Aristotle pula beranggapan sejarah sebagai satu sistem yang meneliti suatu kejadian sejak awal dan terbentuk mengikut susuanan kronologi. Bertepatan dengan interpretasi makna sejarah daripada tokoh-tokoh tersebut bagi merungkai dan menghargai nilai kemerdekaan yang digenggam gapai sehingga ke hari ini, sewajarnya kita melihat sosok tubuh yang bergadai nyawa dan berkorban raga di sebalik perjuangan agar tanah tumpah darah kita bebas daripada belenggu penjajah.
Tidak dinafikan bahawa nama Rosli Dhoby sentiasa bermain di bibir masyakarat sebagai tokoh pejuang Sarawak yang memiliki semangat luar biasa sehingga mampu ‘menumbangkan’ Gabenor Sarawak sekitar 74 tahun lalu pada usianya yang sangat muda. Namun, tanpa kita sedar di sebalik perjuangan Rosli Dhoby ada beberapa nama yang kukuh berdiri di belakangnya bersama mengikat janji setia demi menuntut kemerdekaan negeri Sarawak. Jika kita menjejak semula kronologi sebelum terjadinya peristiwa berdarah pada 3 Disember 1949, terdapat beberapa kumpulan yang ditubuhkan berperanan membela nasib orang Melayu, menentang serta memusuhi dasar atau amalan penjajah demi menuntut kemerdekaan seperti Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) dan Pergerakan Pemuda Melayu (PPM).
Rentetan daripada penubuhan tersebut telah tercetusnya luapan jiwa membara dalam diri beberapa orang anak muda demi membebaskan Sarawak daripada belenggu penjajah. Hal ini kerana mereka beranggapan proses menuntut kemerdekaan seolah-olah tidak membuahkan hasil sekadar melalui rundingan kerana pihak British terus cuba memperdayakan fikiran masyarakat dengan menaburi pelbagai janji. Maka, golongan anak muda ini percaya hanya dengan darah dapat memerdekakan Sarawak daripada cengakaman penjajah ketika itu. Demi menjayakan misi tersebut, Rukun 13 telah ditubuhkan.
Pendekatan dan matlamat perjuangan Rukun 13 lebih radikal berbanding dengan penubuhan persatuan dan pergerakan yang lain ketika itu. Misi Rukun 13 adalah untuk membunuh gabenor, Residen Sibu dan tali barut penjajah yang terdiri daripada masyarakat Melayu sendiri yang digelar sebagai ‘orang kumbuk’ kerana menyokong penjajahan. ‘Kumbuk’ atau selimut menggambarkan keadaan mereka yang hanya berdiam diri tanpa menghiraukan tanah air terus berada dalam cengkaman pihak British (Nordie Achie, 2018).
Hal ini amat berbeza dengan sifat yang ada pada ahli Rukun 13. Pemuda yang menganggotai Rukun 13 memiliki keberanian luar biasa sehingga sanggup mengorbankan nyawa agar perancangan yang telah disusun berjaya mencapai matlamatnya.
Rukun 13 mengikat janji setia bukan hanya dengan sumpah ikrar semata-mata, tetapi turut disertakan dengan amalan bacaan surah Yasin. Demi melengkapkan lagi perjanjian tersebut, setiap dari mereka akan diminta untuk minum air yasin yang dibaca bersama-sama. Meminum air daripada bacaan surah Yasin seolah-olah menjadi simbolik bahawa mereka harus teguh bersama sehingga ke akhir perjuangan, serta amanah tanpa membocorkan rahsia berkaitan penubuhan Rukun 13 mahupun perancangan membunuh gabenor dan tidak akan mengkhianati sesama sendiri.
Menjelang tarikh 3 Disember 1949, walaupun Rosli Dhoby yang dipilih untuk menyempurnakan rancangan Rukun 13, kerana usianya yang muda dianggap boleh terlepas daripada hukuman gantung jika didapati bersalah, ahli Rukun 13 tetap setia berpegang pada janji. Ahli Rukun 13 tidak membocorkan rancangan tersebut kepada sesiapa pun sehinggakan tidak ada orang boleh menghidu perancangan mereka. Setiap ahli Rukun 13 memainkan peranan sendiri dalam menjayakan misi tersebut, antaranya ada yang meminjamkan baju dan badik sebagai persiapan Rosli Dhoby berjuang demi tanah tumpah darah yang tercinta.
Perjuangan, sumbangan mahupun pengorbanan ahli Rukun 13 inilah yang menjadi sorotan dalam cerpen Pak Su (Pejuang yang Tak Didendang) karya Abg Zainoren Jess yang disiarkan diruangan Wadah Bahasa dan Sastera dalam akhbar Utusan Sarawak pada 27 Julai 2023 lalu. Dalam cerpen tersebut, pengarang menggarap tugas Pak Su di sebalik perjuangan Rosli Dhoby walaupun rata-rata masyarakat hari ini tidak mengetahui peranannya di sebalik perjuangan memerdekakan negeri Sarawak. Oleh sebab menjadi sebahagian daripada watak perancang peristiwa berdarah tersebut, segala-galanya masih segar dalam kotak memori Pak Su sehingga mampu menceritakan semula peristiwa tersebut kepada anak cucu walaupun telah berpuluh-puluh tahun tragedi itu berlalu. Biarpun bukan menjadi watak utama dalam misi ‘menumbangkan’ gabenor ketika itu, pengorbanan Pak Su dan rakan-rakan sewajarnya dihargai dan diingati.
Pak Su dan rakan-rakan turut menerima hukuman oleh pihak British kerana dianggap bersubahat, mereka disiasat pihak berkuasa berkali-kali serta dipenjarakan beberapa tahun. Perkara yang meruntun hati Pak Su dan rakan-rakan sudah tentunya kehilangan rakan seperjuangan yang menemui ajal di tali gantung. Perasaan sedih dan pilu pasti menyelubungi setiap daripada mereka kerana empat rakan yang bersama-sama mengikat janji setia demi menuntut kemerdekaan tanah air berpulang ke negeri abadi dalam keadaan yang tragis tanpa mampu membela diri. Apatah lagi Rosli Dhoby yang masih terlalu mentah usianya ketika itu, turut menerima hukuman tali gantung hasil daripada putar belit pihak British yang menukar tahun kelahiran Rosli pada sijil lahir anak muda itu. Perkara ini turut melahirkan rasa tidak puas hati Pak Su yang diceritakan oleh pengarang dalam cerpennya.
Pak Su turut mempersoalkan kewibawaan sistem keadilan British pada ketika itu kerana sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman mati terhadap Rosli Dhoby dan tiga orang rakannya yang lain sedangkan nyawa Duncan Stewart bukannya berakhir selepas menerima tikaman daripada Rosli Dhoby, sebaliknya selepas dibedah di Hospital Singapura seminggu selepas peristiwa berdarah itu. Ahli Rukun 13 telah membangkitkan persoalan mengenai perkara tersebut namun tidak pernah mendapat jawapan yang jelas dan memuaskan hati daripada pihak British.
Melalui kenyataan Pak Su yang digarap oleh pengarang dalam cerpennya, jelas menunjukkan bahawa para pejuang yang berjuang bersama-sama Rosli Dhoby tidak mudah menyerah kalah dan masih cuba menuntut bela. Namun apalah kudrat yang ada pada ketika itu, pihak British yang bermaharajalela tidak menghiraukan rayuan dan bantahan serta terus menjatuhkan hukuman tanpa belas ihsan.
Usaha dan tindakan Pak Su yang tidak jemu menceritakan semula pengalamannya berjuang bersama-sama rakan-rakan demi menuntut kemerdekaan kepada anak cucu sewajarnya dipuji. Sudah pasti keadaan ini sukar bagi Pak Su kerana mengimbau kembali kenangan pahit bagi dirinya. Menceritakan semula detik-detik mendapat tahu rakan seperjuangannya dihukum gantung dan dirinya menjadi banduan seolah-olah menoreh semula parut dalam jiwa Pak Su. Namun, kepedihan itu ditahan demi berkongsi cerita dan membangun jiwa anak cucu agar anak cucunya sedar bahawa bukan mudah untuk membebaskan tanah bertuah yang mereka diami dari belenggu penjajah. Pengarang turut menyebut dalam cerpennya bahawa walaupun berulang kali menceritakan kisah tersebut, setiap bait dan susunan penceritaan Pak Su tetap sama. Perkara ini menandakan bahawa kenangan menuntut kemerdekaan yang dilalui Pak Su bersama-sama rakan seperjuangannya masih segar dan diingati, seperti sudah sebati dalam jiwanya.
Biarpun nama ahli Rukun 13 kurang menjadi sebutan setiap kali sambutan hari kemerdekaan diraikan, namun ketahuilah bahawa nama mereka tetap mekar dalam diri setiap ahli keluarga yang turut merasai perit jerih perjuangan yang dilakukan. Buktinya, pengarang masih mengingati kenangan bersama Pak Su yang kerap berkongsi cerita perjuangannya suatu ketika dahulu sehingga pengarang berjaya menghasilkan sebuah cerpen untuk menghargai perjuangan Pak Su. Malah nama mereka sebenarnya membengkar dalam diri setiap masyarakat yang celik sejarah, tanpa jenuh menjalankan penyelidikan demi penyelidikan berkaitan sejarah kemerdekaan mahupun nilai patriotisme. Yang paling bermakna ialah, nama ahli Rukun 13 malar mulia di sisi Allah SWT kerana berjuang dan berkorban jiwa untuk mempertahankan negara adalah pengorbanan yang disanjung tinggi dalam Islam.
Islam mengiktiraf pejuang kemerdekaan sebagai mujahid agama, bangsa dan negara kerana perjuangan mereka bukannya didasari keuntungan dunia dan sifat kebendaan semata-mata. Setiap pengorbanan dan perjuangan yang ikhlas dilakukan sudah pastinya akan mendapat anugerah yang besar daripada Allah SWT di akhirat kelak. Biarlah nama tidak menjadi pilihan untuk didendang di dunia yang sementara ini, tetapi nama yang telah dilakar sebagai penerima anugerah di akhirat yang kekal abadi lebih bermakna dari segala-galanya.