Skip to content
Seimbas Tentang Hati Mawarku
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Sastera > Seimbas Tentang Hati Mawarku
Seimbas Tentang Hati Mawarku
Bicara Sastera

Seimbas Tentang Hati Mawarku

  • Ilham Budiman
  • 20 Ogos 2024
  • DBP Wilayah Timur
  • 133
  • 5

Dalam perkembangan Sastera Kelantan, Maroof Seman RS terkelompok sebagai penyair mapan meskipun puisinya jarang dapat ditemui mutakhir. Di tanah air, namanya tetap dikenali kerana pernah prolifik mengisi dunia puisi sejak pertengahan tahun 80-an lagi.

Paling ketara, beliau kini lebih dikenali sebagai pendeklamasi puisi. Beliau merupakan susuk penyair yang berkemampuan menonjolkan diri serta tampil sebagai pelakon teater. Jika dibandingkan antara dua bidang pentas ini, beliau lebih terkenal sebagai pendeklamasi puisi tersohor di tanah air.

Sejak tahun 1987–1997, Maroof berjaya menjuarai Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan sebanyak tujuh kali. Suatu pencapaian yang agak mengagumkan. Pada tahun 1989 dan 1996 pula, beliau meraih naib johan di peringkat kebangsaan. Seterusnya pada tahun 1997, beliau muncul sebagai johan dalam pertandingan ini, sekali gus menjadi kemuncak kepada kegigihan, ketekalan dan keunggulannya sebagai pendeklamasi puisi.

Terbaharu, dunia puisi tanah air dapat menyaksikan pula penyair dan pendeklamasi puisi ini tampil dengan kumpulan puisinya, Tentang Hati Mawarku (THM), diterbitkan oleh Bingkas Kebayan pada tahun 2024. Kumpulan puisi ini merupakan buku pertama Maroof sejak pembabitan beliau dalam bidang kreatif lama dahulu, khas untuk khalayak sastera.

Oleh hal yang demikian, tanggapan yang menyangka bahawa beliau kurang prolifik dan lebih menumpukan bidang deklamasi kini sudah berubah. Kemunculan buku ini membuktikan bahawa kreativitinya masih berterusan dan konsisten.

Terdapat beberapa perkara menarik yang boleh kita kaji tentang kemunculan kumpulan puisi ini. Antaranya ialah, penyair ini merupakan anak jati Kubang Kerian, Kelantan yang dilahirkan pada tahun 1963. Ertinya, kumpulan puisi pertama ini hadir agak lewat di kala usia beliau mencecah 61 tahun.

Penulis memperoleh puisi ini melalui dokumentasi beliau sendiri. Pengucapan pertama ialah:

 

Pesta di Pantai

Satu Catatan

 

Walau unggun api telah selesai

bahang perpisahan masih panas.

Ombak masih menyanyikan gelisah kita

dan malam yang pekat masih punya erti,

walau pantai sengaja berkata sesuatu

untuk menyulitkan perpisahan.

 

Walau hujan telah turun

rambut kita basah, dan kita

mencari juga kemesraan yang hilang

menunggu dengan gelisah

di sisi hari yang lewat.

 

Katakan ombak,

siapa yang akan meninggalkan kami –

pantai ini apakah akan sepi semula?

Seorang antara kita setelah itu

akan menjadi perindu musim menunggu

dan setia di Pantai Batu Buruk ini.

 

Kuala Terengganu

 

Puisi ini tersiar dalam akhbar mingguan Berita Minggu pada tarikh 6 Januari 1985. Apabila ditemu bual, terdapat puisi pertama beliau yang lain dan disiarkan lebih awal, iaitu setahun sebelum dalam akhbar yang sama, namun, tidak pernah beliau temui semula puisinya itu bagi tujuan bukti dan dokumentasi.

Oleh itu, jika kita imbas berdasarkan puisi bertarikh 6 Januari 1985 di atas sebagai karya pertama beliau yang tersiar di akhbar, beliau telah berkreativiti sepanjang tempoh 39 tahun dalam dunia puisi. Malahan, sesudah 39 tahun jugalah pada tahun ini, beliau menampilkan TMH sebagai kumpulan puisi pertamanya.

Jelas sepanjang tempoh itu, Maroof Seman RS tidak pernah memiliki sifat terburu-buru untuk menghasilkan kumpulan puisi. Suatu sikap yang terpuji dan tidak menaruh impian untuk cepat menjadi penyair masyhur. Jika diperhatikan dalam perkembangan dan kedinamikan sastera Kelantan, sebahagian penyair Kelantan lain turut menjadikan ciri ini sebagai prinsip kukuh dalam kreativiti. 

Contoh lain yang kita dapat lihat ialah penyair terkemuka Kelantan, Rudi Mahmood. Beliau telah berkarya sejak tahun 80-an lagi tetapi beliau hanya menampilkan kumpulan puisi pertamanya, Bara Hujan yang diterbitkan oleh Kata-Pilar bermula pada tahun 2021. Selain itu, Wan A. Rafar sebagai penyair Kelantan yang terkenal dengan puisi Islam sejak dari tahun 70-an, sehingga kini belum bergegas mengumpulkan puisinya untuk diterbitkan.

Kembali kepada puisi Pesta di Pantai Satu Catatan yang disebutkan di atas, ternyata Maroof tidak memuatkan puisi tersebut dalam kumpulan TMH meskipun karya pertamanya itu merupakan nostalgia penting buat dirinya. Malah jika direnung, puisi tersebut merupakan sebuah puisi yang menarik dan baik.

Penyair lebih berhak untuk memilih dan menentukan karya puisinya sendiri untuk dikumpul dan diterbitkan. Oleh hal yang demikian, dapat diduga bahawa Maroof mengutamakan puisi yang dianggapnya lebih segar, menarik dan sejumlah karya sebagai kreativiti lebih mutakhir untuk dikemukakan kepada khalayak melalui TMH ini.

Hal ini jelas terbukti apabila kita dapat lihat beberapa buah puisi beliau yang bersifat tuntas dan agak pendek pengucapannya. Puisi tersebut merupakan kelainan dan berlaku anjakan perubahan dalam pengucapan terkini beliau berbanding kreativiti awalnya yang tidak menjurus kepada struktural puisi pendek.

Dalam kumpulan ini, beberapa buah puisi pendeknya tetap menarik. Perhatikan contoh pengungkapan yang agak tuntas seperti berikut:

 

Di Kertas Sandiwara

 

Ingin sekali kulukis

sebilah pisau

menikam mentimun

 

Ingin kulukis

sepohon rhu tua

patah dahannya

 

Kulukis sekali

dua batu nisan

terpasak

di tanah perkuburan

 

Puisi ini walaupun pengungkapannya agak pendek dan mudah, namun sarat dengan pelbagai tafsiran dan meninggalkan beberapa lapis pemikiran. Jika ingin dipilih sebagai salah satu pemikiran penting, puisi ini menghala ke arah didaktik dengan memerikan kias bahawa perpecahan politik adalah tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Semua puisi Maroof Seman RS dalam kumpulan puisi ini menarik pengucapannya. Pemikirannya luas dengan pelbagai persoalan yang dapat membijaksanakan pembaca. Peluasan pemikiran ini sebenarnya dapat diamati melalui pembahagian segmen kandungan puisi dalam buku ini.

Sejumlah 50 buah puisi dikemukakan dalam kumpulan ini dan dibahagikan oleh penyair kepada enam segmen, iaitu (1) Serigala, (2) Apa Khabar Pak Sidang, (3) Ya, Bukalah Jendela Itu, (4) Belayarlah Dengan Perahu Merdekamu, (5) Marilah Bermain Politik dan (6) Tentang Hati Mawarku.

Sesetengah puisi dalam setiap segmen ini hakikatnya masih bersifat relatif dan saling berkait antara satu sama lain, terutamanya tentang pemikiran yang berkait dengan persoalan kemasyarakatan. Puisi beliau boleh berdiri sendiri bagi memenuhi rasional keperluan urutan setiap segmen yang dihasratkan oleh penyair, sebagaimana pemikiran beliau berdasarkan setiap tajuk segmen tersebut.

Puisi yang menjadi pemikiran utama segmen Serigala menumpukan pergolakan dunia antarabangsa. Antaranya ialah kerenah kuasa besar Amerika yang bagai ‘Serigala‘ dalam kancah perang di Iraq dan Palestin.  

Apa Khabar Pak Sidang pula terisi puisi yang menyerlahkan pengamatan mengenai kerenah politik, di samping menyerlahkan juga tentang pemikiran falsafah dan kemasyarakatan. Ada kemungkinan bahawa ketiga-tiga fokus ini tentang simpang-siur politik serta permasalahan masyarakat untuk dikaji dari sudut kebijaksanaan falsafah hidup.

Misalnya puisi berikut dari segmen tersebut:

 

Sedar

 

Sedar tak sedar pisang emas di halaman

telah dimakan segerombolan kera

selebihnya membusuk

dan mengering.

 

Hanya pabila

tersedar dari kepincangan

lesapnya ilmu sifarnya keimanan

ketakwaan

manusia menjadi peminta

di tanah air sendiri

haluan tersasar

berantakan.

 

Penekanan yang cuba diberikan kesedaran oleh penyair menyentuh tentang kesan dan akibat daripada kepincangan hidup masyarakat.

Ya, Bukalah Jendela Itu pula merupakan antara segmen yang menarik bagi kumpulan puisi ini. Dipenuhi puisi yang menjurus kepada persoalan semangat gigih menghadapi perjuangan dan permasalahan dalam hidup. Selari dengan itu, penyair mengangkat kesedaran berkaitan keislaman, menyayangi tanah air, perpaduan dan beberapa lagi tema sebagai teras penting bagi masyarakat dalam kecekalan dan kebersamaan hidup di tanah air tercinta ini.

Kecintaan pada tanah air dilanjutkan secara lebih nyata melalui segmen Belayarlah Dengan Perahu Merdekamu. Puisi pada segmen ini sarat dengan unsur nasionalisme dan patriotisme sebagai dukungan supaya kita cinta akan tanah air.  

Marilah Bermain Politik merupakan segmen yang ketara apabila penyair sekali lagi menempelak kerenah politik walaupun terdapat kecenderungan unsur mendidik minda dan moral.

 

Mari kita bermain politik

dongakkan kepala ke langit pekat

pejamkan mata

lalu bilanglah berapa banyak bintang yang ada.

 

Ungkapan penyair agak jelas dengan ajakan namun menempelak pada sindiran ‘Mari Kita Bermain Politik’ (halaman 55). Sindiran ini tajam. Menempelak mana-mana ahli politik yang menjadikan politik umpama permainan tanpa memperjuangkan kepentingan sebenar rakyat jelata, ‘lalu bilanglah berapa banyak bintang yang ada.’

Semua puisi dalam segmen ini sebenarnya boleh dimuatkan dalam Apa Khabar Sidang yang merupakan segmen lebih awal. Namun, mengapa diasingkan oleh penyair ini padahal kedua-dua segmen ini masih boleh bertaut tentang pemikiran politik?

Selepas cuba memberikan fokus kepada contoh bahana pergolakan perang di beberapa buah negara (melalui segmen Serigala), kerenah politik dan permasalahan masyarakat di tanah air sendiri (Apa Khabar Pak Sidang), kesedaran mendepani semangat perjuangan hidup (Ya, Bukalah Jendela Itu) dan mencintai tanah air (Belayarlah Dengan Perahu Merdekamu), jelas bahawa penyair bertujuan mengulang serta memberikan kesedaran sekali lagi bahawa keharmonian hidup masyarakat di tanah air ini tidak seharusnya diperkotak-katikkan oleh kerenah politik.

Segmen terakhir Tentang Hati Mawarku yang juga merupakan judul bagi kumpulan ini, mengisahkan kepekaan dan taakulan penyair tentang penghayatan hidup, kenangan, impian dan harapan. Semua  pengucapan dalam segmen ini sudah bernada rendah kerana membayangkan kejernihan nurani yang menghala kepada keinsafan dan ketakwaan.

Demikian, penyair ini bijak. Sesudah berusaha memberikan kesedaran, menyuarakan kritikan dan melontarkan tempelak yang sinis melalui sebahagian besar puisinya pada segmen awal, beliau turut mengajak pembaca mencari ketenangan jiwa dan insaf pada Ilahi pada segmen terakhir.

Berbanding dengan kebanyakan kumpulan puisi lain yang hanya mengandungi dua hingga empat bahagian segmen sahaja, berbeza pula dengan kumpulan TMH ini. Agak mengejutkan pembaca kerana terdapat enam segmen kesemuanya. Mungkin inilah kumpulan puisi pertama tanah air yang mengemukakan sebegitu banyak segmen.

Sungguhpun begitu banyak persoalan yang dikemukakan oleh penyair, tetapi dapat disimpulkan bahawa semua segmen itu rasional untuk diterima oleh pembaca. Tanpa segmen yang dibahagikan khusus sebegitu, pembaca tentunya bagai simpang-siur untuk memahami dan menghayati pemikiran utama yang ingin disuarakan penyair.

Kumpulan puisi ini bukan sekadar luas pemikirannya, malah sebahagian puisinya mampu menjanjikan ungkapan segar serta menarik perhatian pembaca dengan beberapa unsur warisan tradisional. Kumpulan puisi ini turut menyumbang ke arah kedinamikan sastera Kelantan, di samping mengisi khazanah perkembangan dunia puisi di tanah air.          

Seimbas Tentang Hati MawarkuMaroof Seman RS

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (12) #karyasastera (14) #komsas (2) #penulis (4) #penulisbaharu (14) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (4) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (13) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) budaya (2) cerpen (9) dbpcawangansabah (4) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (23) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) ramadhan (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

ممعنا هاتي
Puisi Moden

ممعنا هاتي

  • 5 Julai 2023
  • 158
  • 4.7
رواڠ سڤي ريندو
Puisi Moden

رواڠ سڤي ريندو

  • 20 April 2025
  • 5
معمور ڤرتيويكو
Puisi Moden

معمور ڤرتيويكو

  • 20 Julai 2024
  • 37
  • 4.8
Ingatan Terhadap Teman
Puisi

Ingatan Terhadap Teman

  • 20 Jun 2024
  • 58
  • 4.6

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP