Kampung dikenali sebagai kawasan kediaman dan penempatan penduduk. Namun, jarang sekali kita singkap dan telusur sejarah di sebalik nama-nama kampung tersebut. Melalui artikel ini, kita akan lihat sejarah kampung-kampung di Terengganu yang semakin dilupakan oleh generasi sekarang.
Kampung Melayu Losong
Sebut sahaja nama Kampung Melayu Losong, pastinya kita akan terbayang dengan keenakan keropok lekor yang dikatakan berasal dari kampung ini. Kampung ini mempunyai sejarah yang unik dan menarik. Hasil temu bual antara penulis dengan cicit kepada Losong iaitu, Tuan Haji Wan Nawang bin Haji Abdullah, Losong merupakan nama seorang perempuan yang berbangsa Bugis.
Kira-kira 400 tahun yang lalu, Losong telah melarikan diri dan meninggalkan kampung halamannya. Beliau belayar ke Terengganu setelah kalah dalam peperangan. Kemudian, beliau membuka penempatan dan menamakannya sebagai Kampung Losong.
Oleh itu, tidak hairanlah jika kebanyakan penduduk asal di kampung ini dikatakan berketurunan Losong. Paling menarik, di kampung ini juga turut terletak Kompleks Muzium Negeri Terengganu di kawasan Bukit Losong dan muzium ini merupakan muzium terbesar di Malaysia.
Kampung Cina
Bagi pelancong yang berkunjung ke negeri Terengganu, Kampung Cina menjadi salah satu destinasi pilihan yang menarik kerana lorong di kampung ini dipenuhi dengan mural yang cantik dan sesuai untuk bergambar. Kampung Cina merupakan sebuah perkampungan yang dihuni oleh pedagang Cina pada abad ke-15 dan mereka dikatakan berdagang dari China ke Tanah Melayu.
Penubuhan Kampung Cina telah membuktikan bahawa Kerajaan Terengganu dan Kerajaan China mempunyai hubungan yang baik pada suatu ketika dahulu.
Bukan itu sahaja, keunikan lain di Kampung Cina ialah terdapat sebuah telaga yang dianggarkan berusia lebih 300 tahun dan pernah menjadi sumber air minuman dan pertanian penduduk. Telaga ini dikatakan dimiliki oleh keturunan Keluarga Lim yang berhijrah ke negeri Terengganu untuk bercucuk tanam suatu ketika dahulu. Telaga ini pernah menjadi simbol perpaduan antara kaum Cina dengan kaum Melayu pada tahun “Kwong Shih”, iaitu ketika zaman Dinasti Ching (1875). Daerah Kuala Terengganu pada masa itu dilanda kemarau yang berpanjangan sehingga mengakibatkan penularan penyakit. Hanya telaga tersebut mempunyai bekalan air berterusan dan digunakan sebagai sumber air utama oleh masyarakat Cina, Melayu dan juga pedagang pada waktu itu.
Kampung Ladang
Siapa sangka Kampung Ladang di Kuala Terengganu mempunyai sejarah tentang seni pertukangan tembaga. Seni pertukangan tembaga ini berasal lebih kurang 300 tahun yang lalu, sejak zaman pemerintahan Sultan Omar dan dikatakan bermula di istana, iaitu di Istana Maziah,
Pada waktu itu. pertukangan tembaga menjadi sumber pekerjaan utama penduduk di kampung ini. Malah, mereka juga menghasilkan pelbagai alatan dan barangan tembaga yang diperlukan oleh pihak istana. Antara barangan tembaga yang dihasilkan ialah alat perkakasan dapur seperti pinggan, cawan dan acuan kuih. Selain itu, alat mempertahankan diri seperti keris juga turut terhasil melalui seni pertukangan tembaga ini.
Kampung Padang Saujana
Sejarah nama Kampung Padang Saujana ini cukup unik dan dikaitkan dengan legenda tempatan yang menceritakan tentang pertempuran antara Raja Syamsul Alam dan Zainal Abidin, seorang pahlawan yang diutus oleh Nabi Sulaiman alaihissalam.
Pertempuran ini dikatakan berlaku di kawasan tersebut. Selepas kekalahan Raja Syamsul Alam, kawasan itu dinamakan “Padang Saujana” yang bermaksud padang yang luas dan hancur akibat pertempuran tersebut
Kampung Buluh
Kampung Buluh ialah sebuah kampung yang terletak di Kuala Berang, Hulu Terengganu. Kampung ini mempunyai sejarah yang menarik dan berkait rapat dengan penemuan Batu Bersurat Terengganu, salah satu artifak sejarah negara.
Kampung Buluh mendapat namanya daripada bentuk rumpun buluh yang terbentuk akibat banjir yang kerap melanda di kawasan itu. Pada tahun 1887, Batu Bersurat telah ditemui di kampung ini dan menjadi bukti awal kedatangan agama Islam di Terengganu.
Batu Bersurat ini ditemui di kawasan Padang Tara, iaitu di tepi Sungai Tara, Kampung Buluh dan dijadikan batu alas kaki untuk naik ke tangga surau kampung itu. Pada tahun 1902, seorang saudagar Arab bernama Sayid Husin bin Ghulam al-Bukhari telah menyedari tulisan pada batu tersebut dan kemudian dipersembahkannya kepada Sultan Zainal Abidin III.
Batu Bersurat tersebut mempunyai tulisan asal usul Campa dan ditulis dalam bahasa Melayu-Arab serta mengandungi jadual tentang undang-undang Melayu atau Jawa setempat yang menggunakan bahasa Jawa dan Sanskrit.
Kampung Kuala Por
Seterusnya, Kampung Kuala Por di Hulu Terengganu juga mempunyai latar belakang sejarah yang cukup menarik. Asal usul nama Kuala Por juga cukup unik kerana perkataan “Kuala” bermaksud muara sungai dan “Por” pula dikatakan berasal daripada perkataan lumpur.
Di sebalik keunikan nama kampung ini, terdapat catatan sejarah yang menarik tentangnya. Kampung ini telah menjadi tempat persinggahan atau pelabuhan bagi pedagang Islam dari Arab, Parsi dan China. Selain itu, kampung ini juga menjadi lokasi penemuan serpihan pinggan mangkuk buatan China dari Zaman Dinasti Ming dan turut ditemui di kawasan Bukit Belimbing, berhampiran kampung ini.
Di samping itu, kampung ini juga merupakan penempatan yang tertua di daerah Hulu Terengganu dan dianggarkan telah wujud sejak 700 tahun yang lalu.
Kampung Kuala Por ini turut menjadi lokasi Makam Tok Raja Ri. Batu nisan pada makam ini bertatahkan tulisan Arab-Parsi. Beliau ialah seorang pendakwah atau pembesar istana yang mengisytiharkan perundangan di Batu Bersurat.
Kampung Paloh
Kampung Paloh terletak di lokasi yang berdekatan dengan Kompleks Muzium Negeri Terengganu. Kampung ini merupakan anugerah atau kurniaan daripada Sultan Zainal Abidin III kepada Tok Ku Paloh (Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad Al-Idrus).
Tok Ku Paloh merupakan ilmuwan Islam yang cukup terkenal pada suatu ketika dahulu. Beliau menjadikan Kampung Paloh sebagai pusat dakwahnya dengan mendirikan madrasah dan pondok untuk menyebarkan agama Islam. Selain berdakwah untuk penduduk setempat, ilmu agamanya turut disegani penduduk dari luar Terengganu.
Tarikan lain yang terdapat di kampung ini ialah Masjid Tok Paloh. Menurut cerita orang-orang lama, pembinaan masjid ini dilakukan oleh Tok Ku Paloh untuk menyampaikan ilmu agamanya. Maka didirikan beliau sebuah masjid pada tahun 1862. Sembilan puluh peratus pembinaan Masjid Tok Paloh ini menggunakan bahan binaan kayu cengal dan kayu tembesu.
Kampung Pasir Gajah
Akhir sekali, Kampung Pasir Gajah yang terletak di daerah Kemaman ini juga turut mempunyai sejarah binaan yang tersendiri, iaitu terdapatnya “Rumah Jambi”. Rumah ini dibina pada tahun 1938 dan menjadi lambang budaya komuniti Jambi di Malaysia.
“Rumah Jambi” turut menjadi pusat pembelajaran tentang sejarah dan pengalaman para pelarian dari Jambi yang datang ke Tanah Melayu semasa Perang Dunia I.
Kesimpulan
Sejarah dan budaya setempat tidak harus dipandang enteng oleh masyarakat. Hal ini kerana, melalui sejarah kita dapat belajar menghargai budaya, warisan dan tradisi yang dimiliki oleh tanah air kita.